Saturday, June 16, 2012

Tanpa negara.

Beberapa kali menonton tiwi tentang isu pelarian Rohingya, pokcik berasa amat sedih dan terkesan sekali.
Bagaimana ya, orang yang lahir di satu-satu tempat di mana tok nenek moyang mereka dulu juga telah ada sejak berkurun-kurun lama dulu, telah dinafikan hak mereka untuk menjadi warganegara. Semuanya gara-gara kerakusan politik dan agama. Walaupun mereka etnik minoriti, mereka tetap mempunyai hak juga.
Sebaliknya, mereka ditindas dan dianggap sebagai pendatang. Dijadikan buruh paksa dan selalu jadi pemantauan pihak tentera. Oleh kerana ramai yang tidak tahan dengan kehidupan sebegitu, mereka lari menyelamatkan diri mencari tempat lain untuk meneruskan hidup. Maka, bertebaranlah mereka diseluruh asia seperti Bangladesh, Thailand, Malaysia dan dibeberapa negara lain. Dalam masa pelarian, ada yang terpisah dengan keluarga, anak, isteri, adik beradik, ayah, ibu dan sebagainya. Kemudian, tiada jaminan entah bilakah lagi akan bertemu. Entah bagaimanakah perasaan mereka dengan perpisahan itu?
Namun layanan yang diterima di tempat baru, tetap juga sama. Walaupun mereka tidak dicederakan, tapi hak-hak seperti mencari pekerjaan, persekolahan anak-anak tetap juga dinafikan. Maka duduklah mereka dikhemah-khemah pelarian selama bertahun-tahun. Terpaksalah mereka mencari apa saja pekerjaan buat untuk kelangsungan hidup yang paling asas.
Demikianlah kisah mereka secara ringkas,
Berbanding dengan kita, alangkah beruntungnya kita ini mempunyai negara yang aman dan damai. Hidup selesa dan boleh menikmati pelajaran dan pekerjaan setinggi mungkin. Boleh berjaya mengejar cita-cita, menjadi kaya dan keluarga bahagia.
Maka sayugiakan kita patut sentiasa sedar diri dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi.
Namun yang paling penting sekali, kita dapat hidup dalam nikmat Islam dan Iman.

Monday, June 11, 2012

Menagih hiburan...

Ada sekali tu, pokcik sedang duduk-duduk di rumah Tok Lipat, menghadap tiwi bersama cucu-cucu dan anak-anaknya yang pulang bercuti. Keadaan tentulah riuh rendah bila mana rancangan realiti dan lawak jenaka terpasang mengundang gelak ketawa yang memanjang.
Tapi entah kenapa dalam jiwa pokcik rasa tidak kena saja. Lantas dalam diam, pokcik menoleh pada Tok Lipat bertanya ,” Apa bendalah cerita ni? Asyik nak bergelak saja. Pada aku biasa-biasa je.”
Bahan lawaknya entah apa-apalah pula, hanya generasi tertentu saja yang faham maknanya. Yang tua-tua ni pakat melongo saja.
Tok Lipat pun mengangguk penuh kerutan di dahi. “Aku rasalah. Mereka ini sedang memperbodoh-bodohkan diri sendiri. Dan juga memperbodoh-bodohkan kita yang menontonnya.”
Demikian la kesimpulannya. Pokcik pun mengangguk. “Ya lah, aku pun rasa begitu.”
Kemudian kening pokcik terangkat.
“Jadi,  supaya kita tidak jadi lebih bodoh, marilah kita keluar. Ngeteh-ngeteh ka? Ada jugak pekdahnya.” Pelawa pokcik sambil dipersetujui oleh Tok Lipat.
Sebaik tok Lipat menghidupkan enjin motornya, gelak ketawa masih kedengaran.
Demikanlah bila setiap malam, kita melihat sudah terlalu banyak rancangan hiburan yang ditawarkan sehingga kita jadi tidak tahu hendak memilih apa. Memilih hiburan apa untuk diisi di dalam dada dan fikiran kita. Kelak kita akan jadi ketagih yang akhirnya merosakkan jiwa dan tidak memberi nilai langsung pada kehidupan di masa akan datang.
Renung-renungkan…

Tuesday, May 29, 2012

Acara tiap-tiap suku tahun.

Barangkali , aktiviti mengupdate blog akan menjadi  acara pada tiap-tiap suku tahun gitu.


Hik hik

Tuesday, March 06, 2012

Berpaling dengan suspens...

