skip to main |
skip to sidebar
Entah kenapa semalam sewaktu pokcik sedang terduduk kematu sambil memegang kepala lutut yg melenguh, sambil mengetuk-ngetuk rasa semut-semut yang menjalar di setiap urat kaki, tiba-tiba saja pokcik teringat kembali zaman kanak-kanak 50 tahun yang lalu. Sewaktu berterawih, adalah seorang tua ini, Wak Majid namanya yang sudah agak tua dan amat perlahan jalannya. Pokcik sering memerhatiknya bersembahyang. Maklomlah, kanak-kanak tentunya berada di saf paling belakang.
Wak Majid barangkali ada masalah dengan lutut dan kaki. Pergerakannya menyaingi Iman serta jemaah lain sering terganggu bila dia sukar untuk bangun setiap kali mula rakaat yang baru. Sembahyang terawih dan witir yang dibuat 23 rakaat itu terasa membebankan. Namun dia tetap berusaha untuk buat apa yang terbaik.
Jadi, gelagatnya yang kadang-kadang tergigil-gigil untuk bangkit, sering memegang kepala lutut dan terpaut-paut tingkap untuk bangun membuatkan kami sering kali tersenyum dan kadang-kadang ketawa melihatnya.
Kini setelah 50 tahun berlalu, bila pokcik sendiri mengalami keadaan tersebut ( walaupun tidak sekritikal Wak Majid yang dah lama arwah ), barulah terasa akan susah siksanya bila mengalami sakit-sakit sendi yang mengiggit-giggit setiap kali hendak berterawih. Rasa mencucuk-cucuk dan lenguh yang teramat terutama di tempurung lutut dan urat. Kepala lutut terasa longgar hingga mahu tertonggeng rasanya setiap kali berdiri lama.
Tidak mengapalah, dugaan berpuasa tiap-tiap tahun selain berlapar dan dahaga turut mencakupi kesihatan diri juga.
Apabila kita kecil, semangat berpuasa tidak berapa mantap walaupun kemampuan ada. Kita selalu malas-malas dan selalu ponteng puasa. Time raya pula bukan main seronok.
Bila dah tua, semangat berpuasa semakin matang dan mantap. Malangnya kemampuan pula sering mengugah dengan kesihatan yang tidak menentu.
Semoga Ramadan ini tidak menjadi Ramadan yang terakhir gitu.
3 comments:
insyaallah...
moga masih diberi peluang oleh Allah untuk kita bertemu dengan ramadhan 1433h..amin..
Alhamdulillah...dan kita masih berkesempatan saling mengingatkan.
insya Allah berusaha menghargai waktu muda yang kuat! :)
Post a Comment