Wednesday, August 27, 2008

mendung...

Sejak beberapa hari ni, kerap benar gerimis melanda. Ia turun di kala pagi, tgh hari, ptg dan juga malam. Tak kira masa dan ketika.

Tatkala melihat awak berarak mendung dilangit, pokcik tersengih sendiri. Kalau hujan turun, tentu hawa akan berobah sejuk dan amatlah sesuai untuk berehat saja di pondok buruk pokcik ni.

Sambil-sambil tu, bancuhlah kopi barang seteko sambil mengeluarkan sekut kering dari tin. Kurang-kurang, santainya bermaknalah juga...

Oh, terima kasih daun keladi wahai hujan... esok-esok turunlah lagi.

hik hik

Sunday, August 24, 2008

layanan...

Balik kampung di musim cuti sememengnya tidak boleh lari dari dijemput makan kenduri. Dan seperti- selalunya, oang-oang yang berstatus warga emas macam pokcik ni memang sangat-sangat bertuah.

Apa tidaknya, melihat saja kelibat kita melangkah slow-slow dari jauh, tuan umah sudah mengangkat tangan tinggi-tinggi sambil berlari-lari mendekati. Lagaknya seperti ketemu menteri dalam negeri gitu. Diajaknya kita duduk dan dilayan sebaik mungkin.Tak payah susah-susah untuk bangun ambil nasik dan lauk. Semuanya diambil-ambilkan oleh gadis-gadis nan jelita menggoda atau mak janda yang nakal mata. Komdian, berkayuh la kita ( makan ) sambil berborak-borak dengan sesiapa yang duduk sebelah menyebelah, sama ada mengenali atau tidak. Namanya pun majlis ukhwah.

Agak-agak dah lenguh pinggang duduk di situ dan puas melihat suasana majlis yang gilang gemilang, kita menapak-napaklah ke belakang tempat bersanggahnya tukang masak. Duduk situ berjumpa para pekerja dapur yang juga merupakan teman lama. Kalau tidak dilawa makan maka akan dipaksalah juga kita makan. Kaki ini bagai digam-gam oleh si tukang masak baryani gam itu.

Hendak tak nak suaplah juga walau perut seperti dah naik tepu. Nasib baik nasinya sedap. Entah beberapa kalilah nasi milik tuan umah ini sudah masuk dalam perut.

Apabila sudah hendak pulang, kita bersalam keruk, alih-alih ditolak pula dengan keruk yang lain ditangan kita. Kita pula yang terkeruk-keruk kepala. Sedekah katanya… Rezeki – kata pokcik pula. Moga tuan rumah mendapat berkat dari Tuhan. Amin....

Memang menyeronokkan gitu kalau dikenang-kenang semula.

Tentu anda pun suka kan, mendapat layanan begitu rupa... hu huu

Alahaii...

Wednesday, August 20, 2008

Kopian masa...

Saat kamu berlari
Tatkala membeli kopi
Maka hakikat masa itu
Ada sangat deras berlalu

Saat kamu bercapek-capek
Tatkala membeli kopi
Maka hakikat masa itu
Adalah sangat perlahan berlalu

Sekurang-kurangnya
Pada langkah tiap kaki
Ada masa-masanya
Untuk setiap aku
Dan kamu

Yang digelar
tetamu..

Friday, August 15, 2008

kampung...

Salamz semua..

Pokcik akan pulang ke kampung dalam beberapa hari ni..

Selamat merindukan pokcik.. hik hik

Thursday, August 14, 2008

mencari


Sejak beberapa hari yang lalu (mungkin juga minggu) pokcik mengalami keadaan yang sangat muram dan melesukan. Barangkali itu tanda-tanda kedatangan monopos yg ke berapa tah..

Barangkali juga sebab tanda-tanda sakit yang menjolok di bahagian dada kanan dan juga kiri. Terasa seperti ditekan-tekan gitu. Belum lagi termasuk lenguh-lenguh kepala lutut dan pening-pening kepala. Hinggakan pokcik jadi tak tentu hala.

Perasaan pun tak tahu hendak diceritakan bagaimana. Ada rasa sunyi, marah, geram, sepi, rindu dan mendatar. Semuanya bercampur aduk menjadi satu siri keributan perasaan yang sukar di mengerti.

Terkadang juga, pokcik meracau-racau sendirian. Teringatkan kenangan lama, arwah bonda, kehidupan masa depan, si janda itu dan juga cerita-cerita fantasi termasuk juga sai-fai,

Lantas, apabila hati ini berdetik supaya dicari penawar dan ubat, pokcik gagahkan juga untuk berusaha. Di kala itu, tiada apa yang terlintas di dalan yang boleh membantu melainkan seseorang yang berada di satu tempat.

