Monday, October 10, 2011

Nostalgia Dol Leman

http://www.youtube.com/watch?v=cV-k_Zipcng&feature=related

Wednesday, October 05, 2011

Pokcik mahu...

Pokcik berkira-kira mahu menukar corak dalam blog ini kepada yang lain, yang lebih moden, ceria dan trendy. Kotemporari pun boleh, klasik nasional lagilah pokcik suka.

Tapi, memandangkan sudah berkurun lama pokcik tidak menukarnya, maka pokcik sudah lupalah pula bagaimana caranya. Barangkali corak baru yang ada pun sudah macam-macam warnanya. Semakin mudah dan mesra klik-klik. Teknologi oh teknologi.. sungguh pantas kau berlari merentas zaman IT.

Dan orang tua ini... menjadi reput dalam kemelut mengejarnya..

hik hik

Thursday, September 29, 2011

Orang tua dan Syawal...

Maka, berakhirlah sudah bulan Syawal yang penuh ceria dan penuh kegembiraan. Sebulan lamanya kita menyambutkan dengan semangat ukhwah penuh di dada selain makanan-makanan penuh di perut juga. Letihlah kita kunjung mengunjungi ke serata rumah untuk bermohon maaf. Jenuhlah kita berkejaran ke sana ke mari memenuhi undangan jamuan rumah terbuka, teman-teman mahupun saudara mara termasuk di tempat kerja dan anjuran parti politik juga. Maklomlah oang kita ni , budayanya istimewanya sedikit. Pada hal yang baik-baik, suka benarlah kita memanjang-manjangkannya. Termasuklah hal raya-raya dan makan-makan ini. Memang kita tidak mampu menolaknya, apatah lagi negara kita memang negara “mewahmakan” lah juga.

Banyak makan membuatkan pokcik jadi letih dan lesu sebenarnya, walaupun masa makan tu tenaga sungguh berkobar-kobar. Sekarang ni, bukan boleh terlebih makan. Asal makan saja sakit, asal makan saja sakit, asal sakit saja makan.. Gitulah pusing-pusingnya sama juga.

Kalau kamu perasan tahun ni , entah kenapa pokcik jadi malas pada semua aktiviti maya. Di tambah dgn keadaan diri yg tidak berapa sihat. Maklomlah, dah tua-tua begini, banyak penyakit dah mulai hinggap. Yang paling ketara ialah sakit sendiri (Gout). Sejak beberapa bulan lalu penyakit ini kerap menyerang. Selalu bisa-bisa kaki dan kadang-kadang bengkak hingga sukar hendak jalan. Terutama di waktu sejuk, bila hujan atau dalam bilik berhawa dingin, mulalah rasa nyut-nyut itu terasa. Badan pun rasa lemah saja. Nak mengadap computer pun tak berdaya. Menulis pun dah lama berhenti sejak mula puasa hari itu.

Dengan sebab sakit yg ketara inilah, pokcik jadi malas. Walau tiada kaitan dengan sakit kaki dengan tangan ( untuk menaip-naip) tapi bila dan selalu sakit jadi tak selesa pula. Badan tak sihat. Fikiran jadi tidak cergas. Termangu-mangu saja jadinya. Paling tidak, tidur saja.

Domkianlah apa yang ada di fikiran dan dirasai. Di harap kalian semua tidaklah berkecil hati dengan keadaan pokcik ni yang seakan-akan melupa. Perjalanan masa memang banyak menggugah kederat dan stamina. Dan tubuh tua ini kalah dengan dugaan yang menimpa. Reput di mamah masa penghujung usia.

Ya lah, kita ini makin lama makin tua. Bila melihat kembali apa yang sudah dicapai setakat ini, baik amalan atau harta dunia, terasa ngeri pula. Sayangkan kita tidak merencana hidup dengan sebaik-baiknya. Sekarang ini ler baru pokcik terasa hendak memikir-memikir balik, muhasabbah diri, fikir tentang masa depan. Apalah nak jadi lepas ni?

Meman tidak terjangkau difikiran. Apa yang pokcik boleh fikirkan sekarang dan berharap ialah hendak menjaga kesihatan sebaik mungkin, mengurangkan aktiviti sia-sia dan memantapkan ilmu agama. Ya lah, dah tua-tua begini, terasa amat dekat sekali ke negeri abadi. Semoga di permudahkan oleh Allah gitu

Tuesday, September 13, 2011

Seorang tua dan hari raya...

Eh, sedar-sedar sudah masuk Syawal ke 16 rupanya. Bermakna sudah setengah bulan kita menyambut raya. Isy isy cepat sungguh masa berlalu. Sangat cepat…

Belum sempat pokcik mengucapkan kedatangan Syawal nan syahdu dan gumbira, tup-tup sudah sampai ke pertengahan beredarnya. Ya lah, rasanya kalian semula tentu sekali sudah merasai kehadiran Syawal yang ditunggu-tunggu, hari kemenangan sekalian umat islam yg berjaya mengharungi lapar dan dahaga. Kini masanya untuk bergembira, bermaaf-maafan, saling kunjung- mengunjungi sesama sahabat dan taulan. Daripada di kampung sampailah di kota, tradisi ini masih diteruskan lagi terutama pada hujung minggu.

Maafkan pokcik kerana lama menyepi. Adapun sejak awal tahun ini kesihatan diri tidak berapa mengizinkan untuk pokcik berlebih-lebih untuk mengarang cerita hatta bertanya khabar semua. Pokcik lebih banyak menguruskan hal diri sendiri. Ya lah, hal orang-orang tua gitu. Memang leceh dan rencah gitu. Kadang-kadang berulang cerita yang sama. Kelak anda semua akan bosan membacanya.

