Monday, December 28, 2009

Akan Datang : Dol Leman Misteri Kelibat Terbang

Perkhemahan Dol, Suppa dan Ku Chai pada suatu malam yang disertai hujan lebat telah diganggu oleh makhluk hutan yang tidak diketahui asal usulnya. Keesokan harinya, Kampung Parit Sangap gempar dengan kisah seekor anjing serigala yang terlepas dari jagaan pusat kurungan.

Tidak lama kemudian, segala-galanya menjadi reda apabila anjing serigala tersebut telah berjaya ditangkap semula dan dikurung dengan ketat. Penduduk kampung kembali lega dan aktiviti mereka diteruskan seperti biasa. Namun ketenangan mereka tidak bertahan lama. Ada misteri lain pula yang muncul!


Beberapa siri gangguan yang sungguh menakutkan menyebabkan Pak Dolloh jadi pening kepala. Saban hari, warung Marpunah dikemaskini dengan kisah-kisah seram yang dialami oleh setiap penduduk. Ada kisah binatang yang mencakar, kisah kucing jadian, kisah makhluk hutan yang terbang serta macam-macam lagi kisahnya. Dan, kebanyakan misterinya berlaku tatkala matahari terbenam.

Jadi, apakah sebenarnya yang menganggu para penduduk Kampung Parit Sangap?

Adakah kesemua kejadian-kejadian misteri itu berkaitan antara satu sama lain?

Dapatkan Dol dan kawan-kawannya menyelesaikan tiap-tiap satu dari misteri yang melanda kampung mereka?

Semangat...


Bila usia semakin meningkat tua dan semangat menjadi pudar, pokcik sangat2 merindukan bebelan arwah Mak Besah. Walau dulu masa kecik-kecik bebelan-bebelan itu terasa menyengat-nyengat dan membosankan, kini setelah Mak Besah tiada, kadang-kadang terngiang-ngiang juga ditelinga ini apa yang sering diucapkan dulu.

Dalam pada hidup meredah masa dan menemukan halangan can cobaan, kadang-kadang kita jadi hanyut dan alpa. Sedar-sedar saja, ianya sudah lama berlalu... meninggalkan kita yang sengsara di komdian hari.

Ibarat makan pagi, tengah hari dan malam. Kata-kata berupa nasihat dan semangat yang sangat-sangat diperlukan dalam hidup. Melainkan kita sebagai manusia yg benar-benar berfikiran teguh dan berprinsip mulia, maka tiada masalah untuk mencorak kehidupan kita.

Jikalau sebaliknya, maka haruslah kita mencari semangat yang hilang itu. Tidak kiralah apa yang kita panggil sebagai petua, kata-kata semangat, mutiara minda, motivasi, nasihat berguna, ingat-ingatan dll, ia sangat membantu dalam melorongkan hidup kita ke jalan yang benar. Bijak membuat keputusan dan bersedia menghadapi hari depan. Tidak lupa, kita akan sentiasa dalam keredaan Tuhan.

Sekurang-kurangnya supaya kita boleh berbahagia di dunia dan akhirat.

Selamat menyambut Tahun Baharu 2010.

Semoga anda semua lebih bersemangat dan maju di tahun hadapan.

Friday, December 25, 2009

Disember.

Bulan Disember ni, banyak betul cuti-cuti amnya. Hampir setiap jumaat gitu ( ceh, ceh, dah mcm tajuk novel Norhayati Berahim pulak hik hik ).

Dan, dalam bulan ini lah juga, banyak duit yang terbang melayang-layang. Ya lah, bawa anak jln2 cuti sekolah, balik kampung, oang kahwin, berkhatan, kenduri balik haji, Sales hujung tahun (YES) dan juga persiapan anak-anak nak naik sekolah semula. Alahaii…

Pandai2 lah anda semua nak menguruskannya. Masa, duit dan juga tenaga. hik hik

Selamat bercuti panjang sempena Krismas. Ceria-ceria selalu.

Wednesday, December 23, 2009

Seiring dan sejalan...

Seiring masa berganjak, pokcik hampir-hampir terlupa usia turut beralih sama. Sedar-sedar saja sudah berpuluh-puluh tahun nafas ini diberi lagi. Berdegup sentiasa hingga ke titik entah bila.

Terima kasih daun keladi pokcik ucapkan pada insan-insan yg sudi mengucapkan Selamat hari jadi, di fesbuk, blog, email atau esemes. Kalau tidak menjadi fitnah dan gossip sensasi, ingin saja pokcik berkata yang pokcik amat sayangkan kalian semua.


Sedikit sebanyak hati tua ini menjadi ceria apabila dikenang sentiasa. Walaupun sebaris ayat kata-katanya. Tidak dapat pokcik bayangkan kalau di usia emas yang sebegini, pokcik jadi bersendirian dan dilupakan orang.

Ah, masa. Sering kali ia menjadi garisan penentu sesatu kejadian. Hadirnya tanpa di suruh dan perginya begitu-begitu saja. Maka berbahagialah mereka yang sentiasa menghargai masa, menguruskannya sebaik mungkin dengan hal-hal yang berfaedah dan menambah nilai hidup di muka bumi ini. Syukur banyak-banyak pada Tuhan.

Segala-galanya bersandar kepada masa. Waktu suka, duka, sedih dan murung ia sentiasa bersama-sama kita. Termasuk juga apa pekerjaan yang dilakukan, masa sentiasa mengekori.

Pepatah Arab ada mengatakan, masa itu ibarat pedang yang tajam. Jika kita tidak menggunakannya dengan baik maka ia akan melibas dan membunuh kita.

Apa-apa pun, selamat menghargai masa.

Pokcik nak gii ngeteh aa. Jom!


Hik hik

Thursday, December 17, 2009

Maal Hijrah 1431


Selamat menyambut Maal Hijrah pokcik ucapkan buat sekalian pengunjung setia pondok buruk ini. Memang masa sangat cepat berlalu, tidak perlu di sangsi lagi. Namun apa yang dikutip sepanjang melalui tempoh setahun ini haruskan diambil kira, direnung kembali, difikiri dan dinilai hasilnya.Adakah lebih banyak kebaikan yang dilakukan ataupun sebaliknya.

Hidup ini sangat singkat rupanya. Mujurlah ada angka dan tahun yang boleh dikira dan dijadikan rujukan perjalanan hidup ini.

Semoga anda semua akan menjadi insan yang kembali suci. Di tahun hijrah 1431 ini, marilah kita sama-sama menjadi insan yang lebih bersemangat untuk memperbaiki diri dan berwawasan penuh jaya.

Dan yang terpenting sekali, semoga kita menjadi manusia yang bertakwa dalam menjalani kehidupan di muka bumi nan sementara ini.

Juga, Selamat bercuti.

Monday, December 14, 2009

kendara..


Lama sungguh pokcik tidak menulis di sini. Pada yang setia menyinggah tu, terima kasihlah daun keladi pokcik ucapkan. Semoga anda semua akan terus mengingati pokcik.

Sejak beberapa hari ini, kurang sikit hujan turun. Cuaca bertukar terik dan kering. Alam memang sentiasa berubah. Dan setiap apa yang turun dan bersinar dari langit , pasti ada hikmah yang terselindung di sebaliknya.

Musim cuti sekolah ini bercampur dengan musim oang kahwin. Kalau tak berjalan-jalan makan angin, oang akan balik kampung jumpa mak ayoh selain menghadiri majlis kahwin abg, adik dan kakak jugan saudara mara terdekat. Pendek kata aktiviti-aktiviti yang menyeronokkanlah juga.

Ada juga pokcik dijemput sama menghadiri kenduri di sini mahupun di kampung. Maklomlah.. oang-oang tua cam pokcik ni memang payah nak dilupa. Hik hik

Jenuh la nak makan apabila di perlawa. Murah rezeki di musim-musim cuti ini. Hidangannya pula pelbagai rupa, warna dan rasa hingga tak terlayan dek selera. Tuan umah asyik menyuruh tambah saja. Pokcik pula.. bukannya banyak sangat makan.

Kadang-kadang, bila dah tambah empat lima kali.. pokcik terus berhenti.

Bila tuan umah tanya, kenapa?

Pokcik katalah.. maluuu gitu.


Hik hik

Tuesday, December 08, 2009

mud...

Masa tu pokcik seroang budak yang sangat rajin ke sekolah. Pantang ada masa terluang, pantang cikgu tak ada di kelas, pokcik tak akan buang masa. Sentiasa membuat kerja. Kalau tak menghafal abc, pokcik menulis dan melukis-lukis.

Hinggalah datang seorang budak bernama Mahmud mengajak pokcik berbual-bual. Dia bercerita fasal bola, lastik, longkang parit, basikal, pokok pisang, mempelam dan entah apa-apa lagi. Dia juga bercerita tentang ayam dan kambing. Itu belum lagi ditunjukkan gelang getah dah gundu-gundunya.

Oh, terganggu betul pokcik saat itu. Hati menjadi tersangat jengkel dan rasa menyampah pada si Mahmud mula meluap-luap.


Hendak menulis pun tidak dapat tumpuan. Rasanya, masa tu pokciklah yang mula develop kata-kata , “Nak menulis pun kena tengok mood juga." Ya lah tu, tengokkan Si Mahmud yang suka mengacau itu.

Akhirnya... kerajinan pokcik goyah saat Mahmud mengeluarkan beberapa keping biskut kering dari saku bajunya. Sebotol termos cap rama-rama pun disua tinggi-tinggi. Rasanya termos itu berisi air kopi. Pokcik jadi teruja tiba-tiba.

Akhirnya, segala kerajinan dan sikap pelajar contoh pokcik hilang begitu saja.

Oh tidak! Pokcik telah terpedaya pada hari pertama masuk sekolah.

Hik hik

Thursday, December 03, 2009

Pesta Buku Alaf21 Kembali lagi...

Marilah kita sama-sama memeriahkan Pesta Buku Alaf21 yang bermula esok. Boli sebanyak mana buku yang anda suka, diskaun hebat 30%. Nak pergi hari Jumaat, Sabtu, Ahad atau ketiga-tiga hari pun boleh.

Jumpa di sana...

Monday, November 30, 2009

Daging Korban...


“Siapa la nak makan daging-daging ni seme? Aku kata toksah bagi, dowang bagi juga,” kata Tok Lipat sambil menggeleng kepala. Barangkali oang kampung Parit Sangap ini fikir, oleh kerana tiada oang-oang fakir dan susah di kampung ni, oang-oang tua pun jadilah. Layak kiranya diberi daging korban. Isy.. isy..

Padahal di rumah Tok Lipat ni, persiapan daging dan makanan sebelum majlis korban pun banyak lagi. Belum lagi yang dibeli oleh anak-anak cucuknya yang pulang ke kampung.

“Tak ada oang nak masak? Nanti anak cucu aku semua dah balik ke kota, daging-daging ni terbiar je gitu. Membazir!” Menggaru kepala oang tua tu.

“Apa aku nak buat ni?” soalnya lagi.

Pokcik pun turut memikir. Masalah ini kira masalah bersama juga.

“Jom ngeteh!” ajak pokcik tiba-tiba.

“Cantekk!” katanya seraya mengangkat ibu jari.

Lantas kami berdua terus mencapai motor, terus ke warung simpang. Hilang sudah kisah daging korban banyak-banyak tu.


Alahaii...


Nota cagu :

Selamat Hari Raya , Aidil Adha. Maaf pokcik ucap lambat sikit. Biasalah busy gitu dengan aktiviti korbannya. Padahal, pokcik dok tengok-tengok je.. Biasalah, warga emas.. hik hik

Tuesday, November 24, 2009

Ubahsuai...

Pondok pokcik ni sedang dalam pengubahsuaian. Jadi, nampak tunggang langang gitu. Biasa la.. dah lama tak tukar desain baru.. hik hik

Wednesday, November 11, 2009

Musim hujan...


Musim-musim hujan ni, badan pokcik sering jadi tak sedap. Kadang-kadang rasa nak demam saja. Belum lagi badan yang rasa lemah lesu dan bisa-bisa. Segala sendi pun terasa tak seleasa.

Tak mengapalah, Tuhan nak menduga gitu.

Ini pun dok berlingkar je sambil melihat hujan menitis. Maklomlah, sekarang ni tengah musim hujan. Mendengar berita tentang banjir di sesetengah negeri tu, timbul pula rasa simpati di hati ini. Kesian mereka-mereka yang terpaksa dipindahkan di pusat bantuan. Kalau tidak pun, jenuhlah nak membersihkan rumah setiap kali banjir surut.

Tak mengapalah, Tuhan nak menduga gitu

Namun, melihat kanak-kanak girang bermain banjir, membuat bibir pokcik tersenyum sedikit.

Nampaknya, ada juga yang mendapat rahmat ( dan keceriaan ) dari bencana ini hik hik

Thursday, October 29, 2009

Tiga dalam satu...


Ada banyak perkara yang melecehkan kalau naik motor buruk ni,” Semaun mula bercerita. Pokcik hanya melongo-longo saja, sekadar melayan. Lagi pun, dah lama dia tak singgah ke pondok buruk pokcik ni.

“Pertama… hujan, leceh nak kena pakai-pakai baju hujan.”

“Kedua… kena bawak balik laptop ofis, ”

“Ketiga , yang paling tragik sekali, tayar pancit!”

Pokcik mengangguk lagi. Faham sungguh akan masalah-masalah itu. Memang semua oang tak suka kalau ianya berlaku. Nak buat macam mana? Naik motor, itulah kelemahan-kelemahannya.

“Tapi, ada satu hari tu.. semua perkara-perkara yang saya sebutkan tadi tidak pula berlaku.” Semaun berkata lagi.

“Oh, eloklah kalau tak berlaku.” sampuk pokcik laju.

Semaun menunduk sedih, barangkali mengingati sesuatu. Pokcik jadi hairan.

“Dah tak berlaku, apa yang sedih sangat tu? Hal apa pula berlaku?” tanya pokcik pula.

“Semuanya berlaku pokcik, tapi bukan berlaku satu-satu, semuanya berlaku... serentak!“

“Hah?“


Pokcik menepuk dahi, ketawa geli hati. Dalam kepala terbayangkan kepayahan berganda yang terpaksa di lalui. Alahaiii..

Wednesday, October 28, 2009

fesbuk...


Lama betul pokcik tak menulis-nulis di sini. Yelah, sejak-sejak berfesbuk-fesbuk ni, pondok ni macam sepi je.

Tapi, di fesbuk sana pun pokcik sepi-sepi juga. Hik hik

Biasalah, oang tua tak sedor diri. Oang nk berfesbuk dia pun nak juga. Oang laju menyapa-nyapa dan bercerita, kita terkebil-kebil hilang butir bicara. Alahaiii...

Pada yang sudi hendak “menambahteman” pokcik pada fesbuk-fesbuk mereka, pokcik ucapkan terima kasih daun keladi gitu. Sekurang-kurangnya hidup pokcik akhir-akhir ini menjadi sedikit remaja dan lebih trendy hik hik

http://www.facebook.com/home.php?#/profile.php?id=100000391991746&ref=profile

Tuesday, October 20, 2009

Rayadera... (3)

Alahaii...

Syawal sudah pun pergi meninggalkan kita membawa bersama segala kenangan pahit manis Aidil fitri untuk tahun ini.

Tidak lupa juga rasa sedap santapan-santapan yang memenuhkan setiap ruang perut, sepanjang sebulan ini.

Namun pokcik terasa sedikit teruja bercampur serba salah.

Syawal baru je habis. Jemputan makan-makan nampaknya belum habis lagi.. Hmmm..

Ini baru betul-betul mendera ni.. Tapi, kalau pergi pun, tak salahkan..? hik hik

Layannnz.

Friday, October 16, 2009

Rayadera... (2)

Syawal hanya tinggal beberapa hari saja lagi... Ayuhh teruskan aktiviti beraya hingga ke titisan makanan yang terakhir. Yihaaa..

Dan selamat bercoti sempena Deepavali juga.

Hik hik

Monday, October 12, 2009

Rayadera...


Agaknya, Di Malaysia ini, bagaikan sudah menjadi tradisi, selagi belum habis Syawal selagi itulah kita akan beraya sakan. Dijemput berjamu ke sana ke mari, hinggkan tak menang perut nak menghadam semua.

Oh, masa-masa inilah terasa makanan yang ada di depan mata sangat-sangat mendera.

Apa-apa pun, jangan mudah mengalah. Teruskan beraya! Yihaaa

Hik hik..


Nota Cagu :

Time ginilah, oang-oang katering memang buat duit betul-betul. Semadang je ada tempahan sana sini. Kalau ada peluang , pokcik pun nak wat katering juga. Syarikat Katering pokcik tu, akan di beri nama... D'Sapu.. hik hik Bley ka?

Thursday, October 08, 2009

Wak Bunat...


Beraya rumah Wak Bunat memang seronok. Siap ada katil di tepi ruang makan. Memang cantekk...

Dulu Wak Bunat agak kamceng dengan pokcik. Kami yakni Wak Bunat, Pak Dolloh, Tok Lipat dan beberapa oang lagi adalah di antara generasi budak-budak nakal Kg Parit Sangat awal 50an dulu. Banyak kali jugak pokcik tidur sekatil sebantal di rumahnya. Kami memang mesra. Oh, zaman kecik-kecik kami sangat meriah.

Kini, Wak Bunat dah sakit teruk. Jalan pun dah ketar-ketar. Kakinya tak boleh berdiri lama, kadang-kadang tu bengkak. Itu fasallah ada katil di tepi ruang. Senang dia nak bergerak di bawah. Tak payah susah-susah naik turun tangga masuk ke bilik atau ke mana-mana yang jauh.

Bila masa raya ni, pokcik mengambil peluang menziarahi kawan nan lama ini.

Oang lain sibuk mengadap juadah, menyentak mana-mana kuih yang ada sambil dilayan oleh oang umah, anak-anak dan cucu cicit Wak Bunat. Suasana sungguh riuh.

Pokcik pula,

Baring dengan Wak Bunat, siap selimut sekali. Berborak-borak sampai sesekali melekek ketawa mengenangkan kisah-kisah lama.

Alahaii... Memang tak semenggah langsung! Tapi, apa kan daya, kita kawan lama.. kan Bunat kannn?

Hik hik

Wednesday, October 07, 2009

Mengunjung...


Pokcik keluar dari bilik lalu menggosok mata. Cuaca sedikit panas. Sedap betul dapat tidur lama ni. Kelihatan, Tok Lipat sedang sibuk mencari entah apa di lemari lauk. Barangkali cari mancis rokok daunnya yang selalu hilang dibawa main dek cucu-cucunya.

Pokcik kelip-kelip mata. Di atas meja terhidang juadah raya, berplastik-plastik dan berpeket-peket. Ada rendang, kuah kacang, sambal udang, ketupat dan macam-macam lagi. Selera makan tiba-tiba pula naik memuncak.

‘Wahh, dah raya rupanya. Apasal la dowang ni semua tak kejut aku makan ni. Sampainya hati.. hu hu.” Pokcik merengus perlahan lalu menarik kerusi. Semua makanan nampak begitu menggoda.

“Lama betul kau tidur. Mesti penat jalan jauh ni. Maklomlah, sesekali balik kampung.” Sapa Tok Lipat apabila menyedari kehadiran pokcik. Namun dia tidak menoleh sementelaah terus-terusan mencari sesuatu.

Sebaik saja dia berpaling.

“Astaga! Hoii. Apa kau buat makan tengah-tengah hari ni?” jeritnya sambil melopong melihat pokcik sedang asyik mengunyah ketupat dan rendang.

“Aiks, bukan ke dah hari raya. Aku makanlah...” jawap pokcik penuh yakin.

“Ish..ish... oang tua ni. bertebiat ke hapa? Raya ke bendanya? Itu lauk Mak Salemeh hantar untuk mengunjung.” Sepontan Tok Lipat membalas.

“Hah, mengunjung?” Serta merta tekak pokcik jadi payau dan tersangkut. Lalu segera pokcik bergegas ke sinki memuntahkan mana yang sempat sambil berkumur-kumur.

“Aiseyy.. lupa la plak, maklomlah... oang tua.” Pokcik tersengih malu sambil mengesat mulut.

Tok Lipat ketawa besar. Mujur tiada ada orang di dapur. Kalau tidak... tentu kantoi.

“Kau ni macam dah lupa pulak, time-time ginilah oang selalu mengunjung,” bebel Tok Lipat lagi.

Pokcik menepuk dahi. Baru teringat. Mengunjung adalah tradisi masyarakat di kampung ni, terutamanya masyarakat jawa, yakni mengunjungi dan memberi makanan ( lauk-lauk raya ) lebih awal sebelum tiba Syawal.