Lewat malam dingin yang syahdu itu, di pinggiran deret kedai-kedai itu pokcik meluahkan rasa yang bergumpal di dalam dada. Tiang telefon menjadi saksinya.

“Ish.. kau ni, macam oang putus kasih jek. Apa kes?“ Suara di sana sayup-sayup ketawa kecil. Pokcik tersenyum pahit. Lama mendiamkan diri.

“Biasalah tu... kita ni bila dah tua-tua, memang musuhnya dalah sunyi dan sepi. Dan, dengan sebab itu, segala-galanya jadi serba tak kena. Kita pun jadi bertambah sensitif dengan persekitaran.“ Menyedari pokcik agak terasa, orang tua itu memberi syarahan panjang. Pokcik masih lagi diam membisu. Dalam masa yang sama, otak pula, cuba mencerna tiap patah perkataan yang diucapkannya.

“Senang macam ginilah… Apa kata kau balik kampung je. Tentu meriah. Boleh kita wat aktiviti yang menarik, alaa... cam selalu-selalu tu...,“ cadang Tok Lipat. Pokcik terkebil-kebil.

“Barangkali juga ada benarnya kata oang tua ini,“ bisik hati pokcik yang paling dalam. Kadang-kadang selain bermunajat pada Tuhan, kita juga perlu keluar dari suasana sekeliling yang menghimpit perasaan.

“Okey lah.. nanti aku balik,“ jawab pokcik dengan perlahan tapi cukup menyakinkan.

“Yihaaaaa!“ Suara di sana bagaikan disertai aktiviti terlompat-lompat , sebelum terdengar bunyi terpeleset dan berdebuk-debuk. Bunyi erangan kemudian menyusul.

Pokcik tersenyum sendirian. Ya, barangkali… di situlah tempatnya pokcik harus berada di kala ini.

Ya, Kampung Parit Sangap... Pokcik datang ni…!

Monday, August 11, 2008

Dunia maya...


Barangkali
Sudah terlalu lama
Aku tersesat di dunia maya

Hingga pikunku menjadi berpuluh kali ganda
Dan lesu badan tidak terkira
Selain fikiran yang putus-putus saja

Maya ini terlalu deras persahabatannya
Rasanya baru semalam
Kusapa gadis manis nan jelita
Penuh ramah mengusik di jiwa

Dan hari ini
Aku terbiar lara bagai kehilangan
semua.
Seolah tiada di depan maya

Dilupakan dan dipinggirkan.

Kata orang,
Apa yang dirasa, tidak sama pada hakikatnya
Akal dan nafsu selalu keliru

Sebagaimana manusia terlupa
Saat mereka meninggal dunia.

Sangkanya…

Mereka telah pergi meninggalkan dunia.

Hakikatnya ,
Dunialah yang sebenar-benarnya
Telah pergi meninggalkan
mereka buat selama-lamanya.

Justeru,
Aku juga harus pergi...
Meninggalkan dunia ini.

Friday, August 08, 2008

Pantun kasih ( dengan akhiran *ng* )

Apalah guna kita mengenang.
Hati di sana adakah senang?
Umpamanya kita si kunang-kunang
Terbang malam di air yang tenang

Kala sepi sering terbayang
Bersama rindu nan mabuk kapayang
Resah hati tak dapat nak kutayang
Dari cinta selayang pandang

Sedih hati bukan kepalang
Rumput kutanam tumbuhnya lalang
Baru hendak menjalin sayang
Timbul musibah, kasih pun hilang

Alahaiiii…


Hik hik

Monday, August 04, 2008

Sederhana...


“Buat apa nak kaya-kaya sangat, hidup ni bior sederhana…” kata-kata Tok Lipat terngiang-ngiang di telinga pokcik sewaktu kami duduk-duduk di anjung rumahnya, lewat kepulangan pokcik ke kampung beberapa minggu lalu.

Memang kalau hendak diputuskan sebagai pilihan ( antara miskin, kaya dan serhana), kita sebagai oang timur memang sentiasa nak jadi orang sederhana, walau dalam hati membuak-buak nak berkata kaya. Yalah, kalau dikata nak jadi kaya, oang akan kata kita tamak pula. Asyik kejor dunia. Maka bermarhaenlah kita sekali sekala.

Tapi, golongan ‘sederhana’ inilah yang kadang-kadang buat pokcik kembali tertawa sendiri. Perlu diingatkan, sederhana bermakna ditengah-tengah, antara kaya dan miskin. Kalau di tempat-tempat lain ( selain Malaysia ni) , memang ada sesetengah tempat yang hanya dua golongan saja, iaitu miskin atau kaya. Yang miskin akan nampak miskin sesangat, manakala bila dah kaya boleh dikategori macam raja pula hidupnya.

