Tuesday, March 29, 2011

Zaman malas


  • Zaman pokcik dulu-dululah, awal-awal 80an, kalau kita mintak kerja di tapak-tapak pembinaan, jarang sekali yang tak dapat kerja. Dengan syarat kita rajin dah mahu belajar. Kemudian sabar ikut orang sana, orang sini buat kerja yang berlainan. Cuma waktu itu gajinya sangatlah kecik, dalam 7,8 ringgit sehari. Sebab itulah orang tak sanggup. Kerja kasar, gaji ciput. Namun ada juga orang yang terus kerja.


  • 30 tahun berlalu apabila sektor-sektor pembinaan naik mencanak-canak di serata negara. Bangunan-bangunan baru mencakar langit mula didirikan. Ramai tenaga di perlukan. Apabila buruh tempatan semakin bekurangan maka terpaksalah diimport buruh-buruh dari Indon, Bangladesh, Mynmar, India dan lain-lain lagi. Beberapa orang pekerja di tapak-tapak peminaan yang pokcik temui dan ramahi, rata-rata di antara mereka boleh dapat gaji yang cukup lumayan. Bayangkanlah dalam sehari kerja mereka boleh mendapat hampir RM 100, termasuk duit minyak ( kalau berkenderaan ) dan juga duit makan. Kalau mereka bekerja di bawah tauke kontraktor kecil, ubahsuai rumah dan sebagainya, lagilah mahal gaji akan diberi bergantung kepada kepakaran mereka.


  • Patutlah orang-orang asing ini jadi mewah apabila datang ke sini. Kerja bagai cendawan di musim hujan Tak pernah yang tiada. Apabila orang kita menjadi semakin malas, mereka tetap konsisten dengan sikap rajin dan merendah diri. Orang kita memang kadang-kadang tu pemalas. Setakat uruskan hal sendiri yang senang-senang pun malas. Nak basuh kereta, kemas rumah, cuci tandas hinggakan nak cabut rumput sekangkang kerja depan rumah pun upah orang. Sedangkan orang asing sudah mula menguasai sektor-sektor cuci tandas, dapur masak restoren, pertanian, perladangan, ternakan dan lain-lain lagi.


  • Maklomlah, kita nak jadi orang besar, nak tingkatkan hidup, tak mahulah kerja-kerja yang memenatkan ni. Bila orang kita tiada kelayakan dan tak berapa pandai, tak mahu pula meniaga, kerja kontrak atau apa saja. Balik-balik harap subsidi je. Kadang-kadang kasihan tengok muda-mudi sekarang yang khayal dan alpa dengan nikmat dunia. Nikmat negara kita yang permai dan mewah ini.


  • Kalau kita keluarga mampu, apa salahnya. Memang duit boleh membeli segala-galanya di dunia ini. Itu yang kebanyakan orang fikirkan. Namun dalam hati pokcik terselit perasaan risau. Ini bukan hendak cerita kisah esok lusa. Ini kisah berpuluh-puluh tahun akan datang zaman anak cucu dan cicit kita nanti. Dan orang-orang asing ini tak mustahil akan datang menjadi pakar dalam bidang mereka dan menjadi boss pula. Kita pula yang terhegeh-hegeh mengemis kerja. Kita akan jadi kuli pada mereka pula. Dan mereka pun ada hati hendak jadi rakyat kita sebab sudah duduk dalam negara lama.


  • Sekali lagi, konflik sewaktu kemerdekaan dahulu berulang kembali.


  • Jadi, sebelum mimpi ngeri jadi lebih ngeri dan masalah besar bakal melanda, eloklah kita melihat kembali senario hari ini. Rajin-rajinlah memikirkan masa depan dalam skop yang lebih jauh. Kalau mampu kita buat sesuatu, kita buatlah apa yang terdaya. Memang kita kadang tidak punya suara dalam kerajaan tapi kita boleh naikkan taraf hidup kita sendiri selain memberi kesedaran tentang jati diri.


  • Ini negara kita, tanah tumpah darah kita. Jangan pula suatu hari nanti kita jadi hamba di tanah sendiri.

Tuesday, March 22, 2011

Bumi yang indah...

Sejak seminggu yang lalu, pokcik merasa cuaca akan panas hingga ke petang, rupa-rupanya, hujan di tengah hari pula. Bahkan bukan setakat tengah hari, pagi, petang dan juga malam pun turun hujan juga. Dan bumi kembali basah dicurah nikmat Tuhan.

Kadang pokcik tertanya-tanya juga, adakah hujan yang kembali ini berpunca dari kejadian gempa yang melanda negara matahari terbit baru-baru ini? Ataupun sememangnya, fenomena alam yang asal sudah berkalih sistemnya menjadi tidak menentu? Hujan dan panas menjadi tidak tentu musim? Ataupun, dunia secara amnya sudah kucar-kacir aktivitinya hingga mengubah hawa dan iklim semulajadi?