Kemeriahan raya, di sambut seperti biasa. Mujurlah ada Kampung Parit Sangap yg masih sudi menerima. Ada rumah kawan-kawan menumpang ceria selain menjamu selera. Raya bagi orang-orang macam pokcik ni adalah nostalgia gitu. Kami tidak tahu apa yg ada di depan. Memikirkannya sangat-sangat membuat hati jadi getar dan ngeri. Justeru, cerita kami adalah terkebelakang-belakang saja. Kisah masa kecil-kecil, kisah masa remaja, kemudian jadi remaja tua dan betul-betul tua jua. Suka duka bersilih ganti selain mengukur perjalanan kehidupan dan pencapaian-pencapaian yang telah diraih. Penghabisnya adalah cerita yg hakikat menuju negeri abadi.

Sebelum terlewat, selamat menyambut syawal. Teruskan beraya dengan ceria dah gumbira.

Thursday, August 04, 2011

Cabaran Ramadan...


Entah kenapa semalam sewaktu pokcik sedang terduduk kematu sambil memegang kepala lutut yg melenguh, sambil mengetuk-ngetuk rasa semut-semut yang menjalar di setiap urat kaki, tiba-tiba saja pokcik teringat kembali zaman kanak-kanak 50 tahun yang lalu. Sewaktu berterawih, adalah seorang tua ini, Wak Majid namanya yang sudah agak tua dan amat perlahan jalannya. Pokcik sering memerhatiknya bersembahyang. Maklomlah, kanak-kanak tentunya berada di saf paling belakang.

Wak Majid barangkali ada masalah dengan lutut dan kaki. Pergerakannya menyaingi Iman serta jemaah lain sering terganggu bila dia sukar untuk bangun setiap kali mula rakaat yang baru. Sembahyang terawih dan witir yang dibuat 23 rakaat itu terasa membebankan. Namun dia tetap berusaha untuk buat apa yang terbaik.

Jadi, gelagatnya yang kadang-kadang tergigil-gigil untuk bangkit, sering memegang kepala lutut dan terpaut-paut tingkap untuk bangun membuatkan kami sering kali tersenyum dan kadang-kadang ketawa melihatnya.

Kini setelah 50 tahun berlalu, bila pokcik sendiri mengalami keadaan tersebut ( walaupun tidak sekritikal Wak Majid yang dah lama arwah ), barulah terasa akan susah siksanya bila mengalami sakit-sakit sendi yang mengiggit-giggit setiap kali hendak berterawih. Rasa mencucuk-cucuk dan lenguh yang teramat terutama di tempurung lutut dan urat. Kepala lutut terasa longgar hingga mahu tertonggeng rasanya setiap kali berdiri lama.

Tidak mengapalah, dugaan berpuasa tiap-tiap tahun selain berlapar dan dahaga turut mencakupi kesihatan diri juga.

Apabila kita kecil, semangat berpuasa tidak berapa mantap walaupun kemampuan ada. Kita selalu malas-malas dan selalu ponteng puasa. Time raya pula bukan main seronok.

Bila dah tua, semangat berpuasa semakin matang dan mantap. Malangnya kemampuan pula sering mengugah dengan kesihatan yang tidak menentu.

Semoga Ramadan ini tidak menjadi Ramadan yang terakhir gitu.

Tuesday, August 02, 2011

Selamat Menyambut Ramadan

Selamat menyambut Ramadan Al Mubarak buat sekalian umat islam di seluruh dunia.

Semoga kedatangan bulan yang mulia ini akan menyemarakkan lagi semangat kita untuk membuat amal ibadah selain berlapar dahaga di siang hari. Bulan yang penuh dengan keberkatan serta limpah rahmat dari Allah.

Monday, July 18, 2011

Ariya Di Kota Silsila

Buku terbaharu dari pokcik. Yippa!




Ariya Di Kota Silsila
Mersik Romoyu
RM 14.00
ISBN: 978-967-0184-56-2
~240 hlm
Bahasa Melayu


Keriangan Ariya untuk pulang ke kampung bertemu datuknya sempena cuti sekolah terhenti apabila mendengar berita datuknya telah hilang. Keajaiban berlaku apabila pencarian datuknya itu telah mencampakkan dia ke satu dimensi dunia yang berbeza. Lebih mengejutkan lagi dunia yang asing itu adalah sama seperti cerita-cerita fantasi yang pernah diceritakan oleh datuknya sewaktu dia masih kecil.

Pertemuan Ariya dengan Pak Awara telah merungkaikan persoalan kehilangan datuknya di kampung. Kini dia baru mengetahui bahawa datuknya terperangkap di dunia fantasi itu kerana menjadi tahanan Raja Kota Silsila yang baru.

Hasil pertemuan rahsia Ariya dan datuknya di penjara istana, telah membawa kepada satu perancangan pemberontakan di mana Ariya diberi amanah untuk membawa bantuan daripada Hungga, Kaum Yug-yug dan Judai. Namun perancangan ini telah diketahui oleh ahli sihir Raja Silsila iaitu Karona.

Dapatkah Ariya melaksanakan amanah itu hingga berjaya? Mampukah dia mengekang ancaman-ancaman daripada ahli sihir Raja Silsila yang terkenal dengan kezalimannya itu? Satu pertempuran dahsyat bakal berlaku di Kota Silsila...