Maka bersyukurlah kita di Malaysia ni kerana ada berbagai-bagai golongan dengan persekitaran dan tarap hidup yang berbeza-beza.

Sesuatu yang menarik tentang kebanyakan golongan sederhana ( yang duduk ditengah-tengah ni) ialah kadang-kadang, ia boleh jadi kaya dan boleh juga jadi miskin.

Bila dia terlupa diri sedikit, dan cuba-cuba berlagak kaya ( bila dapat durian runtuh atau apa rezeki terpijak) ia akan rasa seronok dan mula berbelanja sakan. Sibuk nak tambah itu ini dan cuba mengobah cara hidup yang sedia ada.

Komdian, apabila keadaan jadi tak terkawal, dan nasib pula tidak menyebelahinya, tiba-tiba ia ditimpa kesusahan yang berterusan lalu terus jatuh ke bawah hingga menjadi miskin pula. Keadaan ini sering saja berlaku dalam masyarakat.

Kesimpulannya, menjadi golongan sederhana ni tidak kurang hebat juga dugaannya. Walau pun kita mahu nasib dan hidup berubah menjadi lebih baik namun dalam keadaan-keadaan tertentu, kita terpaksa membuat pilihan. Menjadi kaya dan memiliki apa saja, sederhana yang kadang-kadang tersasar ke lembah kaya atau miskin ataupun kita mahu miskin saja asalkan hati senang lenang.

Lantas, bagaimana ya, mahu kita harungi hidup ini?


( Klu - Masa sentiasa berubah, begitu juga dengan hidup ini. )

Alahaiiii…



Thursday, July 31, 2008

Sepi...


Agak lama juga ya, pokcik menyepikan diri..

Kata oang,

Sepi itu seni...

Entahlah...

Alahaiii...

Friday, July 25, 2008

Ada apa dengan buku?

Alahaii... tanya-tanya pulak. Untuk dibaca ler..

Takkan wat lempok durian pulak? hik hik..

Aloh, saja je pokcik nak berlawak di hari Jumaat nan indah ni. Jangan marah ya..

Apa-apa pun, pada sesiapa yang tak ada apa-apa hujung minggu ni, moh ler ke Pesta Buku Selangor yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam. Pesta tersebut dah bermula hari ini. Yihaaa...Pokcik tahu, hari ni oang keja gomen dah dapat gaji.. hik hik

Manalah tahu, sedang anda dok jalan-jalan, belek-belek, jeling-jeling , kenyit-kenyit, angkat-angkat kening - angkat-angkat kening, di gerai-geri buku, terserempak la pulak dengan buku Dol Leman yang terbaru ni... Misteri Pohon kekabu lagih..


Janganlah segan-segan nak membolinya ya, hik hik . Siri yang lama-lama pun ader juga.

Dan kalau anda lebih bernasib baik.. akan jumpalah penulisnya... hik hik..




Dan pokcik pula, uii mustilah aderrrrrrrrrrrr.... Kalu pokcik dah ader.. musti aa nak pekena kopi-kopi gituuu. Ngeteh-ngeteh lah katakan.. hik hik

Selamat bercoti hujung minggu dan ceria-ceria selalu.

Monday, July 21, 2008

Wira pada suatu zaman...


Kami duduk di bawah pangkin, melihatkan Pak Dolloh yang seronok melayan cucu-cucunya bermain bola. Terkengkang-kengkang dia berlari ke sana dan kemari. Sekali pandang, orang tua itu nampak seperti didera-dera pula.

Serta merta kenangan zaman remaja terimbau kembali. Dulu, oang tua itu tidak begitu. Kami ( Pak Dolloh, Tok Lipat dan Pokcik ) merupakan pemain yang sangat berbisa di Parit Sangap ini. Bila cerita pasal bola saja, kamilah jaguh-jaguh kampung yang sentiasa menjadi perhatian sewaktu perlawanan. Kamilah wira yang bermain dengan seikhlas tapi tanpa imbuhan apa-apa.

Tapi, itu zaman dululah.. zaman-zaman main bola kaki ayam. Dek kerana kurang pendedahan dan pendidikan sukan bersepadu, bakat-bakat kami cuma sampai di situ saja. Namun minat bola memang tak pernah luntur. Apatah lagi zaman-zaman 80an tahun dulu kami cukup minat dengan bola sepak Malaysia khususnya bila ada pemain-pemain seperti Abdul Ghani Minhat, Dollah Salleh, Hassan sani, Matlan Marjan, Arwah Mokhtar Dahari, R Arumugam, Santokh singh, Soh Chin Aun dan Zainal abidin Hassan beraksi, memang kami tak pernah miss tonton.