Entahlah, barangkali ada benarnya juga fikiran pokcik ini. Almaklomlah, kita ini jarang hendak mendengar hal-hal yang berkaitan dengan alam, kajian-kajian geografi, awan, gunung, sungai serta ais. Hendak tengok tiwi pun lebih suka akan hiburan dari rancangan berinformatif. Lagipun, benda ini jarang sekali ditekankan kecuali orang-orang yang kerja di bidang tersebut.

Barangkali dunia sudah semakin rapuh. Sebab itu banyak kejadian gempa dan tsunami kerap melanda di bahagian-bahagian tertentu dunia. Itu belum termasuk hal manusia sendiri yang kian panas, bertengkar, memberontak, berperang dan sebagainya.

Pokcik teringat kata-kata dari seorang penulis barat iaitu Earnest Hemmingway ,

Katanya, "Dunia adalah tempat yang indah untuk diduduki, dan berbaloi kita untuk merebutnya."

Pokcik hanya setuju pada ayat pertama saja, kerana dunia ini kalau dikejar bagaimana pun tetap tidak akan puas selagi bernama manusia.


Akhirat jualah yang kekal buat selama-selama.

Alahaiii…

Tuesday, March 15, 2011

Ayat-ayat dari Tuhan.


Zaman-zaman pokcik mengenal mengaji dan mukadam, zaman-zaman itulah pokcik mengenal Mak Seha. Berteman lampu cemeni yang malap-malap dan kadang-kadang lilin, pokcik dan beberapa orang kanak-kanak yang lain mengaji di rumahnya setiap malam. Berdengung berdentang menyebut alif, baa, tha, saa, jim dan sebagainya diselang seli dengan suara Mak Seha yang garau nyaring. Kadang-kadang kalau tersalah baca, sakit tangan dirotan oleh orang tua itu.

Bersama Muqqadam yang kusam kekuningan, bersama penunjuk lidi penyapu, pokcik menghadam ayat-ayat suci buat pertama kalinya. Dari situlah juga pokcik merangkak membaca surah-surah penting dari Al-fatihan, Tiga kul, Tabad yadaa dan lain-lain surah. Hinggalah beberapa ketika entah apa sebab apa kami tidak mengaji lagi di sana.

Dunia menemukan letrik. Ayat-ayat suci yang di baca bertukar ke guru lain. Waktu itu pokcik sudah berpindah di pinggir kota. Mengaji pula dengan satu keluarga alim India muslim di mana sekalian ahli keluarga mereka sangat pandai mengaji dan ikhlas mengajarkannya kepada kanak-kanak ramai. Anak-anak gadis Pak Habib Bakar baik-baik belaka hingga pokcik jadi selesa pula mengaji di sana. Kadang-kadang menjeling mata pada dara si hitam manis. Ahaks.

Aipp.. Namun itu bukan benda yang pokcik hendak cerita. Ceritanya ialah ilmu Tuhan yang di panjangkan serentak dengan usia menjadi dewasa. Cerita tentang ilmu yang dicari tanpa putus asa.

Dan entah sebab apa pula, pokcik berhenti mengaji di situ. Bertemu pula dengan Ustaz Adnan. Cikgu pencen yang ikhlas hatinya mengajar ayat-ayat Tuhan. Pokcik pun tidak melepaskan peluang mengaji di rumahnya, dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun, hinggalah khatam senaskah Al Quran. Waktu itu, rasa hati.. seronok sangat, kerana akhirnya buku yang di kira tebal itu akhirnya habis juga di baca.

Itu kisah pokcik dulu-dulu. Zaman susah nak mengaji. Zaman oang-oang pandai tak berapa ramai. Zaman orang mengaji tidak mintak upah dan yuran bagai.

Sekarang ini, Alhamdulullah… pusat-pusat mengaji Al Quran mulai tumbuh di mana-mana. Ustaz dan Ustazah yang berkelayakan pun ramai. Kaedah belajar pun sudah menjadi mudah. Sedari usia kecil boleh belajar kenal huruf, kenal patah-patah, di sambung-sambung, disebut-sebut hingga menjadi ayat lengkap.

Memang sangat mudah. Kemudian ada kitab Al Quran terbut berserta tafsirannya sekali. Boleh di faham dan dihadam bersama-sama supaya bacaan jadi lebih bermakna. Tidak macam zaman dulu, main baca saja, maknanya sepatah haram pun tak tahu.

