Tuesday, March 29, 2011

Zaman malas


  • Zaman pokcik dulu-dululah, awal-awal 80an, kalau kita mintak kerja di tapak-tapak pembinaan, jarang sekali yang tak dapat kerja. Dengan syarat kita rajin dah mahu belajar. Kemudian sabar ikut orang sana, orang sini buat kerja yang berlainan. Cuma waktu itu gajinya sangatlah kecik, dalam 7,8 ringgit sehari. Sebab itulah orang tak sanggup. Kerja kasar, gaji ciput. Namun ada juga orang yang terus kerja.


  • 30 tahun berlalu apabila sektor-sektor pembinaan naik mencanak-canak di serata negara. Bangunan-bangunan baru mencakar langit mula didirikan. Ramai tenaga di perlukan. Apabila buruh tempatan semakin bekurangan maka terpaksalah diimport buruh-buruh dari Indon, Bangladesh, Mynmar, India dan lain-lain lagi. Beberapa orang pekerja di tapak-tapak peminaan yang pokcik temui dan ramahi, rata-rata di antara mereka boleh dapat gaji yang cukup lumayan. Bayangkanlah dalam sehari kerja mereka boleh mendapat hampir RM 100, termasuk duit minyak ( kalau berkenderaan ) dan juga duit makan. Kalau mereka bekerja di bawah tauke kontraktor kecil, ubahsuai rumah dan sebagainya, lagilah mahal gaji akan diberi bergantung kepada kepakaran mereka.


  • Patutlah orang-orang asing ini jadi mewah apabila datang ke sini. Kerja bagai cendawan di musim hujan Tak pernah yang tiada. Apabila orang kita menjadi semakin malas, mereka tetap konsisten dengan sikap rajin dan merendah diri. Orang kita memang kadang-kadang tu pemalas. Setakat uruskan hal sendiri yang senang-senang pun malas. Nak basuh kereta, kemas rumah, cuci tandas hinggakan nak cabut rumput sekangkang kerja depan rumah pun upah orang. Sedangkan orang asing sudah mula menguasai sektor-sektor cuci tandas, dapur masak restoren, pertanian, perladangan, ternakan dan lain-lain lagi.


  • Maklomlah, kita nak jadi orang besar, nak tingkatkan hidup, tak mahulah kerja-kerja yang memenatkan ni. Bila orang kita tiada kelayakan dan tak berapa pandai, tak mahu pula meniaga, kerja kontrak atau apa saja. Balik-balik harap subsidi je. Kadang-kadang kasihan tengok muda-mudi sekarang yang khayal dan alpa dengan nikmat dunia. Nikmat negara kita yang permai dan mewah ini.


  • Kalau kita keluarga mampu, apa salahnya. Memang duit boleh membeli segala-galanya di dunia ini. Itu yang kebanyakan orang fikirkan. Namun dalam hati pokcik terselit perasaan risau. Ini bukan hendak cerita kisah esok lusa. Ini kisah berpuluh-puluh tahun akan datang zaman anak cucu dan cicit kita nanti. Dan orang-orang asing ini tak mustahil akan datang menjadi pakar dalam bidang mereka dan menjadi boss pula. Kita pula yang terhegeh-hegeh mengemis kerja. Kita akan jadi kuli pada mereka pula. Dan mereka pun ada hati hendak jadi rakyat kita sebab sudah duduk dalam negara lama.


  • Sekali lagi, konflik sewaktu kemerdekaan dahulu berulang kembali.


  • Jadi, sebelum mimpi ngeri jadi lebih ngeri dan masalah besar bakal melanda, eloklah kita melihat kembali senario hari ini. Rajin-rajinlah memikirkan masa depan dalam skop yang lebih jauh. Kalau mampu kita buat sesuatu, kita buatlah apa yang terdaya. Memang kita kadang tidak punya suara dalam kerajaan tapi kita boleh naikkan taraf hidup kita sendiri selain memberi kesedaran tentang jati diri.


  • Ini negara kita, tanah tumpah darah kita. Jangan pula suatu hari nanti kita jadi hamba di tanah sendiri.

Tuesday, March 22, 2011

Bumi yang indah...

Sejak seminggu yang lalu, pokcik merasa cuaca akan panas hingga ke petang, rupa-rupanya, hujan di tengah hari pula. Bahkan bukan setakat tengah hari, pagi, petang dan juga malam pun turun hujan juga. Dan bumi kembali basah dicurah nikmat Tuhan.

Kadang pokcik tertanya-tanya juga, adakah hujan yang kembali ini berpunca dari kejadian gempa yang melanda negara matahari terbit baru-baru ini? Ataupun sememangnya, fenomena alam yang asal sudah berkalih sistemnya menjadi tidak menentu? Hujan dan panas menjadi tidak tentu musim? Ataupun, dunia secara amnya sudah kucar-kacir aktivitinya hingga mengubah hawa dan iklim semulajadi?

Entahlah, barangkali ada benarnya juga fikiran pokcik ini. Almaklomlah, kita ini jarang hendak mendengar hal-hal yang berkaitan dengan alam, kajian-kajian geografi, awan, gunung, sungai serta ais. Hendak tengok tiwi pun lebih suka akan hiburan dari rancangan berinformatif. Lagipun, benda ini jarang sekali ditekankan kecuali orang-orang yang kerja di bidang tersebut.

