Tuesday, May 13, 2008

Selamat Hari Ibu


Sebenarnya sudah lama...

Namun sejak kepikunan menjadi lara, hubungan akal, hati dan perasaan jadi kecamuk pula jadinya. Fikiran mau menitip sesuatu disini, namun hati dan fizikal menjadi lesu dan diserang malas selalu. Nampaknya, itu ada konflik yang bakal melanda pokcik tidak lama lagi.

Yang atas tu cuma gezet-gezet je. Dan, inilah cerita sebenarnya...

Entah kenapa, dalam riuh rendah menyambut hari ibu beberapa hari yang lalu, pokcik teringat pada seseorang wanita yang bernama Mak Besah. Wanita ini bukan orang lain, dia adalah wanita yang telah memberi kenal dunia dan sepak terajangnya dalam hidup pokcik. Dia adalah wanita yang telah melahirkan pokcik.

Sudah hampir berpuluh-puluh tahun masa berlalu sejak dia kembali ke rahmatullah. Saban waktu yang terkadang datangnya, bila angin lampau menggamit menderu, mengocak perasaan dan kasih sayang dalam hati kecil ini, pokcik tiba-tiba jadi rindu padanya.

Dalam kepayahan hidup yang lalu, dialah ratu yang telah membesarkan pokcik serta adik beradik yang lain. Dalam jerih perih kesusahan dan kedaifan, dia bangkit bersama-sama ayah menanggung, menjaga dan memberi makan kami supaya tak kebuluran. Itulah pengorbanan yang tidak ternilai sekali.

“Belajar betul-betul, nanti besok senang kau jugak.“ Perkataan itu hampir hari-hari dibebelkannya. Dia tidak pernah jemu, malah setiap ungkapannya penuh dengan semangat dan harapan. Dia yang tidak tahu membaca dan menulis, berharap benar agar suatu hari nanti, kami dapat melepaskan diri dari belenggu kebodohan, butahuruf serta hidup susah.

Ayah memang selalu keluar bekerja di kebun dan kebanyakan masa hanya ada mak saja di rumah. Segala bebelan, cubit-cubitan, rotan-rotanan semua mak selalu beri. Namun kasih sayang jualah yang dicurahkannya melimpah ruah tanpa tepi. Hakikatnya, dia dan ayah mahu kami jadi orang berguna di komdian hari.

Bersama taraf hidup yang dilanda kemiskinan dan dugaan yang tegar, setelah berhempas pulas, berjuang, akhirnya kami (anak-anaknya ) mampu juga hidup berdikari. Satu demi satu anak-anak pergi meninggalkan mak dan juga ayah. Ingin ke kota, kunun mencari pengalaman serta kerja.

Termasuklah juga pokcik.


Masa terus menginjak dan pokcik turut hanyut bersama cita-cita dan impian muda-mudi yang lain. Ingin jadi terkenal, hidup senang, banyak duit dan berteman wanita cantik. Dalam pada mengejar semua itu, Mak Besah semakin dimamah usia. Tenaganya sudah kurang. Tubuhnya semakin kurus. Sesekali kami pulang ke kampung, dia tetap tersenyum dan melayan mesra seperti dulu-dulu juga.

Barangkali senangnya hidup kami yang " bisa lepas makan sendiri " sudah cukup menggembirakannya.


Bila sesekali ada yang mengusul mau kahwin, dia mencebik , “Nak makan sendiri pun tak mampu, ada hati nak sara anak oang..“ Demikanlah perkataan yang selalu keluar dari mulutnya. maklomlah, menyara anak orang ni bukannya kerja senang. Lepas itu kami akan bergelak ketawa seperti selalunya juga

Dalam hati setiap mak, walau tak banyak pun, pasti akan berasa risau kalau-kalau bila anak-anaknya sudah berkeluarga, dia akan dilupakan. Kasih sayang akan terpecah-pecah. Sedangkan kudrat semakin tiada. Siapalah pula yang akan menjaganya? Ah, hidup memang begitu lumrahnya.

Akhirnya tidak lama lepas itu, mak diserang strok. Aktiviti harian jadi lumpuh. Namun tok ayah tak pernah mengeluh. Lagi pun, anak-anak semua sudah besar panjang. Kami sering pulang untuk menjengok.


Kami juga bawa mak pergi berubat, berurut di merata tempat. Masa tu manalah ada pengetahuan luas tentang strok (angin ahmar). Asal ada orang kata, tempat itu bagus, kami pergi saja. Setelah berubat di beberapa tempat, sakit mak semakin berkurangan. Dia sudah mulai berjalan walaupun bertatih-tatih.

Namun hayat mak tak lama. Dua tahun lepas itu... mak meninggal dunia.

Kami reda dengan pemergian mak walau pun kami rasa sangat terkilan. Kami tak sempat hendak berikan apa-apa kesenangan buatnya di dunia ini.

“Nanti kalau kau dah senang, bolehlah beli keta. Mak teringin nak naik keta Peton Saga,“

Dalam sunyi malam pokcik teringat kata-katanya yang kepingin sangat hendak naik kereta nasional Proton Saga yang baru dilancarkan waktu itu.

Apakan daya, masa tu pokcik tak mampu.

Dan lagi, sekarang pun pokcik masih tak mampu...


Dalam titis air mata yang mengalir lesu, pokcik rasa... walaupun sudah ketentuan ajalnya, mungkin dia pun merasakan... elok dia yang pergi dahulu, supaya tidak menyusahkan kehidupan kami dikomdian hari... Dia nak kami semua senang. Menjaga orang tua ni, kadang-kadang... menyusahkan.

Selamat hari ibu....

“Semoga mak baik-baik saja di alam sana,“.

6 comments:

dS said...

Salam pokcik, terharunya ds baca kisah ni.. tak sangka, nasib kita hampir serupa.. tak de mak dlm usia yg muda.. huuhuu! ~_~

Juezura said...

sedih hati membaca kisah ini..walau kak long dapatlah menggembirakan hati mak walau tak seberapa tapi terkilan bila tak dapat beri kesenangan pada abah yg dah pergi. Hanya doa kita utk mereka yg telah pergi.

Abang Long said...

AL FATIHAH buat bonda pokcik dan bonda sekalian muslimin.

MOLY said...

salam hari ibu buat semua ibu2 di malaysia

:)

Seorang Nazurah said...

sy pun nak tumpang bersedih kat posting pokcik...

sob..sob..sob...

selamat hari ibu jugak walopun dah terbabas beberapa hari...

Mersik said...

DS, Kak long , abg long, lily dan nazurah.

Terima kasih banyak2 kerana turut beersedih. Domkianlah hakikat alam yg harus ditempuhi tiap insan.

Mudah2 mereka yg pergi mengadap ilahi akan ditempatkan di kalangan mereka yg dirahmati.

Amin...