Sunday, March 01, 2009

Tagged pilem-pilem


1. You have to point out 5 romantic movies that you would love to share with your loved ones.

2. It doesn’t have to be in order.. as long as you love the movies, it will be fines long as you love the movies, it will be fine

Alahaiiii.. pokcik kena tagged plak ngan Dhiya Zafira. kali ni tanya fasal pilem-pilem kesukaan pokcik yg nostalgia. Kalau nak diikutkan, banyokkkk... Tapi ni jek la yang pokcik ingat... kenapa?

1. Ibu Mertuaku - Mana boleh lupa pilem ni. Apatah lagi dialog Mak dara pada Kassim Selamat di kuburan ,

"Hmm.. Menangis kunun. Jantan tak tau malu. Menikah satu sen tidak keluar uwang, malah harta anak aku kau kikis sampai habis. Komdian, kau seksa pulak anak aku sehingga mati. Pergi kau main mujik disana buat apa kau menangis di sini."

Ooo.. dasatt..



1. Penarek Becha - Sebab ada lagu Azizah.. hik hik

3. Sanggam - Kisah cinta tiga segi yang terawal pada pilem hindi, sekarang ni... dah berlambak-lambak kisah cam ni. Pokcik suka lagu , Hardil Jo Pyar Karega.. Yihaaaaaaa

4. Haati Mere Saati - Wow! gajoh boleh main bola wa cakap tu.. Kalah Ronaldo. Nak-nak kalau gajah tu naik minyak tengah-tengah padang hik hik


5. Chaahat - Suka tengok Pooja Bhaat - Cun gitu.. kekekekek Lama dah dia tak berlakon. Mana perginya ek?

Tu jek la.. pilem-pilem yang pokcik minat. Waa jangan la gelakkan. Pokcik tahu.. seme pilem-pimen lama tu..
Apa nak buat , orang lama.. hik hik

Wednesday, February 25, 2009

Diari sang hujan...



Hujan kini begitu murah sekali turunnya saban hari, Dari petang membawa ke pagi terus ke dinihari. Bersemangat sungguh pokcik menikmatinya berteman sekut kering dan kopi tongkat Ali.

Sekurangnya dingin jugalah tidur pokcik setelah penat bersantai, membuang letih lesu tubuh badan dan celaru fikiran ini.

Agak berselera gitu dengkur-dengkurnya bersama bantal busuk serta selimut kusam yang menutup seluruh tubuh tua ini sambil di temani….

mimpi-mimpi basah...

Hik hik

Nota cagu :


Korang memang nakal kalau mengingatkan maksud yang lain mengenai mimpi basah tersebut. Tidak bolehkan anda menganggap yang pondok pokcik bocor dan air menitis di atas kepala sewaktu tengah tidur menyebabkan semua mimpi-mimpi pokcik basah semua.. gegegege

Monday, February 23, 2009

Luka ini separa pedihnya...

Hujan yang turun gerimis membasah bumi di petang Ahad membuatkan pokcik jadi rindu pada saat santai yang begini-begini. Sambil menghirup, sambil menitip biskut kering di tangan, ingatan itu bagai di bawa-bawa pergi.

Tinggallah kasih tinggallah dewi
Aku pergi berputih hati
Kalau orang tuamu enggan memberi
Apakan aku harus menanti...

Dan momen-momen itu bagaikan seribu sembilu yang menyucuk tangkai hati. Merobek kembali parut luka lama yang masih hangat terasa.

Cerita lama itu seperti semalam berlalunya. Pokcik merenung jauh ke dalam titis hujan, seolah-olah nampak seorang jejaka yang basah lencun meredahnya, yang patah hati, kerana cinta. Kadang-kadang mengalir si air mata bersama pedih pilu yang sungguh menyakitkan.

Adehh...!

Waa.. tergigit jari la pulak.

Ish, ish, tuuu la padohnya, kalau makan sekut sambil menggelamun.

Alahaii...

Thursday, February 19, 2009

Rindu ini sederhana pilu...

Terima kasih si daun keladi kepada sesiapa yang sudi mengunjungi pondok ini. Juga pada insan-insan suci yang sudi menitip khabar di angin lalu.

Yang dekat , berkirim jalan
Yang jauh , berkirim salam..
Yang ingat , berkirim sapaan
Yang lupa , berkirim ingatan

Yang bersua, ber 'ngeteh-ngeteh'an

Kadang-kadang, dalam hati ini berkobar-kobar hendak menulis, tapi siapa tahu bilamana perasaan ni naik dan turun sesuka hati dan akhirnya mati begitu saja.

Pokcik terdera oleh rindu yang membalun pilu.

Alahaii...

Thursday, February 12, 2009

sebabak...

Di satu remang senja, di tepi jeti yang merah mentarinya, dalam drama sebabak sewaktu lena diawal pagi.

Pokcik : Kenapa tak makan mee jawa tu? Sedap pe?

Mamaih : Hmm tak de selera la ( sambil berpaling mengadap laut)

Pokcik : Alahaii. Janganlah cam tu. Makanlah walau sikit pun. Kalau tak cukup, leh order lagi. Nanti kalau awak tak makan, siapa yang susah? Saya juga...

Mamaih : Oh, begitu ke? Wah, perihatinnya awak. Tak sangka gitu. Awak ambil berat tentang diri saya? Sooo gentle.

Pokcik : Eh, bukan cam tu..

Mamaih : Hah? Habis tu?.

Pokcik : Yo la, kalau awak tak makan, saya juga yang kena makankan. Lepas tu, kalu dah makan banyak-banyak, meragam pulak perut ni. Komdian, semua penyakit datang bertandang. Saya juga yang susah lepas tu..

Mamaih : Argkhss…, benci nyerrr.. ( sembil hentak-hentak kaki dan berlari lalu terjun ke laut) Debushhh!!!

Pokcik : Mamaihhhh….! Ohhhh tidakkkkkkkkkkk…..


*plop*

Dan mimpi itu begitu-begitu saja perginya.. hik hik

sebegini...

Pokcik menarik balik niat hati hendak membubarkan pondok ini.

Kerana, inilah saja harta yang pokcik ada.

Tanpanya, pokcik akan jadi lebih gawat

Hik hik

Tuesday, February 10, 2009

sebegitu...

Sebagaimana pokcik sekarang ni begitu malas hendak membaca.

Sebegitu jugalah pokcik malas hendak menulis jua.

Terasa hendak “BUBAR” saja pondok ini.

Hik hik

Thursday, February 05, 2009

Limau Manet...

Diserang rasa bersalah yang teramat-amat, Ah Seng mengagau ke belakang kedai. Tidak sampai seminit dia kembali dengan sebakul limau lalu di berikan kepada pokcik.

”Ambik la, ini limau.. manet punya ( manis punya). Angkat semua.” Bersungguh tauke kedai kopi itu menyua. Barangkali juga kerana tak tahan mendengor pokcik membebel akan limau-limau yang diberinya sebelum raya cina dulu masam semuanya.

“Hiyaa, banyak sangat ni.” Pokcik cuba bersantun.

“Tala apa la, pocii kasi angkat makan la.” Ah seng beriya memujuk. Pokcik jadi tak berdaya dan akhirnya ambik la juga limau-limau yang nampak pelik tu.

Maklom la, zaman pokcik dulu, mana ada limau-limau yang sebesar bola ping pong tu. Semenya saiz besor2. Limau ni, lain pesen pulak, kiut-kiut saiznya.

Rasanya , mak uii.. manis sungguh. Berperisa bila dikunyah, biji pun tiada, kira sedap sungguhlah limau yang kiut-kiut ni. Ntah la, pokcik pun tak tau limau apa. Kata Ah Seng, limau tangerine. Yo la tu..

Berselera sungguh pokcik makan waktu santai-santai petang tu. Kadang-kadang pokcik terkekeh ketawa sendirian.

“Agaknya, kalau nak kena kencing manis, tak payah makan gula. Makan limau ni pun dah cukup…” Pokcik tergelak lagi sambil mengopek limau yang ke doplo.

Alahaiii…

Tuesday, February 03, 2009

Makna...


”Kita bekot ( sebut beyy kot ) saja kuih Nek Som tu!” Berapi benor suara nek Salemah awal pagi itu. Pokcik dengan Tok Lipat yang dipaksa datang mendengar luahan perasaannya di muka tangga hanya termanggu-manggu saja. Perkataan bekot waktu tu amat asing sekali. Entah dari manalah Nek Salemeh dapat perkataan tu. Macam tinggi saja bahasanya.

“Mana boleh jadi. Oang seme jual karipap satu sen, dia jual sampai dua sen sebiji. Huh, cekik darah!” Semakin menyirap darah Nek Salemah pada Nek Som yang berniaga kuih-muih di hadapan sekolah. Maklomlah, waktu itu semua oang susah, duit pun tak banyak. Kalau dah bahan makanan mahal begitu, mana oang mampu nak beli. Orang tua tu, suka-suka je letak harga tinggi.

“Kalau gitu, kau beli je la kat tempat lain,” Tok Lipat menbuat cadang sambil menyonyot gula-gula batang. Oh, untuk pengetahuan semua, waktu itu kami berdua masih muda remaja dan tiada masalah yang melanda di jiwa. Hati kami riang ria saja setiap masa. Berbasikal ke mana saja bagai dunia kami yang punya, yihaa.. Cuma Nek Salemah jek yang kepoh sedikit di zaman mudanya hik hik.

“Memanglah boleh beli di tempat lain, tapi aku tetap tak puas hati.” Marah Nek Salemah masih belum reda. Pokcik berkira-kira hendak beredar. Mendengar oang pompuan bercelotah di awal pagi memang tak bagus untuk keremajaan kami. Dan lagi, bakal menghilangkan mood ceria gitu. Basikal sudah dihala keluar dari muka tangga. Tok Lipat menebak jambulnya.


"Kami terpaksa pergi la. Ada hal... " Pokcik mencari helah sambil mula menolak basikal.

“Ni, korang jangan lupa tau.. Kita bekot kuih Nek Som tu, bekottttttt ! “ Sempat lagi Nek Salemah menceceh sebelum berdesup kami mengayuh pergi.

Lama betul pokcik tak dengar istilah tu. Cuma sejak akhir-akhir ini baru menjelma kembali. Tapi pokcik kurang pasti pula adakah ia benda yang sama. Kalau iya, maka istilah yang baru ni nampak lebih sedap pula bunyinya daripada yang Nek Salemah sebut 40 tahun dulu. Dan rasanya, barulah pokcik faham apa maknya. ( walau pun Nek Som tu sudah lama tiada… )

Ya, kita musti BOIKOTTTTT kuih diaaa…!

Alahaii…

Friday, January 30, 2009

Gawat...