Barangkali dunia sudah semakin rapuh. Sebab itu banyak kejadian gempa dan tsunami kerap melanda di bahagian-bahagian tertentu dunia. Itu belum termasuk hal manusia sendiri yang kian panas, bertengkar, memberontak, berperang dan sebagainya.

Pokcik teringat kata-kata dari seorang penulis barat iaitu Earnest Hemmingway ,

Katanya, "Dunia adalah tempat yang indah untuk diduduki, dan berbaloi kita untuk merebutnya."

Pokcik hanya setuju pada ayat pertama saja, kerana dunia ini kalau dikejar bagaimana pun tetap tidak akan puas selagi bernama manusia.


Akhirat jualah yang kekal buat selama-selama.

Alahaiii…

Tuesday, March 15, 2011

Ayat-ayat dari Tuhan.


Zaman-zaman pokcik mengenal mengaji dan mukadam, zaman-zaman itulah pokcik mengenal Mak Seha. Berteman lampu cemeni yang malap-malap dan kadang-kadang lilin, pokcik dan beberapa orang kanak-kanak yang lain mengaji di rumahnya setiap malam. Berdengung berdentang menyebut alif, baa, tha, saa, jim dan sebagainya diselang seli dengan suara Mak Seha yang garau nyaring. Kadang-kadang kalau tersalah baca, sakit tangan dirotan oleh orang tua itu.

Bersama Muqqadam yang kusam kekuningan, bersama penunjuk lidi penyapu, pokcik menghadam ayat-ayat suci buat pertama kalinya. Dari situlah juga pokcik merangkak membaca surah-surah penting dari Al-fatihan, Tiga kul, Tabad yadaa dan lain-lain surah. Hinggalah beberapa ketika entah apa sebab apa kami tidak mengaji lagi di sana.

Dunia menemukan letrik. Ayat-ayat suci yang di baca bertukar ke guru lain. Waktu itu pokcik sudah berpindah di pinggir kota. Mengaji pula dengan satu keluarga alim India muslim di mana sekalian ahli keluarga mereka sangat pandai mengaji dan ikhlas mengajarkannya kepada kanak-kanak ramai. Anak-anak gadis Pak Habib Bakar baik-baik belaka hingga pokcik jadi selesa pula mengaji di sana. Kadang-kadang menjeling mata pada dara si hitam manis. Ahaks.

Aipp.. Namun itu bukan benda yang pokcik hendak cerita. Ceritanya ialah ilmu Tuhan yang di panjangkan serentak dengan usia menjadi dewasa. Cerita tentang ilmu yang dicari tanpa putus asa.

Dan entah sebab apa pula, pokcik berhenti mengaji di situ. Bertemu pula dengan Ustaz Adnan. Cikgu pencen yang ikhlas hatinya mengajar ayat-ayat Tuhan. Pokcik pun tidak melepaskan peluang mengaji di rumahnya, dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, hinggalah khatam senaskah Al Quran. Waktu itu, rasa hati.. seronok sangat, kerana akhirnya buku yang di kira tebal itu akhirnya habis juga di baca.

Itu kisah pokcik dulu-dulu. Zaman susah nak mengaji. Zaman oang-oang pandai tak berapa ramai. Zaman orang mengaji tidak mintak upah dan yuran bagai.

Sekarang ini, Alhamdulullah… pusat-pusat mengaji Al Quran mulai tumbuh di mana-mana. Ustaz dan Ustazah yang berkelayakan pun ramai. Kaedah belajar pun sudah menjadi mudah. Sedari usia kecil boleh belajar kenal huruf, kenal patah-patah, di sambung-sambung, disebut-sebut hingga menjadi ayat lengkap.

Memang sangat mudah. Kemudian ada kitab Al Quran terbut berserta tafsirannya sekali. Boleh di faham dan dihadam bersama-sama supaya bacaan jadi lebih bermakna. Tidak macam zaman dulu, main baca saja, maknanya sepatah haram pun tak tahu.

Selain berguru bertalaqi bagai, kini boleh juga dapatkan CD bacaan Al Quran yang bagus-bagus dari mereka yang arif tentang Al Quran. Atau buka saja internet dan ada Quran versi online. Boleh pasang bila-bila masa. Pendek kata sumbernya merata. Berbagai versi dan terjemahan bahasa pun ada.

Zaman telah berubah, namun ayat Allah kekal sepanjang masa.


Dalam pada berterusan membaca, kadang-kadang air mata pokcik mengalir juga. Ya lah, betapa berpuluh tahun pokcik sudah membaca ayat-ayat ini, dari pada tidak tahu apa-apa, kemudian terus juga membaca di zaman yang serba canggih ini perlahan-lahan akhirnya dapat juga memahamkan maksud dan maknanya selain mengaplikasi cerita di dalamnya untuk menguatkan rasa cinta pada yang maha Esa.

Semoga mata dan hati ini akan terus tetap dapat menatap ayat-ayat Tuhan yang suci selagi hayat di kandung badan.

Amin..