Wednesday, February 25, 2009

Diari sang hujan...



Hujan kini begitu murah sekali turunnya saban hari, Dari petang membawa ke pagi terus ke dinihari. Bersemangat sungguh pokcik menikmatinya berteman sekut kering dan kopi tongkat Ali.

Sekurangnya dingin jugalah tidur pokcik setelah penat bersantai, membuang letih lesu tubuh badan dan celaru fikiran ini.

Agak berselera gitu dengkur-dengkurnya bersama bantal busuk serta selimut kusam yang menutup seluruh tubuh tua ini sambil di temani….

mimpi-mimpi basah...

Hik hik

Nota cagu :


Korang memang nakal kalau mengingatkan maksud yang lain mengenai mimpi basah tersebut. Tidak bolehkan anda menganggap yang pondok pokcik bocor dan air menitis di atas kepala sewaktu tengah tidur menyebabkan semua mimpi-mimpi pokcik basah semua.. gegegege

Monday, February 23, 2009

Luka ini separa pedihnya...

Hujan yang turun gerimis membasah bumi di petang Ahad membuatkan pokcik jadi rindu pada saat santai yang begini-begini. Sambil menghirup, sambil menitip biskut kering di tangan, ingatan itu bagai di bawa-bawa pergi.

Tinggallah kasih tinggallah dewi
Aku pergi berputih hati
Kalau orang tuamu enggan memberi
Apakan aku harus menanti...

Dan momen-momen itu bagaikan seribu sembilu yang menyucuk tangkai hati. Merobek kembali parut luka lama yang masih hangat terasa.

Cerita lama itu seperti semalam berlalunya. Pokcik merenung jauh ke dalam titis hujan, seolah-olah nampak seorang jejaka yang basah lencun meredahnya, yang patah hati, kerana cinta. Kadang-kadang mengalir si air mata bersama pedih pilu yang sungguh menyakitkan.

Adehh...!

Waa.. tergigit jari la pulak.

Ish, ish, tuuu la padohnya, kalau makan sekut sambil menggelamun.

Alahaii...

Thursday, February 19, 2009

Rindu ini sederhana pilu...

Terima kasih si daun keladi kepada sesiapa yang sudi mengunjungi pondok ini. Juga pada insan-insan suci yang sudi menitip khabar di angin lalu.

Yang dekat , berkirim jalan
Yang jauh , berkirim salam..
Yang ingat , berkirim sapaan
Yang lupa , berkirim ingatan

Yang bersua, ber 'ngeteh-ngeteh'an

Kadang-kadang, dalam hati ini berkobar-kobar hendak menulis, tapi siapa tahu bilamana perasaan ni naik dan turun sesuka hati dan akhirnya mati begitu saja.

Pokcik terdera oleh rindu yang membalun pilu.

Alahaii...

Thursday, February 12, 2009

sebabak...

Di satu remang senja, di tepi jeti yang merah mentarinya, dalam drama sebabak sewaktu lena diawal pagi.

Pokcik : Kenapa tak makan mee jawa tu? Sedap pe?

Mamaih : Hmm tak de selera la ( sambil berpaling mengadap laut)

Pokcik : Alahaii. Janganlah cam tu. Makanlah walau sikit pun. Kalau tak cukup, leh order lagi. Nanti kalau awak tak makan, siapa yang susah? Saya juga...

Mamaih : Oh, begitu ke? Wah, perihatinnya awak. Tak sangka gitu. Awak ambil berat tentang diri saya? Sooo gentle.

Pokcik : Eh, bukan cam tu..

Mamaih : Hah? Habis tu?.

Pokcik : Yo la, kalau awak tak makan, saya juga yang kena makankan. Lepas tu, kalu dah makan banyak-banyak, meragam pulak perut ni. Komdian, semua penyakit datang bertandang. Saya juga yang susah lepas tu..

Mamaih : Argkhss…, benci nyerrr.. ( sembil hentak-hentak kaki dan berlari lalu terjun ke laut) Debushhh!!!

Pokcik : Mamaihhhh….! Ohhhh tidakkkkkkkkkkk…..


*plop*

Dan mimpi itu begitu-begitu saja perginya.. hik hik

sebegini...

Pokcik menarik balik niat hati hendak membubarkan pondok ini.

Kerana, inilah saja harta yang pokcik ada.

Tanpanya, pokcik akan jadi lebih gawat

Hik hik

Tuesday, February 10, 2009

sebegitu...

Sebagaimana pokcik sekarang ni begitu malas hendak membaca.

