Tuesday, January 15, 2008

Fragmen Dol Leman : Misteri Kebun Pisang

Di langit, bulan penuh jelas kelihatan tanpa dilitupi awan. Sesekali terdengar bunyi salakan anjing dari kejauhan. Kadang-kadang kuat dan panjang-panjang lolongannya. Suppa yang berjalan paling akhir kerap tertoleh-toleh ke belakang. Hatinya turut gelisah.

“Saya rasa seramlah,” bisik Suppa perlahan-lahan. Dol dan Ku Chai menoleh seketika.

“Apa yang awak takutkan? Bukankah kita bertiga?” jawab Ku Chai.

“Awak tak dengarkah bunyi anjing tu? Malam sebelum ini tak ada. Malam ini pula ada. Eee... seramlah saya. Kadang-kadang macam bunyi serigala pun ada. Jangan-jangan, serigala jadian?” Suppa meluahkan rasa bimbangnya, yang sebenarnya lebih kepada rasa takut.

“Isy... apa yang awak merepek ni? Alah… cuma bunyi anjing. Lagipun jauh bunyinya,” jawab Dol, sekadar menyedapkan hati rakan-rakannya.

“Betul tu. Tapi nenek saya kata, kalau bunyi salakannya panjang-panjang, itu bermakna ia ternampak hantu.” Kali ini Ku Chai pula tiba-tiba menyampuk.

“Hantu?” Dol dan Suppa menyoal serentak. Mereka sudah mula berasa tidak selesa.

“Betulkah, Ku Chai? Nenek awak masih ada lagi?” soal Suppa cuba mendapatkan kepastian.

Ku Chai menggeleng. “Dia sudah meninggal… kerana anjing,” jawabnya perlahan.

Kali ini wajah Suppa semakin cemas. Dol pula, menelan air liur beberapa kali.

“Apa? Kerana anjing? Anjing itu gigit nenek awakkah?” soal Suppa bertalu-talu. Dol juga menanti dengan penuh saspens.

Lalu Ku Chai pun mula bercerita, “Tak adalah. Dia dikejar anjing. Semasa dia lari hendak menyelamatkan diri, dia terjatuh ke dalam longkang. Habis luka-luka kaki dan tangannya. Sepuluh tahun lalu, barulah dia meninggal.”

“Kenapa mesti tunggu selepas sepuluh tahun?” soal Dol spontan.

“Memang sudah ajal dia. Doktor kata, dia mati kerana sakit jantung,” jawab Ku Chai.

“Ayoo... yoo… Ku Chai, apa kena-mengena sakit jantung dengan anjing yang kejar nenek awak?” Suppa mula menggaru-garu kepala. Cerita Ku Chai itu, semakin mengelirukan pula. Dol pun terkebil-kebil cuba menangkap maksud cerita, terutamanya kaitan antara anjing dan nenek Ku Chai.

“Kalau anjing itu tak kejar dia, tentu dia tak terperanjat dan lari lintang-pukang sampai jatuh ke dalam longkang. Tentu jantungnya masih sihat sampai sekarang. Oleh kerana terperanjatlah, hayat nenek saya jadi pendek. Kalau tidak, dia tentu masih hidup.” Ku Chai membuat kesimpulan.

"Ku Chai, awak buat kami kelirulah. Nenek awak mati bukan sebab anjing, tetapi sebab sakit jantung,” sangkal Dol apabila merasakan kaitan antara kedua-duanya tidak masuk akal langsung.

“Ya, betul... tapi anjinglah puncanya. Saya pasti!” Ku Chai tidak mahu mengalah.

“Sudahlah, Ku Chai. Suka hati awaklah. Penat saya dan Suppa hendak melayan. Mari kita pergi.”

Akhirnya Dol mengiakan sahaja. Malas dia hendak berlawan cakap dengan Ku Chai. Nanti misi mereka jadi terbantut pula. Dia kembali meneruskan perjalanan.

Suppa pula terus mengikuti Ku Chai rapat-rapat.

3 comments:

Sri Diah said...

Hahaha... Apa khabar Dol Leman? Meh saya cekik hantu tu ;-) Tahniah.

dEW! Sukm@ said...

Salam Mersik Romoyu, penulis tersohor seMalaya! Ehem2.. ceh.. fragmen ni memang salah satu spot yg sungguh lawak dan menghiburkan sehingga terkekeh-kekeh DS dok gelak! Tahniahlah.. harap Pokcikz terus sukses!

Mersik said...

Kak Sri Diah - Ooo kabo2 baik saja.. mekasih.. Jgn lopa boli tau kak..


Dewi Sukma - Wahh.. intro jek dah memuji2 ni.. auww auww tak rela gitu hik hik.

mekasih krn sudi ketawa bersama Dol leman.. biasa la budak2 mmg penuh keriangan gitu kekeke