Sunday, June 26, 2011

Pesta Buku Selangor 2011

Sedang berlangsung dengan meriahnya. Ayuh kita ke sana. Yippa!





Thursday, June 23, 2011

Mencari Tuhan...


Berpuluh tahun dahulu, semasa pokcik mula mengenali Ustaz Ismail Kamus yang memberi ceramah di mesjid kawasan pekan pokcik sewaktu satu majlis Maulidur Rasul, pokcik jadi teruja dan bersemangat gitu. Dari jauh pokcik mengayuh basikal hingga ke pekan semata-mata hendak mendengar ceramah. Memang tidak menghampakan. Pokcik jadi senang dengan penceramah itu yang pandai menarik minat sekalian jemaah untuk menghayati setiap perkataannya.

Malangnya selepas dari itu memang susah untuk mencari rakaman ceramah-ceramahnya yang lain, ditambah lagi dengan keadaan kampong pokcik yang jauh dari bandar. Namun pokcik tetap ingat akan nama penceramah itu.

Maklumlah, dalam zaman pokcik dulu, mendengar ceramah atau hal-hal agama amat terhad sekali. Hanya berlaku di surau-surau atau majlis-majlis tertentu saja. Itu pun dari imam-iman tua yang berceramah mendatar saja, kadang-kadang ternyanyah seketika dan sesekali menguap pula. Yalah, zaman itu orang tak ada radio dan tiwi. Zaman terpinggir, jauh dari pembangunan. Segala aspek keagamaan hanyalah imam tua dan surau saja.

Sekarang ini, dalam zaman komunikasi yang serba canggih, tiap-tiap hari kita dapat mendengar orang berbicara tentang agama, baik di corong radio, kaca tiwi hampir setiap hari, siang ataupun malam. Dan orang yang pandai agama pun semakin ramai. Masing-masing mengajak manusia untuk kembali kepada Tuhan pencipta seluruh alam.

Zaman ini segala-galanya amat mudah. Buka saja internet dan di tuib kamu (Youtube) sudah ada rakaman ceramah beberap orang ahli pandai agama nya dalam berbagai-bagai bab dah hal. Baik di dalam negara atau di luar negara. Begitu juga dengan semua aspek ilmu agama termasuk hal pentadbiran, kewangan, kemasyarakatan, bahasa serta kitab-kitab yang telah disalin secara digital. Kita boleh cari apa yang kita tahu dan dengan cepat sekali. Sungguh mudah!

Inilah yang dikatakan teknologi yang membantu. Salah satu daripada sisi teknologi yang membantu manusia untuk lebih mencintai Tuhan.

Walau bagaimana pun, dalam beberapa ketika kita perlu belajar secara berguru juga. Belajar mengaji misalnya, belajar fardu-fardu ain yang praktikal di mesjid-mesjid, belajar kapan mayat, belajar mengerjakan fardu haji dan sebagainya.

Sayangnya, ada juga sebahagian manusia yang tidak mahu mengambil manfaat dari teknologi yang ada untuk kerja-kerja kebaikan serta menambah iman dalam dada.

Semakin canggih teknologi, semakin jauh hatinya dari mengingati ALLAH.

Semoga kita semua sentiasa dilorongkan hati melangkah ke jalan yang lurus dan diredai.


Amin

Tuesday, June 21, 2011

Oh!

Eh, dah lama betul pokcik tak update blog ek?

Isy, isy, tak perasan pulak.

Hik hik

Monday, May 16, 2011

Dimamah usia...

Ah, kadang-kadang pokcik ni bolehlah diibaratkan sebagai oang tua yang sangat sombong. Apabila Tuhan member sedikit kudrat, usaha dan lebihan memori zaman lampau namun tidak mahu dikongsi bersama. Tidak mahu bercerita-ceriti berkongsi pengalaman walau sekadar liburan kosong. Semuanya disimpan sendiri bagai mahu dibawa mati

Ah, barangkali kini pokcik memang begitu-begitu sifatnya.

Ya, pokcik sedar sudah lama pokcik tidak bercerita. Rasa rajinnya sudah tidak segah dulu. Rasa memanggil-manggil idea pun tidak sekencang dulu. Kini hidup pokcik lebih diisi dengan bayangan serta layar-layar kehidupan yang kadangkala pegun lama.

Tahun ini keadaan kesihatan pokcik agak kerap terganggu. Selalu juga tubuh ini dan organ-organ penting di dalamnya lari rentak. Kadang terasa berat menghimpit-himpit dada, kadang berdenyut-denyut bisa di sendi-sendi utama. Belum lagi kerengsaan urat dan nadi yang menjalar dari tengkuk, leher hingga ke kaki. Kepala lutut yang longgar juga sering berbunyi. Pendek kata, sistem tubuh luar dan dalam diri tua ini sudah agak merencam.

Itulah kadang-kadang membuatkan pokcik lebih banyak termenung dan memikir. Hinggakan rasa untuk menulis dan tulisan yang zahir tidak begitu ikhlas hasilnya. Ya, dulu pokcik memang suka bercerita itu ini, kisah zaman muda, kisah kampong halaman, teman-teman lama dan harapan. Dalam erti kata yang kurang manis, nampaknya pokcik kini terlalu pentingkan diri sendiri gitu..

Kini segala-galanya sudah agak tawar bagi diri pokcik. Kemashlatan diri terlalu mendera hingga pokcik tidak peduli apa. Pondok buruk ini dibiarkan usang tanpa catitan. Hari-hari yang berlalu juga sunyi tanpa gurauan dan usikan.

