Friday, August 31, 2007

Selamat menyambut Kemerdekaan Negara yang ke 50 tahun.


Salam sejahtera buat seme yang jauh dimata dan dekat dihati..

i. Ada pun dikesempatan ini, pokcik dengan bangga hati hendak mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke 50 tahun, untuk sekelian rakyat malaysia, baik seme yang lahir sebelum atau sesudah merdeka. Semoga anda sekelian akan faham erti kemerdekaan yang sebenar dan menghargainya dengan sepenuh hati walau kita telah mewarisinya sejak lahir.


Sejajar dengan perkembangan negara, kita juga harus memperkukuhkan jati diri, tinggi semangat dan selalu berfikiran positif, supaya sentiasa maju ke depan dan mempunyai wawasan untuk berjaya. Dan... tak lupa untuk mengekalkan nilai2 murni yang menjadi asas budaya bangsa yang bertamadun.

Semoga kita akan sentiasa ingat...


ii. Keduanya, pokcik akan berpergi2an seketika di kampung sana barang 2,3 hari. Mungkin makna kemerdekaan akan lebih terasa bila pokcik berada disana, bersama teman2 yang sebaya mengharungi susah senang zaman awal2 kemerdekaan negara dahulu.

Dari itu, tinggallah teman, tinggallah sayang... pokcik jalan dulu.. hik hik..

Thursday, August 30, 2007

Aku..


Aku malu menyapa
Pada raut seindah rupa

Aku takut menanti
Pada bibir yang tawar hati

Aku dapat membaca
Pada sinar mata yang berkaca

Aku sukar merona
Pada kalbu yang penuh pesona

Aku tak sudi mengabdi
Pada hati tak setulus budi

Aku sangat merindu
Pada dia yang sering sendu

Aku sering terkenyit
Pada gadis yang genit2

Aku tidak menolak
Pada mereka yang mengajak2 (makan)

Aku tidak menguap
Pada tilam yang bucuk berkuap

Aku laju meratah
Pada sekut yang dipatah2

Aku bak terkena pelali
Pada kopi si Tongkat Ali

Aku lupa berjanji
Pada Tuhan yang memberi duniawi

Aku tidak mengulit
Pada hal yang sulit2

Dan…

Aku hanya ingin hidup
Bersama jantung
Yang dipinjamkan degup..

Alahaii..

Wednesday, August 29, 2007

Menjawab Tag dari Puteri Ezza.

Sejak akhir2 ini.. pokcik jadi semakin malas dan letih. Hendak menulis pun terasa berat. Baik berat mata memandang mahupun berat bahu yang memikul Fikiran dan tumpuan pokcik pun kadang2 lari hinggakan tubuh jadi lesu.

Tapi tak apalah, terlanjur Puteri Ezza telah bermurah hati menge tag pokcik ni, maka adalah sikit menda2 yg boleh pokcik fikirkan antara lain menjawab soalan2 yg diberikan. Apa yang ada jek la ye. Tiada ruhsia antara kita.. hu huuu.
.
{{ 5 benda dalam beg Pokcik }}
.
i- Resit, boli kopi tongkat Ali dan sekut Hup Seng
ii- Mangga pondok, tapi kunci dah hilang
iii- Buku 555, kedai kopi Ah Seng punya.
iv- Sekut kering wat bekal jalan2
v- Sikat rambut kurang 12 gigi.
.
{{ 5 benda dalam dompet Pokcik }}
.
i- Duit sen2 yg lebih banyak dr duit singgit2
ii- Kertas tertulis no tipon Tok Lipat, Makcik Salemah dan segala saudara mara di kg sana
iii- Gambar pokcik didepan pondok, posing manja, jari telunjuk letak kat dagu
iv- Tiket wayang pilem Sanggam , tahun 70an.
v- Jarum dan benang.. ( kut2 dompet koyak ke. kekeke )
.
{{ 5 benda favourite dalam pondok pokcik }}
.
i- Setilam leper kekabu buruk dengan segala mcm peta dlm dunia dok ada
ii- Pedal basikal buruk pokcik ( letak kat luor kang oang curi )
iii- Cerek , cawan, bekas plastik isi kopi peket2 dan se tin biskut.
iv- Radio buruk pemberian Tok Lipat ( dapat siaran Klasik Nasonol jek )
v- Bendera malaysia.. chewahhh
.
{{ 5 perkara yang Pokcik ingin lakukan }}
.
i- Menulis buku mengenai seoang tua yg maha glamer ( ceh ceh sapa tu? Kekek)
ii- Bungee jumping , dengan hanya memakai kain pelikat jek
iii- Hantar Cik Tom kursus Bina Ehsan. Dia sik merayap jek memalam.. jd “playcat” kut..
iv- Tolong kejar Dol Leman masa dia nak sunat nanti kekeke
v- Kembali muda, hik hik bley ke?
.
{{ 5 perkara yang sedang Pokcik lakukan }}
.
i - Merenung langit yang hitam pekat sambail berangan jauh.
ii- Bertanya diri sendiri, Pokcik nih glamer tak?
iii- Bertanya Cik Tom, Pokcik nih glamer tak?
iv- Menggaru kepala untuk mencari ilham menulis
v - Tidoo
.
{{ Insan-insan yang ingin Pokcik tag }}
.
Kekekek.. alahaii pokcik nih pemalu laa.. Haa sapa2 yg nak suo pokcik tag tu.. kabo la. kekeke alahaii..

Sesiapa sahaja yang berminat untuk menjawab tag ini, sila laa jgn memalu hu huu...

Tuesday, August 28, 2007

Busy..

Pokcik cam busy gitu
Campur sikit2 lazy
Cuaca pun sik hazy jek
Oh! Harap tak jadi crazy...

Feelin..
Feelin..

Nuthing more than feelin...

Hik hik

Wednesday, August 22, 2007

Malam ini, Sang Bulan dan Aku...


Andainya malam ini
Bulan diam menyepi
Aku kan duduk menyendiri
Berteman secawan kopi

Andainya malam ini
Bulan muncul separuh
Dilantai pondok tubuh ku taruh
Sebelum lena berkeroh-keroh

Andainya malam ini
Bulan hilang ditutup awan
Tentulah hati bertambah rawan
Teringat kasih, teringat kawan

Andainya malam ini
Bulan terang cahaya bersuluh
Tanda sakit datang meluluh
Dan aku terus mengeluh

Andainya malam ini
Hanya ada si bulan sabit
Tandanya kasih sudah terbit
Bersama cinta yang membibit

Dan…

Andainya malam ini
Bulan berganti terik mentari
Tanda tidurku sudah terlari
Dan bangun, meninggi hari

Alahaii..

Tuesday, August 21, 2007

Motor...

Suatu pagi yang tak berapa pagi, namun ada heningnya...

Dol : Tok, Dol ada teka teki ni.

Pokcik : Hah.. pedia? ( sambil menghirup kopi dengan nikmat )

Dol : Banyak-banyak motor , motor apa yang tayarnya satu?

(Pokcik termenung sat. Sambil tergarugaru dagu, kemudian merayap ke pipi, telinga dan dahi.. memikir )

Pokcik : Err err.. motor bot kut.

Dol : (ketawa ) Kekeke... salah la tok, mana motorbot ada tayar?

Pokcik : (menggaru lagi ) Err.. err motor tayar pancit?

Dol : (ketawa ) Kekeke salah jugak tuu.

Pokcik : Hmm... ntah la.. atok tak tahuu..

Dol : Motor Mat rempit laaa… kekekekek.

Pokcik terpelongeh... Namun sebaik melihat gelagat Dol yang seperti sedang memegang handle motor, membuat aksi willie, semakin terbeliak biji mata pokcik .

Pokcik : Cet…! (seraya mendengus..)

Up to date sungguh teka teki Dol ni. Manalah pokcik tahuu.. hu huu

Alahaii…

Friday, August 17, 2007

Kembali...


Ini tengah hari paling ngeri
Kerna dia telah kembali
Sedari tadi dok berlari-lari
Dengan bunyi rioh sekali

Budak nakal sebelah rumah
Tersengih penuh ramah
Sudah cuti tadika ma
Adoh.. pokcik jadi trauma

Atokkk !

I see uuuuuuuuuuuuuuu.... kekekeke


Alah... Budak Dol ni, nampak pulak dah..

(Sambil mengintai dari celah pintu dengan pistol kayu digenggam erat. Peperangan bakal bermula lagi tidak lama lagi... hu huuu)

Alahaii....

Wednesday, August 15, 2007

Nikmat...


Bumbung bisa roboh
Lantai antara berlari
Pondokku kekal lagi

Mentari menyengat bangat
Membakar jiwa lengat
Menitis keringat

Deras hujan tak kenal ihsani
Terkadang ramah
Terkadang mamah

Secangkir kopi
Sepiring biskut
Serta sengih syukur

Adalah simbol
Aku yang melahap
Penuh nikmat

Monday, August 13, 2007

Hujan tengah hari, hari minggu

Semalam tengah hari, hujan turun di pinggiran Shah Alam ni. Serba gerimis rentaknya. Suka betul hati pokcik mendengar alunan hujan yang agak lama tak mencurah di bumbung pondok pokcik nih. Hingga jadi terleka dibuatnya sambil berkira2 untuk menarik selimut semula kekekek..

Mujurlah Tok Siak terkocoh2 datang mengejutkan santai pokcik yg nyaris melekakan. Oh! rupa2nya mengajak gi kenduri oang kahwin. Iksh iksh cam mana lah pokcik leh lupa ni? Padahal pokcik yg glamer ni pun dijemput sama.

" Haii.. hujan2 ni pun oang wat kerja kahwin?" soal pokcik dalam hati. Tapi, memikirkan oang dah beriya jemput dan barang tentu makanan yg ada tu sapalah nak makan? Pokcik siap2 lah juga untuk pergi. Biasa ler, sekarang ni, oang kahwin dah tak kira masa... janji ada banyak masa yg banyak oang free, molek saja la kut. Termasuklah cuti hujung2 minggu ni.

Maka dalam derai hujan yang semakin maintain titis2nya itu, berpayung2 la pokcik berdua dengan Tok Siak tu, berjalan perlahan2 sambil sesekali berlenggang ke kanan dan kiri mengelak becak dan takungan air. Kadang2 kami pun terlompat2 katak apabila tersua sang katak yang tersalah lompat. Bukan apa, kut dia masuk dalam kain pelikat pokcik ni, haru jadinya nanti kekekek. Lagi pun tempat kenduri tak berapa jauh... jalan kaki jek la , dah tentu penat.. kekekeke.

Majlis tu bolehlah dikatakan meriah. Ramai oang yang berpusu2 hingga penuh kerusi meja dan laris makanan yang dihidangkan. Mujur pokcik pun dapat bersama2 memeriah2kannya. Merasa2 nasi minyak yang dah lama tak dirasa hik hik hik. Hujan masih lagi turun, malah semakin lebat. Nasib baik khemahnya luas dan besar. Kalau tidak kesian tetamu2 yg datang tu.

Secara keseluruhan, bolehlah dikatakan meriah gak.

Cuma satu la yg pokcik dapat wat kesimpulan, iaitu..

Bila tiba time hujan2 ni, oang akan jadi laju makannya.. hik hik alahaii

Thursday, August 09, 2007

Yang segera-segara...


Ramai sungguh oang bertanyakan Dol , si budak nakal sebelah pondok pokcik ni. Dol Leman yang selalu menziarahi, menyakat2 serta memeriahkan hidup pokcik hari-hari. Kehilangannya sering ditanya2 oang. Uishh nampak benor ler, lebih glamer budak tu dari pokcik kekekeke.. Jeleznyerr kekekeke

Semalam petang, pokcik nampak dia di laman umah. Terkinja2 tah main apa kebenda tah? Tak lama kemudian, ayahnya, Leman pun balik sambil membawa buah tangan yang bukan calang2 buahnya. Maka makin terkinja2 la Dol tuh apabila melihat jajan kegemarannya itu. Seronok rasanya. Tak lain tak bukan ialah Mek Donol ( McDonalds).

Pokcik tersengih saja dari jauh sambil memikir2kan sesuatu. Rajin betul Pak Leman ni melayan karenah anak2nya. Selalu membelikan jajan2 segera yg sedemkian rupa. Walau pun tak hari2, tapi kalau ada duit lebih, dia lebih suka boli yang itu. Memang makanan tersebut sangat2 disukai oleh kanak2 masa kini. Sapa yang tak kenal Mek Donol, KFC, A&W, Pizza Hut serta lain2 serba segera dan penuh perasa. Generasi sekarang ni memang beruntung. Celik2 mata dah tahu nak makan semua itu dan senang benor rasanya lekat di tekak.