Dan kami juga, tak kurang hebatnya...


Pak Dolloh tu, kalau bermain dan jadi penjaga gol, memang tak akan bolos punya. Sepaklah macam mana pun, selamba je dia ketawa. Walau berjuta kali kad merah dilayangkan dia tidak kisah. Dia tidak akan mudah melepaskan pakaian kegemarannya iaitu... kain pelikat.. hik hik.

Tok Lipat hanya berhantu di luar padang. Mana-mana pemain yang terkehel, terpeleot serta tergalih urat, semuanya dilipat-lipat ( dan dibetulkan ). Teknik penyembuhan dan pengurutannya dijamin ampuh. Selain dari itu, dia juga pakar membuat air sirap ( untuk pemain ) hik hik.

Dan pokcik pula, uii.. toksah ceritalah.. Kalau cerita pun boleh menangis oang mendengarnya. Ditengah-tengah padang, pokciklah wira segala wira. Tiada yang wira melainkan pokcik saja.

Bila sudah berada di padang nan hijau tu, pokcik akan naik hantu. Pokcik tak akan segan-segan untuk menyepak, membentes, menakik, melipat , menarik, menggigit dan menyapu semuanya…

Diulangi… semuanya yang ada di atas padang itu…

Kecuali bola..

Alahaiiii…

Wednesday, July 16, 2008

durian... (2)


Lewat malam itu kami berdua diserang panas yang dahsyat. Tubuh seperti berasap-asap saja. Dalam berbaring pun nampak seperti keresahan saja, berbalik salah, menelentang salah, mengiring pun salah, macam cacing kepanasan.

“Tu lah, makan lagi banyak-banyak, sekarang dah tak boleh tidur.” Pokcik mula mengomel. Kalau tidak kerana Tok Lipat yang mengajak makan durian di gerai Pak Saidi tu, pokcik tentu tidak jadi kepanasan begini.

“Ye la tuh, aku cuma ajak-ajak ayam saja. Kau tu yang melantak macam orang lupa diri,” sangkal Tok Lipat.. sambil duduk bersila mengipas badannya dengan surat khabar lama. Namun, kehangatan masih tak mau hilang.

Kemudian dia berbaring semula sambil mengeluh-ngeluh lagi, macam budak kecik yang susah nak tidur, meragam saja kerjanya. Pokcik geleng kepala. Entah bilalah kami akan masuk beradu ni. Malam sudah semakin larut.

“Apa kata kita pergi rumah Pak Dolloh nak?“ cadang Tok Lipat tiba-tiba. Pokcik tersengguk kepala.

“Iksh… apa kejadahnya nak ke sana malam-malam buta ni?” soal pokcik sedikit hairan. Lainlah kalau tersampuk hantu atau nak belajor mengaji, bolehlah ke sana malam-malam.

“Umah dia kan ada ekonnnn…” jawab Tok Lipat lemah.

“Hiyaaa….,” Pokcik mendengus lagi..

Alahaiii…

Monday, July 14, 2008

durian...

Entah apalah yang dikautim dek Tok Lipat pada Pak Saidi tu. Tetiba jek diajaknya kami duduk-duduk sambil dibelahkannya beberapa biji durian yang sudah masak menguning dan harom baunya.

“Ni hah durian Siam, baru sampai pagi tadi.” Orang tua itu menghulurkan kepada kami. Isinya yang tebal dan padat membuatkan selera kami memuncak-muncak.


Pokcik terus mencuba seulas lalu diikuti dengan cubaan-cubaan lain ( tanpa henti). Tok Lipat pun begitu.

“Ni yang jenis lain pun ada, durian tembaga, D24 , D40, UB40 semua ada,” promo Pak Saidi yang entah apa-apa. Setahu kami kebunnya hanya ada seekar dua di belakang sana, hanya durian biasa-biasa saja. Ini tidak, macam-macam adoo! Agaknya, sebab dia sudah biasa terpromosi cara begitu dengan pelanggan yang singgah di sepanjang jalan ini. Tak kisahlah tuu.

Orang yang lalu lalang dan yang singgah-singgah lalang di gerai Pak Saidi tidak kami hiraukan. Kami terus melantak lagi, mengalahkan budak-budak.

Hinggalah, apabila perut sudah penuh dan sendawa-sendawa mulai bergema-gema, kami terduduk lesu.

Agak-agak dah larat bangun, kami pun berlalu. Sempat jugaklah pokcik mengendeng sebiji durian kecil saiz kelapa komeng yang tetap mengancam baunya. Sambil menenggek motor buruk Tok Lipat, kami pulang ke rumah. Perjalanan semakin perlahan, maklomlah... beban semakin bertambah.. hik hik

Nek Salemah tercegat di muka jendela sebaik saja bau durian mengharum di pekarangan rumahnya.