Lama bonar pokcik tak menulis di pondok buruk ni. Almaklom la.. apabila gawat datang melanda, pokcik pun terikut sama merasa bahangnya walau pun berkali-kali pokcik mengaru kepala cuba mencari kaitan antara sekut serta kopi Tongkat Ali yang pokcik selalu beli, kerjaya pokcik yang tidak menyumbang kepada produktiviti negara ( kerana dok lepak-lepak je ) dengan ekonomi dunia yang kian merudum ini.

Di tambah pula dengan limau-limau Ah Seng yang serba masam yang diberinya sebelum tutup kedai sempena Kong Hi Pat Choi minggu lepas, lagilah membuat hati pokcik semakin berangin dan masam mencuka.

Dan lagi, kerana gawatlah pokcik tidak dapat balik ke kampung berjumpa Tok Lipat dan sekelian sedara mara jauh dan dekat. Terlepas peluang bertemu si janda. ( Sebenarnya tiket dah abih, pokcik lupa boli awal-awal.. saja nak salahkan gawat juga hik hik )

Kalau tengok kat kaca tiwi tu, kat suat-suat kabo atau di speaker radio, rata-rata… asal namanya kilang atau syarikat swasta, tentu ada kes-kes buang oang, coti tanpa gaji, coti panjang, potong gaji, potong sana sini dan macam-macam hal yang tak sedap didengor apatah dirasai sendiri oleh yang empunya diri. Kadang-kadang naik ngeri pula memikirkan akan masa depan yang di sangka cerah sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di awal pagi, sedangkan kita tiada selimut dan bantal busuk sedap untuk menikmatinya.. hik hik.

Apalah nasib mereka-mereka ini? yang termasuk dalam ribu-ribuan insan yang mendapat nasib paling malang tahun ini. Apalah perasaan keluarga mereka? Bini yang perlu diberi makan dan belanja persekolahan anak-anak. Ayah bonda di kampung yang perlu dihulur-hulur? Apa pula kisahnya dengan harta-harta yang perlu dibiayai hasil dari duit gaji atau obartime yang lebat suatu masa dulu. Siapa yang menyangka, tragedi sedekad yang lalu datang menghantui kembali.

Memang banyak kisah yang menyayat hati kedengaran di sana sini. Hingga tak terkata dan tak tahu nak buat apa? Kerajaan pun buntu untuk membantu. Hanya mampu memberi harapan dengan kata-kata yang molek dan perlaksanaan yang entah bila boleh start nya. Padahal, ramai yang dah merana. Kerja semakin tiada, sedangkan yang tidak bekerja semakin berganda. Alahaii...!

Hakikatnya, zaman ini, zaman berjimat cermat dan bertahan. Tak usah nak mengeluh kesah, bernangis hiba dan kusut otaknya. Fikiran kena buka luas-luas. Kemaslahatan yang melanda bukanlah akhiran hidup ini. Kalau kita fikirkan kembali, gawat yang mengocah telah ditakdirkan oleh yang maha kuasa ( sebagai dugaan ke atas manusia ), maka pada Dia lah kita berserah kembali.

Semoga anda-anda semua yang terlibat atau terkena tempias gawat ini, akan terus hidup dalam saat yang paling genting dan mencabar ini. Berusahalah dengan lebih kuat lagi mencari rezeki halal di mana-mana. InsyaAllah.. rezeki Tuhan ini banyak bertaburan di atas bumi.

Semoga kita semua akan berjaya dan sentiasa dalam rahmat Tuhan!

Dan, pokcik… dalam kepala ini, rasanya, hendak mencuba je masuk Ujibakat Akedemi fantasia 7.
Hik hik bley ka?

Wednesday, January 28, 2009

maaf...

Maaf, kerana lama tidak menitipkan sesuatu di pondok usang ini.

Alkisah... pokcik di landa "gawat"

hik hik...

Thursday, January 22, 2009

Tagged di tahun baru..

Uiii tahun baru pun ada tagged jugak. Saja la Dewi Sukma nak menyakat... Apa-apa pun, layannn...

1. Do you think you are hot?
Hanya bila demam panas saja… hik hik

2. Upload your favourite picture of you.
Gambar pokcik takde, gambar ini jek yang ada.. Yihaaa...
3. Why do you like that picture?
Damai dan tenang , menusuk ke dalam hati.. membawa lara dan segala duka pergi. Mengimbau memori melengkap masa santai di senja duniawi.

4. When was the last time you ate pizza?

Ada la , dalam bulan December.. tahunnya tak berapa ingat la. Lama dah.. hik hik..

5. The last song you listened to?
Cik Ainon Janda Muda , nyanyian Allaryarham S.Jibeng – Lagu ni macam menggamit-gamit gitu hatinya pada seseorang gegegege.

6. What are you doing right now besides this?
Mencari spot terbaik di bantal busuk sambil menganyam mimpi…

7. What name would you prefer besides this?
1. Tok Lipat
2. Imam Dolloh
3. Janipah Lopis
4. Dol Leman
5. Marpunah.

8. Who is no. 1?
Teman tapi mesra yang akrab benar rasanya. Sejak dari kecil sudah bersama. Hinggalah sampai ke tua bangka ni. Maintain setiakawannya.

9. No. 3 is having relationship with?
Laki dia la.. Tapi ada satu lebai hidung belang ni salu menebeng kat gerai lopis dia pepagi. Janipah wat tak layan je.. hik hik.

10. Say something about no. 5.
Seorang janda dengan 1001 macam ceria. Buat hati jadi kencana sementalaah tidurnya asyik tak lena. Kalau tidak diucap habih merana, kalau diluah bakal bahana.. Abih tu cam naaa ?

11. How about no. 4?
Oh, yang ini budak yang paling nakal seantero maya. Dan malang sekali, berjiran pulak dengan pokcik ni.. adehhh.

12. Who is no. 2?
Teman tapi mesra juga. Cuma hidayatnya sampai dulu, jadi ter alimlah dia hingga dilantik sebagai iman surau Kg Parit Sangap tu. Kalau tak, dia pun dua kali lima dengan pokcik dan Tok Lipat. Biasanya dia memang bersifat alim, tapi bila jumpa kami berdua, selalu terbabas. Kekekeke

Tu jek la..

Thursday, January 15, 2009

sekut...


Beberapa hari ni, pokcik rasa tak berapa selera nak makan sekut. Tak tahulah kenapa. Nak kata tersalah beli, memang kedai itu yang pokcik selalu tuju.

Adakah sebab sekut yang dibeli baru-baru ini berlainan siri atau memang rasanya semakin lama sudah semakin kurang menyengat.


Kunyah-kunyahpun rasa tawar la juga. Cicah kopi Tongkat Ali kaw-kaw pun tak berubah rasanya. Pening kepala pokcik memikirkannya. Sampai naik deman rasanya. lesu tubuh badan dan sekelian sendi mendi jadi bisa-bisa gitu.

Barangkali, pokcik terkena penyakit “Cekutngunyah“ kut..

Alahaii...

Friday, January 09, 2009

Bas...

“Amboi ko ni. Senyap je, lama tak telepon-telepon.” Pantas saja suara Tok Lipat menerjah.

Barangkali sudah rindu dengan pokcik. Maklomlah, sejak masuk tahun baru 2009 ni, pokcik masih belum sempat lagi nak miscall2 dia.

“Apa ko buat tahun baru hari itu?” Tok Lipat menyoal lagi.

“Aku ingat nak sambut-sambut, tapi tertido la pulak,” jawap Pokcik.

“Ko tu memang, tak habis-habis dengan tido,” usiknya sambil tergelak kecil. Sudah lama kami tak berbural mesra sebegini. Maklomlah, pokcik duduk jauh.

“Eh, tak lama lagi nak raya cina. Jomlah balik kampung, lepak-lepak,” cadangnya tiba-tiba. Pokcik sedikit tersentak. Kemudian mengangguk perlahan. Ya, memang tidak lama lagi dah nak masuk tahun baru cina.

“Ya lah, tak perasan pulak aku. Hmm.. bagus juga ek kalau balik kampung ni. Lama dah aku tak balik.“ Pokcik menjawab ceria.

“Hah, elok tu. Baliklah kampung.“ giat Tol Lipat lagi.

“Okey jugak tu. Lama dah tak balik Parit sangap.“ Pokcik pun turut teruja nak balik.

“Jangan lupa boli tiket siap-siap. Nanti habis pulak.“ Dia mengingatkan.

“Kalau habis, aku naik bas sangkut-sangkutlah,“ jawab Pokcik.

“Ish, buat apa? Menyusahkan je. Nanti silap haribulan, kau yang tersangkut. Naik bas ekspress je lah. Terus ke kampung.“ Perihatin benar Tok Lipat pada pokcik. Maklom la.. kawan mesra gituu.

“Kalau nak boli tiket, boli yang tempat duduknya depan-depan, jangan duduk belakang-belakang.“ Nasihat Tok Lipat lagi.

“Apsal pulak?“ Pokcik jadi hairan. Selalunya dia tak banyak songeh. Lagi pun, apa bezanya duduk depan dengan belakang. Pokcik baru hendak bertanya…

“Kalau dok depan, cepat sampainya…,“ tambahTok Lipat lagi.

“Hah?” Pokcik mengerutkan dahi. Ini lagi menghairankan.

Tidak lama lepas tu, kami berdekah-dekah ketawa. Riuh sedikit di pondok telefon dek suara pokcik yang bersungguh-sungguh mengilai. Geli betul hati ni.

Tok Lipat buat lawak pertamanya untuk tahun baru. hik hik

Alahaiii..”

Tuesday, January 06, 2009

azam...

Tahun baru ni, banyak dah pokcik senaraikan azam-azam yang bakal dilaksanakan. Termasuk juga resolusi, manifestasi, konontrasi , basa-basi, impian, angan-angan dan bermacam-macam lagi benda-benda yang kedengaran "gah" dan sedap pula kalau pokcik yang disebutkan. hik hik

Antaranya ( dari senarai melebihi patplo juto belas-belas ribu itu ) adalah, pokcik akan menjadi lebih prolifik lagi dalam mengemaskini cerita-cerita, rapuan-rapuan, info-info matik di pondok buruk yang tersangatlah glamernya ini... supaya menjadi lebih disukai ramai dan rajin tandangi selalu. Bior doplo pat jam nampak meriah dan ceria sentiasa!

Err... err... pokcik start tulih esok je la.. hari ni penat lak rasanya..

Alahaii... hik hik

Thursday, January 01, 2009

Tawon baru....

Pokcik saja menahan mata dari ketiduran.. Nak sambut tahun baru ni... koman-koman pun kena tunggu kul 12 malam. Baru bley nampak bunga api yang berwarna-warni dari pondok ni. Boleh juga dengar dentam dentumnya bunyi mercun. Tentu meriah... Seronok nyerr

Oooo.. dekat dah, dekat dah..

Seploo...

Sembilan...

Lapan..

Tujuh...

Nammm....

