Thursday, November 13, 2008

kaget...


“Wah, seronok aa kau. Dah cuti sekolah ni, riun rendahlah umah kau. Anak cucu semua balik,” usik pokcik pada Tok Lipat yang turut ketawa di hujung talian.

“Alah, tak juga. Ada yang balik, ada yang tidak. Dowang semua rajin pergi makan angin, pergi jalan-jalan,” balas Tok Lipat.

“Apa lagi, ikutlah… rehat-rehatkan badan, seronok apa,” usul pokcik lagi.

“Ish, ish tak naklah aku. Dah tua-tua ni, malaslah aku nak berjalan-jalan. Duduk rumah lagi bagus. Lagi pun, kau tau je lah time-time cuti ni, sibuk oang nak buat majlis kahwin. Kenalah tolong sana sini. Belum lagi yang nak mengurut-ngurut,“ terang Tok Lipat. Pokcik mengangguk saja. Memang Tok Lipat selalunya sibuk dalam waktu-waktu cuti sekolah ni. Oang yang ajak dia rewang pun ramai.

Memang hakikatnya begitulah tatkala cuti sekolah menjelma. Kampung pokcik yang terkenal dengan sikap gotong royong dan ukhwah sesama penduduk ni memang meriah. Hinggakan ada oang yang memuji-muji kesepakatan kami yang sudah jarang-jarang dipraktikkan pada zaman sekarang ni. Semuanya bersatu hati dan tenaga kalau tiba bab-bab kerja kahwin ni, walau pun kebanyakannya hanyalah oang-oang tua gituu.

“Banyak ke oang buat kerja kahwin?“ Pokcik sekadar menanya.

“Hmm banyak jugaklah. Pak Dolloh pun nak kenduri menjemput menantu. Lebai Tamin pun nak nikahkan anaknya. Haji Kusam pun buat untuk majlis anaknya juga. Pendek kata ramailah. Kampung sebelah menyebelah pun ada menjemput juga. Mereka tanyakan kau. Ajak datang sekali.“ Panjang lebar Tok Lipat cuba mengingati senarai aktiviti majlis sewaktu cuti sekolah nanti.

“Mak oii.. banyaknya. Meriah ni. Kalau ada baryani gam... aku pergi.“ Pokcik terkekeh ketawa. Saja mengusik. Tapi kalau menunya baryani gam, memang terliur pokcik dibuatnya. Sampai makan dua tiga round.

“Ye lah tu. Eh, baliklah kampung.“ Ajak Tok Lipat.

“Tengoklah dulu,“ jawab pokcik perlahan. Dalam hati, teringin juga nak balik. Duduk sini pun boring juga. Kat kampung lagi meriah.

„“Aku dengar, janda tu dah nak bernikah juga cuti sekolah ni...“ Tok Lipat berkata lagi membuatkan jantung pokcik tiba-tiba berdegup kencang.

“Hah, dia nak bernikah?“

Entah kenapa, pokcik merasakan tiang telefon itu bagai nak rebah menimpa tubuh pokcik yang sudah menggeletar ni. Rasa terkejut, cemas dan kaget bersilih ganti bergolmal menjadi satu sebelum rasa kecewa tiba-tiba menjalar menghimpit perasaan yang halus mulus ini.

“Oh, tidak!“... Pokcik menjerit dalam hati. Tubuh terpaku.

Di hujung talian, masih kedengaran lagi bunyi helloo, helloo yang panjang..

No comments: