Friday, November 28, 2008

tungku...


Suatu hari pokcik terpandang sebiji batu, sebesar kelapa komeng di bawah dapur umah tok lipat. Sudah kelabu dah hitam benar warnya. Permukaannya juga kasap-kasap dan hampir berkarat.

“Itulah batu, buat bertungku.” Kata tok lipat pabila melihat pokcik ralit sangat memerhati.

“Ooo.. aku ingatkan batu apalah tadi.” Pokcik mengangguk-angguk.

“Dulu, masa arwah bini aku bersalin, batu itulah yang dibuat tungku. Sampai lima orang anak aku, banyak betul jasa batu tu.“ Terang tok lipat mengingati memori lama.

“Kau buat sendiri ke?” soal pokcik lagi.

“Yo la.. sapa lagi nak wat. Mak bidan pun buat 2,3 hari jek.. lepas-lepas tu pandai-pandai la kita menjaga. Kita kan lakinya.” Balas tok lipat.

Pokcik tersenyum saja. Memang tok lipat ni ciri-ciri lelaki mithali. Sewaktu bini dia dalam pantang, dialah yang uruskan semua. Dari pada memandikan, memakai bengkung, berpilis, mengurut hatta bertungku pun dia yang buat. Pendek kata macam raja bininya di jaga. Mak mertuanya datang pun rehat saja sambil tengok-tengokkan bayi.

“Orang sekarang ni, kalau bini bersalin, dalam kepala semua dah set. Pakat panggil mak datang jaga. Tak belajar jaga sendiri. Susah payahlah orang tua tu datang dari kampung. Mana nak melayan anaknya yang baru bersalin, layan cucu-cucunya dah riuh-rendah dan yang teruk lagi layan si suami pulak, kena masakkan makan minumnya.

Kalau ada oang gaji tu, sedaplah sikit. Kalau tak ada, semua kena buat sendiri.” Tok lipat tiba-tiba mengomel. Barangkali kebanyakannya orang sekarang memang begitu. Walaupun isteri yang bersalin lebih memerlukan ibunya untuk menjaga, tapi suamilah yang lebih afdal untuk menguruskan semua. Si ibu boleh datang sekadar melawat dan menjadi penasihat. Ini tidak, terbalik pula jadinya. Suami pula yang goyang kaki.

Sebab itu bila arwah bini tok lipat meninggal, dia turut sedih. Rasa macam belum banyak lagi kasih sayang serta kebajikan yang hendak diberikan padanya. Namun dia reda dalam pasrah. Tuhan lebih sayang padanya. Mujur anak-anaknya sudah besar. Sekarang ni, kasihnya tumpah pada anak-anak dan cucu-cucunya saja.

“Biasalah, kadang-kadang, insan-insan yang baik ni selalu dijemput awal.” Pokcik sekadar memujuk. Tok lipat mengangguk perlahan.

“Batu ni rasanya boleh guna lagi.” Tiba-tiba pokcik mendapat satu idea.

“Hah, nak buat apa?” soalnya pantas.

“Tuu... ,” pokcik memuncungkan mulut menunjuk ke perutnya yang sedikit boroi.

“Cet...! “ Kami sama-sama tergelak.

Alahaiii...

Monday, November 24, 2008

renyai...


Beberapa hari yang lepas, hujan agak merenyai hampir lewat pagi. Bumi jadi basah dek rintik-rintik yang melata membentuk takungan air yang berkocak-kocak dan beralun. Kadang-kadang jatuhnya menimpa daun lalu luruh mengalir turun ke tanah, meninggalkan bekas yang sejuk dan dingin.

Dalam masa yang sama, nun jauh di dalam dewan, atas bukit UiTm Shah Alam, ada air mata yang jatuh membasahi pipi tua ayah bonda. Datangnya mereka dari jauh dengan penuh semangat, Sanggup walau disuruh menapak-napak, naik turun bas berlama-lama, semata-mata kerana hendak melihat anaknya di atas pentas sana, berkonvokesyen penuh bergaya, menyalami yang dipertua untuk mengambil skrol menandakan sudah berjaya menamatkan pengajiannya.

Kepada graduan-graduan yang berjaya, tahniah si daun keladi pokcik ucapkan.

Semoga anda semua akan menjadi insan yang berperangai mulia, tinggi akhlak dan bersih jiwanya.


Thursday, November 20, 2008

Musim sama, cerita lain...


Musim coti sekolah sudah tiba. Seronok sakanlah budak-budak semua. Mengajak mak bapaknya berjalan ke merata tempat selain sekolah. Cuma jangan terlalu mengikut selera anak-anak zaman selepas merdeka ni. Nanti anda juga yang susah sendiri.

Juga bagi budak IPTA dan IPTS yang baru selesai menghadapai peperiksaan akhir, bolehlah menyambung sessi diskusi bersama pasangan anda dalam topik yang lain pula. Kalau tak ada pasangan, carilah satu musuim cuti ni. Mungkin anda kureng hensem atau buruk perangai atau tak pandai mengayat.

Yang hendak berkenduri kendara, pastikan baryani gamnnya sedap hingga meresap ke anak tekak para tetamu yang datang. Bior puas oang melantak-lantak. Dengan itu nasik baryani di majlis anda akan dikenang sampai bila-bila , walau tak kenal akan tukang masaknya.

Pada bakal ibu yang sedang menanti cahaya mata atau yang sudahpun bergelar ibu, selamat menjaga anak. Kenangilah ibu anda yang berada dalam keadaan begini sewaktu mengandung dan melahirkan anda dulu. Dari itu, anda akan tahu jerih perihkan keadaan itu. Jangan susah-susahkan mereka pula untuk menjaga anak anda. Jaga je sendiri atau upah bibik saja. Mak anda hendak berehat. Dia penat!

Pada budak-budak yang hendak masuk jawi pula, selamat bermain polis sentri. Cuma malangnya.. anda seorang saja jadi pencuri manakala sekelian oang kampung hatta oang tua anda akan jadi polisnya. Mana mau lari haa? Itu 'barang' musti kasi potong juga!

Yang sedang berada di tanah Mekah, semoga kesihatan anda baik-baik saja dan haji anda juga diterima.

Pada yang sedang main dam aji di warung pak Aji. Tunggu nanti kalau pokcik balik kampung, kita main sama-sama aa.. hik hik

Buat masa ni, pokcik pula… macam biasa la. lepak-lepak je.

Alahaii…

Sunday, November 16, 2008

Kita berkuiz-kuiz la pulak..

Selain dari jemputan kahwin, oang bersunat, oang pergi haji, atau sesaja makan-makan pree yang melanda musim sekolah ni, sekali sekala kita jawab kuiz la pulak. Mana tahu kut-kut menang duit ka, tak pun tiset. Bolehlah nanti gi melaram ke majlis makan-makan seperti yang disebutkan.. hik hik


KUIZ BERSAMA LIZA ZAHIRA


Sempena pelancaran novel terbaru Liza Zahira iaitu, KAU TETAP DI HATI memenangi hadiah-hadiah yang sangat menarik.

Cepat hantarkan penyertaan anda ke email yang tertera!

MENANGI HADIAH MENARIK
20 penyertaan paling awal akan menerima Baju T Liza Zahira



Hadiah Pertama: Wang Tunai RM300
Hadiah Kedua: Wang Tunai RM200
Hadiah Ketiga: Wang Tunai RM100
10 Hadiah Saguhati:Senaskah novel Liza Zahira (Pemenang boleh memilih salah satu novel Liza Zahira)

SOALAN-SOALANNYA:
1. Novel Kau Tetap Di Hati (KTH) merupakan novel Liza Zahira yang ke berapa?


2. Selain Malaysia, negara manakah yang menjadi latar cerita KTH?

3. Berikan nama anak-anak saudara Sophia dalam Kau tetap Di hati?


4. Bahtera Kasih (BK) merupakan novel ketiga Liza Zahira. Apakah nama kapal lanun yang menculik Carra Lina dalam novel tersebut?

5. Siapakah lelaki yang akhirnya menjadi pilihan Carra Lina dalam BK?

Lengkapkan kata-kata berikut (tidak lebih dari 20 patah perkataan)Saya gemarkan novel-novel Liza Zahira kerana ……………………………..

Tuliskan Nama, No.kad pengenalan, Telefon dan Alamat berserta jawapan lengkap anda ke:

liza_ktd@yahoo.com dan cc ke
lizaali@karangkraf.com atau liza_zahira2@yahoo.com.my

TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH PADA: 31 DISEMBER 2008

CEPAT! JANGAN LEPASKAN PELUANG ANDA!