Limahhh.. aa aaa

Paaatttt ( whoaaaa... sangap jap )

tiiii gaaa aa aaaaa sss

zzzzzz

zzzzzz

zzzz

kroh... kroh... krohh... kroiihhsss...


Nota cagu :

Selamat tahun baru 2009 untuk anda semua.
Semoga di tahun baru ini, anda akan melihat dunia dari perspektif yang berbeza. yihaaa!

Monday, December 29, 2008

TERBARU : Dol Leman - Misteri Hantu Getah.

Aiseyman , Dol Leman yang terbaru sudah pun keluar covernya. Bermakna dalam 2,3 minggu lagi, insyaAllah... adalah tu di pasaran.

Kali ini Dol dan kawan-kawannya menyelesaian misteri apa ya? Hah!Misteri Hantu Getah. Ish, ish, dasat tu... Apa-apa pun, layann...

Cuti sekolah sudah bermula. Dol dan kawan-kawannya, Suppa, Ku Chai dan Yaya mengikut Tok Sukin menziarahi sahabat-sahabatnya di Kampung Langot, suatu kawasan terpencil dan terletak jauh ke dalam hutan. Di sana, suasana kampung yang nyaman dan sambutan penduduk setempat yang ramah-tamah membuat mereka semua berasa seronok.
Mereka juga bertemu teman baru iaitu Apit, yang tinggal bersama datuk dan neneknya di dalam ladang getah di belakang rumah tumpangan mereka. Dalam sekelip mata saja, Apit sudah menjadi rakan baik mereka.

Hinggalah mereka dikejutkan dengan kes kecurian getah yang berlaku di kampung tersebut. Lebih mengejutkan mereka apabila Apit dan keluarganya disyaki sebagai pencuri dalam kes ini.
Dalam masa yang sama, timbul pula kisah lain, iaitu kisah hantu-hantu yang dilihat orang berkeliaran di kebun datuk Apit.

Adakah rumah yang mereka duduki juga berhantu?

Adakah mereka akan berjaya menyelesaikan misterinya?

Tugas mereka semakin rumit. Misteri di ladang getah tersebut sangat mencemaskan.

Sedangkan... mereka sukar untuk melarikan diri dari kawasan yang terpencil itu.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430...

Pokcik ucapkan kepada sekelian pengunjung pondok buruk yang glamer mamer ni.

Semoga dengan kehadiran tahun baru hijrah ini, anda semua akan beroleh kesejahteraan dalam hidup, meningkat amal ibadatnya dan berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Thursday, December 25, 2008

damai...

Pokcik akan balik ke kampung untuk beberapa hari kedepanan ni..

Tolong tengok-tengok pondok pokcik ni aaa..

Yihaaaa..

Monday, December 22, 2008

Fragmen Dol Leman : Misteri Pohon Kekabu


“Macam mana dahi awak itu?” soal Dol sambil memandang dahi Ku Chai yang ditampal plaster.
“Sudah baik. Cuba awak tengok. Seperti ada setem di dahi saya ini. Lepas ini, bolehlah diposkan sahaja.” Ku Chai menunjukkan plaster di dahinya.

“Habis tu, mama awak tak tanya apa-apa ke?” soal Dol.

“Ada ... saya cakaplah jatuh basikal.”

“Lepas tu?”

“Teruklah saya kena bebel,” rungut Ku Chai dengan muka yang sedih.

“Awak silaplah Ku Chai. Sepatutnya janganlah cakap benar macam tu. Nanti mama awak akan tanya banyak soalan. Buatlah helah, seolah-olah kecederaan awak itu tidak disengajakan. Tentu mama awak tak bising,” ujar Suppa.

“Eh, jatuh basikal tu tak sengajalah. Terjatuh.” jawab Ku Chai.

“Betul, tapi mungkin sebab awak merayau-rayau di tempat yang mama awak tak suka. Bila dia dapat tahu, tentulah dia marah,” terang Suppa lagi.

“Habis tu, awak nak suruh saya beri alasan apa?” Ku Chai menyoal lagi.
“Hmm ... cakaplah yang awak tersepak dahi sewaktu bermain bola semalam,” cadang Suppa dengan yakin.

“Ish ... tak pernah saya dengar orang main bola sampai tersepak dahi. Awak ini, mengarutlah Suppa.” Dol menyampuk.

“Ya kah? Hmm ... apa kata kalau cakap tergigit dahi pula. Tentu logik kan?” Suppa mencadangkan sebab yang lain.

“Ah, sudahlah ... awak jangan nak menambah-nambah. Sudah cukup saya mendengar syarahan mama saya semalam. Mujur ayah saya tak cakap apa-apa. Kalau tidak, tentu dia tak benarkan saya keluar rumah hari ini.” Ku Chai malas hendak melayan Suppa.

Dol mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia tidak begitu kisah akan perbualan Suppa dah Ku Chai. Mereka memang suka bertengkar. Dol lebih suka memikirkan hal yang lain.

“Nasib baik semalam kita tak apa-apa ya,” ujar Dol meluahkan rasa. Kawan-kawannya yang lain turut mengangguk. Teringat keadaan mereka yang kelam kabut menyembunyikan diri. Memang kerja menyiasat ini kadang-kadang sangat merbahaya.

“Ya lah, takut saya dibuatnya masa itu,” ujar Suppa.

“Awak berdua rasa ... apa benda yang pelik sangat itu? Besar dan berkeriut-keriut bunyinya?” soal Dol lagi.

“Saya rasa ... sudah tentu bigfoot,” jawab Suppa.

“Hah! bigfoot? Eh, awak biar betul Suppa? Mana ada bigfoot zaman sekarang ini? Ia sudah lama pupus.” Ku Chai meningkah, merujuk kepada makhluk yang seumpama manusia dan badan berbulu. Ia pernah menjadi isu hangat suatu ketika dahulu. Sedangkan orang Barat pun tidak dapat membuktikan dengan tepat kewujudannya, ini kan pula jika ia muncul di Kampung Parit Sangap.

“Manalah tahu, dia berhijrah ke kampung kita. Kemudian duduk dalam hutan di hujung kampung sana. Kemudian, berjiran pula dengan Bang Noyon.” Suppa melawak lagi.

“Ish ... lagilah tak masuk akal. Kalau dia ada di sana, tentu dah beberapa kali Bang Noyon terserempak dengannya atau orang-orang kampung yang lain,” balas Ku Chai tidak mahu kalah.

“Mungkin juga dia bersembunyi atau melarikan diri apabila terserempak dengan orang ramai. Dia pemalu agaknya.” Suppa semakin seronok bertikam lidah dengan Ku Chai. Dia tahu telahannya agak mengarut, tapi seronok melihat Ku Chai beria-ia mempertahankan pendapatnya. Geli hati pula melihat mata Ku Chai terpejam-pejam membangkang dengan raut wajah yang sudah merah padam.

“Kamu berdua ni ... sudah sudahlah tu. Kalau nak berdebat pun, biarlah pada hal yang masuk akal sikit. Ini pasal bigfoot ... sampai lusa pun tak habis,” tingkah Dol menyuraikan suasana yang agak tegang itu.

“Lagipun, bigfoot takkanlah bunyinya berkeriut-keriut. Sekurang-krangnya dia mengaum, suaranya garau dan besar,” terang Ku Chai lagi dengan yakin. Dia pun pernah membaca rencana tentang makhluk itu di surat khabar dah buku-buku. Lagipun, dia seorang ahli perpustakaan. Tentu banyak masa untuk membaca dan mendapatkan maklumat.

“Itu tentu bigfoot sakit gigi,” ujar Suppa seraya mengekeh ketawa. Ku Chai sudah hilang sabar lalu mencucuk ketiak Suppa. Suppa terlompat kerana terperanjat.

“Awak ni Suppa ... tak habis-habis dengan cerita karut,” getus Ku Chai spontan. Suppa hanya ketawa sahaja sambil menggosok ketiaknya.

Thursday, December 18, 2008

Selamat Hari Jadi , Pokcik...


Hari ini hari jadi pokcik !... yihaaaaaaaaa

Syukur Alhaldulillah, dapat setahun lagi pokcik dipanjang kan umur, untuk menyambut hari jadi yang ke err... err... alahaii.. Tu la masalahnya bila dah tua-tua nak sambut besday, sampai lupa dah berapa tahun dah.. hik hik..

Apa-apa pun, harap oang tua ini akan sihat-sihat lah saja, disamping ceria dalam melayari usia-usia emasnya, disamping beroleh rezeki dan hidup yang berkat.

Terima kasihlah kalau anda semua mendoakan kesejahteraan pokcik. Maklom la, dalam menghadapi liku-liku hidup di hujung senja ni, pokcik sangat mengharapkan doa-doa yang baik dari kalian semua.

Juga, ucapan-ucapan yang berinspirasi dan bersemangat untuk pokcik teruskan hidup ini.

Err... err.. tak lupa , kata-kata yang meremajakan gituu.. hik hik

Tuesday, December 16, 2008

Halia...


“Halia…. Halia…...”

Seronok betul pokcik mengagah bayi yang bermuka bulat tu. Kadang-kadang dia tersenyum sendiri, tapi selalunya terkebil-kebillah. Kakaknya yang juga bulat montel, sedang duduk di tepi melihat pokcik mengagah adiknya.

“Halia…. Halia…. “

Pokcik mengagah lagi. Kakaknya yang ketawa mengekeh-ngekeh. Entah apalah yang seronoknya. Bayi yang baru berusia hampir dua bulan itu tetap terkebil-kebil. Kadang-kadang macam nak menangis. Tangannya mengapai-gapai.

Domkianlah kalau dah musim oang beranak, kena la datang melawat-lawat. Tok Lipat duduk di anjung depan sedang berbual-bual dengan Pak Dolloh. Pokcik lagi asyik melayan cucunya. Ini cucu dia yang ke berapa, pokcik pun tak ingat. Ramai sangat.

“Haliaa..... haliaa...“

Pokcik mengagah lagi dan budak montel itu mengekeh lagi.

“Halia…. Halia…. “

“Ish, atuk ni.. bukan Halia la.. Nama dia Aleya…” Anak Pak Dolloh muncul sambil membawa botol susu. Pokcik terkedu.

“Alah.. ye ke? Atuk salah dengar kut tadi…” jawab pokcik sambil tersengih melihat kakak Aleya yang masih tergelak-gelak menampakkan giginya yang hampir rongak.

“Patutlah, kau je asyik ketawa bila atuk panggil halia...,“

Kami sama-sama tergelak. Kali ini kekehan pokcik lebih kuat lagi.. dari kakak Aleya yang bulat montel tu.

Hik hik...

Wednesday, December 10, 2008

korban... (2)

Hirupan-hirupan sop ekor menjadi semakin pedih mencucuk di anak tekak, hingga tesedak-sedak pokcik jadinya. Diberitakan, dalam pada menyambut aidil adha yang penuh rahmat ini, ada manusia-manusia yang menjadi korban oleh bencana alam di satu kawasan bukit bertaraf antarabangsa.