Generasi yang serba segera ni, kadang2 jadi semakin seronok bila generasi sebelumnya ( terutama mak ayah ) rajin memperkenalkan serta melayannya. Selalu bawak mereka ke sana untuk makan2. Makin lemak la mereka jadinya selain menambak lemak yang sedia ada.

Dan dalam hal2 yang sebegini, tentunya akan mendatangkan konflik juga pada generasi yang lagi satu tu. Tak lain ialah generasi klasik seperti pokcik2 ni laa kekekek.

Kawan karib pokcik, Tok Siak tu, selalu jugak mengeluh. Bila bawak cucu jalan2 , sebaik terpandang restoren makanan segera, maka jenuh la Tok Siak tu menjaga. Bukannya apa. Takot betul dia kalau2 dirinya yang serba cekeding tu akan ditariknya ke dalam. Bukan mereka mau makan digerai2 pun. Nak juga masuk kedai ber air cond tu memakan makanan serba rangup hingga menjilat siku la, kekononnya. Sampai jadi kekok Tok Siak dibuatnya.

Samalah juga dengan Tok Lipat di kampung tu. Sesekali cucu bertandang ke umah, nakkkan ayam goreng kentaki, terpaksa la di autakan itu ini. Paling tidak pun, digorengkan sahaja ayam dalam reban tu. Tapi budak2 seme pandai, tahu rasa dan komen berjela2. Mujur Tok Lipat lagi berhasta2 jawabnya, sampai malas cucu2nya nak bersoal jawab kembali. Tapi kesannya, mereka dah tak dan balik umah atuknya. “ Umah atuk tak best, tak de makan2 cam tuh,” omel mereka setiap kali diajak ayah bonda.

Abih tu, oang2 tua nih nak wat cam mana? Kecik hati pun tak sapa yang tahu. Budak2 dari kecik dah diajar begitu. Memberontak la kalau tak dapat. Walau pun nampak seperti bukan hal yang besar, namun oang2 tua nih kalau umah tak riuh dek anak cucu, maknanya serupa dalam kubur la.

Pening kepala memikirkan tentang generasi hari ini, khususnya dalam bab memilih makan ni. Walau pun isu ni nampak kecil, tapi kalau tak dijaga, akan datang… makanan yang diambil akan jadi lebih memudaratkan untuk jangkamasa panjang. Bila mana, apabila segalanya hendak serba segera, maka penyakitnya pula akan jadi segera juga datangnya. Besok, jangan pelik kalau budak kecik2 dah kena kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, kanser dll


“Atookkkk! “ tiba2 jeritan Dol mematikan lamunan pokcik. Jauh sungguh pokcik memikir. Pokcik mendongak memandang sayup pada Dol yang melambai2.

“ Ayah ajak makan! Meh laaa... tokkkk,” pelawa Dol bersungguh-sungguh.

Pokcik memandang dengan mata terkebil2, sebelum mula mengukir senyum. Kemudian, pokcik deras bangun, terkinja2 lalu berlari ke sana.

“Yo laa, atok datang nii… atok datang...! “

Alahaiii...

* Oh, nakal sungguh anda seme kerana memandang pandang rendah akan oang tua ini. Apa2 pun, rezeki jangan ditolak hik hik
* Dan selamat berhujung minggu. Ceria2 selalu hu huu

Wednesday, August 08, 2007

Ada Sintaaaaaaaaaa...


Pokcik mengambil keputusan untuk menukar lagu lagi di pondok ini.. Hik hik asyik lagu zapin jek.. layu lah seme oang yg datang bertandang ke sini nanti.

Apa2 pun, lagu yg ini.. err err agak menggetarkan sukma gitu hik hik.

Pokcik tujukan buat sesapa di luar sana, yg sukar sangat nak melafazkan cinta.. hu huuu. Walau pun sarat cinta dalam hati, mengodam, membenam... namun tak terluah pada si dia itu.. alahaiii..

Apa laa korang ni.. iksh iksh kabo jek laaa... Apa susah? Alahaii pasrah kasih tul aa..

