Tuesday, April 29, 2008

Fragmen Dol Leman - Misteri Sungai Loyang

Ong! Ong!

Tiba-tiba bunyi pelik kedengaran di sekeliling pondok. Yaya yang baru hendak melelapkan mata, terjaga tiba-tiba lalu tertoleh ke kanan dan kiri. Lantas dia mengangkat dagu kepada Dol.

“Bunyi apa tu? Bunyi apa tu, Dol?” soalnya cemas.

“Alah, tak ada apa-apa. Itu bunyi Suppa berdengkur,” jawab Dol, sekadar menyedapkan hati Yaya. Pening betul dia dengan sikap Yaya yang mudah gelabah itu.

“Ta... ta... tapi, kenapa lain benar bunyinya? Kalau tak silap saya, itu bunyi ka... kaa...” Serentak dengan itu seekor katak melompat naik dan mendarat hampir dengan kaki Yaya. Akibat terlalu terkejut, Yaya menjerit dengan sekuat hati sambil berundur. Jari-jarinya digenggam dan tangannya disilangkan ke dada.

“Eiii… katakkk!”

Jeritannya yang nyaring itu mengejutkan Suppa dan Ku Chai yang sedang lena tidur. Akibat terperanjat, mereka berpelukan sesama sendiri.

“Eh, kenapa awak peluk saya?” soal Ku Chai apabila menyedari mereka sedang berdakapan. Mereka menoleh ke arah Yaya yang sedang berdiri terkinja-kinja di hujung pondok. Katak yang berada di hujung kaki Yaya turut terperanjat lalu terlompat-lompat sama.

Dol segera datang, lalu menyepak katak itu. Berpusing-pusing katak itu di udara sebelum jatuh semula ke dalam air.

“Okey, katak itu dah tak ada. Awak tak apa-apa, Yaya?” soal Dol kepada Yaya yang sudah mula menggigil. Tangannya tidak lepas dari memeluk tubuh.

“Eieee... tak naklah saya duduk sini. Saya nak balik! Saya nak balik!” rengeknya lagi. Kali ini lebih kuat. Ku Chai dan Suppa mengerutkan dahi. Mereka menggeleng kepala apabila melihat gelagat Yaya.

“Yaya, tak payahlah jerit-jerit. Katak tu pun dah tak ada,” pujuk Suppa pula.

“Memanglah tak ada. Tapi… yang berbunyi-bunyi tu, datang dari mana? Tentu ada banyak lagi di bawah pondok ini,” balas Yaya.

Suppa dan Ku Chai memasang telinga. Memang benar ada bunyi-bunyi katak di bawah pondok. Bersahut-sahutan antara satu sama lain.

“Alah… mereka pun nak tumpang berteduh juga. Macam kita,” jawab Ku Chai lagi, menyebabkan Yaya semakin geram.

“Tapi saya tak suka katak. Saya geli!” Akhirnya Yaya membuat pengakuan.

“Tak apa. Budak perempuan memang geli dengan katak. Tapi, jangan takut. Dia tak usik awak. Kalau dia naik lagi, nanti Dol sepak dia macam Ronaldo sepak bola,” ujar Suppa diikuti dengan ketawa kecil dari Ku Chai.

Dol yang memerhatikan gelagat kawan-kawannya turut tersenyum. Dia memerhatikan Yaya semula yang tertoleh-toleh ke bawah. Jelas, perasaan takutnya masih lagi ada.

‘Susah rupanya kalau ajak perempuan untuk aktiviti menyiasat,’ bisik hati Dol.

“Lagipun, katak ni baik-baik belaka. Mereka cuma nak menyanyi saja. Cuma bunyinya tak sedap macam suara saya. Kalau tak percaya, cuba dengar saya menyanyi.” Suppa mula berdehem beberapa kali. Ku Chai sudah mula menekup telinga.

“Katak oh katak, mengapa kau panggil hujan? Macam mana aku tak panggil, ular….”

Belum sempat Suppa menghabiskan baris terakhir lagunya, dua ekor katak pula melompat naik, mendarat betul-betul di hadapannya.

“Haaah!”

Suppa terperanjat lalu memeluk Ku Chai lagi. Mereka berdua terpekik-pekik apabila katak-katak itu melompat naik ke atas paha mereka.

“Syohh… syohh!” Suppa cuba menepis-nepis katak yang melekat pada pahanya. Tapi katak tersebut tidak berganjak. Akhirnya, Suppa dan Ku Chai bangun lalu mengibas-ngibas seluarnya. Katak-katak tersebut jatuh tergolek-golek ke lantai pondok.

Melihatkan keadaan itu, Yaya pun semakin kuat menjerit. Jeritannya menjadi semakin nyaring apabila beberapa ekor lagi naik dari belakang kakinya. Dia semakin terkejut apabila merasai badan lembik si katak yang melompat-lompat itu mengenai kakinya.

Dengan pantas juga Dol menguis dan menyepak katak-katak yang ada. Tapi sebaik sahaja disepak yang itu, ada beberapa ekor lagi yang naik.

“Kita diserang katak!” jerit Dol apabila melihat banyak lagi katak yang merangkak naik ke atas pondok.

Ku Chai dan Suppa yang belum hilang terperanjat, ikut terlompat-lompat sambil menyepak katak-katak yang berkeliaran di atas lantai pondok itu. Melantun-lantun katak-katak tersebut dikerjakan mereka. Sekali pandang macam main futsal pula.

3 comments:

Hasrul Halid said...

hampeh Pakchik!

Hampir putus urat belikat aku kerana gelak berlebihan!

Mersik said...

hasrul - uiii..dasat ko ni.. gelak2 laa sikit2.. tapi kerapp.. kekekek

KZue said...

yaya tu macam kak long kut..ahaks geli geleman teman wehh