Moga tuhan memberikan mereka kekuatan untuk menghadapinya...

korban...

Ah, kadang-kadang, keasyikan menghirup sup ekor, yang panas-panas, sedang orang lain kesibukan melapah daging korban, boleh membuatkan pokcik hampir-hampir lupa...

Selamat hari raya korban...

Wednesday, December 03, 2008

dua...


Suatu hari, 55 tahun dulu.

“Apalah mak ni masak. Nasiknya lembik-lembik la.” Rungut pokcik melihatkan nasi yang sudah jadi seperi bubur lenyek. Emak mendengus perlahan.


“Alah, terlebih air…” jawabnya menahan sabar akan karenah anak yang seorang ni.“Ini macam makanan atuk. Atuk tak de gigi.. sesuai la..” Pokcik mengomel lagi. Emak diam saja.


“Tengok, mers ada gigi lagi ni…” Seringai pokcik pada mak, menunjukkan gigi pokcik yang dua batang saja. Yang lain sudah hilang di makan bakteria.


Mak ketawa terkekeh-kekeh. Hilang terus marah dia.

Suatu hari , 5 minggu lalu.


“Apalah kau ni ni masak. Nasiknya lembik-lembik la.” Rungut pokcik melihatkan nasi yang sudah jadi seperi bubur lenyek. Tok Lipat menggeleng kepala.


“Alah, biasalah, periuk canggih. Pakai letrik lagi. Aku manalah tahu guna sangat…” jawabnya dengan panjang lebar. Memang dia buta teknologi domestik.


“Ini macam makanan Nek Salemah je. Oang tu tu tak de gigi dah. Ada tu pun gigi pelesuu.. sesuai la..” Pokcik mengomel lagi. Tok Lipat ketawa mengekeh.

“Tengok ni, aku ada gigi lagi laa..” Seringai pokcik pada Tok Lipat, menunjukkan gigi pokcik yang menjadi penambah seri muka tu.

“Uii, banyaknye gigi kau...“

Kami sama-sama tergelak besor.

Alahaiii...

Nota cagu : Keahlian seumur hidup OKG ( Orang Kurang Gigi )

Tuesday, December 02, 2008

cotimania...


i.
Pokcik sedang ngeteh-ngeteh di kedai kopi Ah Seng bila kebanyakan orang sibuk memperkatakan tentang ekonomi dunia yang semakim merudum sejak dua menjak ini. Walau pun negara kita dikatakan tidak menerima kesan yang besar, tetapi ramai yang merungut-rungut dan mula menyalahkan pihak-pihak lain ( selain diri masing-masing.)


“Tapi harga minyak dah turun ma,” Ah Seng pantas menjawab tanpa segan silu. Lagi pun dia dah untung besor. Minyak naik, kopi dia pun naik. Tapi bila minyak turun, kopi dia tak turun-turun.. Alahaii..


“Itu politik, jangan tak tahu,” seorang lagi menjawab, bagai tahu benar apa yang di cakapkannya.
Dan cerita jadi semakin hangat. Banyak isu diketengahkan termasuk yang remeh-remah juga. Cerita fasal parti pun turut di debatkan seolah-olah kedai kopi tersebut jadi mini parlimen kepada adun-adun sementara itu... Riuh rendah jadinya.

Ah Seng sengih sampai ke telinga. Masyuknya tetap lumayan.

Pokcik menumpang dengar.

Kadang angguk-angguk, kadang geleng-geleng.
Kadang tersengguk-sengguk, kadang-kadang hampir nak terguling. ( zzzzz )

Alahaii...

ii.
Pada anak-anak yang sedang bersukarama sempena coti sekolah ni, semoga anda akan sentiasa ceria dan riang ria ditaja ayah bonda. Berseronok-seronoklah hendaknya, berjalan ke sana kemari, menghilang stress belajor ( kekononnya ) , melawat tempat-tempat bersejarah dan peranginan yang cantik selain bermesra-mesraan bersama keluarga.

Jangan lupa juga jengok atuk dan nenek di kampung sana. Mereka pun perlukan kasih sayang anda semua. Tunjukkan kasih dan sayang sekali pada ayam, itik, angsa, arnab, kucing serta kambing belaan atuk juga. Jangan didera-dera binatang-binatang tersebut. Jangan dibuat main-main.

Satu lagi, pokcik nak pesan.

Kalau gii Zoo, jangan masuk ke dalam kandang harimau. Tengok dari luar saja.

Alahaii...

Friday, November 28, 2008

tungku...


Suatu hari pokcik terpandang sebiji batu, sebesar kelapa komeng di bawah dapur umah tok lipat. Sudah kelabu dah hitam benar warnya. Permukaannya juga kasap-kasap dan hampir berkarat.

“Itulah batu, buat bertungku.” Kata tok lipat pabila melihat pokcik ralit sangat memerhati.

“Ooo.. aku ingatkan batu apalah tadi.” Pokcik mengangguk-angguk.

“Dulu, masa arwah bini aku bersalin, batu itulah yang dibuat tungku. Sampai lima orang anak aku, banyak betul jasa batu tu.“ Terang tok lipat mengingati memori lama.

“Kau buat sendiri ke?” soal pokcik lagi.

“Yo la.. sapa lagi nak wat. Mak bidan pun buat 2,3 hari jek.. lepas-lepas tu pandai-pandai la kita menjaga. Kita kan lakinya.” Balas tok lipat.

Pokcik tersenyum saja. Memang tok lipat ni ciri-ciri lelaki mithali. Sewaktu bini dia dalam pantang, dialah yang uruskan semua. Dari pada memandikan, memakai bengkung, berpilis, mengurut hatta bertungku pun dia yang buat. Pendek kata macam raja bininya di jaga. Mak mertuanya datang pun rehat saja sambil tengok-tengokkan bayi.

“Orang sekarang ni, kalau bini bersalin, dalam kepala semua dah set. Pakat panggil mak datang jaga. Tak belajar jaga sendiri. Susah payahlah orang tua tu datang dari kampung. Mana nak melayan anaknya yang baru bersalin, layan cucu-cucunya dah riuh-rendah dan yang teruk lagi layan si suami pulak, kena masakkan makan minumnya.

Kalau ada oang gaji tu, sedaplah sikit. Kalau tak ada, semua kena buat sendiri.” Tok lipat tiba-tiba mengomel. Barangkali kebanyakannya orang sekarang memang begitu. Walaupun isteri yang bersalin lebih memerlukan ibunya untuk menjaga, tapi suamilah yang lebih afdal untuk menguruskan semua. Si ibu boleh datang sekadar melawat dan menjadi penasihat. Ini tidak, terbalik pula jadinya. Suami pula yang goyang kaki.

Sebab itu bila arwah bini tok lipat meninggal, dia turut sedih. Rasa macam belum banyak lagi kasih sayang serta kebajikan yang hendak diberikan padanya. Namun dia reda dalam pasrah. Tuhan lebih sayang padanya. Mujur anak-anaknya sudah besar. Sekarang ni, kasihnya tumpah pada anak-anak dan cucu-cucunya saja.

“Biasalah, kadang-kadang, insan-insan yang baik ni selalu dijemput awal.” Pokcik sekadar memujuk. Tok lipat mengangguk perlahan.

“Batu ni rasanya boleh guna lagi.” Tiba-tiba pokcik mendapat satu idea.

“Hah, nak buat apa?” soalnya pantas.

“Tuu... ,” pokcik memuncungkan mulut menunjuk ke perutnya yang sedikit boroi.

“Cet...! “ Kami sama-sama tergelak.

Alahaiii...

Monday, November 24, 2008

renyai...


Beberapa hari yang lepas, hujan agak merenyai hampir lewat pagi. Bumi jadi basah dek rintik-rintik yang melata membentuk takungan air yang berkocak-kocak dan beralun. Kadang-kadang jatuhnya menimpa daun lalu luruh mengalir turun ke tanah, meninggalkan bekas yang sejuk dan dingin.

Dalam masa yang sama, nun jauh di dalam dewan, atas bukit UiTm Shah Alam, ada air mata yang jatuh membasahi pipi tua ayah bonda. Datangnya mereka dari jauh dengan penuh semangat, Sanggup walau disuruh menapak-napak, naik turun bas berlama-lama, semata-mata kerana hendak melihat anaknya di atas pentas sana, berkonvokesyen penuh bergaya, menyalami yang dipertua untuk mengambil skrol menandakan sudah berjaya menamatkan pengajiannya.

Kepada graduan-graduan yang berjaya, tahniah si daun keladi pokcik ucapkan.

Semoga anda semua akan menjadi insan yang berperangai mulia, tinggi akhlak dan bersih jiwanya.


Thursday, November 20, 2008

Musim sama, cerita lain...


Musim coti sekolah sudah tiba. Seronok sakanlah budak-budak semua. Mengajak mak bapaknya berjalan ke merata tempat selain sekolah. Cuma jangan terlalu mengikut selera anak-anak zaman selepas merdeka ni. Nanti anda juga yang susah sendiri.

Juga bagi budak IPTA dan IPTS yang baru selesai menghadapai peperiksaan akhir, bolehlah menyambung sessi diskusi bersama pasangan anda dalam topik yang lain pula. Kalau tak ada pasangan, carilah satu musuim cuti ni. Mungkin anda kureng hensem atau buruk perangai atau tak pandai mengayat.

Yang hendak berkenduri kendara, pastikan baryani gamnnya sedap hingga meresap ke anak tekak para tetamu yang datang. Bior puas oang melantak-lantak. Dengan itu nasik baryani di majlis anda akan dikenang sampai bila-bila , walau tak kenal akan tukang masaknya.

Pada bakal ibu yang sedang menanti cahaya mata atau yang sudahpun bergelar ibu, selamat menjaga anak. Kenangilah ibu anda yang berada dalam keadaan begini sewaktu mengandung dan melahirkan anda dulu. Dari itu, anda akan tahu jerih perihkan keadaan itu. Jangan susah-susahkan mereka pula untuk menjaga anak anda. Jaga je sendiri atau upah bibik saja. Mak anda hendak berehat. Dia penat!

Pada budak-budak yang hendak masuk jawi pula, selamat bermain polis sentri. Cuma malangnya.. anda seorang saja jadi pencuri manakala sekelian oang kampung hatta oang tua anda akan jadi polisnya. Mana mau lari haa? Itu 'barang' musti kasi potong juga!

Yang sedang berada di tanah Mekah, semoga kesihatan anda baik-baik saja dan haji anda juga diterima.

Pada yang sedang main dam aji di warung pak Aji. Tunggu nanti kalau pokcik balik kampung, kita main sama-sama aa.. hik hik

Buat masa ni, pokcik pula… macam biasa la. lepak-lepak je.