Erks ? Senang sangat ke? hu huuuu


ADA CINTA

Ucapkanlah kasih
Satu kata yang kunantikan
Sebab ku tak mampu membaca matamu
Mendengar bisikmu

Nyanyikanlah kasih
Senandung kata hatimu
Sebab ku tak sanggup
Mengartikan getar ini
Sebab ku meragu pada dirimu

Mengapa berat ungkapkan cinta
Padahal ia ada dalam rinai hujan
Dalam terang bulan juga dalam sedu sedan

Mengapa sulit mengaku cinta padahal ia terasa
Dalam rindu dendam hening malam cinta terasa ada


Acha Sptriasa & IrwahSyah (OST Love is Cinta )


Nota Cagu :

Agak2 ada sesapa yg tak terlafazkan rasa "itu" pada pokcik yg glamer mamer nih.. Uiiii jaangannnnnnnnn.. !! kekekek ,

Kalu pokcik tak tersedu sedan, barang kali, terkoma2 gitu nantinya... hik hik hu huuu

Monday, August 06, 2007

Silu...


Pokcik berasa sedikit silu apabila mula hendak menulis di sini. Terketar2 jari jemari ini apabila fikiran mula mencari patah2 perkataan yang sesuai diluahkan. Agaknya, kalau di umah oang ni, sudah selayaknya pokcik dihalau keluar tanpa perasaan belas. Memandangkan ini pondok pokcik sendiri, maka tak perlulah pokcik berlebih2 akan segan silunya kekekeke

Barangkali kerna sudah terlalu lama pokcik menyepi2 kan diri. Sudah jarang2 bercerita. Tentunya ramai yang mencari2 dan tertanya2, kemanalah hilang oang tua ini? Maklom la, apabila sudah menjadi bahan minatan ramai serta di yakin kekal ada di pondok nye, tiba2 hilang pula, maka harus bersangat2anlah menjadi kisah sensasi di alam maya pada ini.

Mujurlah sempat juga pokcik titipkan sebaris dua sajak2 terlajak yang dikarang dalam masa2 hilang tuh. Tak sia2 pokcik terhantuk gayung sewaktu bermandian di perigi dua minggu lalu. Justeru itu, sama ada pokcik mendapat masalah sakit kepala, tidak dapat menulis secara penuh atau ada bakat baru yang mula memekar dalam diri ini hik hik. Kepada yang sudi membaca sajak2 tu, terima kasih daun keladi la pokcik ucapkan.

Maka, dalam hal kehilangan pokcik ini, tiadalah jawapan yang khusus dapat pokcik beri. Apa yang boleh dikata ialah… manusia datang dan pergi umpama daun yang ditiup angin. Melayah2 ke sana ke mari. Kadang2 singgah menyapa ditepi kali, kadang2 bertumpang senyum di rumah dara atau kadang2 tersengih saja di warung kopi. Bukan niat hati untuk melari, tapi masa yang menghambat pergi segala masa2 ria dan senggang santai kita setiap masa. Berganti sibuk yang tiada hujung pangkalnya.

Atau, mungkin jua pokcik sedang berjalan mengikut haluan hati dan perasaan sendiri. Walaupun mesti ke depan, tapi pokcik terlalu lesu untuk meneruskannya. Ditambah pula dengan kondisi tubuh yang semakin uzur sehari2.

Mungkin juga pokcik tersesat jalan dan tak jumpa jalan pulangnya.. alahaiii..

Wednesday, August 01, 2007

Pulang...


Jika sedikit ghairah
Bisa membuta mata fikirku
Maka tamatkanlah sahaja
Perjalananku saat ini

Jika malam terindah
Aku mampir di situ
Suakan aku rahmatmu
Bersama pahala menggunung
Serta redha insani

Jika sampai masa
Aku tersesat jalan
Suluhkanlah aku cahaya
Menuju bahagia.
Di hujung sana

Ternyata…
Maya ini aneh
Disaat aku semakin dijulang
Disaat itulah,

Aku ingin pulang..

Tuesday, July 24, 2007

Pagi...

Ini pagi paling sakti
Terbitnya bersama fajar

Yang dinanti-nanti

Ayuh.!
Sarungkan kain pelikatmu
Wahai kesatria tak bergigi
Dandanlah diri penuh rapi

Mesra bak secawan kopi

Kerana kita
Mahu tidur lagi..