Tag bergambar la pulak...

Kali ini pokcik kena tag dengan penulis Durrah Fatihah la pulak. Bukan sebarang tag ni. Tag bergambar lagi..

Oleh sebab pokcik ni kureng fotogenik hari ini, maka tak dapatlah kalian nak menatap wajah pokcik yang hensem-hensem kiut ni hik hik.

Tapi tak apalah, pokcik kasilah gambar terkini. Gambar pokcik sedang melawat oang yang bertanggungjawab melakar ilustrasi buku Dol Leman.
Dan khabarnya, dia sekarang sedang sibuk menyiapkan illustrasi untuk Dol leman 4.

Hah, Dol Leman 4? Uii.. Misteri apa pulak tu? Bila nak keluar? Tak sabo ni nak baca!

Entahlah, dia pun tak kata apa.. tunggu jek la..

Alahaii...

Friday, November 14, 2008

Hari Diabetes Sedunia.


Hari ini kalau tak silap pokcik merupakan Hari Diabetes Sedunia. Dalam bahasa sedapnya di sebut Hari Kencing Manis sedunia. Tengok tu, bersungguh-sungguh oang nak mengingatkan kita tentang penyakit ini walaupun satu hari. Bukan kita saja, malah seluruh dunia turut mengiktirafnya.

Apa-apa pun, mungkin pada kamu semua memang tak rasa apa-apa. Bagi pokcik yang terkenangkan Mat Boo, kawan pokcik di kampung yang meninggal dunia baru-baru ini akibat penyakit ini, memang terasa seriaunya. Ngeri pun ada.

Itulah, hidup di zaman sekarang ini, memang kita terlalu sibuk dah tak berapa nak kisah tentang kesihatan diri. Lebih-lebih lagi nak memantau penyakit yang ada atau bakal ada. Sedar-sedar saja dan terkena. Nak berundur pun tak sempat. Sebab tu oang selalu kata, mencegah lebih baik dari mengobat.

Sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis adalah penyakit tiga serangkai yang menjadi pembunuh nombor satu di negara kita malahan di Asia juga. Statistik ini sangat menakutkan kalau dilihat pada jangka masa panjang. Mudah betul kita ini terkena penyakit dan ianya tidak menyerang pada tempoh usia tertentu. Kecik besor, tua muda, miskin kaya, hensem hodoh, semua ada peluang masing-masing kalau tak jaga diri betul-betul.

Berapa ramai saudara mara atau kaum keluarga terdekat kamu yang menderita sakit kencing manis ini? Kadang-kadang sampai terpaksa dipotong kaki kan? Eee… tak sanggup pokcik membayangkannya. Belum lagi simptom sampingan, letih-letih badan, kabur pandangan, kerap kencing, skizofenzia, suka marah-marah dll. Itu semua kesan dari penyakit kencing manis tersebut.

Dari itu, pandai-pandailah kamu semua nak jaga diri. Jaga makan minum dari sekarang. Rajin-rajinlah exercise ( macam pokcik yang rajin menyangkul laman baru-baru ni hik hik ). Pantau kandungan gula dalam darah, dan juga teh tarik kamu.


Komdian, doalah banyak-banyak pada Tuhan supaya sentiasa sihat sejahtera. Mudah-mudah kamu akan panjang umur dan masih lagi mampu tersenyum manis.

Adehh.. pokcik penat dah menasihati. Nak minumlah pulak, haus tekak ni...

Alahaii...

( Sambil menghirup air masak kurang manis.. hik hik )

Thursday, November 13, 2008

kaget...


“Wah, seronok aa kau. Dah cuti sekolah ni, riun rendahlah umah kau. Anak cucu semua balik,” usik pokcik pada Tok Lipat yang turut ketawa di hujung talian.

“Alah, tak juga. Ada yang balik, ada yang tidak. Dowang semua rajin pergi makan angin, pergi jalan-jalan,” balas Tok Lipat.

“Apa lagi, ikutlah… rehat-rehatkan badan, seronok apa,” usul pokcik lagi.

“Ish, ish tak naklah aku. Dah tua-tua ni, malaslah aku nak berjalan-jalan. Duduk rumah lagi bagus. Lagi pun, kau tau je lah time-time cuti ni, sibuk oang nak buat majlis kahwin. Kenalah tolong sana sini. Belum lagi yang nak mengurut-ngurut,“ terang Tok Lipat. Pokcik mengangguk saja. Memang Tok Lipat selalunya sibuk dalam waktu-waktu cuti sekolah ni. Oang yang ajak dia rewang pun ramai.