Alahaii…

Sunday, November 16, 2008

Kita berkuiz-kuiz la pulak..

Selain dari jemputan kahwin, oang bersunat, oang pergi haji, atau sesaja makan-makan pree yang melanda musim sekolah ni, sekali sekala kita jawab kuiz la pulak. Mana tahu kut-kut menang duit ka, tak pun tiset. Bolehlah nanti gi melaram ke majlis makan-makan seperti yang disebutkan.. hik hik


KUIZ BERSAMA LIZA ZAHIRA


Sempena pelancaran novel terbaru Liza Zahira iaitu, KAU TETAP DI HATI memenangi hadiah-hadiah yang sangat menarik.

Cepat hantarkan penyertaan anda ke email yang tertera!

MENANGI HADIAH MENARIK
20 penyertaan paling awal akan menerima Baju T Liza Zahira



Hadiah Pertama: Wang Tunai RM300
Hadiah Kedua: Wang Tunai RM200
Hadiah Ketiga: Wang Tunai RM100
10 Hadiah Saguhati:Senaskah novel Liza Zahira (Pemenang boleh memilih salah satu novel Liza Zahira)

SOALAN-SOALANNYA:
1. Novel Kau Tetap Di Hati (KTH) merupakan novel Liza Zahira yang ke berapa?


2. Selain Malaysia, negara manakah yang menjadi latar cerita KTH?

3. Berikan nama anak-anak saudara Sophia dalam Kau tetap Di hati?


4. Bahtera Kasih (BK) merupakan novel ketiga Liza Zahira. Apakah nama kapal lanun yang menculik Carra Lina dalam novel tersebut?

5. Siapakah lelaki yang akhirnya menjadi pilihan Carra Lina dalam BK?

Lengkapkan kata-kata berikut (tidak lebih dari 20 patah perkataan)Saya gemarkan novel-novel Liza Zahira kerana ……………………………..

Tuliskan Nama, No.kad pengenalan, Telefon dan Alamat berserta jawapan lengkap anda ke:

liza_ktd@yahoo.com dan cc ke
lizaali@karangkraf.com atau liza_zahira2@yahoo.com.my

TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH PADA: 31 DISEMBER 2008

CEPAT! JANGAN LEPASKAN PELUANG ANDA!

Tag bergambar la pulak...

Kali ini pokcik kena tag dengan penulis Durrah Fatihah la pulak. Bukan sebarang tag ni. Tag bergambar lagi..

Oleh sebab pokcik ni kureng fotogenik hari ini, maka tak dapatlah kalian nak menatap wajah pokcik yang hensem-hensem kiut ni hik hik.

Tapi tak apalah, pokcik kasilah gambar terkini. Gambar pokcik sedang melawat oang yang bertanggungjawab melakar ilustrasi buku Dol Leman.
Dan khabarnya, dia sekarang sedang sibuk menyiapkan illustrasi untuk Dol leman 4.

Hah, Dol Leman 4? Uii.. Misteri apa pulak tu? Bila nak keluar? Tak sabo ni nak baca!

Entahlah, dia pun tak kata apa.. tunggu jek la..

Alahaii...

Friday, November 14, 2008

Hari Diabetes Sedunia.


Hari ini kalau tak silap pokcik merupakan Hari Diabetes Sedunia. Dalam bahasa sedapnya di sebut Hari Kencing Manis sedunia. Tengok tu, bersungguh-sungguh oang nak mengingatkan kita tentang penyakit ini walaupun satu hari. Bukan kita saja, malah seluruh dunia turut mengiktirafnya.

Apa-apa pun, mungkin pada kamu semua memang tak rasa apa-apa. Bagi pokcik yang terkenangkan Mat Boo, kawan pokcik di kampung yang meninggal dunia baru-baru ini akibat penyakit ini, memang terasa seriaunya. Ngeri pun ada.

Itulah, hidup di zaman sekarang ini, memang kita terlalu sibuk dah tak berapa nak kisah tentang kesihatan diri. Lebih-lebih lagi nak memantau penyakit yang ada atau bakal ada. Sedar-sedar saja dan terkena. Nak berundur pun tak sempat. Sebab tu oang selalu kata, mencegah lebih baik dari mengobat.

Sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis adalah penyakit tiga serangkai yang menjadi pembunuh nombor satu di negara kita malahan di Asia juga. Statistik ini sangat menakutkan kalau dilihat pada jangka masa panjang. Mudah betul kita ini terkena penyakit dan ianya tidak menyerang pada tempoh usia tertentu. Kecik besor, tua muda, miskin kaya, hensem hodoh, semua ada peluang masing-masing kalau tak jaga diri betul-betul.

Berapa ramai saudara mara atau kaum keluarga terdekat kamu yang menderita sakit kencing manis ini? Kadang-kadang sampai terpaksa dipotong kaki kan? Eee… tak sanggup pokcik membayangkannya. Belum lagi simptom sampingan, letih-letih badan, kabur pandangan, kerap kencing, skizofenzia, suka marah-marah dll. Itu semua kesan dari penyakit kencing manis tersebut.

Dari itu, pandai-pandailah kamu semua nak jaga diri. Jaga makan minum dari sekarang. Rajin-rajinlah exercise ( macam pokcik yang rajin menyangkul laman baru-baru ni hik hik ). Pantau kandungan gula dalam darah, dan juga teh tarik kamu.


Komdian, doalah banyak-banyak pada Tuhan supaya sentiasa sihat sejahtera. Mudah-mudah kamu akan panjang umur dan masih lagi mampu tersenyum manis.

Adehh.. pokcik penat dah menasihati. Nak minumlah pulak, haus tekak ni...

Alahaii...

( Sambil menghirup air masak kurang manis.. hik hik )

Thursday, November 13, 2008

kaget...


“Wah, seronok aa kau. Dah cuti sekolah ni, riun rendahlah umah kau. Anak cucu semua balik,” usik pokcik pada Tok Lipat yang turut ketawa di hujung talian.

“Alah, tak juga. Ada yang balik, ada yang tidak. Dowang semua rajin pergi makan angin, pergi jalan-jalan,” balas Tok Lipat.

“Apa lagi, ikutlah… rehat-rehatkan badan, seronok apa,” usul pokcik lagi.

“Ish, ish tak naklah aku. Dah tua-tua ni, malaslah aku nak berjalan-jalan. Duduk rumah lagi bagus. Lagi pun, kau tau je lah time-time cuti ni, sibuk oang nak buat majlis kahwin. Kenalah tolong sana sini. Belum lagi yang nak mengurut-ngurut,“ terang Tok Lipat. Pokcik mengangguk saja. Memang Tok Lipat selalunya sibuk dalam waktu-waktu cuti sekolah ni. Oang yang ajak dia rewang pun ramai.

Memang hakikatnya begitulah tatkala cuti sekolah menjelma. Kampung pokcik yang terkenal dengan sikap gotong royong dan ukhwah sesama penduduk ni memang meriah. Hinggakan ada oang yang memuji-muji kesepakatan kami yang sudah jarang-jarang dipraktikkan pada zaman sekarang ni. Semuanya bersatu hati dan tenaga kalau tiba bab-bab kerja kahwin ni, walau pun kebanyakannya hanyalah oang-oang tua gituu.

“Banyak ke oang buat kerja kahwin?“ Pokcik sekadar menanya.

“Hmm banyak jugaklah. Pak Dolloh pun nak kenduri menjemput menantu. Lebai Tamin pun nak nikahkan anaknya. Haji Kusam pun buat untuk majlis anaknya juga. Pendek kata ramailah. Kampung sebelah menyebelah pun ada menjemput juga. Mereka tanyakan kau. Ajak datang sekali.“ Panjang lebar Tok Lipat cuba mengingati senarai aktiviti majlis sewaktu cuti sekolah nanti.

“Mak oii.. banyaknya. Meriah ni. Kalau ada baryani gam... aku pergi.“ Pokcik terkekeh ketawa. Saja mengusik. Tapi kalau menunya baryani gam, memang terliur pokcik dibuatnya. Sampai makan dua tiga round.

“Ye lah tu. Eh, baliklah kampung.“ Ajak Tok Lipat.

“Tengoklah dulu,“ jawab pokcik perlahan. Dalam hati, teringin juga nak balik. Duduk sini pun boring juga. Kat kampung lagi meriah.

„“Aku dengar, janda tu dah nak bernikah juga cuti sekolah ni...“ Tok Lipat berkata lagi membuatkan jantung pokcik tiba-tiba berdegup kencang.

“Hah, dia nak bernikah?“

Entah kenapa, pokcik merasakan tiang telefon itu bagai nak rebah menimpa tubuh pokcik yang sudah menggeletar ni. Rasa terkejut, cemas dan kaget bersilih ganti bergolmal menjadi satu sebelum rasa kecewa tiba-tiba menjalar menghimpit perasaan yang halus mulus ini.

“Oh, tidak!“... Pokcik menjerit dalam hati. Tubuh terpaku.

Di hujung talian, masih kedengaran lagi bunyi helloo, helloo yang panjang..

Monday, November 10, 2008

berat...


Entah kenapa, pagi ini pokcik rasa tiba-tiba sahaja hendak membersihkan laman umah. Melihat rumput-rumput yang mula meliar di bawah pondok, terasa perlu juga menajak dan membuangnya. Bior bersih sikit laman pokcik ni. Senang orang nak datang bertandang. Maklomlah, pondok pokcik ni kan glamer.. hik hik.

Maka dengan segala kudrat yang ada, pokcik pun menghayunlah cangkul, memancah dan memuggar dengan semangat yang berkobar-kobar. Baru beberapa minit menghayun, peluh sudah mula berjuraian memenuhi badan pokcik.

Pokcik tabahkan juga hati walaupun terasa seperti cangkul itu yang menghayun pokcik hingga terhoyong-hayang tubuh ini dibuatnya. Degupan jantung sudah semakin laju rentaknya. Nafas sudah tercungap-cungap. Pandangan jadi berpinar. Rumput di laman, baru terpokah dua tiga jemput.

Alih-alih, tanpa disedari… pokcik sudah terduduk letih di atas tangga. Pinggang sudah rasa mencucuk-cucuk. Derap tulang berbunyi berkrup krap entah berapa kali kedengaran. Nafas yang dihela pun semakin kencang diselang seli bunyi mengaduh.

Setelah agak reda, pokcik menyapu peluh di dahi sambil merenung cangkul yang terlintang di atas tanah. Sesekali mata terpejam-pejam menahan bisa yang menjalar ke seluruh badan. Pokcik geleng kepala sambil mengeluh berat.

“Ish, ish, cangkul sekarang ni…. berat-berat belaka. Sampai tak larat pokcik nak menghayunnya...”