Selain berguru bertalaqi bagai, kini boleh juga dapatkan CD bacaan Al Quran yang bagus-bagus dari mereka yang arif tentang Al Quran. Atau buka saja internet dan ada Quran versi online. Boleh pasang bila-bila masa. Pendek kata sumbernya merata. Berbagai versi dan terjemahan bahasa pun ada.

Zaman telah berubah, namun ayat Allah kekal sepanjang masa.


Dalam pada berterusan membaca, kadang-kadang air mata pokcik mengalir juga. Ya lah, betapa berpuluh tahun pokcik sudah membaca ayat-ayat ini, dari pada tidak tahu apa-apa, kemudian terus juga membaca di zaman yang serba canggih ini perlahan-lahan akhirnya dapat juga memahamkan maksud dan maknanya selain mengaplikasi cerita di dalamnya untuk menguatkan rasa cinta pada yang maha Esa.

Semoga mata dan hati ini akan terus tetap dapat menatap ayat-ayat Tuhan yang suci selagi hayat di kandung badan.

Amin..

Monday, February 21, 2011

Realiti anak muda...

Pada tiap kali hujung minggu, banyak rancangan tiwi yang memaparkan siri realiti berunsurkan hiburan. Begitu juga dengan anugerah atau pertandingan yang bersifat seni. Barangkali inilah yang kebanyakan orang-orang suka buat di hujung minggu terutamanya orang-orang muda.

Hampir-hampir terpeleot leher pokcik menggeleng kepala. Pokcik tidak berapa gemar dengan keadaan ini. Lebih kepada kesal pun ada. Kesal dengan anak-anak muda yang lebih suka mengejar peluang untuk jadi penyanyi, pelakon, pelawak dan sebagainya dari pada mencari jati diri dan sesuatu yang member faedah dunia dan akhirat .

Walaupun peluang berjaya dalam rancangan itu , satu antara berjuta, mereka tidak putus asa. Sanggup datang dari jauh, beratur berjam-jam, sanggup mengorbankan tenaga dan wang ringgit walau akhirnya terpaksa menangis kecewa.

Alangkah baiknya kalau semangat yang begini mereka gunakan untuk merencana hidup yang berfaedah. Memikir bagaimana hendak berjaya di dunia dan akhirat. Sepanjang kehidupan pokcik ini, amat kurang pokcik perhatikan anak-anak muda yang berjaya. Kalau dulu, di kampong anak-anak mudanya rajin-rajin belaka, membanting tulang empat kerat untuk menyara hidup. Zaman sudah berubah, selain tenaga, otak dan minda yang cergas yang betul arahnya juga di perlukan. Tak perlu susah-susah masuk kebun, ladan atau sawah. Sekarang zaman computer. Banyak orang boleh jadi kata dengan hanya memikirkan idea dan bekerja secara duduk saja.

Dalam keadaan dunia kita yang penuh dengan anak-anak muda yang suka berhibur, suka berluma-lumba di jalanan, suka di khayalkan dengan perkara-perkara yang melalaikan, di luar negara sana terutamanya di timur tengah, anak-anak muda sedang bangkit berjuang menentang kezaliman pemerintah hingga ada yang gugur syahid.

Kata bijak pandai, kalau kita hendak mengetahui berjaya atau gagalnya sesuatu negara itu, lihatlah pada anak-anak mudanya.

Pokcik teringat lagi pada kata-kata Pak Harpan, dalam pilem Laskar Pelangi sewaktu dia sedang berbicara dengan anak-anak muridnya.

Katanya , “ Hiduplah dengan member sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya.”


Begitulah impian kita...

Tuesday, February 15, 2011

Salam Maulidur Rasul

Inilah harinya kalau kita hendak sambut-sambut, rai-rai atau kenang-kenang.

Salam Maulidur Rasul pokcik ucapkan untuk semua.

Di hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ini marilah kita sama-sama mengenang kembali kecintaan kita terhadap insan mulia ini. Menghayati syiar yang di bawa bersama kitab suci Al-Quran sebagai penunjuk jalan sekalian umat manusia ke arah kebenaran dan hidup yang kekal di hari akhirat.

Tentunya banyak program-program telah di atur di tempat kamu semua, di peringkat kampung, jabatan, daerah dan kebangsaan. Lagi banyak lagi bagus.

Moga-moga kita akan berubah menjadi insan yang lebih soleh dan taat pada Tuhan yang satu serta rasulnya.

Amin.

Monday, February 14, 2011

Valentine Day? Oh Tidak!

Dulu-dulu memang pokcik jahil.

Orang sambut Hari Valentine, pokcik pun nak sambut juga. Cumanya, orang ada kekasih, pokcik tak ada. Sekadar perasan-perasan yang si dia tu kekasih pokcik, ada lah. hik hik.

