Monday, December 22, 2008

Fragmen Dol Leman : Misteri Pohon Kekabu


“Macam mana dahi awak itu?” soal Dol sambil memandang dahi Ku Chai yang ditampal plaster.
“Sudah baik. Cuba awak tengok. Seperti ada setem di dahi saya ini. Lepas ini, bolehlah diposkan sahaja.” Ku Chai menunjukkan plaster di dahinya.

“Habis tu, mama awak tak tanya apa-apa ke?” soal Dol.

“Ada ... saya cakaplah jatuh basikal.”

“Lepas tu?”

“Teruklah saya kena bebel,” rungut Ku Chai dengan muka yang sedih.

“Awak silaplah Ku Chai. Sepatutnya janganlah cakap benar macam tu. Nanti mama awak akan tanya banyak soalan. Buatlah helah, seolah-olah kecederaan awak itu tidak disengajakan. Tentu mama awak tak bising,” ujar Suppa.

“Eh, jatuh basikal tu tak sengajalah. Terjatuh.” jawab Ku Chai.

“Betul, tapi mungkin sebab awak merayau-rayau di tempat yang mama awak tak suka. Bila dia dapat tahu, tentulah dia marah,” terang Suppa lagi.

“Habis tu, awak nak suruh saya beri alasan apa?” Ku Chai menyoal lagi.
“Hmm ... cakaplah yang awak tersepak dahi sewaktu bermain bola semalam,” cadang Suppa dengan yakin.

“Ish ... tak pernah saya dengar orang main bola sampai tersepak dahi. Awak ini, mengarutlah Suppa.” Dol menyampuk.

“Ya kah? Hmm ... apa kata kalau cakap tergigit dahi pula. Tentu logik kan?” Suppa mencadangkan sebab yang lain.

“Ah, sudahlah ... awak jangan nak menambah-nambah. Sudah cukup saya mendengar syarahan mama saya semalam. Mujur ayah saya tak cakap apa-apa. Kalau tidak, tentu dia tak benarkan saya keluar rumah hari ini.” Ku Chai malas hendak melayan Suppa.

Dol mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia tidak begitu kisah akan perbualan Suppa dah Ku Chai. Mereka memang suka bertengkar. Dol lebih suka memikirkan hal yang lain.

“Nasib baik semalam kita tak apa-apa ya,” ujar Dol meluahkan rasa. Kawan-kawannya yang lain turut mengangguk. Teringat keadaan mereka yang kelam kabut menyembunyikan diri. Memang kerja menyiasat ini kadang-kadang sangat merbahaya.

“Ya lah, takut saya dibuatnya masa itu,” ujar Suppa.

“Awak berdua rasa ... apa benda yang pelik sangat itu? Besar dan berkeriut-keriut bunyinya?” soal Dol lagi.

“Saya rasa ... sudah tentu bigfoot,” jawab Suppa.

“Hah! bigfoot? Eh, awak biar betul Suppa? Mana ada bigfoot zaman sekarang ini? Ia sudah lama pupus.” Ku Chai meningkah, merujuk kepada makhluk yang seumpama manusia dan badan berbulu. Ia pernah menjadi isu hangat suatu ketika dahulu. Sedangkan orang Barat pun tidak dapat membuktikan dengan tepat kewujudannya, ini kan pula jika ia muncul di Kampung Parit Sangap.

“Manalah tahu, dia berhijrah ke kampung kita. Kemudian duduk dalam hutan di hujung kampung sana. Kemudian, berjiran pula dengan Bang Noyon.” Suppa melawak lagi.

“Ish ... lagilah tak masuk akal. Kalau dia ada di sana, tentu dah beberapa kali Bang Noyon terserempak dengannya atau orang-orang kampung yang lain,” balas Ku Chai tidak mahu kalah.

“Mungkin juga dia bersembunyi atau melarikan diri apabila terserempak dengan orang ramai. Dia pemalu agaknya.” Suppa semakin seronok bertikam lidah dengan Ku Chai. Dia tahu telahannya agak mengarut, tapi seronok melihat Ku Chai beria-ia mempertahankan pendapatnya. Geli hati pula melihat mata Ku Chai terpejam-pejam membangkang dengan raut wajah yang sudah merah padam.

“Kamu berdua ni ... sudah sudahlah tu. Kalau nak berdebat pun, biarlah pada hal yang masuk akal sikit. Ini pasal bigfoot ... sampai lusa pun tak habis,” tingkah Dol menyuraikan suasana yang agak tegang itu.

“Lagipun, bigfoot takkanlah bunyinya berkeriut-keriut. Sekurang-krangnya dia mengaum, suaranya garau dan besar,” terang Ku Chai lagi dengan yakin. Dia pun pernah membaca rencana tentang makhluk itu di surat khabar dah buku-buku. Lagipun, dia seorang ahli perpustakaan. Tentu banyak masa untuk membaca dan mendapatkan maklumat.

“Itu tentu bigfoot sakit gigi,” ujar Suppa seraya mengekeh ketawa. Ku Chai sudah hilang sabar lalu mencucuk ketiak Suppa. Suppa terlompat kerana terperanjat.

“Awak ni Suppa ... tak habis-habis dengan cerita karut,” getus Ku Chai spontan. Suppa hanya ketawa sahaja sambil menggosok ketiaknya.

4 comments:

INTAN said...

ada sambungan ke ni?....

Mersik said...

Intan - Hik hik, ni saja nk promo2.. nnt gi kat cari buku dia aa.. Selamat membaca.. hu huu

alia said...

salam persinggahan....pok cik intro pancang sangat..he..he..

Mersik said...

alia - Slmt menyinggah2 aaa.. biasa la.. oang tua. hik hik