Hakikatnya, tiada apa yang lebih berharga bagi si tua ini selain kesihatan yang baik serta minda yang bebas dari belenggu kenyanyukan. Sayangkan dalam usia yang semakin pikun ini segala yang diharapkan umpama mimpi di siang hari. Tubuh ini sudah goyah di makan zaman. Fikiran ini sudah singkat di makan keadaan.

Dari itu pokcik minta ampun banyak-banyak kalau sejak kebelakangan ini pokcik jarang bercerita.

Juga, pokcik mohon di doakan ( selain berdoa pada Tuhan) supaya diberi sedikit kesihatan dan sedikit ruang untuk pokcik berbicara sebelum segala nikmat yang ada berlalu pergi.

Amin

Friday, April 22, 2011

Pesta Buku Antarabangsa 2011

Ia sudah bermula.

Datang jangan tak datang, datang jangan tak datang, datang jangan tak datang.. ( sila ulang2 membacanya hingga anda datang ke pesta buku tersebut... hik hik )

Yippa!

Tuesday, March 29, 2011

Zaman malas


  • Zaman pokcik dulu-dululah, awal-awal 80an, kalau kita mintak kerja di tapak-tapak pembinaan, jarang sekali yang tak dapat kerja. Dengan syarat kita rajin dah mahu belajar. Kemudian sabar ikut orang sana, orang sini buat kerja yang berlainan. Cuma waktu itu gajinya sangatlah kecik, dalam 7,8 ringgit sehari. Sebab itulah orang tak sanggup. Kerja kasar, gaji ciput. Namun ada juga orang yang terus kerja.


  • 30 tahun berlalu apabila sektor-sektor pembinaan naik mencanak-canak di serata negara. Bangunan-bangunan baru mencakar langit mula didirikan. Ramai tenaga di perlukan. Apabila buruh tempatan semakin bekurangan maka terpaksalah diimport buruh-buruh dari Indon, Bangladesh, Mynmar, India dan lain-lain lagi. Beberapa orang pekerja di tapak-tapak peminaan yang pokcik temui dan ramahi, rata-rata di antara mereka boleh dapat gaji yang cukup lumayan. Bayangkanlah dalam sehari kerja mereka boleh mendapat hampir RM 100, termasuk duit minyak ( kalau berkenderaan ) dan juga duit makan. Kalau mereka bekerja di bawah tauke kontraktor kecil, ubahsuai rumah dan sebagainya, lagilah mahal gaji akan diberi bergantung kepada kepakaran mereka.


  • Patutlah orang-orang asing ini jadi mewah apabila datang ke sini. Kerja bagai cendawan di musim hujan Tak pernah yang tiada. Apabila orang kita menjadi semakin malas, mereka tetap konsisten dengan sikap rajin dan merendah diri. Orang kita memang kadang-kadang tu pemalas. Setakat uruskan hal sendiri yang senang-senang pun malas. Nak basuh kereta, kemas rumah, cuci tandas hinggakan nak cabut rumput sekangkang kerja depan rumah pun upah orang. Sedangkan orang asing sudah mula menguasai sektor-sektor cuci tandas, dapur masak restoren, pertanian, perladangan, ternakan dan lain-lain lagi.


  • Maklomlah, kita nak jadi orang besar, nak tingkatkan hidup, tak mahulah kerja-kerja yang memenatkan ni. Bila orang kita tiada kelayakan dan tak berapa pandai, tak mahu pula meniaga, kerja kontrak atau apa saja. Balik-balik harap subsidi je. Kadang-kadang kasihan tengok muda-mudi sekarang yang khayal dan alpa dengan nikmat dunia. Nikmat negara kita yang permai dan mewah ini.


  • Kalau kita keluarga mampu, apa salahnya. Memang duit boleh membeli segala-galanya di dunia ini. Itu yang kebanyakan orang fikirkan. Namun dalam hati pokcik terselit perasaan risau. Ini bukan hendak cerita kisah esok lusa. Ini kisah berpuluh-puluh tahun akan datang zaman anak cucu dan cicit kita nanti. Dan orang-orang asing ini tak mustahil akan datang menjadi pakar dalam bidang mereka dan menjadi boss pula. Kita pula yang terhegeh-hegeh mengemis kerja. Kita akan jadi kuli pada mereka pula. Dan mereka pun ada hati hendak jadi rakyat kita sebab sudah duduk dalam negara lama.


  • Sekali lagi, konflik sewaktu kemerdekaan dahulu berulang kembali.


  • Jadi, sebelum mimpi ngeri jadi lebih ngeri dan masalah besar bakal melanda, eloklah kita melihat kembali senario hari ini. Rajin-rajinlah memikirkan masa depan dalam skop yang lebih jauh. Kalau mampu kita buat sesuatu, kita buatlah apa yang terdaya. Memang kita kadang tidak punya suara dalam kerajaan tapi kita boleh naikkan taraf hidup kita sendiri selain memberi kesedaran tentang jati diri.


  • Ini negara kita, tanah tumpah darah kita. Jangan pula suatu hari nanti kita jadi hamba di tanah sendiri.

Tuesday, March 22, 2011

Bumi yang indah...

Sejak seminggu yang lalu, pokcik merasa cuaca akan panas hingga ke petang, rupa-rupanya, hujan di tengah hari pula. Bahkan bukan setakat tengah hari, pagi, petang dan juga malam pun turun hujan juga. Dan bumi kembali basah dicurah nikmat Tuhan.