Ada yang buat pada 15 Ramadan, ada juga yang buat sehari sebelum raya. Bila dah lauk banyak atas meja ( kerana ramai yang mengunjung ) tu yang pokcik ter eksiden tuu.. kerana terlupa. Ingatkan juadah raya.

Alahaii..

Tuesday, October 06, 2009

suka...


Hari ke 4 raya. Di rumah Tok Lipat

“Kau tak buat open house ke?” sola pokcik pada Tok lipat yang bersungguh tengah mengunyah dodol sampai kembang kempis pipinya.

“Ni tengah open houselah ni. Alah kat kampung ni, mana ada open-open, terjah je..“ jawabnya perlahan sambil sebaik halkumnya menelan dodol perasa durian kegemarannya. Beli kat Parit Bedekoh.

“Ya tak ya jugak ek. Kat kampung ni lain. Kalau di bandar nanti, lepas-lepas balik raya, siaplah oang sibuk pergi rumah terbuka. Kadang-kadang sampai tak terlayan.” Pokcik memang tahu sesangat akal fenomena ini.

“Eh, kau tak buat rumah terbuka ke? Maklomlah, kau kan orang bandar.“ Tok Lipat mengusik mesra. Pokcik mencebik saja.

“Aku mana ada duit, duduk pun kat pondok je. Nak terbuka-terbuka cam mana? Lagi pun, pondok aku sentiasa terbuka. Sapa-sapa yang nak datang, datang je la. Toksah malu-malu. Itu pun kalau ada yang sudi la,“ jelas pokcik sambil memandang jauh.

“Eh, kau kan glamer, terkenal seantero maya. Peminat pun ramai. Oang seme suka pe,“ giat Tok Lipat lagi.

Pokcik mengeluh perlahan sambil merenung jauh.


“Hmm.. yer la tu. Tak juga. Dalam pada menjadi oang maya ni, aku belajar banyak perkara. Dalam hal ini, manalah tahu... sebanyak mana oang suka aku, sebanyak itu jugalah oang benci.”

Tok Lipat mengangguk. Mungkin ada benarnya kata-kata pokcik itu.

Alahaiii…

Monday, October 05, 2009

makan...


Raya ni bukan sekadar makan-makan saja.

Tiap-tiap kali raya muncul, sejak sesudah subuh lagi, pokcik memang sering diduga dengan bermacam-macam dugaan. Terutamanya darihal bab makan-makan. Kadang-kadang pun pokcik jadi hairan, dengan pemikiran sesetangah oang ni, adakah bila kita semakin menjadi tua, adakah kita akan lebih berselera akat kuat makan? Walau pun pokcik tak rasa begitu, tapi realitinya adalah sangat berbeza.

Pagi-pagi dah dipaksa mengadap juadah yang “macam-macam adoo..“ Katanya untuk bersarapan, tapi meja yang penuh dengan beraneka makanan itu ibarat menyuruh makan hingga lupa diri pula. Ada ketupat, rendang, lodeh, kuah kacang, lemang, pulut, serunding dll . Mau tak mau, makan lah juga sedikit sedikit ( lama-lama jadi bukit.. hik hik ). Pendek kata sepanjang bermulanya raya hinggalah ke hari ini, perut kita akan sentiasa kencang dari pagi sampai ke malam.

Agaknya kalau perut itu boleh berkata-kata, tentu dah lama dia menjerit. Ataupun, kalau ia ada suis reject, sudah lama kita asyik termuntah-muntah saja sebab si perut tidak dapat menerima dan ada kuasa untuk mengeluarkannya semula. Tapi, apa yang nak dikisahkan, otak kita yang sepatutnya berfikir mengawal pemakanan pun bersengkongkol dengan nafsu, melahap apa saja yang ada di depan mata. Bila di depan kita ada macam-macam makanan yang menggoda dan mengecurkan, ada pernah kita berfikir atau menggeleng kepala dan berkata, cobaannnn ! ? hik hik..

Selagi belum habis bulan Syawal, selagi itulah kita akan didera dengan majlis-majlis rumah terbuka, jemputan kahwin atau majlis seumpamanya di sana sini. Asyik-asyik makan, makan dan makan saja. Pokcik bukan apa, takut nanti ada yang sampai jadi pembaziran pula. Ingatkan, bulan puasa saja oang suka membazir ( masa berbuka), bulan raya pun ada... malah makin teruk jadinya.

Walau pun pokcik kata, raya ni bukan sekadar makan-makan saja. Tapi selepas salam-salam, peluk-peluk, borak-borak, belek-belek rumah, perabut, pokok bunga, kasi-kasi duit raya, takkan nak balik je, tentu ada makanan yang menunggu. Buat ada-ada katanya, walau pun penuh satu meja. Apatah lagi bila majlis itu sudah di rancang-rancang, tentulah kita tidak dapat mengelak. Alahaiii..

Bagi oang tua-tua macam pokcik ni, terlalu banyak makan tentulah seperti mendera. Macam-macam masuk ke dalam perut hingga terkujat segala usus dan organ pencernaan. Takut nanti ada yang meragam, kalau tak perut , jantung, buah pinggang, limpa, hati dan sebagainya. Bahaya tu. Kalau semua organ sudah kelam kabut, alamat tak lamalah tu.

Pendek kata, kalau nak berjalan beraya ke rumah terbuka tu, hati-hatilah ya. Makan memang sedap, tapi kalau terlebih makan, boleh mendatanglah mudarat pula. Mungkin kita akan berkata, “kalau kita tak makan, siapa yang nak makan pula? Kesian tuan rumahnya dah sediakan penat-penat sejak awal pagi, tiba-tiba kita pandang saja.”

Itu pun betul juga. Seeloknya, makan sedikit-sedikitlah saja, buat rasa-rasa supaya tuan umah tak kecil hati. Jangan pula kita melahap sampai kita pula jadi tuan yang empunya rumahnya hik hik..


Alahaii...

Friday, October 02, 2009

bukan sekadar...


Raya ni bukan hanya sekadar makan-makan saja.

Suasana di rumah Pak Dolloh tetap meriah. Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri, pokcik dan Tok Lipat singgah ke sana sekejap. Kami duduk-duduk di anjung dapur. Meja penuh terhidang dengan beraneka jenis makanan. Pokcik mengurut dada. “Uish, banyak nya makanan... sapalah yang nak menghabiskannya ni?’ soal pokcik dalam hati. Namun melihatkan seisi rumah Pak Dolloh yang riuh rendah dan ramai tu, mungkin tiada masalah pembaziran makanan akan berlaku. Bila dah ramai-ramai tentulah seronok dapat beramah mesra, bertanya khabar atau berborak-borak.

Maklomlah, raya ni bukan hanya sekadar makan-makan saja.

Pokcik mengambil ketupat, kuah lodeh, sambal kacang dan serunding. Penih satu pinggan. Suapan yang pertama sungguh menyelerakan. Suapan kedua menjadi laju. Seronok juga dapat makan siang-siang setelah sebulan berpuasa ni. Sambil-sambil tu jengah juga kut-kut ada lauk lain yang terselit di atas meja.

“Raya ini, tak ada bezanya macam dulu-dulu. Sama juga,“ ujar Tok Lipat sambil turut mengambil lauk ayam. “Cuma itulah, rumah makin riuh rendah. Maklomlah, anak cucu dah bertambah.” Tambah Pak Dolloh pula sebaik saja habis menghirup teh tarik.
“Untung kalau orang berkeluarga ramai ini. Sesekali berkumpul memang gamat.” Pokcik berkata lagi setelah habis sepinggan ketupat.

Raya ni bukan hanya sekadar makan-makan saja.

"Eh, ada kek la pulak.” Tiba-tiba pokcik terpandangkan kek yang berwarna warni di sudut meja.
“Hmm... makanlah. Anak menantu aku bawa dari Sarawak. Itulah dia kek lapis serawak. Memang banyak kaler-kaler. Rumit nak membuatnya.” Pak Dolloh macam tau-tau saja asal usul dan cara proses kek tersebut.

“Ha;ah…hedapp.. hedappp.. “ jawab pokcik dengan mulut penuh. Ada sesekali bila cucu Pak Dolloh menyergah, hampir-hampir tersembur kek dalam mulut pokcik ni. Mujurlah teh tariknya sedikit kaw-kaw. Selepas itu beberapa kali pokcik sendawa.

Raya ni bukan hanya sekadar makan-makan saja.’

Anak Pak Dolloh datang membawakan lemang yang sudah dipotong-potong bersama rendang daging. Aroma dari rendang yang dimasak kering-kering tu menyucuk lobang hidung pokcik.
“Wah, ini dari mana pula? Setahu aku... kau tak masak lemang pun,“ soal pokcik sambil mengambil pinggan yang lain.
“Siapa lagi, anak menantu akulah yang bawa. Dia dari rumah emaknya pagi tadi. Kat sana memang tak sah kalau tak ada lemang ni,” jawab Pak Dolloh.

Tok Lipat menggeleng kepala. Memang banyak betul rezeki pagi ini. Kami pula di layan mengalahkan VIP pula. Pokcik menarik nafas panjang. Ish ish..

Raya ni bukan hanya sekadar makan-makan saja.

Tidak lama kemudian, pokcik sudah tersandar kekenyangan. Lemang pun sedap dimakan. Tok Lipat sendawa beberapa kali sambil mengusap perutnya yang sedikit gendut. Pak Dolloh memperlawa lagi,“ Aii... apa pulak dah berhenti, banyak lagi makanan ni. Sila la.. sila la.. jangan malu-malu.“
Tok Lipat angkat tangan surrender. Dia sudah kuyu mata. Agaknya nak tidur lah tu. Malahan sejak dari mesjid tadi pun dia sudah nampak terlelap-lelap. Barangkali malam tadi amazing race merebus ketupat hingga subuh.

Tidak lama kemudian, entah anak Tok Lipat yang nombor berapa pula datang membawakan mee kari. Pak Dolloh giat memperlawa lagi.Tok lipat sudah terkebil-kebil. Pokcik sudah terkedu.