“Uui… boli satu je, cukup ke tuu?” usiknya sambil tersengih-sengih memandang pokcik yang menjinjit sebiji durian.

“Jadila tu , kami pun bukannya kuat makan sangat,” sahut Tok Lipat sambil mengekeh ketawa.

“Kalau tak cukup, makan nasi la..” jawap pokcik sambil turut ketawa..


"Ye laa tu ," balas Nek Salemah dengan cebikan kurang percaya.

Hik hik..

Monday, July 07, 2008

Kejutan...


Pokcik sedang enak berlelap-lelapan di anjung pondok semalam bila tiba-tiba budak Dol galak menghonggah tubuh pokcik ni. Terjaga pokcik serta merta. Ingatkan gempa bumi manalah...

“Ish.. ishh , kau ni, Dol, buat terperanjat atok jek.. Ada apa ni?” soal pokcik yang terpisat-pisat bersama sedikit geram kerana terganggu mimpi pokcik ketemu janda di bawah pokok sena. Rupa-rupanya budak sebelah yang nakal tercongok di atas tangga.

“Dol ada kejutan untuk atok..” jawapnya tersengih-sengih penuh muslihat.

“Hah, kejutan apa?” tanya pokcik sambil membulatkan mata. Pokcik lantas bangun lalu duduk bersila.

“Kejutan la..” Dol jawap sambil ketawa kecil.

“Ya lah, kejutan apa tuu?”


“Ni la.. kejutannnya. Kan Dol dah kejut atuk. Kira kejutan la tu,” ujarnya sepontan sebelum berlari balik melekek-lekek.

“Isy, budak Dol ni, hampeh betullah,” rungut pokcik sambil mengetap bibir.

Memang saja-saja dia nak mengusik pokciklah tu.

Alahaii…

Wednesday, July 02, 2008

Yang terlampau...


Kami sedang duduk-duduk di warung ditemani tiga cawan kopi O yang kaw kaw. Tidak teringin pula hendak makan apa-apa memandangkan baru sebentar tadi kami dijamu dengan masakan kampung yang sangat sedap di rumah Nek Salemah. Ada sambal petai, pucuk paku masak lemak, asam pedas, sambal belacan, ulam raja dan lain-lain hidangan yang laju saja habisnya (diterjah kami).

“Aku pun ingat nak naikkan harga minyaklah,” usul Tok Lipat. Barangkali sudah agak lama dia ingin berbuat demikian. Apabila segala urat dan benda yang diurutnya naik-naik belaka, takkan minyak urutnya tak naik harga juga.

“Eloklah tu. Naikkan saja. Takkan orang nak marah. Sekarang ni semua barang dah naik harga, tak larat dah nak tengok,” tambah pokcik sekadar menyokong. Pokcik tak kisah. Lagi pun pokcik selalu dapat urut free.

“Aku pun dah tak tahan dah ni…” sampuk Pak Dolloh dengan muka berkerut. Barangkali kenaikan harga barang bukan setakat dirasai di kota, malahan di kampung pun turut terasa bahangnya.

“Dulu, tuang minyak singgit dah sampai ke pekan. Sekarang ni kalau tuang singgit alamat sampai depan rumah jelah jawabnya,“ Tok Lipat membuat contoh yang paling skema, yang diulang-ulang cakap sejak hari tu lagi. Entah kenapa, taksub benor dia dengan motor honda lampu bulat dia tu. Antik katanya.

“Aku dah tak tahan nii..,“ Pak Dolloh menjerkah lagi. Dahinya berkerut seribu.

“Sabar Dolloh, sabor... kita ni kira golongan marhain. Apa oang kata tu... hah, ibarat mentimun. Dilenyek pun kita kena, melenyek pun kita kena. Kadang-kadang, aku pun naik hairan, mereka tu tak pernah terfikir ke akan kesusahan rakyat? Main belasah saja naikkan harga barang sesuka hati.“ Tok Lipat semakin tertekan.

“Itulah, politik sekarang. Haru biru, kacau bilau, rambu ramba, carca marba. Lagi masalah rakyat belum habih…oang-oang yang atas dok di atas sana asyik berbalah sesama sendiri. Tuduh sana sini, hasad sana sini, sampai naik muak aku baca suat kabo hari-hari. Tak abih-abih dengan cerita yang sama,” tambah pokcik dengan nada jengkel.

“Aku dah semakin tak tahan sesangat dah ni!,” Pak Dolloh sudah macam cacing kepanasan. Berpeluh-peluh dahinya menahan kemelut perasaan. Perubahan kos hidup yang melanda sangat-sangat membebankan semua.

"Sabo Dolloh.. semua rakyat terasa susahnya, termasuklah kita-kita ni semua," pujuk pokcik lagi. Pak Dolloh semakin berpeluh-peluh.

“Kenapa kita tak mogok saja ek? Wat piket ramai-ramai ke,” cadang Tok Lipat. Pokcik tersenyum sinis. Perkara itu pernah juga orang buat buat. Tapi, tak jadi apa pun. Lantas pokcik teringatkan negara jiran yang suatu ketika sanggup memberontak membantah kenaikan harga bahan mentang dah kos sara hidup.

“Kita ni... sebab masih mampu lagi. Masih ada duit di tangan. Masih mampu membeli walau merungut-rungut selalu. Esok-esok, kalau nak beras pun tak mampu nak beli, barulah kita makin terhimpit dah akhirnya memberontak,“ jawap pokcik dengan yakin. Lagi pun, apabila manusia sudah tersepit terdesak, mereka akan sanggup berbuat apa saja.

“Betul cakap kau tu...!“ Tok Lipat ingin menambah apabila tiba-tiba..

Puuutttttt!

“Aahhh.... aku dah tak tahann… tak tahann….”

Pak Dolloh mengangkat kain pelikatnya tinggi-tinggi lalu berlari terkengkang-kengkang ke belakang warung, meninggalkam kami dengan segala macam bau-bauan yang menyengit lobang hidung.

Kembang kempis hidung kami menghidu sambal petai versi kitar semula dan bau-bau lain yang meloyakan anak tekak...

“Ceh... kurang asam betul oang tua ni. Nak lepas angin pun, bagilah salam dulu..tak menyempat-nyempat dah,“ getus Tok Lipat sambil menekup hidung. Pokcik pun turut menekup sama sambil mengipas-ngipas udara setempat dengan tangan.

“Memang betul-betul dia dah tak tahan tuu..,” ujar pokcik sebelum mengekek ketawa.

Alahaii….

Monday, June 30, 2008

Semalam...


Semalam ,
Shah Alam dilanda ribut.
Daun-daun galak bergoyang.
Ada kereta remuk dihempap pokok tumbang.
Angin menderu kencang.

Semalam-semalam juga
Shah Alam dilanda ribut
Ada pondok yang bergoyang.
Dan orang tua yang tumbang
Dihempap selimut kusam
Bersama dengkur yang kencang.

Hik hik..

Friday, June 27, 2008

Akan terbit tidak lama lagi...


Uii.. tak abih-abih budak si budak Dol ni nak menyiasat-nyiasat.. Pokok kekabu manalah pulak nak dihonggahnya kali ni. Hmm... lantak lah Dol. Apa-apa pun, layannnn...




Sinopsis:

Kehadiran seorang penjual bantal dari seberang, membuatkan sekalian penduduk Kampung Parit Sangap menjadi lebih selesa dan tidur dengan lena. Hanya seketika, tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan satu penyakit yang sangat misteri.

Penunggu pohon kekabu, di hujung kampung yang selama ini ‘diam’ mula mengganggu menyebabkan orang kampung jadi gelisah dan kelam-kabut. Sebuah rumah kosong berdekatan dengan pohon kekabu tersebut turut menambah beban pada penduduk kampung yang semakin kacau bilau, termasuklah ketuanya, Pak Dolloh.

Kumpulan penyiasat Dol, Suppa dan Ku Chai semakin pening kepala. Misteri yang melanda tidak senormal yang disangka. Sumbernya berada di mana-mana. Ia melibatkan makhluk halus!

Kini, terpulang kepada kepintaran mereka untuk memecah kebuntuan, memulakan pencarian, merungkai satu persatu misteri yang melanda. Adakah mereka akan berjaya? Sedangkan... mereka tak punya banyak masa.

Tuesday, June 24, 2008

Sekadar di pinggiran...

Di pinggiran ini
Mengajar aku erti jemu
Rindu sesekali yang bertamu
Fikiran yang kerap termanggu
Selain kasih telus padaMu

Di pinggiran ini juga
Adalah sejarah hidup nyata
Selama mana nafas dihela

Pada keinginan tiap manusia
Yang mencorak cerita

Barangkali hidup ini
Hanyalah sekadar...
Di pinggiran

Friday, June 20, 2008

Lagi lagi taggie...


Kekekek.. dalam seminggu ni tak abih-abih pokcik kena tag. Sampai terbawa-bawa dalam mimpinya. Mujur Cik Tom pun pokcik tak tag sekali...

Saja la tuh Ardinihumaira ni. Apa-apa pun, Selamat bercoti hujung minggu untuk semua. Have fun..