Kadang pokcik tertanya-tanya juga, adakah hujan yang kembali ini berpunca dari kejadian gempa yang melanda negara matahari terbit baru-baru ini? Ataupun sememangnya, fenomena alam yang asal sudah berkalih sistemnya menjadi tidak menentu? Hujan dan panas menjadi tidak tentu musim? Ataupun, dunia secara amnya sudah kucar-kacir aktivitinya hingga mengubah hawa dan iklim semulajadi?

Entahlah, barangkali ada benarnya juga fikiran pokcik ini. Almaklomlah, kita ini jarang hendak mendengar hal-hal yang berkaitan dengan alam, kajian-kajian geografi, awan, gunung, sungai serta ais. Hendak tengok tiwi pun lebih suka akan hiburan dari rancangan berinformatif. Lagipun, benda ini jarang sekali ditekankan kecuali orang-orang yang kerja di bidang tersebut.

Barangkali dunia sudah semakin rapuh. Sebab itu banyak kejadian gempa dan tsunami kerap melanda di bahagian-bahagian tertentu dunia. Itu belum termasuk hal manusia sendiri yang kian panas, bertengkar, memberontak, berperang dan sebagainya.

Pokcik teringat kata-kata dari seorang penulis barat iaitu Earnest Hemmingway ,

Katanya, "Dunia adalah tempat yang indah untuk diduduki, dan berbaloi kita untuk merebutnya."

Pokcik hanya setuju pada ayat pertama saja, kerana dunia ini kalau dikejar bagaimana pun tetap tidak akan puas selagi bernama manusia.


Akhirat jualah yang kekal buat selama-selama.

Alahaiii…

Tuesday, March 15, 2011

Ayat-ayat dari Tuhan.


Zaman-zaman pokcik mengenal mengaji dan mukadam, zaman-zaman itulah pokcik mengenal Mak Seha. Berteman lampu cemeni yang malap-malap dan kadang-kadang lilin, pokcik dan beberapa orang kanak-kanak yang lain mengaji di rumahnya setiap malam. Berdengung berdentang menyebut alif, baa, tha, saa, jim dan sebagainya diselang seli dengan suara Mak Seha yang garau nyaring. Kadang-kadang kalau tersalah baca, sakit tangan dirotan oleh orang tua itu.

Bersama Muqqadam yang kusam kekuningan, bersama penunjuk lidi penyapu, pokcik menghadam ayat-ayat suci buat pertama kalinya. Dari situlah juga pokcik merangkak membaca surah-surah penting dari Al-fatihan, Tiga kul, Tabad yadaa dan lain-lain surah. Hinggalah beberapa ketika entah apa sebab apa kami tidak mengaji lagi di sana.

Dunia menemukan letrik. Ayat-ayat suci yang di baca bertukar ke guru lain. Waktu itu pokcik sudah berpindah di pinggir kota. Mengaji pula dengan satu keluarga alim India muslim di mana sekalian ahli keluarga mereka sangat pandai mengaji dan ikhlas mengajarkannya kepada kanak-kanak ramai. Anak-anak gadis Pak Habib Bakar baik-baik belaka hingga pokcik jadi selesa pula mengaji di sana. Kadang-kadang menjeling mata pada dara si hitam manis. Ahaks.

Aipp.. Namun itu bukan benda yang pokcik hendak cerita. Ceritanya ialah ilmu Tuhan yang di panjangkan serentak dengan usia menjadi dewasa. Cerita tentang ilmu yang dicari tanpa putus asa.

Dan entah sebab apa pula, pokcik berhenti mengaji di situ. Bertemu pula dengan Ustaz Adnan. Cikgu pencen yang ikhlas hatinya mengajar ayat-ayat Tuhan. Pokcik pun tidak melepaskan peluang mengaji di rumahnya, dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, hinggalah khatam senaskah Al Quran. Waktu itu, rasa hati.. seronok sangat, kerana akhirnya buku yang di kira tebal itu akhirnya habis juga di baca.

Itu kisah pokcik dulu-dulu. Zaman susah nak mengaji. Zaman oang-oang pandai tak berapa ramai. Zaman orang mengaji tidak mintak upah dan yuran bagai.

Sekarang ini, Alhamdulullah… pusat-pusat mengaji Al Quran mulai tumbuh di mana-mana. Ustaz dan Ustazah yang berkelayakan pun ramai. Kaedah belajar pun sudah menjadi mudah. Sedari usia kecil boleh belajar kenal huruf, kenal patah-patah, di sambung-sambung, disebut-sebut hingga menjadi ayat lengkap.

Memang sangat mudah. Kemudian ada kitab Al Quran terbut berserta tafsirannya sekali. Boleh di faham dan dihadam bersama-sama supaya bacaan jadi lebih bermakna. Tidak macam zaman dulu, main baca saja, maknanya sepatah haram pun tak tahu.

Selain berguru bertalaqi bagai, kini boleh juga dapatkan CD bacaan Al Quran yang bagus-bagus dari mereka yang arif tentang Al Quran. Atau buka saja internet dan ada Quran versi online. Boleh pasang bila-bila masa. Pendek kata sumbernya merata. Berbagai versi dan terjemahan bahasa pun ada.

Zaman telah berubah, namun ayat Allah kekal sepanjang masa.