Dalam keadaan tubuh yang tersandar, dengan keluhan yang berbaur-baur, dengan jemari yang terketar-ketar.. pokcik mencapai pinggan yang lain

Ra..ra..raya ni bu.. bu..kan ha..ha..hanya se.. se..kadar ma.. makan-ma.. ma makan sa sa jaaaa..
adehh..
Alahaiii
Nota cagu :
Semoga masih lagi dalam mood raya dan selamat beraya atau menghadiri rumah-rumah terbuka di sana sini. Layannz.. hik hik

Monday, September 28, 2009

balik...

Pokcik baru balik dari kampung ni haa..
Penat beraya sakan tak hilang lagi... adehh
hik hik.

Friday, September 18, 2009

Ucapan Raya dari Pokcik



Assalamualaikum..w.b.t

Salah sejahtera buat semua pengunjung pondok buruk pokcik ini.

Kini Syawal sudah mulai menjenguk muka. Entah kali ke berapa, pokcik pun sudah hampir-hampir terlupa. Maklomlah, masa cepat betul berlalu. Daripada zaman kanak-kanak serba keterujaan yang tinggi melampau hinggalah ke zaman tua-tua bangka dengan keterujaan tahap biasa-biasa saja, Syawal tetap akan muncul jua.

Masih terbayang keindahan berpuasa, bersahur di pertiga pagi. Komdian, berlapar dahaga sepanjang hari. Tak lupa juga, berbazar-bazaran, bersesak-sesak dan berhimpit, mencari popia salut sambal yang sedap hingga menjilat jari. Kala berbuka pula, kenyangnya tak terkira. Juadah yang beraneka warna, hasil belian di bazar atau sedekahan oang sebelah. Kalau tidak ada apa-apa pun.. layan kurmalah juga... Yusufff Taiyoopppp.

Walau banyak dugaan yang melanda dunia hari ini, isu-isu semasa yang tiada akhirnya, konflik ekonomi, penyakit global yang menyerang serata negara, masalah-masalah dalaman negara, pertelingkahan dengan negara jiran, masalah pembantu umah indon nak naik gaji serta kecelaruan jiwa anak muda masa kini, namun kita masih lagi utuh bertahan menjalani ibadah puasa hingga ke akhirnya.

Kini tibalah kita ke hujung Ramadan. Seperti selalu-selalunya juga, bulan penuh berkah ini tetap akan pergi berganti Syawal bulan kemenangan. Habis sudah berpuasa sebulan. Kini, sudah sewajarnya kita meraikannya Selain meraikan kemenangan melawan nafsu, lapar dan dahaga, kita mungkin juga meraikan cuti yang lama, dengan berpeluang beraya dan balik kampung serta aktiviti-aktiviti yang tentunya lebih menyeronokkan. Pilih saja cara nak menyambutnya. Ada banyak cara dan dengan kos yang berbeza. Apa-apa pun, sederhana jualah yang paling utama.

InsyaAllah, kita semua akan berhari raya. Pulang ke kampung halaman bertemu ayah bonda, adik beradik dan sanak saudara. Berkumpul menjalin ukhwah yang kian rapuh dan usang usianya selain bergumbira bersama. Bermakan-makan dengan penuh berselera hingga perut jadi kenyang sepanjang masa.

Berjumpa oang-oang lama serta pak-pak sedara yang semakin tua. Menjawap soalan-soalan lazim onyang atau opah yaitu ,“Eh kau ni anak siapa?“ serta melayan cerita-ceritanya yang berulang-ulang bagai recoder lama. Apa nak buat, layankanlah saja, kerana pabila anda melihat mereka anggaplah seumpama melihat diri sendiri berpuluh-puluh tahun lagi. Hik hik. sampaikan salam pokcik pada mereka semua termasuk ketua kampung sekali. Kalau ada masa, boleh ngeteh-ngeteh gitu.

Dan tak lupa, hendaklah kamu berhati-hati di jalan raya. Utamakan keselamatan dan pandulah dengan berhemah. Baik kereta besor, jintu, maibi, mecedis, bibah, persona, lori atau bas sangkut-sangkut, kenalah berhati-hati juga. Ketuk-ketuklah meter tu sikit supaya ia betul menunjukkan kelajuan sebenar selain mengingatkan kita supaya jangan bawa macam mat rempit. Kalau merempit pun, biarlah merempit secara berhemah ( err.. ada ka?). Kalau mengantuk bawalah khemah, pasanglah di mana-mana asalkan bukan di tengah jalan, dan tidurlah sepuas-puasnya. Paling tidak pun, bawalah kopi Tongkat Ali kaw kaw, pilihan pokcik setiap masa.

Pokcik pun tak tau nak ucapkan apa-apa untuk raya ni. Hakikatnya adalah ucapan yang skema-skema sajalah juga. Sama seperti orang lain iaitu semoga anda semua gumbira selalu, ceria-ceria hendaknya serta kirim salam oang tua kamu semua. Pokcik takut ucapan-ucapan itu sekadar menanam tebu dipinggir bibir saja saja, kosong tanpa perasaan, sedangkan hakikatnya... pokcik amat ikhlas melafazkannya. Percaya laa.. hik hik

Jauh di sudut hati kecil ini, pokcik masih mengharap tiap kali datangnya Syawal hati ini akan turut bergumbira, supaya terubat rasa kekosongan yang lama. Zaman-zaman remaja suatu ketika dulu dan zaman-zaman yang hilang ditelan arus masa. Setidak-tidaknya, kalau ini adalah Syawal yang terakhir, biarlah pahala yang dikumpul dek Ramadan ini serta kebaikan-kebaikan masa lampau akan menenangkan jiwa nan hamba untuk mengadap sang Pencinta kelak.

Jadi dengan ikhlas hati suci murni lagi bersih berseri, pokcik ucapkan Selamat Hari Raya. Juga Maaf zahir batin pokcik pohonkan dari hujung jambul sampai hujung cagu. Realitinya, dalam ketuaan yang sebegini, pokcik amat tak terdaya untuk menjadi yang terbaik buat pengunjung semua. Namun jiwa yang halus, mulus lagi tulus ini di harap dapat di kenang sentiasa sebagai tanda kita pernah menyapa di alam maya. Mana tahu, suatu hari nanti, kalau pokcik panjang umur, kita akan berjumpa di alam realiti.

Hingga ketemu lagi...

Raya jangan tak raya... Yihaa!

Pokcik

Tuesday, September 15, 2009

kadang-kadang...

Kadang-kadang pokcik terfikir juga.

Alangkah syoknye bila pokcik bangun pagi, pekena secawan kopi tongkat Ali berserta biksut kering kegemaran. Komdian lepak-lepak di anjung pondok menikmati suasana pagi. Hingga ke tengah hari, awan pula semakin gelap dan turun hujan. Pokcik ketiduran kesedapan. Bangun lagi dan makan apa-apa yang ada. Bila sampai le lewat petang, baru pokcik terperasan.

Eh, puasa ek hari ni? Aiseymen.. lupa la pulak. Maklom la.. oang tua.. hik hik

Dan pada kadang-kadang yang lain, pokcik terfikir juga...

Kenapa ya tidak pernah kita dengar ( atau jarang sekali ) oang menganjurkan majlis bersahur bersama-sama. Selalunya, ada majlis berbuka bersama. Sekejap di restoren situlah, di hotel sinilah. Rumah itulah, rumah inilah dan macam2 lagi tempat yang grand dan sekurang-kurangnya menyajikan makanan yang sedap-sedap.

Kalau ada majlis bersahur bersama-sama, tidak-tidaknya... bolehlah pakai baju tidur atau kain pelikat, kekekekek

Kenapa ya? Hik hik

Wednesday, September 09, 2009

Bazar... (2)

Semakin kerap pokcik ke bazar Ramadan, semakin pokcik mulai menghargai ketidaksempurnaan manusia. Sebagai insan yang serba lemah dan dhaif, kita memang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Begitulah juga dalam berniaga. Tentu ada kekurangan di sana sini. Kadang-kadang ada niat dan tindakan kita yang kadang-kadang membuat orang lain menjadi susah. Hakikatnya kita memang manusia yang lemah.

Dan kini, pokcik menerima segala dugaan berbazar dengan hati yang terbuka. Apalah dikisahkan sangat kalau-kalau terbeli makanan yang tak sedap dan tak memenuhi selera oang lapar. Sedangkan di bahagian-bahagian dunia yang lain ada lagi insan-insan yang sering kekurangan makanan dan kebuluran. Ada lagi insan yang hanya makan sekali dalam beberapa hari dan sudah mengalaminya sejak sekian lama. Bulan puasa ini bukannya bulan meraikan bazar, membesarkan makan, mengumpul kuih-kuih raya, bershopping sana sini dan sebagainya, malah matlamatnya sebenarnya lebih tinggi dari itu.

Ya lah, selain sibuk merungut tentang bazar dan lain-lain hal, banyak lagi perkara-perkara yang boleh dilakukan di bulan yang mulia lagi suci ini, yang lebih membuahkan pahala berganda dan mempertingkatkan amalam. Selain itu, sepatutnya Ramadan membuatkan kita jadi lebih bersyukur dan saling menghargai hikmah yang terkandung disebaliknya. Lagi pun, kehadiran bulan puasa ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Tanpa kita sedar masa cepat sungguh berlari.

Marilah kita merebut peluang yang ada dengan sebaik-baiknya. Semoga kita menjadi manusia yang kembali suci. Mudan-mudahan gituu. Amin.

Tuesday, September 01, 2009

Bazar...

Merayap ke bazar ramadan beberapa kali sejak mula puasa membuatkan pokcik berasa sedikit kecik hati. Rasanya banyak pahala puasa pokcik turut hilang bersama kesesakan umat yang ada selain melihat makanan yang ada serba tak kena.

Punyalah sesak, mengalahkan oang nak bertawaf gitu. Kemungkinan sebab kawasan pokcik ni ramai student U, maka apabila lepas pukul 5 maka berdedailah la mereka turun mencari santapan berbuka selain berjumpa teman-teman, berhenti di tengah-tengah bazar dan berbual macam tak kisah dengan orang lain yang hendak lalu-lalang. Punyalah ramai, hinggakan kadang kala nak melihat gerai itu jual apa pun tak dapat, penuh dikerumuni oleh manusia yang sangat lapar melayan keinginan makannya.

Naik rimas pokcik berjalan di sana. Silap-silap boleh terkoma pokcik dibuatnya. Itulah, gatal sangat nak ke bazar, maka padanlah muka dapat berhimpit bersesak begitu.