Alahaii…

Friday, November 07, 2008

hujan dan kisah-kisah lain...

i.
Beberapa hari yang lalu, hujan sudah mula mengubah masa turunnya dari pada petang/malam ke awal pagi dan sesekali membawa ke tengah hari. Itu yang pokcok peratilah. Sekali sekala pokcik suka juga jadi ahli kaji cuaca ( walau yang dikaji asyik hujan saja ) , maklomlah, tak ada apa nak dibuat gituu…


Walau bila dan di mana turunnya, pokcik memang sentiasa menganggap hujan sebagai rahmat dah kerap berdoa supaya turunnya hujan ini biorlah memberi manfaat kepada manusia dan juga bumi. Bayangkanlah, negara yang tandus dan kering, gersang bertahun-tahun. Nak dapat air pun susah, inikan pula negara kita yang mewah dan normal cuacanya. Walaupun, ada kejadian banjir serta tanah runtuh di sana sini, namun kebaikannya melebihi keburukan. Lagi pun, kejadian itu semua boleh di cari penyelesaiannya.

Hakikatnya, kita harus reda.

ii.
Kalau tak silap pokcik sekarang ni budak-budak Univ semua sedang dalam minggu periksa, termasuk jugalah budak-budak UiTM di sekitar kawasan pokcik ni. Sewaktu pokcik berjalan-jalan ke restoren mamak berdekatan, memang penuh dengan budak-budak yang tekun mengadap laptop sambil beriya-iya diskusi.

Cuma satu jelah yg pokcik tak faham, hampir setiap mereka berpasang-pasangan dalam suasan berdikusi yang meragukan. Entahlah, budak-budak zaman sekarang ni, kalau tak ber couple-couple masa study atau diskusi, memang tak masuk dalam kepala agaknya. Alahaiii..

iii.
Budak-budak sekolah rendah dan menengah pun tengah periksa juga. Ini bermakna, bila dah habis periksa maka dekat benorlah nak cuti sekolah ya. Seronoklah budak-budak tu semua. Mak bapak pun, mulalah garu kepala, nak melayan anak-anak yang bakal meriuhkan rumah. .

Kalau ada duit lebih, bolehlah bawa anak jalan-jalan, makan angin atau makan kat luar. Tidaklah mereka merasa boring nanti asyik terperuk kat umah menengok kartun atau main playstation. Lagi pun, ini cuti sekolah akhir tahun. Tentu lama. Apa-apa aktivitinya, semoga perancangannya berjalan lancar dan menyeronokkan.

Paling tidak pun, baliklah kampung jengok oang tua..

iv
Sejak seminggu yang lalu, pokcik perasan, rasa komedi pokcik semakin hilang.

Alahaiii...

Monday, November 03, 2008

sedih...

Menyedari bahawa bulan Syawal sudah pun berganti Zulkaedah, hati pokcik terasa sedikit sedih dan sebak gitu. Tak disangka, masa yang cepat berlari ini membawa sama segala keriangan raya yang bagaikan semalam datangnya.

Acara kunjung-kunjungan ke rumah ayah bonda dan saudara, keenakan ketupat, lemang, dodol serta juadah yang beraneka rasa, Kerlipan bunga api dan meriam buatan sendiri, duit raya yang melimpah-limpah serta segala kaitannya di Aidil fitri yang indah ini, akan mula dilupakan dengan perlahan-lahan.

Sepilah nanti malam-malam yang penuh dengan takbir dan tahmid memuji Ilahi, alunan marhaban di setiap rumah dan segala open-open house di kala hujung minggunya. Oh, benar-benar Syawal sudah pergi rupanya.

Setiap kali datangnya raya tentu ada nostalgianya yang tersendiri. Baik yang indah menggamit hati ataupun pahit bagai hempedu. Segalanya punyai rencah tersendiri saban tahun. Entah laratkan hati ini untuk menanti setahun lagi. Entah sampaikan usia ini mengulangi membayar zakat fitrah lagi. Apalah nasib kita nanti? Mudah-mudahan kita dipanjangkan umur supaya dapat lagi merasai hari kemenangan tahun hadapan.

Oleh dengan sebab itu jugalah, entah kenapa, dengan tiba-tiba yang sangat tak disangka tiba-tibanya, segala ceria-cerita pokcik mengenai raya, jadi terpadam tiba-tiba, walau rasa macam ada banyak lagi yang tak habis nak cerita.

Alahaiii...

Friday, October 31, 2008

Drama fokus-fokus...


Beberapa petang yang santai dan lesu, tatkala puasa beraya dan melayan tetamu yang datang, Tok lipat dah pokcik selalu tersandar di kerusi depan TV. Memang raya-raya ni kadang amat meletihkan. Kalau raya pertama dan kedua, ada yang beraya sampai ke malam. Mungkin dowang ikut waktu Afrika kut. Tapi kami layan juga sebaik mungkin dan semesra alam.

Bila asyik mengadap tiwi ni, pokcik pun jadi boring. Apatah lagi bila menukar siaran dan kerap terlihat drama fokus-fokus. Oh, anda tak tahu drama apa itu? Alahh.. yang sinetron dari indon tu. Sekelian drama masyarakat yang penuh dengan konflik, tipu daya, kecurangan, sakit hati dan saling mendengki-mendengki. Siar saja apa dramanya pasti perkara-perkara ini sering menjadi intipatinya. Dan rasanya, ramai juga penonton yang minat jugak pada drama-drama ni.

Dan fokus-fokus pula? Kekekek.. korang perasan tak kalau ada adegan kejut-kejutan, suspen-suspenen ka, pasti kamera akan difokuskan pada wajah serta mimik muka yang penuh ekspresi itu. Nampak jelas raut wajah pelakon tu.

Tak cukup dengan itu, kamera difokusnya lagi ke depan, ke belakang, ke depan lagi supaya nampak real. Sampai naik berpinor mata pokcik. Terasa macam kena hipotesis pulak.

Itu yang buat pokcik jadi lesu yang teramat. Akhirnya kami buat drama sendiri.

Drama dengkur-dengkur..

Hik hik

Wednesday, October 29, 2008

baju raya...


Petang itu kami tidak dapat mengelak lagi. Beriya-iya anak cucu Tok Lipat mengajak kami beraya. Bersungguh mereka memaksa sampai nak merajuk-rajuk pun ada. Dan Tok Lipat yang perihatin pada keluarganya pun tak sampai hati. Hendak tak nak terpaksalah dia dan pokcik ikut juga serta beraya.

Itu pun pergi ke rumah saudara mara terdekat yang sama-sama tua cam kami. Maklomlah, nak pergi ke umah oang yang lebih tua memang susahlah. Semuanya dah arwah, kalau ada pun bukannya kenal sangat (sebab dah nyanyuk). Itulah dilema bagi kami oang-oang tua ni. Alahaiii...

“Seganlah nak pergi. Aku mana ada baju raya.“ Pokcik mula teringat. Sejak balik ke kampung, pokcik hanya membawa beberapa helai baju melayu yang dah lusuh serta kain-kain pelikat saja. Tulah saja yang pokcik ada.

“Alah kau ni. Toksah risau. Aku banyak baju. Anak-anak aku ada buatkan. Kau pakai sajalah mana yang ada tu.“ Cadang Tok Lipat. Lagi pun badan kami berdua lebih kurang je saiznya. Cuma perut Tok Lipat tu je beso sikit..

Nak tak nak, menyelongkar ler pokcik akan baju-baju yang sesuai dipakai. Akhirnya, setelah puas memilih, dapatlah sepasang baju yang elok sedikit. Warna Maroon lagi. Dan, yang lebih mengharukan ialah apabila disuruh pakai samping sekali. Iksh, iksh.. macam pengantin pulak rasanya.

Sebaik turun ke bawah, semua anak cucu memuji-muji. Tak tahu lah kut kalau-kalau ketawa-ketawa mereka tu tandanya memuji. Kami sengih saja. Dan yang terlebih-lebih dipuji tentulah kepada pokcik.

Biasalah, pokcik ni nampak lebih hensem kalau pakai baju pinjam... hik hik


Tuesday, October 28, 2008

lama...

Selesai bersalam-salam, bertangis-tangisan, bermakan-makanan dan bergaya-gayaan ( ambik gambar ), maka rombongan keluarga Tok Lipat pun keluarlah untuk beraya sakan.

“Korang pergilah dulu. Atuk raya petang nanti. Lagi pun tak dak siapa nak jaga umah ni… kalau oang datang,” Tok Lipat cepat-cepat bersuara. Takut diheret dek anak cucunya beraya merata, tumbang pulak oang tua tu nanti. Anak cucunya semua akur, walaupun sedikit terkilan tak dapat membawa oang tua itu bersama.

Setelah semua kenderaan hilang di halaman, Tok Lipat mengarahkan supaya pintu dan tingkap dan apa-apa jua yang terbuka, ditutup rapat.

“Wah, kau ni apo laa. Nak suo oang datang beraya, tapi tutup pintu tingkap pulak,“ bebel pokcik.


“Alah, kau tak penat ke, dari sejak malam tadi dok berjaga, masak ketupat , buat itu ini. Sekaranglah masanya untuk berehat-rehat.” Tok Lipat menarik kusyen kerusi sambil me landing kan tubuhnya yang gempal itu.

Pokcik pun terasa lesu di seluruh badan. Lantas mengikuti apa yang oang tua tu buat.

“Oh, nikmatnya... nikmatnya...” Pokcik tersengih. Sedap benor dapat berehat-rehat cam ni. Kalau dapat tidur seround dua pun bagus juga.

“Kau tahu tak?“ tiba-tiba Tok Lipat bersuara. Pokcik menoleh sambil menadah telinga. Barangkali dia ingin mengajak berborak.

“Tiap-tiap tahun, kita beraya tau. Dari kecik sampailah ke besor , tak pernah miss. Sampai dah tua-tua ni pun beraya-raya juga,” Entah kenapa Tok Lipat melontarkan luahan hatinya yang separa misteri. Mungkin juga ada soalan bersamanya.

Pokcik pun menggaru kepala sambil memikir-mikir. Dalam masa yang sama kepala otak ni mula mencongak-congak.

“Huyoooo… dah dekat 62 tahun kita beraya ek? 62 tahun oooo “ jerit pokcik tiba-tiba.

Memang lama 62 tahun tu. Apatah lagi, kalau yang sapa-sapa yang umurnya lebih dari itu , 70 ka, 80 ka, 90 ka atau 100 tahun ka.. Lagilah lama. Macam tak caya pulak ek beraya-raya mereka tu?

“Huyooo…. “ pokcik menjerit lagi. Seolah-olah tak percaya dalam teruja.

“Syhhhh… diam da, nanti oang datang…, “ Kali ini Tok Lipat pula menjerit. Tidak lama selepas itu, tanpa di sedari, kami sama-sama terlena di pagi raya yang hening itu...

Alahaii...



