Saturday, June 16, 2012

Tanpa negara.

Beberapa kali menonton tiwi tentang isu pelarian Rohingya, pokcik berasa amat sedih dan terkesan sekali.
Bagaimana ya, orang yang lahir di satu-satu tempat di mana tok nenek moyang mereka dulu juga telah ada sejak berkurun-kurun lama dulu, telah dinafikan hak mereka untuk menjadi warganegara. Semuanya gara-gara kerakusan politik dan agama. Walaupun mereka etnik minoriti, mereka tetap mempunyai hak juga.
Sebaliknya, mereka ditindas dan dianggap sebagai pendatang. Dijadikan buruh paksa dan selalu jadi pemantauan pihak tentera. Oleh kerana ramai yang tidak tahan dengan kehidupan sebegitu, mereka lari menyelamatkan diri mencari tempat lain untuk meneruskan hidup. Maka, bertebaranlah mereka diseluruh asia seperti Bangladesh, Thailand, Malaysia dan dibeberapa negara lain. Dalam masa pelarian, ada yang terpisah dengan keluarga, anak, isteri, adik beradik, ayah, ibu dan sebagainya. Kemudian, tiada jaminan entah bilakah lagi akan bertemu. Entah bagaimanakah perasaan mereka dengan perpisahan itu?
Namun layanan yang diterima di tempat baru, tetap juga sama. Walaupun mereka tidak dicederakan, tapi hak-hak seperti mencari pekerjaan, persekolahan anak-anak tetap juga dinafikan. Maka duduklah mereka dikhemah-khemah pelarian selama bertahun-tahun. Terpaksalah mereka mencari apa saja pekerjaan buat untuk kelangsungan hidup yang paling asas.
Demikianlah kisah mereka secara ringkas,
Berbanding dengan kita, alangkah beruntungnya kita ini mempunyai negara yang aman dan damai. Hidup selesa dan boleh menikmati pelajaran dan pekerjaan setinggi mungkin. Boleh berjaya mengejar cita-cita, menjadi kaya dan keluarga bahagia.
Maka sayugiakan kita patut sentiasa sedar diri dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi.
Namun yang paling penting sekali, kita dapat hidup dalam nikmat Islam dan Iman.

Monday, June 11, 2012

Menagih hiburan...

Ada sekali tu, pokcik sedang duduk-duduk di rumah Tok Lipat, menghadap tiwi bersama cucu-cucu dan anak-anaknya yang pulang bercuti. Keadaan tentulah riuh rendah bila mana rancangan realiti dan lawak jenaka terpasang mengundang gelak ketawa yang memanjang.
Tapi entah kenapa dalam jiwa pokcik rasa tidak kena saja. Lantas dalam diam, pokcik menoleh pada Tok Lipat bertanya ,” Apa bendalah cerita ni? Asyik nak bergelak saja. Pada aku biasa-biasa je.”
Bahan lawaknya entah apa-apalah pula, hanya generasi tertentu saja yang faham maknanya. Yang tua-tua ni pakat melongo saja.
Tok Lipat pun mengangguk penuh kerutan di dahi. “Aku rasalah. Mereka ini sedang memperbodoh-bodohkan diri sendiri. Dan juga memperbodoh-bodohkan kita yang menontonnya.”
Demikian la kesimpulannya. Pokcik pun mengangguk. “Ya lah, aku pun rasa begitu.”
Kemudian kening pokcik terangkat.
“Jadi,  supaya kita tidak jadi lebih bodoh, marilah kita keluar. Ngeteh-ngeteh ka? Ada jugak pekdahnya.” Pelawa pokcik sambil dipersetujui oleh Tok Lipat.
Sebaik tok Lipat menghidupkan enjin motornya, gelak ketawa masih kedengaran.
Demikanlah bila setiap malam, kita melihat sudah terlalu banyak rancangan hiburan yang ditawarkan sehingga kita jadi tidak tahu hendak memilih apa. Memilih hiburan apa untuk diisi di dalam dada dan fikiran kita. Kelak kita akan jadi ketagih yang akhirnya merosakkan jiwa dan tidak memberi nilai langsung pada kehidupan di masa akan datang.
Renung-renungkan…