Entahlah, tahun ni rasanya ada pertambahan gerai pada bazar di tempat pokcik ni. Tapi yang pokcik perati... banyak gerai menjual murtabak dan juga roti john saja. Juga termasuk gerai yang menjual air.

Kebanyakannya muka-muka baru. Ada dua tiga gerai saja yang pokcik cam wajah penjualnya dan menunya. Gerai-gerai yang di jaga oleh mak-mak janda lawa serta anak-anak dara cun tahun sudah tidak kelihatan pula. Ish.. ish.. boring nyer...

Selain dari itu harga yang ditawarkan juga jauh berbeza dengan tahun sebelumnya. Contohnya, dulu, kuih boleh dapat 3 ketol seringgit. Sekarang ni, seme dah main 5 ketol dua ringgit. Fuh, mahalnya! Kuih-kuihnya pun semakin menyusut dan kurang sedap. Ada diantaranya tak boleh ditelan langsung. Ada yang keras belentum, tawar hebeh dan paling teruk, basi. Macam manalah oang berniaga ni? Asyik nak fikir untung saja tanpa mengambil kira kualiti yang ada. Alahaiii...

Roti john yang dijual pun seakan-akan terencat. Kalau dulu, panjangnya hampir memenuhi plastik pembungkusnya ( yang panjang tu) Sekarang, agak terpendek pula hingga sesiapa yang membawa kelihatan terkuai-kuai gitu. Alahaii..

Pokcik rasa sangat kecewa. Entah kenapa tahun ni juga, popia salut sambal impian semusim ramadan pokcik tidak begitu ghairah untuk di cari. Tidak seperti tahun-tahun sudah, apabila tidak mendapatkannya, maka pokcik akan meroyan tak sudah-sudah. Ternyata semakin usia meningkat senja ni, selera pun turut pudar.

Jenuh dan pokcik berpusing ( sebenarnya ditolak-tolak oang sampai terpusing-pusing), maka bila hendak balik tu.. ternampaklah gerai yang paling akhir yang kebetulan ada menjual kuih popia salut sambal.

Maka dengan langkah longlai pokcik pun ke sana, singgah sebentar, sambil menunjul ke kuih popia tersebut.

“Ya, pokcik... nak berapa banyak?” soal penjual itu dengan ramah.

“Bagilah, patplo ketul.” Jawab pokcik perlahan.

Dalam dalam keadaan separuh terkejut, perlahan-lahan penjual itu membungkuskan popia pokcik. Selepas membayar, pokcik pun berlalu.

“Jadilah…. Buat rasa-rasa…”

Alahaiii….

Monday, August 31, 2009

MERDEKA !

Selamat menyambut kemerdekaan Negara yang ke 52.
Semoga kita menjadi rakyat yang bersyukur dan tahu menghargai erti kebebasan

Saturday, August 22, 2009

Ramadan...

Ish.. ish.. sedor-sedor je dah puasa dah. Cepat sungguh masa berlalu ya, diam tak diam, Ramadan kini datang lagi.

Yo la, marilah kita berpuasa. Menempuh dugaan berlapar dahaga selain mencari pahala berlipat kali ganda.

Semoga Ramadan kali ini penuh bermakna, buat kita sekelian manusia.

Monday, August 10, 2009

Kisah awod-awod...


Ini kisah berpuluh tahun dahulu.

Pokcik sudah seharian diserang sakit perut yang menyentak-nyentak segala usus didalam. Hampir tak lalu makan dan tidur dibuatnya. Pada suatu hari yang sudah begitu goyah ketahannya menahan penyakit itu, maka bergegaslah pokcik ke hospital kerajaan yang berhampiran.

“Pokcik makan apa sebelum ni?“ Lembut saja doktor perempuan berbangsa india itu menyoal sambil menekan-nekan perut pokcik.

“Tak ada apa-apa, biasa-biasa je, sedap-sedap je.“ Jawab pokcik termengah-mengah. Manakan nak menahan senak perut di tekan-tekan, manakan nak beramah tamah.

“Ada muntah-muntah dan pening kepala tak?” soal doktor itu lagi. Kini steteskop ditelinganya di tekap ke bahagian perut.

“Uii.. semua ada, loya dan mamai pun ada. Mengalahkan oang mengandung sulung dah ni.” Pokcik menjawap pantas sambik mengemam bibir. Sakit perut semakin mencucuk.

“Sy rasa ada yang tak kena dengan perut pokcik ni. Tak apalah, pokcik tunggu selepas ni, nanti saya beri award.”

“Hah, award?” Bisik pokcik dalam hati. Takkanlah berjumpa doktor kerana sakit perut pun dapat award. Sudah bagus ni..” Entah kenapa hari itu hati pokcik berbunga ceria. Hilang seketika rasa sakitnya. Dalam pada menunggu di luar pintu, mulut asyik tersenyum sengih ja.

Hingga lah… datang seorang atendan yang mengusung kerusi roda berhenti dekat dengan pokcik.
“Eh, nak bawak ke mana ni? Pokcik tunggu award ni..” soal pokcik separuh keliru. Melingas mata pokcik ke kanan dan kiri, kalau-kalau terlihat kelibat doktor tersebut.

“Ya lah, kami nak bawak pokcik masuk wadlah ni. Doktor suspek, pokcik kena keracunan makanan.” Atendan itu menjawab dengan ramah.

“Hah, masuk wad..!”

Serta merta pokcik merasa dunia ini gelap gelita. Dan bermulalah mimpi-mimpi ngeri.

Alahaii…

Maka sebab itulah, setiap kali bila ada oang bagi-bagi award kat pokcik, hati ni rasa seriau je. Teringat masa pokcik masuk wad tu.
Dan sebab itulah pokcik jadi phobia bila oang sebut award-award ni, apatah lagi untuk menampal-nampalnya di sini.
Tapi, pada sesiapa yang memberi, pokcik memang berbesar hati dan amat-amatlah menghargainya.

Nota cagu :

Psst… psstt… toksah dok caya cakap pokcik ni.
Sebenarnya, dia tu… malasss… kekekekekekek

Friday, August 07, 2009

sebelah...

Pagi tadi, pokcik bangun di sebelah bantal yang kiri. Mengosok-gosok mata sambil tersengih ceria. kadang kala pokcik kongsikan juga sengihan mesra pokcik ni pada kawan2 yang ada.

Semalam-semalam juga, pokcik bangun di sebelah bantal yang kanan. Mengosok-gosok mata sambil tersengih ceria. Kadang kala, pokcik kongsikan juga sengihan mesra pokcik ini pada kawan-kawan yang ada.

Oh, pokcik memang sentiasa ceria dan suka hendak berkongsi cerita.

Cumanya...

Kadang-kadang, pokcik ni... malas je.. hik hik..

Alahaiii....

Wednesday, July 29, 2009

Dol Leman : Misteri Dalam Gelap

Hahhh, pokcik dah kabo dah.... kabo dah...

Budak-budak tu dah kembali.... hu huu

Sinopsis:

Hujan lebat diselang-seli dengan ribut petir yang melanda di kampung Parit Sangap pada suatu malam menyebabkan seluruh kampung itu bergelap. Ianya berterusan hingga beberapa hari. Semua penduduk menjadi resah gelisah, begitu juga dengan Pak Dolloh selaku ketua kampung yang turut berasa risau kerana perasmian dewan baru Parit Sangap hanya tinggal beberapa hari lagi.

Sebelum itu, Cikgu Saman yang ditugaskan menjaga barang-barang di dewan baru itu terkejut apabila diganggu oleh sesuatu yang sangat menakutkan. Jidin Jambul pula nyaris-nyaris mengalami kemalangan.

Sekolah yang mana Dol, Suppa dan Ku Chai belajar pula heboh dengan kes kecurian di tapak pembinaan yang berhampiran. Manakala Wak Ketot nampaknya tidak senang duduk apabila suatu benda di hadapan rumahnya turut hilang.

Perkara-perkara misteri yang tidak diketahui punca ini menyebabkan Dol dan rakan-rakannya terpaksa melakukan sesuatu. Ya, mereka perlu menyiasat! Maka bermulalah siri penyiasatan tiga sekawan yang sangat mencabar dan penuh dengan kejutan hingga hampir-hampir membuatkan jantung mereka luruh.

Dapatkah Dol dan kawan-kawannya menyelesaikan segala masalah yang melanda kampung mereka dalam keadaan bergelap?

Tuesday, July 28, 2009

Siapa dulu...


Pokcik, Tok Lipat dan Pak Dolloh masih berborak lagi di warung tepi simpang. Kali ini kami bercerita fasal adik beradik pula. Di temani kopi dan teh yang lemak manis serta kuih-kuih yang sedap buatannya. Perbualan menjadi semakin rancak.

“Dulu, masa kecik-kecik, masa sekolah-sekolah, kitaoang adik beradik selalu berlumba, menunggu-nunggu, siapa yang habis dan dapat kerja dulu.“ Pak Dolloh menceritakan hal adik beradiknya yang seramai 8 oang tu. Walaupun mereka dah jarang berjumpa dan mempunyai keluarga masing-masing, perhubungan mereka tetap erat.

“Betul tu, aku pun sama. Lepas dah semua habis sekolah dan dah kerja, kita tengok pula, siapa yang kahwin dulu,“ jawap Tok Lipat separuh mengekek. Pokcik dan Tok Lipat mengangguk setuju.

“Dan lepas tu, lepas tu.. tengok pula siapa yang dapat anak dulu, lepas tu... anak siapa masuk sekolah dulu...“ Pokcik menambah, tak mau kalah. Teringat zaman-zaman sekolah dan menjadi budak-budak nakal.

“Lepas tu, bila dah lama-lama keja, dah jadi tua, tengoklah pula... siapa yang pergi haji dulu. Itu pun kalau mampulah.“ Sampuk Pak Dolloh lagi menceritakan sebahagian dari adik beradiknya yang berpeluang mengerjakan haji.

“Lepas tu, kita tengok lagi. Bila dah lama-lama keja, siapa pula yang pencen dulu.“ Tokok pokcik pula. Yalah, takkan nak keja sampai mati. Bila dah cukup tempoh dan badan pun tak kuat, maka bersaralah kita.

“Lepas tu, bila anak semua dah besar panjang, kita tengok pula siapa dapat menantu dulu.“ Tok Lipat menambah pula. Sememangnya dalam hal adik beradik dan hidup masing-masing sentiasa ada yang mendahului antara satu sama lain dalam beberapa hal.