Dalam pada berterusan membaca, kadang-kadang air mata pokcik mengalir juga. Ya lah, betapa berpuluh tahun pokcik sudah membaca ayat-ayat ini, dari pada tidak tahu apa-apa, kemudian terus juga membaca di zaman yang serba canggih ini perlahan-lahan akhirnya dapat juga memahamkan maksud dan maknanya selain mengaplikasi cerita di dalamnya untuk menguatkan rasa cinta pada yang maha Esa.

Semoga mata dan hati ini akan terus tetap dapat menatap ayat-ayat Tuhan yang suci selagi hayat di kandung badan.

Amin..

Monday, February 21, 2011

Realiti anak muda...

Pada tiap kali hujung minggu, banyak rancangan tiwi yang memaparkan siri realiti berunsurkan hiburan. Begitu juga dengan anugerah atau pertandingan yang bersifat seni. Barangkali inilah yang kebanyakan orang-orang suka buat di hujung minggu terutamanya orang-orang muda.

Hampir-hampir terpeleot leher pokcik menggeleng kepala. Pokcik tidak berapa gemar dengan keadaan ini. Lebih kepada kesal pun ada. Kesal dengan anak-anak muda yang lebih suka mengejar peluang untuk jadi penyanyi, pelakon, pelawak dan sebagainya dari pada mencari jati diri dan sesuatu yang member faedah dunia dan akhirat .

Walaupun peluang berjaya dalam rancangan itu , satu antara berjuta, mereka tidak putus asa. Sanggup datang dari jauh, beratur berjam-jam, sanggup mengorbankan tenaga dan wang ringgit walau akhirnya terpaksa menangis kecewa.

Alangkah baiknya kalau semangat yang begini mereka gunakan untuk merencana hidup yang berfaedah. Memikir bagaimana hendak berjaya di dunia dan akhirat. Sepanjang kehidupan pokcik ini, amat kurang pokcik perhatikan anak-anak muda yang berjaya. Kalau dulu, di kampong anak-anak mudanya rajin-rajin belaka, membanting tulang empat kerat untuk menyara hidup. Zaman sudah berubah, selain tenaga, otak dan minda yang cergas yang betul arahnya juga di perlukan. Tak perlu susah-susah masuk kebun, ladan atau sawah. Sekarang zaman computer. Banyak orang boleh jadi kata dengan hanya memikirkan idea dan bekerja secara duduk saja.

Dalam keadaan dunia kita yang penuh dengan anak-anak muda yang suka berhibur, suka berluma-lumba di jalanan, suka di khayalkan dengan perkara-perkara yang melalaikan, di luar negara sana terutamanya di timur tengah, anak-anak muda sedang bangkit berjuang menentang kezaliman pemerintah hingga ada yang gugur syahid.

Kata bijak pandai, kalau kita hendak mengetahui berjaya atau gagalnya sesuatu negara itu, lihatlah pada anak-anak mudanya.

Pokcik teringat lagi pada kata-kata Pak Harpan, dalam pilem Laskar Pelangi sewaktu dia sedang berbicara dengan anak-anak muridnya.

Katanya , “ Hiduplah dengan member sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya.”


Begitulah impian kita...

Tuesday, February 15, 2011

Salam Maulidur Rasul

Inilah harinya kalau kita hendak sambut-sambut, rai-rai atau kenang-kenang.

Salam Maulidur Rasul pokcik ucapkan untuk semua.

Di hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ini marilah kita sama-sama mengenang kembali kecintaan kita terhadap insan mulia ini. Menghayati syiar yang di bawa bersama kitab suci Al-Quran sebagai penunjuk jalan sekalian umat manusia ke arah kebenaran dan hidup yang kekal di hari akhirat.

Tentunya banyak program-program telah di atur di tempat kamu semua, di peringkat kampung, jabatan, daerah dan kebangsaan. Lagi banyak lagi bagus.

Moga-moga kita akan berubah menjadi insan yang lebih soleh dan taat pada Tuhan yang satu serta rasulnya.

Amin.

Monday, February 14, 2011

Valentine Day? Oh Tidak!

Dulu-dulu memang pokcik jahil.

Orang sambut Hari Valentine, pokcik pun nak sambut juga. Cumanya, orang ada kekasih, pokcik tak ada. Sekadar perasan-perasan yang si dia tu kekasih pokcik, ada lah. hik hik.

Pun begitu tiadalah juga kemaruk pokcik nak membeli hadiah itu ini dan diberi kepadanya secara sembunyi-sembunyi. Konon secret admire lah. Maklomlah, pokcik pun tak mampu gitu. Dan lagi, budaya melayu dulu mana reti nak bagi coklat-coklat atau anak patung beruang. Setakat bunga-bunga tu ada la sikit-sikit.

Beberapa tahun kemudian apabila pokcik semakin dewasa dan memahami sebab musabab hari itu diraikan, barulah terasa bodohnya diri ini. Dangkalnya fikiran ini. Mengikut membabi buta tanpa usul periksa. Setiap apa yang dibawa penjajah bukan semuanya baik, apatah lagi berkenaan budaya dan pemikiran mereka yang jauh menyimpang dari nilai-nilai murni pegangan kita sejak dulu.