Nota : Syukur Tuhan masih panjangkan umur kita untuk merasai raya lagi



Thursday, October 23, 2008

duit raya... (2)

Dalam pada sesekali mengomel pasal duit yang mengalir laju dari kocek pokcik, sesekali jugalah pokcik akan tersengih lebar. Mana taknya, dalam pada asyik menghulur, ada juga oang yang sudi hendak menghulur juga pada pokcik ni. Bukan doplo sen aa, tapi lebih aaa sikit, kadang-kadang, sampai puluh-puluh ringgit ooo..

Waaaa, pokcik kayoo..! pokcik kayoo..!

Bukannya kita meminta, tapi oang dah nak beri gituu. Mungkin mereka kasihan pada pokcik ni. Ya lah, selain berasa ehsan pada kanak-kanak riang, oang tua pun apa kurangnya. Perlu diriang-riangkan juga.

Samalah jua seperti kamu-kamu semua yang sering menghulur duit atau buah tangan pada oang-oang tua kamu tatkala balik kampung.

Semoga rezeki kalian akan terus bertambah... Amin

Hik hik..

Wednesday, October 22, 2008

duit raya...

“Tok, selamat hari rayaaaa..” Nyaring dan bersemangat sekali budak itu mengucapkannya. Seumpama ada makna yang terselindung di sebaliknya. Maklom la, duduk beraya di kampung ni.. Memang dimeriahkan oleh kanak-kanak saja. Cucu Tok Lipat pun dah ramai. Yang datang berkerumun hari-hari, toksah cite la.

Pokcik menyeluk kocek baju lalu mengeluarkan duit doplo sen.

“Nah,” sua pokcik kepadanya. Budak yang songkoknya lebih besar dari kepala itu memandang wajah pokcik dengan sangat hairan.

“Aiks, doplo sen jek, tuk?“ Entah dari mana datangnya kekuatan dia untuk bertanya sedomkian.

Pokcik membeliakkan mata. “Yo la, kamu nak berapa?“

“Kasi la singgit ka, dua hinggit ka, baru sedap sikit“ jawabnya sambil tersengih-sengih. Cuba berkompromi dengan pokcik. Pokcik hanya menggeleng kepala.

“Ooo.. tak apa. Nanti tahun depan, datanglah lagi. Pokcik kasi lagi doplo sen. Cukup lima tahun, dapat la singgit,“ balas pokcik dengan selamba.

Kanak-kanak itu mencebik sambil berlalu. Terdengar dengusan tak puas hati dari. Barangkali katanya, oang tua ini kedekut ya amat.

Biasalah tu. Nak wat cam mana. Pokcik pun bukannya ada duit sangat. Budak-budak ni bukan tahu pun. Setidak-tidaknya pokcik cuba hendak mencerikan hari mereka, cuma tidak menepati citarasa masakini saja.

Biasalah, budak-budak zaman sekarang ni... begitu “demanding“ gutu.

Kita yang tua-tua ni, jadi “demam ding“ la pulak..

Alahaiii..

Tuesday, October 21, 2008

nam...

Pokcik dah abih puasa nam.

Sekarang, pokcik nak beraya nam plak..

Yihaa..

hik hik

Saturday, October 18, 2008

Tagged laa plak..


Alahaii.. musim-musim oang beraya ni, ada jugak yang sudi nak tagged pokcik ek? Terima kasihlah buat Hezzy Azra. Pokcik jawab la apa yang termampu…

Starting time: 4.37 pagi
Name : Pokcik
Sisters : NIL
Brothers : NIL
Shoe size : Kanan = 8 , kiri = 9 ( kes tersalah boli )
Height : Tinggi sikit dari ampai baju

Where do you live : Sebuah pondok di pinggiran Shah Alam
Have you ever been on a plane : Ya, kecik-kecik dulu masa kat fun-fair. Sekarang ni tengah kumpul duit nak gi haji. Kalau ada rezeki, dapatlah naik ketebang.. yihaaa
Swam in the ocean : Tak pernah, takut mati lemas,
Fallen asleep at school : Oh…tak perasan plak.. Biasanya lepas cikgu kejut baru pokcik tahu pokcik tertido, hik hik
Broken someone’s heart : Nak wat cam mana, dah oang glamer.. kacak plak tu. Ke mana pergi seme oang menjeling. Mana boleh nak melayan perasaan semua. Memberikan kasih-kasih segala, sedangkan hati ini cuma ada satu saja.. hu huu
Fell off your chair : Ada, jatuh di kerusi malas… hik hik

Sat by the phone all night waiting for someone to call : Oh tidak, biasanya pokcik yg ke pondok telefon. Itu pun buat miscall2 jek.. hik hik
Saved e-mails :Entahlah, tak pandai.. buta IT gituu…
What is your room like : Bilik tidur, ruang tamu, dapur : Seme merujuk kepada tempat yang sama. Three in one gituuu , hik hik
What’s right beside you: Selimut kusam… nanti kalau tiba-tiba hujan turun, dan suasana jadi syok serta nyaman, senang pokcik nak mencapainya..
What is the last thing you ate : Sekut kering yang dah separa lemau.

Ever had...Chicken pox : Pernahlah sekali masa kecik-kecik dulu. Sekarang ni jangan kata chicken pox , chicken chop pun tak pernah rasa.. alahaiii
Sore throat : Kureng aa.. sebab salu minum air masak kurang manis.
Stitches : Rasanya, tak ada apalah yg terkoyak pada tubuh badan pokcik ni. Tapi kalau kain pelikat tu selalu aa.. maklom la, kadang-kadang pokcik ni hyper sikit....
Broken nose : Hmm.. tak pernah. Tapi teringin nak nak mancungkannya macam hidung Michael Jackson tu.
Do you believe in love at first sight : Aisey men, ni yang buat pokcik rasa menggamit2 ni.. Tentulah ada… oh tak tergambar rasanya.. jatuh sinta masa sight-seeing hik hik
Like picnics : Ada makan-makan pree tak? Kalau ada, layannnn

Who was/were...
The last person you danced with : Err… err.. batang penyapu kut.. irama tango lagi hik hik
Last made you smile : Angkasawan Syed Muszapar! Pokcik terserempak dgn dia dekat2 kedai Ah Seng sana. Waaa… mana pokcik tahu itu cuma poster dia saja..
You last yelled at : Siapa lagi, kalau bukan Dol Leman. Pagi-pagi dah tercongok di pondok pokcik. Nak beraya katanya, entah kali yang ke berapa puluh kali la tu..


Today did you...
Talk to someone you like : Sesiapa saja yang sudi melayan.!
Kissed anyone : Err… err… ada lah, Cuma…sayangnya dalam mimpi je.. aduhaii
Get sick : Biasalah, ada juga sekali sekala, sakit-sakit oang tualah katakan.
Talk to an ex : Alahai… A, B , C pun tak ada lagi inikan pula yg ke X .
Miss someone : Arwah Bonda… .

Who do you really hate: Buat apalah nak benci2 ,tak baik. Tapi kalau benci pun, dalam hati sayang gitu.. ataupun benci tapi rinduu.. hu huu
Do you like your hand-writing : Oh, sudah tentu.. ada gaya-gaya tulisan doktor gitu.. Tapi jenis yang paling sudah dibaca laa..
Are your toe nails painted : Uii.. selisih malaikat 44. Selalu kena cagu nanti ooo..
Whose bed other than yours would you rather sleep in : Tilam yang lori salu berjual tu, tilam.. tilamm.. tukattt baluuuu, tilam… tilamm… nampak cam best jek…
What color shirt are you wearing now : Putih separa kelabu dah hitam. Juga ada sedikit koyak di bawah ketiak. Trendy gituu…
Are you a friendly person : Entahlah, tapi oang kata pokcik ni masuk dalam kategori “Teman tapi mesra dan kawan-kawan yang kita suka”. Yihaaaa.
Do you have any pets : Hmm.. takat ni tak adalah, nak boli gajah pun duit tak cukup-cukup lagi..
Do you sleep with the TV on : Pondok pokcik tak de tiwi. Tapi, masa pokcik tidur , tiwi umah Pak Leman sebelah tu masih on lagi.

What are you doing right now : Sleep-writing!
Can you handle the truth : The truth is out there.. Nak handle , go “there” laa..
Are you closer to your mother or father : Rapat dengan sesiapa yang menyayangi diri ini , mak dah ayah pastinya.. Bila dah tua-tua ni.. ada juga rasa nak mendekat-dekatkan diri dengan oang lain. Tapi, siapalah yang sudi kat oang tua ni…Maklomlah, rupa ada, hensem plak tu.. hik hik Alahaiii.

Do you eat healthy : Makan sekadar mampu saja.
Do you still have pictures of you & your ex : Ada, tapi gambar kaki jek.. mengong betullah apek yang ambik gambar kita oang tu. hiyaaaaaa!
If you’re having a bad day, who are you most likely to go to : Having bad day, aaa go to bed laa.. hik hik
Are you loud or quiet most of the time : Bising bila oang semua diam, dan diam bila oang semua bising..
Are you confident : Ooo.. very very confidential. hik hik

5 things I was doing 10 years ago
1) Usha umah oang2 tua.. sbb ingat nak dok sana. Tapi bila fikir2kan balik, daripada menyusahkan oang, balik berdikari duduk sendiri di pondok buruk ni..
2) Memikirkan apalah nasib pokcik 10 tahun akan datang. Sekarang pokcik dah tahu! yihaa
3) Masuk skim cepat kaya.. dan… alahaiii
4) Belajar membuat pondok. Kini baru pokcik tahu akan pekdoh nya..
5) Interview iklan ubat gigi, tapi di tolak kerana kurang gigi.. adehhh…

5 things I would do if I were a billionaire
1) Cari ubat sakit jantung dulu. Mana tahu kut-kut terkoma dan terkujat ke dapat duit banyok sebegitu, kang silap-silap terus gol pulak.. hik hik
2) Belajar mengira.. maklom la, selama ini takat kira duit ringgit2 jek.. Ni kalau dah billion2, jadi tak pandai pulak. Nanti bila pokcik dah pandai kira, bila duit tu kurang singgit ka, pokcik boleh tau... hu huu

3) Bersedekah dan buat amal jariah banyak-banyak ( dengan hati yang seikhlas mungkin).
4) Beli atap baru untuk pondok pokcik. Nanti hujan tak bocor. Laman bawah pun nk tambak batu-batu sikit supaya tak becak. Perigi kat belakang tu nak kepung, supaya bila pokcik bersiram tak dak oang yang mengintai2 hik hik.. Agak-agak kalau pokcik ganti dinding pondok ni dengan papan lapis cukup tak? Maklomlah pokcik mana tahu billion tu banyak mana? Takut tak cukup pulak. Hik hik
5) Tulis buku , “Tua, hensem dan bergaya”!