“Komdian, siapa dapat cucu dulu..“ Tok Lipat menokok, sambil tangannya melambai-lambai untuk memesan air teh lagi. Memang bersungguh betul kami ngeteh2 petang itu.

“Lepas tu? Lepas tu?“ Pokcik jadi seronok pula berborak fasal adik beradik ni.

“Err... err.. lepas tu, kita tengok... siapa yang “jalan“ dulu.“ Tok Lipat pula menjawab sepontan membuatkan pokcik dan Tok Lipat sedikit terkejut.

Selepas itu, teh dan kopi yang dihirup terasa sangat pahit sekali.

Alahaiii...

Thursday, July 23, 2009

Gezet-gezet...

Budak-budak itu telah kembali....

Yakni, budak-budak yang telah berjaya menyelesaikan kes-kes misteri seperti...

Misteri Kebun Pisang ,
Misteri Sungai Loyang ,
Misteri Pohon Kekabu ,
Misteri Hantu Getah...

Kini ,

Mereka kembali dengan misteri yang baru...

Tungguuuuuu.....!

Thursday, July 16, 2009

Ekon (2)


Pokcik duduk melangut sambil berselubung macam oang eskimo. Mata tak berkalih dari memandang ekon hiyaa Pak Dolloh. Tok Lipat pun sama. Tubuhnya pun berselubung gebar kaler hitam putih. Dan macam rupa beruang koala dah. Pak Dolloh masih dengan singlet putihnya. Duduk selamba bersila. Oh, sejak ruang tamunya ada ekon, eksyen sungguh dia. Barangkali dia sudah lali berkesejukan begini.

“Sejuk ka?“ Pak Dolloh menyoal sambil tersengih. Pokcik mengangguk laju. Menyesal pula naik ke atas rumahnya. Patutnya kami berbual di luar saja. Lebih selesa dan berangin.

“Alah, kat luar tu panas. Sekarang ni cuaca dah semakin tak menentu, semadang je panasnya, siang malam pun sama.“ Pak Dolloh sudah jadi mat saleh empat musim.

Pokcik terus memerhatikan ekon hiyaa nya terlekat di dinding. Barangkali, seting nye sejuk2 belaka, dari sejuk2 hening subuh, sejuk2 peti ais sampailah ke sejuk air batu. Hmm.. canggih betul peralatan untuk umah selesa sekarang ni.

“Kalau kita tak nak sejuk lama-lama, boleh set masa. Nanti bila dah cukup time, dia bunyi... tiit! ” Bersungguh Pak Dolloh menerangkan. Tok Lipat dan pokcik semakin menggigil. Tak daya nak bersuara dalam keadaan sejuk-sejuk begini.

Tiba-tiba...

Krukk... krukk... krukkk..

Mata kami bertiga saling berpandangan.

“Bunyi apa tuuu?” soal Pak Dolloh. Tok Lipat terseringai

“Hah, tu bunyi dah cukup time lah tu,” ujarnya sambil membuang selimut kaler hitam putih itu.

Pokcik ketawa mengekak. Sahihlah itu bunyi perut dia, lapar. Apatah lagi bila di asak dengan hawa sejuk ni, lagi la semakin berbunyi-bunyi perut nya.

“Jom , ngetah… warung Pak Aji!’ ajaknya separuh menjerit.

Pokcik turut membuang selimut. Bergegas menghala ke pintu, menuruti Tok Lipat.

“Tunggu aku,“ Pak Dolloh menjerit juga. Bila dah cukup korum baru sedap nak keluar ngeteh. Tidak lama kemudian, bunyi motor mula menderum menghala ke hujung simpang.

Apa kes nak borak dalam sejuk-sejuk begini. Layan ngeteh lagi bagus..
hik hik

Tuesday, July 14, 2009

Komedi Lampau...



“Mak, hari ni tak de selera la nak makan,“ ujar pokcik kala kembali dari sekolah dan melihat lauk di atas meja. Barangkali ikan kering dengan sambal ikan bilis begitu kurang sedap kalau hendak dibandingkan dengan lauk sehariannya.

Barangkali juga, pokcik memang sengaja mengada-mengada. Tak sedar diri tu oang susah.

“Aahh.. tak de selera. Biasanya kalau oang tak de selera tu... tandanya dah nak mati.“ Balas Mak Besah sambil tersengih.

Pokcik terkedu dan kecut perut lalu bergegas mencari pinggan.

ii.

“Tak tahulah, kenapa Dolloh tu tak mau kawan dengan kita. Mentang-mentanglah dia ada mainan baru.“ Sekali tu pokcik merungut dan merajuk, barangkali kecewa dalam persahabatan.

“Alah, biorkan je lah.“ Lembut sura Mak Besah melegakan resah pokcik.

“Pada pendapat maklah, tak ada kawan pun tak apa. Janji mak ada kawan yang ini, “ ujarnya lagi sambil menujuk ibu jari yang digesel bersama telunjuk, menggayakan simbol duit.“

Pokcik melongo..

iii.

Saat ini bila mengenang semula arwah Mak Besah, pokcik ketawa sendiri. Kadang-kadang Mak Besah selalu buat komedi walau pun dulu pokcik langsung tidak menyedarinya.

Alahaii..

Thursday, July 09, 2009

RM547 jota.


"Wahhhh.. mahalnya!" Pokcik hampir-hampir tesedak beruk.

Perbualan di warung pagi itu berkisar fasal Taikun Telekomunikasi M'sia iaitu Tan Sri Ananda Krishnan berkira-kira hendak membeli kelab bolesepak New Castle dengan harga RM 547 jota.

Pokcik menggeleng kepala sambil berkira-kira juga bagaimanalah rupanya RM 547 jota tu, sedangkan kiraan yang sinonim dengan pokcik hanya patplo ribu bolas-bolas juta je. Hmm... mungkin lebih kurang je kut. Selisih seposen doposen.. hik hik

Tok Lipat dan Pak Dolloh bercerita lagi. Bersungguh benar mereka bercerita. Pokcik mendengar sambil melongo-longo. Tak tahu nak sampuk tang mana. Sambil-sambil itu teringat pula akan kegemilangan zaman bolasepak kami berpuluh-puluh tahun dulu. Ada sesuatu yang menggamit dalam minda.

"Sayang... Taikun Ananda tu belum jadi kaya raya raya lagi masa tu. Kalau tidak, maunya dibeli team bolesepak kampung kami yang punyai potensi tinggi untuk maju hingga ke peringkat dunia." Bisik pokcik dalam hati.

"Kalau tidak, tentu kami-kami, pemain-pemain yang hebat dalam Parit Sangap FC ini sudah jadi kaya raya juga."

Akhirnya pokcik mengekek ketawa.

Hik hik

Tuesday, July 07, 2009

Wak Jasen...


"Ninggal jugak Wak Jasen tu ya...“ ujar Tok Lipat pada suatu petang semasa kami sedang berehat di bawah pohon moktan yang lebat buahnya.

"Biasalah, dah ajal dia,“ jawap pokcik sambil terkulum-kulum buah moktan yang merah lagi manis itu.

"Ya, lah.. matinya tiba-tiba gitu. Bukan aku saja, oang-oang kampung, oang kedai kopi, malah dunia pun terperanjat.“ Tambah Tok Lipat lagi. Pokcik lantas menoleh. Apa hal tiba-tiba oang tua ni teringatkan Wak Jasen?

"Eh, bukan ke oang tua tu dah ninggal lama? Apalah yang kau merepek ni?“ jerkah pokcik sambil mengerut dahi. Wak Jasen memang kawan kami waktu kecik-kecik dulu. Sayang hayatnya tak panjang. Dia meninggal 10 tahun dulu kerana sakit tibi. Puncanya sebab dia kuat merokok. Atau barang kali kuat tengok tiwi.. ntah la. Pokoknya, ajal dia sampai awal.

"Aku bukan cakap pasal Wak Jasen tu? Aku cakap pasal Maikel Jacksen tu hah! Ish, ish kau ni.. tak baca suat kabo ka? Satu dunia tahu. Semua orang terkejut bila dia mati,“ jawabnya pantas.

Pokcik terkedu dan terpelongeh.

“Haih, cakap la Maikel Jacksen! Ni dok sebut Wak Jasen, Wak Jasen je. Macamlah Maikel Jacksen tu oang kampung kita.“ Pokcik membebel sambil mencilok sebiji buah moktan, mengopeknya dengan rakus, dan terus menyuap dengan mulut yang terherot-herot.

Tok Lipat hanya tergelak kecil.

Alahaiii...

Wednesday, July 01, 2009

echwan... enwan...


Pokcik sampai di rumah Pak Dolloh sesudah Asar. Orang tua itu sedang berehat di atas tangga. Melayan perasaan agaknya.

"Oii.. ingat sapa tu? Jauh menggelamun. Uhuk, uhuk.“ Sapa pokcik sambil terbatuk-batuk.

"Oh, kamu. Waah, bila balik sini? Lama tak nampak? Miscall2 pun idak.“ Jawabnya sambil tersengih lebar. Tok Lipat hanya tersenyum saja. Maklom la.. dah jadi oang kota. Apa kes dan balik kampung. Tak standard lah. Barangkali itu telahan dalam kepala mereka berdua.

"Uhuks, uhuks, ader... ader... ," jawab pokcik sambil menekan-nekan dada. Menjadi-jadi nampaknya batuk ini. Entah lupa membaca mentera ke atau sengaja nak mencari penyakit agaknya. Maklomlah, sesekali balik kampung. Boleh jadi lupa diri dibuatnya bila mengadap benda tu.

Uhuks, uhuks, uhuks


Batuk semakin menyengat tekak. Pak Dolloh melaung dari bawah menyuruh menantunya buat air cepat-cepat. Takut melarat batuk pokcik, jadi kes nayalah pula.

Budak perempuan muka bulat melompat turun apabila melihat pokcik datang. Bibirnya mengukir senyum. Pokcik juga tersengih dan ingin menyapanya, tapi...

Uhuks, uhuks, uhuks


Adehh... Batuk yang jahat itu menyerang lagi.

"Eee... atuk ni sakit ek? Kena ehcwan enwan (H1N1) tak?“ ujar gadis wajah bulat itu sambil jarinya di tala-tala ke wajah pokcik.

Erks, Apa pula..." Pokcik mencari tenaga untuk menepis kata. Dalam keadaan batuk yang menggila pokcik bersuara.