Friday, July 20, 2007

Yang tak dimengerti


Hambatkan aku rindu
Berarak mendung kelabu
Sulamkan bersama deras hujan
Longlai bertamu menunggu
Lesu di usik pilu

Lemparkan aku nista
Gelarkan aku gila
Pada mereka yg tak mengerti
Aku sebenarnya
Sekadar glamer

Dambakan aku sentuhan
pada jiwa nan satu
Halus terasa dipipi
Mulus meresap kalbu
Bagai diusap janda

Selimutkan dingin malamku
Tutupkan selak kainku
Mimpikan tidurku
Akan wajah
yang satu itu

Oh tilam leper..

Oh bantal kusam...

Pokcik datang...
Pokcik datang...

Tuesday, July 17, 2007

Teringat...

Pokcik baruuu TERINGAT !

Alkisah.. pokcik dah ada YM tau skg nih ? Tah la, apa kebenda la tuh.. Oang kata senang kalu nak borak2.. Yo la tuuu...

id nye cam biasa lah, alahhh yg glamer tu : mersik40

Maka sayugia, sudi2 la sesapa disana tu untuk memesrai pokcik dalam medium yg ini pula. Tinggalkan sebarang2 jua jejak , jejak kasih, jejak bertapak atau jejak yg tak jejak.. kekeke..

Agak2 tak de respond ke, senyap ke atau diam sahaja , Maknanya pokcik sedang terkial2 la tu nak menggunakannya..

Atau pun , barangkali pokcik TERLUPA gituuu...

Alahaiiii.

Monday, July 16, 2007

Yang tinggal kini..

Hujan seharian yang turun semalam, terasa mengiringi kepulangan pokcik dari kampung tersayang.

Pulang kerana menziarahi Mak Da, kawan tersayang, yang lebih dulu disayang sang penciptaNYA.

Aduh… Letih sungguh tubuh ini tak terperi. Membantu segala hal, termasuk kenduri kendara.

Air mata pula, sudah kering untuk bertangis2kan pada yg pergi. Tinggal hanya kenangan sahaja, dan memori manis2 yg yang bersilih ganti.

Seperti lumrahnya, hidup perlu diteruskan. Yang pergi redakan lah saja ia pergi. Yang tinggal harus bergerak meneruskan hidup di dunia fana.

Cuma kalau ada ingatan2 yg tulus, moleklah disedekahkan Al-Fatihah barang sesurah dua, supaya yang ada di alam sana akan terang kuburnya dan dipermudahkan kiraannya.

Pokcik pun rasanya, tidak harus bergundah gulana, memikirkan perkara2 yg pasti datang. Apa yang ada didunia ini, elok la dinikmati sebagai bekal untuk akhirat sana.

Sekarang ni, tiadalah pokcik hendak buat apa2 selain menjaga diri supaya lebih sihat dan berkualiti hidupnya. Kerana apabila susah terbaring lesu, sakit sana situ, tiadalah bermakna apa2 melainkan hanya akan menyusahkan semua.

Harap2, tidaklah pokcik sampai begitu sekali keadaannya.

Alahaiii…

Thursday, July 12, 2007

Akhirnya..


Maka setelah bergelut dengan koma dan segala macam dugaan dibawah alam alam sedar sejak 22 hari yang lalu, maka Mak Da pun telah menghembuskan nafas yg terakhirnya pada awal pagi Rabu, jam 1.05 .

Berakhirlah sudah perjalanannya dimuka bumi ini. Seperti yang telah dijanjikan, mana2 makhluk yang hidup, pasti akan kembali di sisi TUHAN yang satu.

Alhamdulillah , segala urusan pengkembumiannya telah selamat dijalankan.

Sekelian anak cucu, saudara mara dan teman2 mengiringi pemergian Mak Da dengan redha hati walau pun secara lahirnya, bagai tak terluah rasa berat dan air mata yang tumpah dan saling melimpah.

Untuk diri pokcik pula, turutlah sama berasa rawan yang teramat kerana Mak Da juga bukanlah orang yang lain juga bagi diri pokcik. Kami sudah lama benar kenalnya. Dan sebab yang lain pula, adalah kerana mengenangkan mati itu sangatlah pasti. Cuma entah bila datangnya.

Sama2lah kite mendoakan supaya roh Mak Da diletakkan dikalangan oang2 yg saleh dan dipermudahkan urusan akhiratnya.

Juga Al-Fatihah sebagai sumbangan sedekah yang seelok2nya..buat Mak Da , atau nama sebenarnya Hajah Rugayah binti Hj Abdul Rahim.

