skip to main |
skip to sidebar
Zaman-zaman pokcik mengenal mengaji dan mukadam, zaman-zaman itulah pokcik mengenal Mak Seha. Berteman lampu cemeni yang malap-malap dan kadang-kadang lilin, pokcik dan beberapa orang kanak-kanak yang lain mengaji di rumahnya setiap malam. Berdengung berdentang menyebut alif, baa, tha, saa, jim dan sebagainya diselang seli dengan suara Mak Seha yang garau nyaring. Kadang-kadang kalau tersalah baca, sakit tangan dirotan oleh orang tua itu.
Bersama Muqqadam yang kusam kekuningan, bersama penunjuk lidi penyapu, pokcik menghadam ayat-ayat suci buat pertama kalinya. Dari situlah juga pokcik merangkak membaca surah-surah penting dari Al-fatihan, Tiga kul, Tabad yadaa dan lain-lain surah. Hinggalah beberapa ketika entah apa sebab apa kami tidak mengaji lagi di sana.
Dunia menemukan letrik. Ayat-ayat suci yang di baca bertukar ke guru lain. Waktu itu pokcik sudah berpindah di pinggir kota. Mengaji pula dengan satu keluarga alim India muslim di mana sekalian ahli keluarga mereka sangat pandai mengaji dan ikhlas mengajarkannya kepada kanak-kanak ramai. Anak-anak gadis Pak Habib Bakar baik-baik belaka hingga pokcik jadi selesa pula mengaji di sana. Kadang-kadang menjeling mata pada dara si hitam manis. Ahaks.
Aipp.. Namun itu bukan benda yang pokcik hendak cerita. Ceritanya ialah ilmu Tuhan yang di panjangkan serentak dengan usia menjadi dewasa. Cerita tentang ilmu yang dicari tanpa putus asa.
Dan entah sebab apa pula, pokcik berhenti mengaji di situ. Bertemu pula dengan Ustaz Adnan. Cikgu pencen yang ikhlas hatinya mengajar ayat-ayat Tuhan. Pokcik pun tidak melepaskan peluang mengaji di rumahnya, dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, hinggalah khatam senaskah Al Quran. Waktu itu, rasa hati.. seronok sangat, kerana akhirnya buku yang di kira tebal itu akhirnya habis juga di baca.
Itu kisah pokcik dulu-dulu. Zaman susah nak mengaji. Zaman oang-oang pandai tak berapa ramai. Zaman orang mengaji tidak mintak upah dan yuran bagai.
Sekarang ini, Alhamdulullah… pusat-pusat mengaji Al Quran mulai tumbuh di mana-mana. Ustaz dan Ustazah yang berkelayakan pun ramai. Kaedah belajar pun sudah menjadi mudah. Sedari usia kecil boleh belajar kenal huruf, kenal patah-patah, di sambung-sambung, disebut-sebut hingga menjadi ayat lengkap.
Memang sangat mudah. Kemudian ada kitab Al Quran terbut berserta tafsirannya sekali. Boleh di faham dan dihadam bersama-sama supaya bacaan jadi lebih bermakna. Tidak macam zaman dulu, main baca saja, maknanya sepatah haram pun tak tahu.
Selain berguru bertalaqi bagai, kini boleh juga dapatkan CD bacaan Al Quran yang bagus-bagus dari mereka yang arif tentang Al Quran. Atau buka saja internet dan ada Quran versi online. Boleh pasang bila-bila masa. Pendek kata sumbernya merata. Berbagai versi dan terjemahan bahasa pun ada.
Zaman telah berubah, namun ayat Allah kekal sepanjang masa.Dalam pada berterusan membaca, kadang-kadang air mata pokcik mengalir juga. Ya lah, betapa berpuluh tahun pokcik sudah membaca ayat-ayat ini, dari pada tidak tahu apa-apa, kemudian terus juga membaca di zaman yang serba canggih ini perlahan-lahan akhirnya dapat juga memahamkan maksud dan maknanya selain mengaplikasi cerita di dalamnya untuk menguatkan rasa cinta pada yang maha Esa.
Semoga mata dan hati ini akan terus tetap dapat menatap ayat-ayat Tuhan yang suci selagi hayat di kandung badan.
Amin..
1 comment:
ameenn.. ya rabulalaminnnn
terharu pula membaca cerita pokcik..
maza juga pernah mengaji dan membaca buku di bawah sinar lampu chemni... heheheh
liang lentuk pelita adakalanya menggoda kami untuk segera ke tilam empuk... dan tidur! heheheh
Post a Comment