"Takkkk laaaaa... aaa aattukkk... baa aatukkkk , se se babbbb banyak makan , moktannnnnnn! (rambutan) "

Budak muka bulat itu melekek-lekek ketawa melihat gelagat pokcik.


Pokcik mengerut dahi, mengurut leher. Menjelir-jelir lidah. Tekak terasa semakin perit.

Adehhhh...

Sunday, June 28, 2009

Aman dan damai...

Beberapa hari kebekelangan dan kedepanan ini, pokcik tidak berada di pondok. Pokcik berada di tempat lain yang aman lagi mendamaikan.

Tak lain tak bukan ialah di Kampung Parit Sangap.

Yihaa..!

Monday, June 22, 2009

bapa...

Bayangkan...

Dunia tanpa bapa-bapa yang baik.

Selamat Hari Bapa.

Monday, June 15, 2009

panas...

Memang betullah. Di mana-mana tempat, kedai kopi Ah Seng, suatkabo, radio, tiwi hatta penyanyi Ifa Raziah pun cakap mende yang sama iaitu panas, panas dan panas.

Kalau ada hujan pun sekejap-sekejap je turunnya dan tidak lama lepas itu, suasana kembali panas.

Termasuklah juga di pondok pokcik ni.

Bayangkan... malam-malam pun boleh berpeluh. Mengalahkan oang bersukan sakan. Ish ish.. dah macam sauna la plak rasanya pondok pokcik ni. Tak payah susah-susah ber exercise. Dok je diam-diam. Sat lagi, basahlah baju dek peluh yang mengalir laju. Huh, silap-silap badan pokcik ni boleh slim river dibuatnya.

Adehh... tak tahan dah ni. Ini tak boleh jadi.

Kalau panas yang mendatang, maka panas jugalah yang kita sediakan, yihaaaaaaaaaaaaa.

(Sambil membancuh kopi tongkat ali panas-panas ( dan juga sekut kering)).

Hik hik.

Monday, June 08, 2009

separuh...



Suatu pagi yang sungguh Jumaat ketika di warung Wak Aji, Kg Parit Sangap.

"Cuba perati betul-betul." Tok Lipat meletakkan segelas air masak di hadapan pokcik. Pokcik tenyeh mata sekali, cuba perati dengan perasaan yang tak berapa betul. Dalam hati berguman, Tebiat apa oang tua ni suo aku tengok gelas pagi-pagi limun ni?

"Ramai oang membuat penilaian mereka yang tersendiri. Ada yang melihat gelas ini separuh kosong. Ada juga yang melihat ianya separuh penuh." Tok Lipat mula memperkatakan sesuatu yang amat simbolik sekali.

Pokcik sudah berderau. Apabila teman akrab kamu bercerita akan sesuatu yang sungguh berkias, ini bermakna ia sudah dirasuk permodenan setempat atau saja nak tunjuk terer megulang dialog berdasarkan cerita-cerita drama menarik hati yang ditonton baru-baru ini.

"Cuba kau perhatikan..." Soalnya lagi sambil tersengih sinis. Barangkali ketawakan pokcik yang nampak keliru atau tak mengerti langsung metaforanya.

"Alah, mana lah aku nampak. Air tu putih je.. penuh ka, kosong ka?" Pokcik menenyeh-nenyeh mata lagi. Maklomlah, oang tua... mata pun dah kelabu.

"Taruh la kaler sikit. Bubuh teh tarik ka, kopi O kaw ka? Komdian bila aku dah rasa barulah aku leh komen apa-apa..." Pokcik berkata sambil tersengih-sengih.

Komdian, kami sama-sama ketawa besar. Terbahak-bahak lagi.

Sekurang-kurangnya, hati pokcik sedikit lega. Mujur, Tok Lipat masih insan yang dulu....

Hik hik.

Saturday, June 06, 2009

luruh...


Memang sudah lama tidak hujan. Matahari pula, ceng nye bukan main! Kalau berjalan dibawahnya, maka terasa lekas hendak berlindung. Punyalah panas, hinggakan rumput-runput jadi kering dan gersang. Lihatlah betapa hebatnya ciptaan Tuhan ini.

Di anjung pondok, kerap kali daun-daun kering terserak memenuhi ruang santai pokcik. Kadang pokcik bersihkan, sapu-sapu juga ke bawah. Esok lusa penuh lagi. Hinggakan ada kalanya, pokcik jadi keliru di antara biskut kering dengan daun kering... hik hik.
Dari manalah datangnya daun kering banyak-banyak ni? Pokcik pandang sekeliling melihat pokok-pokok besar yang turut merasa bahang mentari yang terik saban hari.

Daun-daunnya kering, kemudian bertukar warna dan jatuh ke bumi. Ada kalanya ditiup angin yang berpuput-puput lalu terbang dan berserakan di laman pondok pokcik hingga ke atas anjung.

Agak lama juga pokcik memikir.

Barangkali, kawasan pinggiran pondok pokcik ni... nak masuk musim luruh agaknya.

Hik hik

Tuesday, June 02, 2009

benten...

“Buat apa cuti-cuti sekolah ni, Dol?“ soal pokcik tatkala melihat kelibat Dol sedang terjengket-jengket di bawah rumahnya. Entah apalah dimainnya tu?

“Tak ada apa-apalah, tok. Main je,“ jawabnya sambil menghampiri pondok pokcik.

“Ayah tak bawak balik kampung ke? Jalan-jalan makan angin ke? Barulah sedap cuti-cuti sekolah ni,“ ujar pokcik lagi sambil menyuakan sepiring biskut kering.

“Ayah kerja. Tapi minggu depan kata ayah, nak balik kampung.“ Dengan mulut penuh biskut, Dol menjawab.“

“Boleh main-main lagi kat kampung. Seronok!“

Pokcik menggeleng kepala. Kalau dah namanya budak-budak, apalah yang seronok masa cuti-cuti ni selain bermain-main saja. Patutlah sejak dua tiga hari nampak Dol berlari-lari je main polis senteri di pekarangan rumahnya. Kadang-kadang, lewat petang, Mak Limah pun main sama.. hik hik

Agaknya, budak-budak ni tak boring ke?

“Atuk, esok ada kawan buat besday party.“ Tiba-tiba Dol bersuara.

“Hah, elok la tu.. mesti meriah ni. Atuk boleh ikut tak?“ Sengaja pokcik mengusik.

“Boleh, boleh.. Tapi atuk kena pakai baju yang sama dengan kami.“ Ujar Dol lagi sambil mengetip sekeping biskut lagi.

“Pakaian yang sama? Ooo.. macam pakaian beragam gitu ek?“ Pokcik hampir-hampir tergelak. Sekarang ni, buat besday pun ada tema-tema dan pakaian beragam segala. Macam-macam gitu..
"Yer, nanti pokcik pakailah baju melayu pokcik tu. Ada pokcik simpan. Tentu tema kebangsaan kan? Macam nak raya-raya gitu.“ Pokcik semakin seronok mengusik.

Dol mengerutkan dahi.

“Bukan baju melayulah, tok? Kami pakat nak pakai baju „“Ben 10!“ Kalau atuk tak ada baju Ben 10, atuk tak leh ikut.“ Bersungguh Dol berkata.

“Haahhh? Pokcik terkedu dan terkebil-kebil. Apa ke benda nya benten tu?“ Nyaris-nyaris pokcik terkedang mendengar perkataan itu.

Dol tersengih sebelum melompat turun dan menyambung main-mainnya.

Pokcik masih terkedu-kedu.
Alahai budak-budak sekarang ni..

Tuesday, May 26, 2009

jog...


“Oii.. bila nak balik kampung?” Pantas saja suara Tok Lipat menerjahkan soalan sebaik talian telefon diangkat. Memang dah lama pun kami tidak berhubungan.

”Nanti la.. lepak-lepak dulu, sekarang mana boleh pergi merata-rata, nanti kena virus ”echwan enwan” (H1N1)” jawap pokcik sambil berseloroh. Tok Lipat mengekek dihujung talian.

”Eh, mana ada? Kat kampung ni masih selamat lagi. Kalau ada pun demam-deman biasa kena hujan gerimis.” Tingkah Tok Lipat.

”Maih ler balik.. Aku nak ajak kau berjogging ni.” ujarnya tiba-tiba.

”Hah, berjogging?” Pokcik mengerutkan dahi, hampir-hampir tidak percaya. Dalam hati berdetik, orang tua ini yang jarang meninggalkan motor kapcai buruknya untuk kemana-mana, tiba-tiba hendak berjogging pula. Buang tebiat ke apa?

”Kau biar betul, pat? Nak berjalan pun malas, inikan pula nak berjogging. Selalu kalau nak ke mana-mana, kau merempit je. Apa kes nak jogging-jogging ni?” Pokcik semakin kuat menggiat. Tok Lipat ketawa lagi.

”Oii.. ni rempit bukan sebarang rempit tau. Ini rempit berhemah," balas Tok Lipat. Motor buruk honda 60nya, yang tak boleh memecut laju membuatkan tunggangannya kelihat sangat berhemah sekali.

”Apa mimpi ajak aku berjogging ni.” Soal pokcik ingin tau sangat-sangat.

”Tak ada lah, saja nak jaga kesihatan. Dan tua-tua ni kenalah selalu keluarkan peluh. Selain berkebun, berjogging pun merupakan satu riadah juga.” Panjang lebar Tok Lipat memberi hujah. Pokcik sedikit terangguk. Mungkin anaknya yang bekerja di Pejabat kesihatan tu rajin membebel mengingatkan ayahnya supaya kerap mengeluarkan peluh. Baik untuk awet muda.

“Anak aku pun dah belikan seluar jogging dan kasut ni. Ni tinggal tunggu kaulah.. Mana syok jogging soang-soang.” Bersungguh Tok Lipat memujuk. Pokcik tersentak. Wah, orang tua ni. Rupa-rupanya dia sudah bersedia lama.

”Yelah, nanti aku balik kita jogginglah. Kalau tak larat... kita walking-walking je la.. “ Pokcik mengiyakan saja. Kami ketawa lagi.

“Macam nilah bagus. Ada semangat kesihatan. Badan yang keluar peluh buat tubuh jadi segar bugar. Kita mereggang, mengilas, melompat dan macam-macam aktiviti lagi. Uii aku dah tak sabar ni..” Tok Lipat semakin bersemangat. Pokcik hanya tersengih saja. Kalau dah perubahan itu membawa kebaikan, apa salahnya. Sekurang-kurangnya dia akan jadi sihat dan InsyaAllah, panjang umur.