Serentak dengan itu , maka pokcik pun akan berduka laralah barang beberapa hari nih.. kerana hal2 yg sebegini sangat2 la menusuk2 ke dalam hati oang tua ini, menyentak2 rasa pilu yang paling dalam.

Sementelaah pula, pokcik nih pun dah tua dan lebih dekat2 benar rasanya hendak menghampiri alam yg Mak Da kunjungi itu..

Alahaii...

Monday, July 09, 2007

Ku sangka panas hingga ke petang


(i)

Beberapa minggu yang lalu, bahang matahari bagaikan berada diatas kepala. Panasnya terasa sangat hingga menyusup ke dalam tubuh badan. Rimas, resah dan lemas bersilih ganti saban hari. Jenuh tekak ini nak mengogok air buat penghilang dahaga yang terlampau.

Mana2 tempat nampak gersang dan kering. Nak keluar pun takut kulit terbakar pedih.

Kemana agaknya perginya sang hujan? Sudah berkurun ia tidak turun. Mungkin merajuk hati atau sudah lagi ke lain halanya.

Kalau dulu pokcik sangat mengomel pasal hujan, kali ini kehadirannya bagai dirindu2 gitu.

Kalau turun sekejap pun dah cukup menggumbirkan. Kadang2 dia turunnya tatkala pokcik sedang leka beradu, langsung tak diperasan2kan sangat. Akan kehadirannya yang sekejap Cuma.

Oh hujan, turunlah engkau.. supaya otakku yang cair dek panas matahari akan mengalir lalu pula dek kerana sejukmu.. ( Maklom lah, pokcik kalau hujan2 baru byk idea kekekek )

Tapi apalah daya, ku sangka panas hingga ke petang… memang sampai besok petang pun panas juga.. alahaiii

(ii)

Petang tadi , langit yang tadinya terik bertukar kelabu. Suram seluruh alam dibuatnya. Datangnya bersama angin yang menderu seolah2 berkata

“ Hujan akan turun! , hujan akan turun! “.

Pokcik tersipu2 malu.. namun suka di hati tak siapa yang tahu.. hu huuu. Seronok tak terkata.

Oang ramai mula berlari2 di hambat gelisah kerana takutkan basah. Masing2 bergegas ingin balik ke rumah atau mencari tempat perlindungan. Langit yg sebegini hitam, pastinya akan menurunkan hujan yang lebat menghentam.

Bumi akan sejuk di simbah air yang dinantikan sebegitu lama.


(iii)

Namun , senario yang tadinya hampir kepada hendak menurunkan hujan jadi tak kesampaian pula. Entah kenapa, langit mendungnya tiba2 bagai dicarik2 supaya menghilang, berganti sinar terang yang entah dari mana datangnya.

Pokcik terpelongeh di anjung pondok. Terkedu2 dadanya.. sambil tangannya erat memaut bantal busuk .

“ Cobaan… “ bisik hati pokcik , yang berperang antara rasa redha dan marah.

Alahaii…

Thursday, July 05, 2007

Dugaan...

Sampai ke hari ini, pokcik jadi trauma untuk menulis. Bila2 nak mengadap dan menaip, fikiran jadi kosong dan hati tiba2 berubah tawar. Sejak2 itu juga makan sudah tak sedap, minum sudah tak kenyang dan mandi pun separuh jek basahnya. Entah apalah yg bermain difikiran pokcik sejak seminggu nih, pokcik pun jadi kurang mengerti. Mungkin kerana…

Alkisah, semingu yang lalu, pokcik dikejutkan dengan berita salah seorang dari oang kg pokcik dimasukan ke hospital. Tak lain tak bukan ialah Mak Da.. salah seorang trio yg sering tido bersama dengan Mak Limah dan Mak Senah. Kononnya kerana serangan Angin ahmar (stroke) kali ke tiga.

Mendengar sahaja berita tersebut, maka sayulah hati tiba2. bergegas2 la pokcik hendak balik ke kg. Walau pun bukan sedara yg rapat tapi bila dah kenal lama, tentu sakit2nya terasa juga. Dia pun kawan pokcik masa kecik2 dulu.. Jadi, pokcik kena juga melawatnya.