1. What is your name?
:: Pokcik Mersik , Aii.. takkan tak kenal-kenal lagi..

2. What perfume are you wearing now?
:: Minyak cap kapak

3. What are you listening to right now?
:: Klasik nasonoll , Segalanya di sini menggamit memori.. Alahaii

4. What are the last 2 digits in yourphone number?
:: L7 . Ni nombor tiang telefon sebenarnya

5. Last thing you ate?
:: Cebisan lada celah gigi… hik hik

6. What's the brand of your shampoo u use at home?
:: Shampoo peket kecik-kecik nan percuma…

7. How is the weather right now?
:: Sat pokcik teropong.. Ooo.. barangkali suam-suam kuku

8. Who was the last person you talked to on the phone?
:: The one and only,Tok Lipat…

9. The first thing you notice about the opposite/preferred sex
:: Lemas apabila di jeling-jeling mak janda.. hik hik.

10. Favorite Food?
:: Baryani Gam. Dululah. Tapi sekarang ni bila selera tak berapa nak ada, pokcik makan sekut kering gam jek la hik hik

11. Do you drink?
:: Selain tongkat Ali, pokcik suka air masak putih kurang manis… hik hik

12. Do you smoke?
:: Uii merbahayoo tuu... pendek umor

13Hair color?
:: Hampir sama dengan warna kulit kepala.

15. What is your eye color?
:: kelabu…

16. Do you wear contacts?
:: Tak mampu nak memakainya.. leceh. Kecik sangat. Kang tak masuk ke mata, masuk ke lobang hidung plak.. kekekek

17. Favorite Holiday?
:: Tentulah balik kampung.. yihaaaaa.

18. Favorite Month?
:: Month ta kedarah ( Mentekadarah = makan daa.. )

19. Have you ever cried for no reason?
:: Oh, belum sampai ke tahap itu lagi. Pokcik masih waras.

20. When was the last time you laugh over something stupid?
:: Semalam… sewaktu bermimpikan Cik Tom yang hendak meniru gelak “hik hik” pokcik, tapi jadi “oink.. oink”..la pulak

21. Is there anybody who has a crush on you?
:: Oh, tak terkira banyaknya... sila ambik nombor anda dan beratur.. hik hik

22. Are u too shy to ask someone out?
:: Malu-malu ayam

23.If you can buy something right now what would it be?
:: Beli belah

24. Hugs or Kisses?
:: Bergantung kepada yang nak hugs atau kiss tu.. hik hik

25. Chocolate or Vanilla?
:: Cekelat atau vanila yang rasanya macam Kopi Tongkat Ali hik hik

26. Do you mind spending money for your loved ones?
:: Never mind , thank you , I lap u..

28. Last thing u purchased?
:: Biskut kering

29. What books are you reading?
:: Dol Leman ( ulang baca kali ke patplo )

31. Favorite Movie?
:: Pilem-pilem lama, cite P.Romlee… dah lupa la tajuk-tajuknya.

32. Favorite football team?
:: Parit Sangap FC , dengan striker terganas, Dollohdino.. serta Tok Lipat bekam , go oldies.. go oldies..

33.What were you doing before this?
:: Err.. errr.. terkentut kut

34. Any pets?
:: Err.. ( dalam kepala hanya terbayangkan gajah jek ) hik hik..

37. Dogs or cats?
:: Tak payah. Cik Tom kan ada.. walaupun dia sekadar menompang, tapi jauh disudut hati pokcik yang halus ni, tetap menerimanya sebagai isi rumah yang sah mendapat bancian. Lagi pun, anjing haram disentuh..

38. Favorite flower?
:: Bunga atas kek yang rangup rasanya… dan diberi percuma.

39. Have you ever been caught doing something you weren't supposed to?
:: Bila terborak-borak dengan patung Kolonel Sanders depan Restoren KFC.

40. Are you taken or single?
:: Bukan single, taken pun bukan, tapi pokcik sedang mencari mak mertua angkat.. hik hik

41. Have you ever loved someone?
:: ...Uii banyak doh love ni. Eh, tak baik lokek-lokek tau. Kasih yang melimpah ruah harus dikongsi-kongsi bersama. Barulah dunia aman damai.. hik hik

42. Who would you like to see right now?
:: See Food ( Sea food ) hik hik

43. Are you still friends with yourexes?
:: Uii jangan kata exes , Y , Z , alip ba ta.. do re me, pa, so , la, suma aderrr.

Alahaii...


Wednesday, June 18, 2008

Bela


Ini kisah hampir lima puluh tahun yang lalu…

Pagi itu, pokcik berada di reban memberi makan ayam-ayam yang ada. Nasi lebihan semalam kebiasaannya di campak di situ kalau tak habis. Maka menderu-derulah ayam-ayam yang kelaparan berebutkan nasi yang ditabur.