”Lepas-lepas, jogging tu... kita pergi la ke warung simpang tu, pekena teh tarik pula. Roti canai, soang dua keping... kelas gitu...,” Tambah orang tua itu lagi.

”Aaa..!" Tiba-tiba pokcik rasa macam nak pitam saja.

Alahaii.. oang tua ni...

Thursday, May 21, 2009

tagged...


Pokcik tak ingatlah dapat tagged ni dari mana. Apa-apa pun, pokcik jawap lah juga. Sebab, dalam kebanyakan oang yang selalu pokcik jumpa dan menanya-nanya pokcik buat apa bila ada masa lapang? Pokcik jawap la .. melayan tagged. Tak gitu? Hik hik

1.Apakah perkataan pertama sekali anda ucapkan kepada si dia dan kemudian menjadi suami anda.

Tak ada apa-apa , belum terasa lagi nak bersuami sesama jenis ni.. ish ish selisih oooo

2. Sila berikan dua contoh alat-alat atau sumber yang anda gunakan atau lakukan untuk memudahkan kerja anda. Tak kisahlah apa alat atau sumber sekali pun asal boleh diaplikasikan.

a) Membuka pintu rumah atau kereta
–Batu, kayu , tangga ( tak dapat bukak juga, masa ikut bumbung la )

b) Mencucuk plug soket
–Lidi penyapu.. ranting kayu. Oops pondok pokcik mana ada karan da..

c) Simpan air minuman –
-Dalam labu sayong – Wahh klasik gituu hik hik...

d) Ketika blackout
–(Menjerit) waaa… sabun masuk mata dah.. adehh adehh pedihhh..hu huu atau pun… , tulunnnn… tulunnnn…. (ala2 puteri buluh betong dalam pilem Laksamana Do Re Me )

e) Meluahkan rasa hati
–Pada siapa-siapa yang sudi. Tak kisah la sapa-sapa pun.

f) Siang ikan
–Gergaji dan kapak ( uii.. ikan jerung ni.. )

g) Susah hendak buang air besar
–Makan ubat chit kit tee on.. lepas itu tentu ON saja.. hik hik.
Tak pun berlari-lari sambil menekan perut. Untung-untung sampai ke tandas dan time nak keluar.


h) Di mana anda simpankan dokumen penting
–Dalam robok lama....

i) Katakan ribut melanda dan pakaian anda melayang sama, apa yang patut anda tutup bagi mengelak rasa malu
- Plastik kopi tongkat Ali dan Tin biskut – Nak wat cam mana, tu saja yang ada…

j) Apa yang anda guna untuk potong kuku
– Grinding machine kekekek

k) Melihat waktu

–Merenung ke langit selama 2,3 min, kemudian pusing 90 darjah ke kanan. Lepas itu, pusing ke kiri 180 darjah. Kemudian, berpaling ke umah jiran sebelah dan jerit..
“Doll…. Dah pukul berapa dah nii?”

l) Kalau badan terasa panas

–Maknanya, pokcik tengah mandi air panaslah tu. Maklom la.. kadang-kadang mandi di pergi pagi-pagi tu sejukkks. Brr brr

m) Ternampak pencuri
–Segera pokcik miscall2 999. Laporkan jenayah di sekeliling anda. Itu Mazidol Akmal sidek cakap tuu tauuuu.. hik hik

n) Kalau terjumpa duit RM50.00 dalam longkang yang dalam, bagaimana anda ingin mengambilnya
–Carilah longkang tang tak berapa dalam, untung-untung ada RM50 jugak kat situ.. hik hik...

o) Soalan akhir masa tidur apa yang and suka peluk?
Bantal busuk.. kadang-kadang terpeluk Cik Tom.

Tu je la yang dapat pokcik jawab. Maap la.. pokcik memang selamba. Hik hik

Wednesday, May 20, 2009

hadiri...

Oh, hujan...

Akhirnya turun lagi setelah agak lama ia menyepikan diri...

Dan seperti biasa, pokcik pun tertidur-tidur lagi... tatkala ia menghadirkan diri..

Alahaii..

Sunday, May 17, 2009

kawan..


Kata oang ,

Kawan ketawa senang dicari ,
Kawan menangis payah nak jumpa.

Pokcik pula, hendak mencari...

Kawan ketawa yang boleh diajak menangis bersama-sama, saja suka-suka je menangis, tanpa apa-apa sebab, sekadar mengisi masa lapang selain terapi perasaan.

Atau sebaliknya ,

Kawan menangis yang boleh diajak ketawa bersama-sama, saja suka-suka ketawa, tanpa sebab, kuat dan besar punya ketawa. Nak tengok bagaimana wajah kita melakukan dua perkara tersebut dengan serentak. Jangan lepas tu, kita akan kena tangkap masuk ke Tanjung Rambutan dah ler..

Ada ke kawan-kawa macam tu?

hik hik..

Monday, May 11, 2009

link...

Kadang-kadang, geli ketiak pokcik bila memikirkannya. Boleh ketawa mengekek kalau dikenang-kenang. Kalau dah oang tua tu... memang oang tua la jugak.

Dalam melayari dunia maya tanpa sempadan ni, ada sesetengah tempat atau singgahan yang kita suka nak pergi. Blog-blog kawan contohnya, blog selebriti , blog berinfomatif , blog pokcik ni.. hik hik dan macam-macam lagilah. Dan sudah tentu anda akan save link blog tersebut supaya tidak lupa.

Terbalik la pula pada oang tua ini. Pokcik cuma perlu ingat satu atau dua link saja. Contohnya blog si Sood, yang mana dalamnya ada link2 blog yang pokcik suka pergi. So setiap kali nak pergi situ, pokcik gi laa blog si Sood tu.

Bukan tak reti save atau tulis di mana-mana, tapi entahlah... pokcik selesa dengan cara lama. Cara oang tua-tua yang kureng IT nye.. hik hik

Dan kalau anda seme perasan pokcik kerap mengunjungi blog anda, jangan pula ingat lain. Kadang-kadang ia tidak bermaksud begitu.. sementelaah atas sebab-sebab di atas lah juga hik hik . Ah, janganlah kecut hati, sekali sekali pokcik singgah juga dengan niat singgah semata-mata.

Gitu la ek didikannya, sebab seingat pokcik dulu-dulu arwah mak kata, kalau tak penting nak membeli barang-barang tu, tak usahlah beli. Buat menyemakkan umah saja. Pokcik ikut benor cakap mak tu. Hingga terbawa-bawa di alam maya ini ( kunun link banyak-banyak akan menyempitkan pondok pokcik ni.

Alahaii...

Nota cagu:










Gambar hiasan :
Close-up Cik Mon, teman Halia yang sedikit groovy.

Wednesday, May 06, 2009

puja..

Agak-agaknya lah..

Berapa lama kita habiskan masa hidup kita dengan memuja dan mengidolakan orang lain? Sedari kita kecil , remaja hinggalah dewasa, komdian menjadi tua hingga ke warga emas. Keterujaan itu menjadi ralit jadinya hingga kita selalu melebihkan orang lain selain diri kita sendiri. Tak kiralah sama ada orang itu wujud atau sekadar ketaksuban kita semata-mata.

Dan berapa lamakan kita baru nak tersedar?

Sehari? Seminggu? Setahun? Seplo tahun? Patplo tahun?

Dan masa yang terbazir begitu saja... bagaimana hendak diraih kembali?

Pokcik baru terfikirkannya hari ini...

Alahaiii...

Tuesday, May 05, 2009

peket...



Malam semakin larut. Pokcik agak susah hendak tidur. Walaupun tubuh sudah berada di kamar radu, namun katupan-katupan dua biji mata hanya mengundang rasa pedih saja sedangkah ghairah semayam masih tidak kunjung tiba.

Apalah pokcik nak buat ni?“ Omel pokcik sambil mengadap siling pondok yang sudah pongah. Mengesot ke kanan dan kiri pun tidak menjadikan lena.

Tiba-tiba pokcik teringat satu kaedah memudahkan tidur iaitu kaedah mengira mengira kambing biri-biri secara imiginasi. Maka dengan sedaya upaya serta konfidennya, pokcik pejamkan mata, mula membayangkannya... dan mula mengira.. sepeket, dua peket, tiga peket ..

Oh, pokcik telah mengubahnya kepada peket-peket kopi tongkat Ali. Lebih serasi agaknya dengan yang itu.

Malam semakin larut.. Mata masih terkebil-kebil

Seribu dopla peket
Seribu doplo satu peket
Seribu doplo dua peket.

Malam yang larut menjejak ke dinihari. Kelopak mata semakin menguyu. Suara sudah jadi perlahan.

Patlo ribu satu peket
Patlo ribu dua peket
Patplo ribu tiga peket.

Meoww....

Tiba-tiba , Cik Tom menerjah turun dari palang pondok menyebabkan pokcik terperanjat katak.

Ish.. ko ni buat terperanjat aku je la.. Pokcik membebel.

Meow... Cik Tom menjawab manja sebelum berlabuh tidur di hujung kaki pokcik.

Hah? Sampai mana dah aku kira ni? Sampai mana?.. Waaa... kena buat balik lah jawapnya ni.. Pokcik mendengus dalam hati.

Satu peket
Dua peket..
Tii...

Zzzzz
Zzzz

Hik hik

Monday, May 04, 2009

cepat...


Pokcik sedang duduk di anjung pondok sambil membelek-belek beberapa buah buku yang pokcik sempat boli ( atau lebih tepatnya... mampubeli) di pesta buku antarabangsa tempoh hari.

“Oh, cepatnya masa berlalu.“ Terdetik dalam fikiran pokcik. Memang hakikatnya, betapa masa itu sungguh cepat pergi. Sedar-sedar saja , sudah beberapa hari pesta itu ditinggalkan.

Lantas, tangan pokcik mengambil sebuah buku yang dah lama pokcik teringin nak cari dan akhirnya ketemu jua.


Terkebil-kebil pokcik menatap buku yang bertulis “Panduan menjadi kaya dah hidup senang „“ itu tanpa jemu dengan impian dan semangat yang menggebu-gebu.

“Oh, lambatnya masa berlalu...“

Entah kenapa, tiba-tiba hanya keluhan saja yang keluar.

Alahaii...

Nota cagu :

Gambar hiasan , Cik Mon ekor panjang , teman baru Haliaaaa...