Dengan wajah yang pucat dan gementar, satu watak ini menelan air liur beberapa kali. Peluh menitis laju di dahinya. Bulu romanya naik meremang. Dia terasa ada sesuatu yang mengerikan berada di belakang. Masa tu debaran di dada bertambah kencang. Dan dia pun berpaling dengan perlahan, perlahan, perlahan hinggalah… jeng, jeng, jeng.

Part inilah yang pokcik sangat-sangat tak faham. Alangkan kita dengar bunyi bedebuk kat dapur pun cepat-cepat menoleh, inikan pula hal-hal yang sangat menyeramkan lagi mendebarkan. Lagilah cepat-cepat kita nak menoleh, ke belakang, ke kanan atau ke kiri. Tak sabar-sabar nak tahu apakah bendanya itu walaupun hati berdebar semacam je.

Tapi, inilah dia antara babak klise filem seram yang macam tak masuk akal, namun serasa sudah diterima umum. Nak ketawa pun ada juga.

Tapi bila fikir balik, ya lah… yang nak disuspenkan atau ditakut-takutkan bukannya watak dalam cerita ( walau ada jalan cerita ), tapi sebenarnya untuk oang yang menontonnya. Bior terasa-rasa gitu.

Alahaii…

Monday, March 05, 2012

Hal yang lima...

Beberapa minggu yang kebelakangan ini, pokcik sangat berusaha untuk bertoleransi dengan hal yang lima yang perlu direbut-rebutkan sebelum datangnya lima hal yang lain. Yang mana lebih spesifiknya, hal kesihatan yang baik-baik sebelum datang saat-saat sakit.

Betapa kedatangan hal yang lima ini sangat panjang masanya, sedangkan sayugia manusia sering saja terlupa mengenainya. Apabila sudah datang di depan mata, barulah hendak bertoleransi hatta berusaha untuk mengelakkannya seolah-olah ia tidak datang.


Justeru apabila usia dimakan zaman, beginilah yang sebahagian oang sedang lakukan sebagaimana pokcik juga. Ah, kesakitan memang sangat tidak adil kerana menyerang di saat usia menjadi tua. Di saat, segala inti jasad dan pertahanan dalaman menjadi goyah dan tidak berdaya. Setiap kali di serang sakit hatta yang sedikit-sedikit pun terasa bagai menyiksa.

Makanya, menyesal pun tidak diguna. Hal yang sepatutnya direbut tidak pula direbut-rebut. Bila sudah sakit baru hendak berebut-rebut untuk menjadi sihat semula. Domkian la kita sebagai manusia. Selalu ingin berebut-rebut atau bertoleransi pada hal yang sudah terlambat.

Makanya, hal yang sebenar-benarnya patut direbut adalah hal yang pertama itu ( lima yang pertama), sebelum datangnya lima yang komdian.


Monday, January 09, 2012

Betul atau salah?

Suatu ketika dahulu pokcik sangat fanatik untuk menyokong. Pada pendapat pokcik, tiap yang salah dan teraniaya tetap akan dibela walau terpaksa menyanggah institusi kehakiman dan raja.

Tidak lama selepas itu, pokcik jadi fanatik pembangkang. Apabila datang cerita baru yang menghiris kalbu, pokcik hilang percaya lalu jadi pembangkang sehabis-habisnya hingga menjalar rasa itu di segenap urat dan darah.

Entah kenapa suatu ketika yang lain pula, tatkala usia merangkak senja, terfikir pula di kepala ini akan perasaan yang silih berganti dalam memahamkan sesuatu perkara yang diperjuangkan. Dan pokcik sebagai sang penurut manakan tahu entah betul atau tidak akan hal itu. Sayugia tidak bertanya pada hal yang sebenar atau menyiasat sahih dan betulnya cerita. Mudah terikut-ikut akan cakap-cakap sana sini dan sumber entah dari mana.

Hakikat berkenaal sikap dan perasaan ini sangat mudah berubah-ubah mengikut kepentingan semasa, peristiwa serta perancangan tersembunyi.

Lalu kini pokcik mengambil keputusan untuk berdiam diri saja dan tidak mahu masuk campur. Pertamanya, kerana pokcik tidak tahu duduk betul perkara yang sebenar. Keduanya , telah di sebut dalam agama, yang lebih kurang maksudnya, Apabila ada dua puak yang bertelagah, maka janganlah kamu mencampurinya. Lebih baik kamu diam.

Begitulah yang pokcik buat kini. Diam sediam-diamnya.

Monday, October 10, 2011

Nostalgia Dol Leman

http://www.youtube.com/watch?v=cV-k_Zipcng&feature=related