Memang hakikatnya begitulah tatkala cuti sekolah menjelma. Kampung pokcik yang terkenal dengan sikap gotong royong dan ukhwah sesama penduduk ni memang meriah. Hinggakan ada oang yang memuji-muji kesepakatan kami yang sudah jarang-jarang dipraktikkan pada zaman sekarang ni. Semuanya bersatu hati dan tenaga kalau tiba bab-bab kerja kahwin ni, walau pun kebanyakannya hanyalah oang-oang tua gituu.

“Banyak ke oang buat kerja kahwin?“ Pokcik sekadar menanya.

“Hmm banyak jugaklah. Pak Dolloh pun nak kenduri menjemput menantu. Lebai Tamin pun nak nikahkan anaknya. Haji Kusam pun buat untuk majlis anaknya juga. Pendek kata ramailah. Kampung sebelah menyebelah pun ada menjemput juga. Mereka tanyakan kau. Ajak datang sekali.“ Panjang lebar Tok Lipat cuba mengingati senarai aktiviti majlis sewaktu cuti sekolah nanti.

“Mak oii.. banyaknya. Meriah ni. Kalau ada baryani gam... aku pergi.“ Pokcik terkekeh ketawa. Saja mengusik. Tapi kalau menunya baryani gam, memang terliur pokcik dibuatnya. Sampai makan dua tiga round.

“Ye lah tu. Eh, baliklah kampung.“ Ajak Tok Lipat.

“Tengoklah dulu,“ jawab pokcik perlahan. Dalam hati, teringin juga nak balik. Duduk sini pun boring juga. Kat kampung lagi meriah.

„“Aku dengar, janda tu dah nak bernikah juga cuti sekolah ni...“ Tok Lipat berkata lagi membuatkan jantung pokcik tiba-tiba berdegup kencang.

“Hah, dia nak bernikah?“

Entah kenapa, pokcik merasakan tiang telefon itu bagai nak rebah menimpa tubuh pokcik yang sudah menggeletar ni. Rasa terkejut, cemas dan kaget bersilih ganti bergolmal menjadi satu sebelum rasa kecewa tiba-tiba menjalar menghimpit perasaan yang halus mulus ini.

“Oh, tidak!“... Pokcik menjerit dalam hati. Tubuh terpaku.

Di hujung talian, masih kedengaran lagi bunyi helloo, helloo yang panjang..

Monday, November 10, 2008

berat...


Entah kenapa, pagi ini pokcik rasa tiba-tiba sahaja hendak membersihkan laman umah. Melihat rumput-rumput yang mula meliar di bawah pondok, terasa perlu juga menajak dan membuangnya. Bior bersih sikit laman pokcik ni. Senang orang nak datang bertandang. Maklomlah, pondok pokcik ni kan glamer.. hik hik.

Maka dengan segala kudrat yang ada, pokcik pun menghayunlah cangkul, memancah dan memuggar dengan semangat yang berkobar-kobar. Baru beberapa minit menghayun, peluh sudah mula berjuraian memenuhi badan pokcik.

Pokcik tabahkan juga hati walaupun terasa seperti cangkul itu yang menghayun pokcik hingga terhoyong-hayang tubuh ini dibuatnya. Degupan jantung sudah semakin laju rentaknya. Nafas sudah tercungap-cungap. Pandangan jadi berpinar. Rumput di laman, baru terpokah dua tiga jemput.

Alih-alih, tanpa disedari… pokcik sudah terduduk letih di atas tangga. Pinggang sudah rasa mencucuk-cucuk. Derap tulang berbunyi berkrup krap entah berapa kali kedengaran. Nafas yang dihela pun semakin kencang diselang seli bunyi mengaduh.

Setelah agak reda, pokcik menyapu peluh di dahi sambil merenung cangkul yang terlintang di atas tanah. Sesekali mata terpejam-pejam menahan bisa yang menjalar ke seluruh badan. Pokcik geleng kepala sambil mengeluh berat.

“Ish, ish, cangkul sekarang ni…. berat-berat belaka. Sampai tak larat pokcik nak menghayunnya...”