Entah ada lagi ke tidak oang kita sambut valentine-valentine ni? Lebih-lebih lagi zaman sekarang ini? Zaman orang muda gitu. Harap-harap dengan maklumat-maklumat kesedaran yang di sebarkan berkaitan sejarah perayaan ini, sekalian umat Islam khususnya orang kita, akan sedar. Anak-anak muda tidak tergopoh gapah hendak meraikannya. Tidak sabar-sabar bertemu kekasih hati untuk merayakannya. Kelak nanti bahana yang bakal menimpa lebih teruk lagi. Ya lah, kamu faham-fahamlah sendiri bila pergaulan terlalu bebas dan mereka menganggap hari mengingati kekasih ini sebagai hari penting untuk mengatakan , i lap u.. maka buktikanlah ke lap u an mu itu..pada ku. Marilah kita berserah... ish ish.

Lagi pun, apalah guna hendak meraikan kasih sayang beriya bebenor pada hari yang satu ini sedangkan tiap-tiap hari kita di galakkan berkasih sayang, sesama keluarga, suami isteri, adik beradik, saudara mara dan insan insani.

Pokcik sekarang memang tak hairan dah dengan hari valentine ni. Pada pokcik ini adalah hari di mana bunga-bunga, coklat dan anak patung beruang naik harga dengan mendadak. Dan mereka-mereka yang kurang sedikit akalnya di luar sana akan berebut-rebut membelinya.

Alahaii.. kadang-kadang perangai manusia ini pelik sungguh.

Tuesday, February 01, 2011

Limau...

Time nak daya cina ni, kalau pokcik pergi ke kedai Ah Seng, harus juga dia beri berplastik-plastik limau. Kalau tak yang limau manderin pun yang jenis kecik-kecik molek macam bola ping pong tu pun boleh juga. Pokcik memang tak menolak. Pulak tu selain limau ada lagi jajan-jajan lain yang diberi seperti kacang-kacang dan air gas.

Cumalah itulah, kalau dah asyik sangat mengadap limau, habis satu kupas lagi, habis satu kupas lagi, laju ke suap ke mulut, sedar-sedar dah berbiji-biji masuk dalam perut.

Lepas itu baru nak gelabah. Uii.. bahaya ni makan limau banyak-banyak.

Nanti kena gout ooo..

Friday, January 28, 2011

Karnival Karangkraf , hari ini, esok dan lusa. Yippa!

Jika anda semua mempunyai masa lapang pada hari ini, esok dan lusa di tambah pula anda adalah seorang yang "hantu bacaan" maka sayugialah anda di jemput memeriahkan Karnival karangkraf yang sedang berlangsung hari ini hingga isnin minggu depan.

Ada banyak aktiviti menarik lagi menyeronokkan sedang menanti anda selain bahan bacaan berupa novel, majalah, suratkhabar, katalog dan apa-apa juga yang boleh di baca.

Maih ler ke sana.. Yippa!




Ada banyak bahan bacaan yang mencukupi untuk anda di sana. Tidak perlu berebut-rebut serta bartarik-tarik rambut seperti gambar di atas. hik hik.

Penulis-penulis pun ada. Tengok senarai di atas ini, klik utk besarkan kalau tak nampak.
Sapalah mereka dengan mesra gitu. Kalau ada masa ajak ngeteh2 sekali.. Yippa!



Banyak juga aktiviti-aktiviti yang akan di adakan. Aktiviti membaca buku sambil menangis-nangis seperti gambar di atas, err.. err.. tak tahu la pokcik ada ke tidak.
Apa-apa pun, pergi jangan tak pergi... pergi jangan tak pergi...pergi jangan tak pergi...

Monday, January 17, 2011

Santan Oh Santan...

Semalam entah macam mana mata pokcik tertangkap di kaca tiwi perihal santan cemar yang dilaporkan pengguna yang berleluasa di pasaran terutamanya bagi peniaga nasi lemak. Memang tidak dinafikanlah, tentu para peniaga atau sesiapa saja yang mengambil bekalan santan itu tidak mengetahui.

Yang pokcik geram sangat tu, tentang kedai memproses santan tersebut yang telah mencampurkan santan yang dip roses dengan bahan kimia lain untuk membuatkan santan Nampak segar. Tidak cukup dengan itu di campur pula dengan susu dan gula supaya dapat menambah rasa serta berat pada santan yang di hasilkan. Tentunya hal ini sahih benar menipunya.

Alahaii.. bukankah santan itu datangnya sudah asli dari kelapa yang diparut untuk mendapatkan santannya. Kenapa pula harus di tambah itu ini?

Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mendapat untung berlebihan gitu. Di tambah dengan kenaikan harga kelapa masa ini, maka tentu tak berapa untung kalau hasil santannya pun tak banyak mana. Maka dengan sebab itulah mereka mengubahsuai kandungan santan yang ada supaya Nampak banyak.

Kasihan pengguna semua kerana tertipu hidup-hidup. Selain duit yang dibayar tidak berbaloi dengan apa yang diterima, santan yang dikira tercemar ini juga boleh mencemarkan kesihatan. Entah bahan kimia apa yang di masukkan, barangkali toksik, barangkali dadah yang mana ada kesan sampingannya yang bakal merosak tubuh.

Entahlah manusia zaman sekarang ini. Sudah tidak mahu fikir akan dosa dan pahala. Apa yang mereka mahukan hanyalah keuntungan dunia yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan balasan akhirat yang tak terhingga besarnya hasil dari kedikit keikhlasan di dunia.

Di akhir laporan tersebut, kedai yang menjual santan cemar itu telahpun diperiksa dan disita peralatannya. Mujur ada pihak yang ambil tindakan. Orang menipu ini memang tidak akan lama senangnya. Tak berkat kalau ramai orang yang marah-marah.

Barang kali kalau arwah Wak Kodi, si pemetik kelapa di Kampung pokcik dulu masih hidup, tentu dia pun akan marah-marah tak terkira. Memalukan industri hasil kelapa saja dengan menipu-menipu begini.

Dan, yang kedua yang akan marah sangat-sangat siapa lagi kalau bukan beruknya, si Awe tu. Memalukan profession pemetik kelapa profesional je.

Alahaii…

Wednesday, January 12, 2011

Kegilaan...

Tiap-tiap hari menatap akhbar, melihat berita atau mendengar radio, macam-macam jenis kegilaan manusia yang dilaporkan berlaku di akhir–akhir zaman ini. Baik pembunuhan, penderaan, rogol, liwat, dera, rompak, samun, ragut, letup dan sebagainya membuatkan perasaan pokcik jadi tidak keruan. Apalah nak jadi dengan dunia hari ini?

Agak-agaknyanya, dalam 100 orang yg bercita-cita untuk berjaya dalam hidup dengan jalan mulia, seorang darinya akan memilih untuk melakukan kejahatan sesama manusia.

Kalau begitulah contoh sifirnya, maka pada pendapat pokcik, dunia hari ini ada tempat paling ngeri sekali untuk diduduki.

Bayangkan kalau hidup dikelilingi ketakutan. Baik di dalam rumah atau di luar. Betapa tertekannya hidup manusia di kala itu. Saban hari ada saja kejahatan yang berlaku. Sampai kita naik takut dan sentiasa risau memikirkan kalau-kalau ianya menimpa diri, keluarga dan saudara mara.

Dalam masa kita ( kerajaan dan badan-badan yang bertanggungjawab ) dok memikir-mikir hendak menjadikan semua manusia baik-baik, musuh-musuh Islam pula galak merangka strategi untuk menakluki dunia, sedikit demi sedikit melalui cabang-cabang yang melalaikan seperti hiburan, judian, makanan dan ketagihan. Pendeknya, secara senyap kita di serang dari dalam dan juga luar.

Kalau kita tidak sedar dari sekarang maka peradaban manusia dan segala sifat-sifatnya akan terhakis sedikit demi sedikit. Jati diri akan musnah. Bangsa juga boleh hilang. Apatah lagi dengan negara dan kepimpinannya. Kalau dari sekarang asyik bergolak saban hari maka pihak lain pula yang akan memerhati dan sesekali bertepuk tangan.

Masa amat pantas berlari. Bila tiba masa mereka akan menyerang kita.

Dari itu fikir-fikirkanlah ya..

Monday, January 10, 2011

Tolong ingatkan pokcik...

Aik.. sudah habis ka Juara lagu ke 25? Ish ish..

Sejak mula masuk tahun baru ini banyak benar yang pokcik ketinggalan. Cepat betul masa berlalu. Alkisah pokcik ada menonton juga akan AJL 25 malam semalam tu. Tapi setakat yang terdayalah, setakat mana telinga tua ini dapat menerima halwa muzik yang semakin banyak di pelopori oleh artis-artis yang datang dari program realiti tiwi dan group indie.

Tak sangka pula, artis wanita Ana Raffali itu boleh menang. Sudah memang rezeki dia agaknya. Satu yang boleh kita pelajari dari kemenangan dia adalah, untuk mencapai apa yang kita inginkan, hendaklah berusaha tanpa mengenal putus asa. Bermula dari bawah dan berdikit-dikit naik ke atas. Kalau muzik yang dipersembahkan bagus, unik dan tersendiri, maka ada peluanglah untuk di terima masyarakat.

Pokcik terlelap separuh jalan dalam keriuhan orang bersorak-sorak mengikuti AJL itu. Lagi pun semua artis baik yang menyertai pertandingan atau jemputan yang menghibur adalah artis-artis yang baru-baru. Muncul dalam era pokcik menjadi warga emas.

Kenapalah mereka tak jemput Ahmad Jais menyanyi. Kalau ada, harus juga pokcik melangut menunggu.

Dan kalau Ahmad Jais nyanyi lagi Berpisah jauh atau gelisah, harus jugak pokcik bergelek mesra..

hik hik

Tuesday, January 04, 2011

Eh, dah masuk tahun baru 2011 ka?

Eh, dah masuk tahun baru 2011 ka?

Bilanya masuk?

Tak perasanlah pulak pokcik ni.. Ish ish nampak benor ler oang tua ni tak de keperihatinan langsung. Tak bersemangat nak sama-sama memeriahkan tahun baru dengan azam dan resolusi baru yang berkobar-kobar.


Hakikatnya... Apabila sudah berpuluh-puluh tahun berubah tahun, dirai-rai saban tahun dengan perkara dan ayat-ayat yang sama, pokcik sudah jadi lali. Cuma kadang kala tersengihlah juga bila terdengar oang mengungkapkan kata-kata yang serupa.

Apa-apa pun, perubahan tidak semestinya dilakukan pada tahun baru saja. Azam dan semangat sentiasa membara tak kira bila dan di majlis apa. Ungkapan selamat tahun baru yang disorakkan disetiap dunia bolehlah dikira sebagai alat bantu untuk kita bangun semula, merangka perjalan hidup ini supaya lebih berjaya dan tercapai segala yang di cita.

Juga impian-impian yang sering berlegar di minda.

Seperti pokcik, lain tak ada. Pokcik mau jadi kayaaa.. Yippa!

Pokcik kayoo.. hu huu

Selamat tahun baru 2011 untuk semua.