Wednesday, April 30, 2008

Susah...


“Dulu ayah pergi sekolah jalan kaki dua batu! Hari-hari. Pakai kasut pun berlubang-lubang. Baju hanya selai saja..., “

Kata-kata tersebut terngiang-ngiang di cuping telinga pokcik saban hari sewaktu kecik-kecik dulu. Tok ayah begitu bersemangat menceritakannya kepada kami, dan yang paling penting... dia ingin kami semua turut sama merasainya.

Sayangnya pada pokcik itu pula, tok ayah sudah pun mempunyai basikal dan pokcik tidak pernah merasai susahnya pergi ke sekolah berjalan kaki.

Penghabisnnya, ungkapan-ungkapan yang itu hanya jadi bebelan biasa saja dan tidak mungkin membuatkan kami jadi insaf. Cerita itu jadi biasa, laksana mitos zaman dulu. Kami tidak pernah belajar dari tok ayah. Walaupun hidup kami susah masa itu, namun pada zaman tok ayah.. kesusahannya lebih buruk lagi.

Justeru, dari mana lagi harus datang rasa simpati dan kesedaran itu?

Kebiasannya, jika kita sendiri yang mengalami kesusahan tersebut maka pengajaran yang didapati sangatlah melekat di dalam dada, dan dikenang sampai bila-bila. Cuma, apabila kita meluahkannya kembali pada generasi seterusnya, hakikat yang sama berulang kembali – mereka sukar merasainya. Dan apabila kita mengulang-ulang cerita, mereka pekup telinga.

Zaman sekarang yang serba siber dan canggih, sukar untuk menggariskan sesuatu kesusahan yang hakiki. Secara tradisinya, kita sedia maklom, kalau umah papan, atau nipah atau zink – bermakna susah la tu hidupnya. Begitu juga dengan kerja yang serba bawahan, juga bermakna taraf hidup yang agak rendah.

Tapi siapa tahu, mungkin pondok yang buruk ada terdapat didalamnya pemain cakera padat DVD serta tiwi Tosiba bombastik. Dan kerja sapu-sapuan di pinggir jalan sekadar mencari peluh atau hobi di masa lapang. Mungkin juga kerjaya pilihan ( kalau dia tak nak menyapu, dia boleh saja kerja lain )

Kita jadi susah pada kehendak sedangkan pada keperluan asasnya kita tidak menghadapi apa-apa masalah pun. Cukup makannya, pakainya dan tempat tinggalnya. Bila kehendak menjadi keperluan, kita jadi susah untuk menerangkan tentang sebenar-benar susah.

Negara kita semakin membangun dan membasmi kemiskinan sudah menjadi agendanya dalam rancangan Malaysia bagi setiap penggal. Kadarnya juga kini sudah menurun setelah beberapa langkah diambil untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Kemiskinan sifar. Itulah kata dasarnya. Tiada rakyat di negara kita yang kedengaran mati tak makan. Mati terlebih makan barangkali adalah..

Apa yang anak-anak kita atau cucu-cucu kita lihat adalah kesusahan dari segi perubahan kehendak hidup. Dari basikal ke motor, dari kereta cabuk ke kereta mewah dan dari rumah kecik ke rumah besor.. berbanding dengan benda yang dulunya tiada dan sekarang menjadi ada.

Barangkali lagi berpuluh-puluh tahun, mereka akan rasa sedih ( hingga mengalir air mata ) dan insaf bila menyedari ayahnya dulu pakai handphone se tone saja nadanya dan buta poliponik. Mereka seolah-olah menganggap handphone adalah salah barang yang amat perlu di zaman itu. Tiada handphone yang canggih adalah kesusahan yang hakiki.

Tanyalah pada diri sendiri.. sukar mana kita hendak menerangkan kesusahan masa lampau, zaman-zaman atuk atau ayah kita dulu pada anak-anak kita..Adakah mereka benar-benar merasai? Terkesankah di hati mereka mendengar jerih perih hidup dulu-dulu? Apakah yang dapat dipelajari? Yang memotivasi atau menginspirasi?