Sesampai di Hospital Batu Pahat, ramai oang sudah berkerumun. Anak2, sedara mara, teman2 semua sudah tertunggu2 diluar menanti kabo terkini. Namun sesiapa pun tak dibenarkan masuk kerana pesakit masih lagi di bilik rawtan rapi (ICU). Setelah tiga empat jam melangut, tidak lama kemudian, menonong keluar kereta roda ditolak cepat2 dengan beberapa oang bertugas yang turut berlari.. macam berlomba2 shopping di pasaraya Tesco.

Rupa2nya, dia terpaksa dibawa di Hospital Johor Bahru kerana selepas di imbas otak, terdapat gumpalan darah beku didalam otak. Ia terpaksa dikeluarkan dan dihospital sana lah jua segala perkhidmatan dan kepakaran ada. Oh! Ini sudah masuk kes serius.

Dipendekkan cerita, maka pokcik dan Tok Lipat pun berkunjunglah kesana selepas dua hari dia dibedah. Keadaannya masih lagi kritikal dan tidak sedarkan diri. Ditempatkan di ICU dengan kawalan yg ketat serta waktu melawat yg terhad.

Apabila diberi peluang untuk menjenguk, maka dengan ketar2 seluruh badan, pokcik pun melangkah bersama2 Tok Lipat. Apabila sampai ditepi katil, kelihatan terkujur tubuh kering Mak Da dengan rupa yang serba berlainan. Kepalanya sudah dibotakkan, belakang tengkoraknya ditebuk. Lepas tu didada pun kena tebuk, termasuk juga pinggang. Seluruh bahu hingga ke jari jemari sudah mengembang bengkak.

Dan ditepi kanan dan kiri katil banyak alat bantuan sedia terpasang menunjukkan angka2 serta bacaan yang berbagai rupa. Bunyi alat bantuan pernafasan pun agak geruh bila oksigennya dipaksa2 masuk dari tiub yg disalurkan ke mulut dan hidung. Selain dari tu bergantung2anlah segala macam beg air yang dicucukkan di lengan. Belum lagi termasuk air yg dipaksa2 keluar dari badan pula.

Sungguh sedih pokcik lihatkan keadaan Mak Da itu. Maklom la, dalam usia yang menjangkau 68 thn, lepas tu… ditebuk situ sini, tentu sakit kalau dia sedar diri. Nak bernafas pun terpaksa di tolong2.. Nak tunggu bernafas sendiri pun entah bila bolehnya. Antibodi dalam badan sendiri dah tak berapa rajin nak melawan. Rasanya dia akan lama terkoma.

Mak Limah dan Mak Senah yg melawat ( dibawa anak2nya ) tak putus2 bergenang air mata. Puas sudah ditenang2kan, namun tatkala melihat teman tidur yang begitu "tragik" sekali tidurnya, sapalah yg tak tersayat hati. Selain dari itu ramai lagi yang melawat termasuk oang2 kg.

Walau pun pokcik diberi peluang sekejap untuk menjengah, namun terasa bagaikan lama pokcik mengadapnya. Segala apa yg terbentang di depan mata terpahat kukuh diingatan sampai jadi takut pokcik hendak menghadapai saat2 itu, kalau pun sudah ditakdirkan.

Tak dapat di bayangkan, pabila wayar sudah berselirat dibadan, mata hanya mampu terpejam. Ingatan pula, entah kemana dan dimana alamnya. Suara2 pun begitu asing dan menakutkan. Yang datang dan pergi sekadar menumpang simpati atau berborak sesama sendiri, mendiagnosis , seolah2 macam doktor pakar pula, sedang yang yang dilawati sudah terkedang terkoma.

Oh! Takut sungguh pokcik bila mengingati akan hal2 ini, sampai jadi kecut2 hati ini.

Lebih menakutkan pabila nanti kalau2 pokcik akan menghadapinya sendiran.. Oh tidak!
Sebelum pokcik melangkah balik. Anak Mak Da yang sulung ada mengatakan, yang doktor sudah sahkan leher Mak Da yang bengkak tu disebabkan oleh Tiroid. Yang itu, terpaksa dijalankan pembedahan juga.


Pokcik tak terkata apa2. Perasaan simpati, sayu, sedih, takut bercampur gaul mengasak dalam diri. Dugaannya begitu besar sekali.

Mudah2an dia tabah hati.

Semoga Tuhan akan menyelamatkannya. Amin..