5 of my bad habits
1) Suka melipat kain pelikat hingga atas paras lutut.
2) Kalau pergi makan ke rumah suka cakap , “ Yang tak ada jangan keluarkan..”
3) Borak-borak sampai lupa nak berhenti. Maklom la, oang tua…
4)) Ngeteh berjam-jam, kadang-kadang sampai lupa balik umah.

5) Tidur berjam-jam , kadang-kadang sampai lupa bangun.. hik hik

5 places I've lived/living
1) Kampung Parit Sangap , umah Tok Lipat.
2) Sebuah pondok di pinggiran Shah Alam
3) Rumah oang2 tua “Sinar Murnii”
4) Rumah oang2 tua “Murni Pelangi”
5) Rumah oang2 tua “Pelangi Anganku Musnah” hik hik.

Tu je lah yang terdaya, maaf laa.. pokcik ni memang selamba.. hik hik

Thursday, October 16, 2008

goreng...


“Atuk, meh makan tuk.” Riuh saja cucu Tok Lipat mengajak atuknya menikmati sarapan pagi sebaik saja kami balik dari sembahyang raya.

“Yo la.. nanti atuk makan. Atok nak rehat dulu.” Balas Tok Lipat seraya mendapatkan pokcik yang sedang duduk bersila di kerusi dapur. Namun tak satupun makanan yang diatas meja di kuis pokcik, walaupun nampak seperti tak cukup meja.

“Napa tak makan?” soal Tok Lipat dengan hairan.
“Hmm.. kenyanglah. Dari semalam asyik makan-makan lauk ini je. Sebu perut aku ni.” Jawab pokcik. Semalam ramai oang mengunjung (menghantar makanan) , jadi jenuh la pokcik makan lauk-lauk yang sama dengan rasa yang sediit berlainan.

“Eh, ni lah makanan raya. Oang semua seronok sakan makan ketupat , rendang, lodeh, kuah kacang, serunding , ayam goreng dan macam-macam lagi, kau senak perut plak.” Ujar Tok Lipat sambil terkekek ketawa separuh memerli.

“ye lah tu. Habis, kenapa kau tak makan?” pokcik mencebik.

“Aku aa.. aa aa, alah kenyang jugak.” Tok Lipat sudah tersengih-sengih.

“Hah, kau pun muak jugak kan. Saja jek nak cakap orang. Hmm.. kalau ada menda lain kan best,” tukas pokcik membuatkan Tok Lipat ketawa mengekah. Kemudian dia terdiam sebelum bingkas bangun menyelongkar periuk-periuk di atas meja dapur.

“Hah, Ni ada nasi semalam... amacam?” soalnya dengan kening yang ternaik-naik.

“Set...!” pokcik angkat ibu jari tangan, mengharap Tok Lipat akan melakukan keajaiban pagi itu.

Setelah hampir setengah jam berusaha, akhirnya keajaiban telahpun terserlah.

Dan pagi itu, di saat oang lain mengadap ketupat , rendang, lodeh, kuah kacang, serunding , ayam goreng dan macam-macam lagi, pokcik dah Tok Lipat pula mengadap juadah yang paling sekali pernah dirasa sepanjang tahun-tahun raya sebelumnya.

Nasi goreng raya...

Alahaiii...

Wednesday, October 15, 2008

pusara...

Sembahyang raya sudah lama berlalu. Jemaah semakin beransur meninggalkan mesjid. Ada yang masih berbual-bual di luar, berangkali ketemu sahabat lama atau kawan sekampung yang sudah lama tak bersua. Maklomlah, sesekali berjumpa.

Pokcik duduk berteleku di kawasan perkuburan di sebelah Mesjid. Mencangkung di kuburan arwah bonda. Selesai membacakan Yaasin dan sedekah Fatihah, mata pokcik melilau melihat kuburan-kuburan lain yang bercerak. Ada yang masih baru nisannya. Ada yang sudah dinaikkan kapuk dan dicat kembali.

Perlahan-lahan air mata berlenangan di pipi kedut pokcik. Sebak melanda-landa pabila melihat kebanyakan tuan punya nisan yang ada disitu adalah mereka-mereka yang pokcik kenal sesangat. Ada di antara gemulah-gemulah ini merupakan teman sepermainan sejak kecil hatta sekolah sepondok lagi. Kini, apabila masa berganti masa dan usia menginjak tua, ke sini jugalah akhirnya destinasi mereka. Oh, cepat sungguh masa berlalu.

Kalau nak diziarahi setiap kuburan demi kuburan, memang pokcik tak berdaya. Dengan kudrat tenaga yang sebegini rapuh, boleh jadi terpeleot pinggang pokcik bangun dah duduk. Dan lagi, hakikatnya... mana mungkin hati pokcik dapat menahan gemuruh sendu. Melihat batu nisan mereka umpama melihat wajah mereka di depan mata. Entah apalah nasib mereka di alam sana?
Mudah-mudahan, roh mereka akan dicucuri rahmat dan diberikan kesenangan dalam menempuh alam kubur.

“Salam sejahtera aduhai kawan-kawan ku semua. Tidurlah kamu semua di sana. Nanti bangun lagi... “ Hati pokcik semakin sebak. Esak tangis mula bergema.

“Dahlah tu, mari kita pergi. Yang dok kat sini biorkan saja. Sudah sampai hayat mereka. Kita yang hidup ni perlu terus hidup.” Perlahan saja suara Tok Lipat menghampiri serta memujuk. Barangkali risau melihat pokcik berlama-lamaan di situ dengan wajah yang serba bergenang air mata.

Dalam masa bergerak perlahan meninggalkan kawasan tersebut, pokcik sempat menoleh lagi.

“Masa kamu semua dah sampai, Entah bilalah masa pokcik pula.. “

Alahaiii…

Monday, October 13, 2008

dah...


Takbir raya di Mesjid Kampung Sangap tidak banyak berubahnya sejak beberapa tahun lalu. Cuma tahun ini agak kurang sedikit umatnya. Barangkali ada yang tak dapat hadir dek kerana hujan lebat yang menimpa malam sebelum tu selain maslahatan lain yang timbul. Barangkali juga lebih syok tidur dibuai kedinginan pagi yang nyaman.

Seperti biasa, golongan tualah yang selalu memenuhi saf depan. Dan, Pak Dolloh selaku iman mesjid nampak khysuk melagukan gema takbir memuji-muji Tuhan yang maha esa di atas nikmat aidilfitri yang menjelang tiba. Komdian apabila nafasnya sudah tersemput-semput, mikropon pun disua ke sebelah, juga kepada oang-oang tua untuk menyambung takbir bagi memenuhi suasana hening pagi sebelum sembahyang sunat aidil fitri dimulakan.

Kadang-kadang pokcik rasa nak marah jek bila tengokkan hal ini. Kemanalah pergi segala pemudi pemudi atau remaja yang kuat-kuat suaranya dan panjang-panjang nafasnya. Kenapalah mereka tak duduk depan-depan? Patutnya, merakalah yang sesuai bertakbir, kerana lantangnya ton suara mereka dan semangat yang memuncak-muncak menyambut raya yang setahun sekali datangnya. Barulah takbir raya kedengaran happening!

Ini tidak, balik-balik oang tua-tua tu jek yang disuruh bertakbir. Suara mereka pun jadi tenggelam timbul, tergigil-gigil dan lebih banyak keluar angin dari bunyi ( kes gigi depan dah kurang ). Pitching toksah ceritalah, lari habis. Lontaran suara tersangat lemah. Nada pun jadi semakin perlahan dah lesu menyebabkan ada jemaah yang mengambil keputusan untuk menyambung tidur di situ.

Ish, kalau pokcik laa..

Malangnya.. tatkala baru pokcik nak mengomel-ngomel, mikropon sudah disuakan kepada pokcik. Maka, tanpa membuang masa pokcik pun bertakbirlah dengan penuh semangat...

Hinggalah tiba-tiba, Tok Lipat terpaksa merampas mikropon tersebut dari tangan pokcik, menyebabkan pokcik memandangnya dengan penuh hairan.

“Bagi la kat oang lain. Dari tadi aku dengar dok sebut, atas dah, bawah dah, berulang-ulang jek. Bila nak abis dahhh…?”

Pokcik terkedu… lalu perlahan-lahan tersengih.

“Alah, biasa la.. dah lama benor rasanya aku tak tertakbir.. “

Alahaiii…



Nota cagu :

Jangan lupa tertakbir setiap kalu menjelang raya. Nak takbir hari-hari pun tak apa. Jangan dah tua-tua baru nak mula.. nanti jadi macam oang tua tu pulak.. hik hik

Thursday, October 09, 2008

Cerita Pra Raya


Beberapa hari sebelum raya, pokcik telah selamat tiba di kampung Parit Sangap yang dirindui. Dan melalui hari-hari terakhir berpuasa di sana, sangatlah meletihkan dek kerana cuaca yang panas dan kering. Terasa macam berpuasa di negara Afrika pula.

“Dah lama hujan tak turun di kampung ni.” Domkian kata Tok Lipat dalam santai harian pokcik bersamanya. Tidak banyak aktiviti yang dapat dibuat. Jadi kami hanya lepak-lepak, borak-borak, tido-tido saja. Malamya, seperti biasa... ngeteh-ngeteh.

Dan siapa sangka, setelah beberapa hari kering dan gersang, menjelang saja Syawal, pada paginya, sekitar jam 1.30 pagi, hujan telah turun dengan selebat-lebatnya dan panjang membawa ke awal subuh.

Pokcik dan Tok Lipat yang sedang sibuk menjaga periuk rebusan ketupat di bangsal dapur tergigil-gigil dek tempias hujan yang melanda. Dalam ribut hujan yang menggila tu, pokcik tetap tersenyum riang. Mungkin ini rahmat dari Tuhan agaknya. Turun bersama sinar Syawal yang ditunggu-tunggu.

Awal pagi itu, beberapa kawasan rumah di sekitar kampung turut digenangi air, namun tidaklah sampai mengundang banjir.

Dan pokcik sendiri, jadi keterlewatan pula hendak ke Mesjid. Maklomlah, kopi tongkat Ali dibancuh sampai had subuh jek. Lepas tu, hanyut…

Alahaiii…

Monday, October 06, 2008

Pokcik dah balikk...

Salamz semua,

Pokcik dah balik dah ni...

Adoii.. ponatnya.. tak terkiro gituu..

Cam mana sambutan raya kamu semua di kampung sana? Meriah tak? Wahh.. tentu seronok yang tak terhingga-hingga gitu.. kekekek . Biasalah tu, kadang-kadang kemeriahan yang sebegini memang sukar hendak ditinggal pergi. Apatah lagi bila sesekali pula datangnya. Alahaii...

Apa-apa pun, selamat kembali semula ke kota. Pada yang nak masuk kerja tu, selamat bertugas dengan penuh semangat.

Tapi masih boleh beraya lagi kan? lama raya ni... Sebulan ooo..

Hik hik