Sebegitu jugalah pokcik malas hendak menulis jua.

Terasa hendak “BUBAR” saja pondok ini.

Hik hik

Thursday, February 05, 2009

Limau Manet...

Diserang rasa bersalah yang teramat-amat, Ah Seng mengagau ke belakang kedai. Tidak sampai seminit dia kembali dengan sebakul limau lalu di berikan kepada pokcik.

”Ambik la, ini limau.. manet punya ( manis punya). Angkat semua.” Bersungguh tauke kedai kopi itu menyua. Barangkali juga kerana tak tahan mendengor pokcik membebel akan limau-limau yang diberinya sebelum raya cina dulu masam semuanya.

“Hiyaa, banyak sangat ni.” Pokcik cuba bersantun.

“Tala apa la, pocii kasi angkat makan la.” Ah seng beriya memujuk. Pokcik jadi tak berdaya dan akhirnya ambik la juga limau-limau yang nampak pelik tu.

Maklom la, zaman pokcik dulu, mana ada limau-limau yang sebesar bola ping pong tu. Semenya saiz besor2. Limau ni, lain pesen pulak, kiut-kiut saiznya.

Rasanya , mak uii.. manis sungguh. Berperisa bila dikunyah, biji pun tiada, kira sedap sungguhlah limau yang kiut-kiut ni. Ntah la, pokcik pun tak tau limau apa. Kata Ah Seng, limau tangerine. Yo la tu..

Berselera sungguh pokcik makan waktu santai-santai petang tu. Kadang-kadang pokcik terkekeh ketawa sendirian.

“Agaknya, kalau nak kena kencing manis, tak payah makan gula. Makan limau ni pun dah cukup…” Pokcik tergelak lagi sambil mengopek limau yang ke doplo.

Alahaiii…

Tuesday, February 03, 2009

Makna...


”Kita bekot ( sebut beyy kot ) saja kuih Nek Som tu!” Berapi benor suara nek Salemah awal pagi itu. Pokcik dengan Tok Lipat yang dipaksa datang mendengar luahan perasaannya di muka tangga hanya termanggu-manggu saja. Perkataan bekot waktu tu amat asing sekali. Entah dari manalah Nek Salemeh dapat perkataan tu. Macam tinggi saja bahasanya.

“Mana boleh jadi. Oang seme jual karipap satu sen, dia jual sampai dua sen sebiji. Huh, cekik darah!” Semakin menyirap darah Nek Salemah pada Nek Som yang berniaga kuih-muih di hadapan sekolah. Maklomlah, waktu itu semua oang susah, duit pun tak banyak. Kalau dah bahan makanan mahal begitu, mana oang mampu nak beli. Orang tua tu, suka-suka je letak harga tinggi.

“Kalau gitu, kau beli je la kat tempat lain,” Tok Lipat menbuat cadang sambil menyonyot gula-gula batang. Oh, untuk pengetahuan semua, waktu itu kami berdua masih muda remaja dan tiada masalah yang melanda di jiwa. Hati kami riang ria saja setiap masa. Berbasikal ke mana saja bagai dunia kami yang punya, yihaa.. Cuma Nek Salemah jek yang kepoh sedikit di zaman mudanya hik hik.

“Memanglah boleh beli di tempat lain, tapi aku tetap tak puas hati.” Marah Nek Salemah masih belum reda. Pokcik berkira-kira hendak beredar. Mendengar oang pompuan bercelotah di awal pagi memang tak bagus untuk keremajaan kami. Dan lagi, bakal menghilangkan mood ceria gitu. Basikal sudah dihala keluar dari muka tangga. Tok Lipat menebak jambulnya.


"Kami terpaksa pergi la. Ada hal... " Pokcik mencari helah sambil mula menolak basikal.

“Ni, korang jangan lupa tau.. Kita bekot kuih Nek Som tu, bekottttttt ! “ Sempat lagi Nek Salemah menceceh sebelum berdesup kami mengayuh pergi.

Lama betul pokcik tak dengar istilah tu. Cuma sejak akhir-akhir ini baru menjelma kembali. Tapi pokcik kurang pasti pula adakah ia benda yang sama. Kalau iya, maka istilah yang baru ni nampak lebih sedap pula bunyinya daripada yang Nek Salemah sebut 40 tahun dulu. Dan rasanya, barulah pokcik faham apa maknya. ( walau pun Nek Som tu sudah lama tiada… )

Ya, kita musti BOIKOTTTTT kuih diaaa…!

Alahaii…