Dan setelah 60 tahun berlalu.. ungkapan-ungkapan perkataan tok ayah mula kembali melekat di minda pokcik.

“Dulu, orang makan nasi dengan garam saja. Itu pun jarang. Lain dari tu makan ubi kayu, keladi, pisang dan apa yang ada...“

Dan pokcik merenung lesu secawan kopi dan beberapa keping biskut kering di depan mata.

’Sekurang-kurangnya makanan favourite pokcik ada jenama...’ bisik hati pokcik dalam ceria yang menyebakkan dada.

Alahaii...

7 comments:

Anonymous said...

Salam pokcik,

DEfinisi kesusahan zaman ini ialah tekanan-tekanan membayar hutang bank,hutang belajar,kad kredit,petrol,tol dan segala macam caj perkhidmatan yang boleh menyebabkan rambut kita luruh sebelum waktunya.

Tekanan bagi anak-anak kampung belajar Math dan Sains dalam Bahasa Inggeris,tekanan bagi guru-guru yang menjadi tikus uji 'pihak atasan' dengan perubahan dasar setiap tahun serta tekanan bagi penulis yang mendapat bayaran ciput berbanding artis top juga antara bentuk kesusahan.

Alahai...!

Abang Long said...

Wahai Pokcik ku sayang.

Dah buat gigi baru ke belum ?

Teringat waktu sekolah darjah 3, Atuk Wan bagi curut suruh hisap ... alahaiiiiii .....

Anonymous said...

jangan abang long tak tau, pokcik ni 2 alam. kadang2 ada gigi, kadang2 rompong. tak taulah apa ilmu dia.
(gurau je, pokcik... jangan marah ha? nanti kena jual....)

Seorang Nazurah said...

Susah bagi saya bila semua barang jadi mahal, gaji tak naik...maka dengan itu wang dalam poket menyusut dengan kadar yang kita tak sangka!

tp bersyukurlah susah macamana pun kat malaysia ni masih lagi kita dapat makan, masih lg ada makanan...

Mersik said...

Salamz Rai - Ooo begitukah susah zaman ini. iksh iksh dasattt.. mujurlah pokcik ni sebatang kara dan hidup ala kadar.

Agaknya bila zaman berubah, kesusahannya pun ikut berubah la ek.. sabo jek la. alahaii


Abang Long - Gigi baru tak de sopnsor? Maka kekal la dua itu saja..

Uishh.. Tok Wan tu saja bagi try.. yg ko pi hisap sampai skg wat pe? hiyaaa


Kak Ila - Biasalah, kadang2 ikut ocassion..apa nama tu? menyesuaikan majlis.. haa tu la.. Tapi2 mana pun. senyumnya tetap anggun, tajam manikam. yihaa hik hik


nazurah aishah - Gitulah kehidupan di alam serba canggih dan separuh siber ni. Mudah2an kita tidak terikut dgn arus kebendaan yg tidak diperlukan..

Yg pasti, berbelanja ikut keperluan.. bukan kehendak..

Semoga selamat segalanya..

Juezura said...

anak2 sekarang sekadar mengangguk..dan adakala buat muka tak reti bila kita suruh mereka insaf tgk anak2 orang lain yg lebih susah. Mungkin sebab kita dulu tak dapat apa yg kita nak, maka kita selagi mampu berbelanjalah utk anak2 kita supaya terlekat juga rasa suka di hati kita melihat mereka gembira.

Mersik said...

Kak Long - Sekarang ni, walau kita dah cuba menitipkan segala nasihat dan mengajar erti susah, namun persekitaran yang sentiasa berubah memberi cabaran yang bukan sedikit.

Moga anak2 zaman ini akan lebih penuh dadanya diisi akan ilmu2 yg akan membantu dikomdian hari..