Maklom la, mereka tu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.. dan rezeki terlempar yang diberi, sangat-sangatlah beerti...Alahaii..

Tok ayah masuk menjengah sambil melempar beberapa ketul pisang yang sudah benyek. Makin bertambah cerialah ayam-ayam itu mentekedarah dengan hati riang gumbira.

Sementara pokcik sedikit resah. Dalam hati berbelah bagi. Ada sesuatu yang ingin dikatakan. Namun sedikit gugup untuk meluah. Segalanya bermain-main di fikiran.

“Ayah..“ akhirnya pokcik menyapa perlahan. Tok ayah menoleh dengan sengihan biasa dan pandangan kuyu. Maklomlah, keletihan menoreh masih lagi terasa.

“Tadi, Mers pergi umah Ah Tai...“ ujar pokcik sambil menahan lagi degupan jantung sudah kucar-kacir nadanya. Tok ayah menanti dengan tenang.

“Kat rumah Ah Tai... ada tikus gemuk. Lari-lari dalam gelung,” akhirnya pokcik meluah juga apa yang dirasa. Sebenarnya itu bukan kali pertama pokcik bersuara tentang tikus Ah Tai. Kelmarin-kelmarin dulu, beruk Mat Yeh pun pokcik ceritakan juga. Belum lagi termasuk kura-kura si Minah dan arnab Mek Dah. Antara lain, maksud halus yang ingin disampaikan ialah, pokcik kepingin benor untuk mempunyai haiwan peliharaan.

Walau pun di rumah sudah ada beberapa ekor kucing comot, tapi mereka lebih kepada haiwan menumpang yang tahu membawa diri masing-masing

Tok ayah mengeluh perlahan. Barangkali kemelut di hati kembali bertamu. Dengan perlahan dia meminta bekas berisi nasik sejuk dari tangan pokcik.

Sambil duduk di atas bangku di sebelah reban, dia kembali mencampak nasi serta mulutnya tak henti-henti ber kurr kurr an. Pokcik senyap kembali.

“Tengok ayam-ayam ni semua.“ Tenang saja dia memula bicara.

“Bila kita lempar nasi.. dia datang makan. Berebut-rebut semuanya. Tak perlu nak fikir apa, asal ada orang beri makan dia kejar.“ Penerangannya serba ringkas, sayangnya... kabur pada fikiran pokcik.

“Tapi, kalau binatang yang kita bela, yang kita kurung, kita pula yang kena bagi dia makan. Lepas itu kena jaga dia, bersihkan tahi dia, tempat tinggal dia, pendek kata apa sahaja pasal dia, kita kena ambil tahu setiap masa,“ Kali ini maksudnya hampir terbayang-bayang.

Barangkali dia tahu akan perangai anaknya ini yang culas dan malas. Alangkah nak pergi sekolah pun selalu ponteng, inikan pula nak menjaga binatang peliharaan. Silap-silap kebuluran haiwan itu nanti.

“Walaupun nampak senang dan seronok, tanggungjawapnya besar. Mers sanggup ke nak pikul?“


Soalnya mudah. Pokcik kembali termanggu. Namun desakan naluri anak muda yang hanya tahu "nak saja " sukar untuk mencari kebenaran dalam kata-katanya. Pendek kata, dia memang tak kasi lah pokcik nak membela apa-apa. Dengan segera pokcik menghukumnya.

’Ah, Tok Ayah memang macam tu. Semua tak boleh!’ omel pokcik dalam hati, separuh geram bercampur rajuk.

Perlahan-lahan pokcik menarik muka masam sambil berkira-kira mau beredar dengan langkah yang paling kecewa.

“Mers,“ panggil Tok yah perlahan, menyebabkan langkah pokcik terhenti. Pokcik menoleh.

“Kalau kau nak bela gajah sekali pun, ayah tak kisah. Tapi, yang paling penting kena bertanggungjawap ,“


Pendek saja tok ayah berkias. Pokcik kembali terpinga.

Kata-kata tok ayah dulu kini kembali meresap. Bersama angin yang membawa kenangan serta masa yang mencuri usia, segala yang diucap seakan memberi makna yang sebegitu besar pula.

Ada kebenaran disebalik kata-kata lesunya. Hakikatnya, hidup ini sebenarnya adalah berkenaan tanggung jawap.

Hingga sekarang, pokcik tetap akan ingat kata-katanya itu..

Dan sampai sekarang juga, pokcik masih lagi mengumpul duit untuk membeli..

Seekor gajah!

Hik hik…


Nota Cagu :

Selamat Hari Bapa utk Tok Ayah…

Kalau dia tahu pokcik kini jadi seorang bloga yg paling glamer, tentu dia bangga.. kekekek