Alahaii…

Friday, November 07, 2008

hujan dan kisah-kisah lain...

i.
Beberapa hari yang lalu, hujan sudah mula mengubah masa turunnya dari pada petang/malam ke awal pagi dan sesekali membawa ke tengah hari. Itu yang pokcok peratilah. Sekali sekala pokcik suka juga jadi ahli kaji cuaca ( walau yang dikaji asyik hujan saja ) , maklomlah, tak ada apa nak dibuat gituu…


Walau bila dan di mana turunnya, pokcik memang sentiasa menganggap hujan sebagai rahmat dah kerap berdoa supaya turunnya hujan ini biorlah memberi manfaat kepada manusia dan juga bumi. Bayangkanlah, negara yang tandus dan kering, gersang bertahun-tahun. Nak dapat air pun susah, inikan pula negara kita yang mewah dan normal cuacanya. Walaupun, ada kejadian banjir serta tanah runtuh di sana sini, namun kebaikannya melebihi keburukan. Lagi pun, kejadian itu semua boleh di cari penyelesaiannya.

Hakikatnya, kita harus reda.

ii.
Kalau tak silap pokcik sekarang ni budak-budak Univ semua sedang dalam minggu periksa, termasuk jugalah budak-budak UiTM di sekitar kawasan pokcik ni. Sewaktu pokcik berjalan-jalan ke restoren mamak berdekatan, memang penuh dengan budak-budak yang tekun mengadap laptop sambil beriya-iya diskusi.

Cuma satu jelah yg pokcik tak faham, hampir setiap mereka berpasang-pasangan dalam suasan berdikusi yang meragukan. Entahlah, budak-budak zaman sekarang ni, kalau tak ber couple-couple masa study atau diskusi, memang tak masuk dalam kepala agaknya. Alahaiii..

iii.
Budak-budak sekolah rendah dan menengah pun tengah periksa juga. Ini bermakna, bila dah habis periksa maka dekat benorlah nak cuti sekolah ya. Seronoklah budak-budak tu semua. Mak bapak pun, mulalah garu kepala, nak melayan anak-anak yang bakal meriuhkan rumah. .

Kalau ada duit lebih, bolehlah bawa anak jalan-jalan, makan angin atau makan kat luar. Tidaklah mereka merasa boring nanti asyik terperuk kat umah menengok kartun atau main playstation. Lagi pun, ini cuti sekolah akhir tahun. Tentu lama. Apa-apa aktivitinya, semoga perancangannya berjalan lancar dan menyeronokkan.

Paling tidak pun, baliklah kampung jengok oang tua..

iv
Sejak seminggu yang lalu, pokcik perasan, rasa komedi pokcik semakin hilang.

Alahaiii...

Monday, November 03, 2008

sedih...

Menyedari bahawa bulan Syawal sudah pun berganti Zulkaedah, hati pokcik terasa sedikit sedih dan sebak gitu. Tak disangka, masa yang cepat berlari ini membawa sama segala keriangan raya yang bagaikan semalam datangnya.

Acara kunjung-kunjungan ke rumah ayah bonda dan saudara, keenakan ketupat, lemang, dodol serta juadah yang beraneka rasa, Kerlipan bunga api dan meriam buatan sendiri, duit raya yang melimpah-limpah serta segala kaitannya di Aidil fitri yang indah ini, akan mula dilupakan dengan perlahan-lahan.

Sepilah nanti malam-malam yang penuh dengan takbir dan tahmid memuji Ilahi, alunan marhaban di setiap rumah dan segala open-open house di kala hujung minggunya. Oh, benar-benar Syawal sudah pergi rupanya.

Setiap kali datangnya raya tentu ada nostalgianya yang tersendiri. Baik yang indah menggamit hati ataupun pahit bagai hempedu. Segalanya punyai rencah tersendiri saban tahun. Entah laratkan hati ini untuk menanti setahun lagi. Entah sampaikan usia ini mengulangi membayar zakat fitrah lagi. Apalah nasib kita nanti? Mudah-mudahan kita dipanjangkan umur supaya dapat lagi merasai hari kemenangan tahun hadapan.

Oleh dengan sebab itu jugalah, entah kenapa, dengan tiba-tiba yang sangat tak disangka tiba-tibanya, segala ceria-cerita pokcik mengenai raya, jadi terpadam tiba-tiba, walau rasa macam ada banyak lagi yang tak habis nak cerita.

Alahaiii...