Pun begitu tiadalah juga kemaruk pokcik nak membeli hadiah itu ini dan diberi kepadanya secara sembunyi-sembunyi. Konon secret admire lah. Maklomlah, pokcik pun tak mampu gitu. Dan lagi, budaya melayu dulu mana reti nak bagi coklat-coklat atau anak patung beruang. Setakat bunga-bunga tu ada la sikit-sikit.

Beberapa tahun kemudian apabila pokcik semakin dewasa dan memahami sebab musabab hari itu diraikan, barulah terasa bodohnya diri ini. Dangkalnya fikiran ini. Mengikut membabi buta tanpa usul periksa. Setiap apa yang dibawa penjajah bukan semuanya baik, apatah lagi berkenaan budaya dan pemikiran mereka yang jauh menyimpang dari nilai-nilai murni pegangan kita sejak dulu.

Entah ada lagi ke tidak oang kita sambut valentine-valentine ni? Lebih-lebih lagi zaman sekarang ini? Zaman orang muda gitu. Harap-harap dengan maklumat-maklumat kesedaran yang di sebarkan berkaitan sejarah perayaan ini, sekalian umat Islam khususnya orang kita, akan sedar. Anak-anak muda tidak tergopoh gapah hendak meraikannya. Tidak sabar-sabar bertemu kekasih hati untuk merayakannya. Kelak nanti bahana yang bakal menimpa lebih teruk lagi. Ya lah, kamu faham-fahamlah sendiri bila pergaulan terlalu bebas dan mereka menganggap hari mengingati kekasih ini sebagai hari penting untuk mengatakan , i lap u.. maka buktikanlah ke lap u an mu itu..pada ku. Marilah kita berserah... ish ish.

Lagi pun, apalah guna hendak meraikan kasih sayang beriya bebenor pada hari yang satu ini sedangkan tiap-tiap hari kita di galakkan berkasih sayang, sesama keluarga, suami isteri, adik beradik, saudara mara dan insan insani.

Pokcik sekarang memang tak hairan dah dengan hari valentine ni. Pada pokcik ini adalah hari di mana bunga-bunga, coklat dan anak patung beruang naik harga dengan mendadak. Dan mereka-mereka yang kurang sedikit akalnya di luar sana akan berebut-rebut membelinya.

Alahaii.. kadang-kadang perangai manusia ini pelik sungguh.

Tuesday, February 01, 2011

Limau...

Time nak daya cina ni, kalau pokcik pergi ke kedai Ah Seng, harus juga dia beri berplastik-plastik limau. Kalau tak yang limau manderin pun yang jenis kecik-kecik molek macam bola ping pong tu pun boleh juga. Pokcik memang tak menolak. Pulak tu selain limau ada lagi jajan-jajan lain yang diberi seperti kacang-kacang dan air gas.

Cumalah itulah, kalau dah asyik sangat mengadap limau, habis satu kupas lagi, habis satu kupas lagi, laju ke suap ke mulut, sedar-sedar dah berbiji-biji masuk dalam perut.

Lepas itu baru nak gelabah. Uii.. bahaya ni makan limau banyak-banyak.

Nanti kena gout ooo..

Friday, January 28, 2011

Karnival Karangkraf , hari ini, esok dan lusa. Yippa!

Jika anda semua mempunyai masa lapang pada hari ini, esok dan lusa di tambah pula anda adalah seorang yang "hantu bacaan" maka sayugialah anda di jemput memeriahkan Karnival karangkraf yang sedang berlangsung hari ini hingga isnin minggu depan.

Ada banyak aktiviti menarik lagi menyeronokkan sedang menanti anda selain bahan bacaan berupa novel, majalah, suratkhabar, katalog dan apa-apa juga yang boleh di baca.

Maih ler ke sana.. Yippa!




Ada banyak bahan bacaan yang mencukupi untuk anda di sana. Tidak perlu berebut-rebut serta bartarik-tarik rambut seperti gambar di atas. hik hik.

Penulis-penulis pun ada. Tengok senarai di atas ini, klik utk besarkan kalau tak nampak.
Sapalah mereka dengan mesra gitu. Kalau ada masa ajak ngeteh2 sekali.. Yippa!



Banyak juga aktiviti-aktiviti yang akan di adakan. Aktiviti membaca buku sambil menangis-nangis seperti gambar di atas, err.. err.. tak tahu la pokcik ada ke tidak.
Apa-apa pun, pergi jangan tak pergi... pergi jangan tak pergi...pergi jangan tak pergi...

Monday, January 17, 2011

Santan Oh Santan...

Semalam entah macam mana mata pokcik tertangkap di kaca tiwi perihal santan cemar yang dilaporkan pengguna yang berleluasa di pasaran terutamanya bagi peniaga nasi lemak. Memang tidak dinafikanlah, tentu para peniaga atau sesiapa saja yang mengambil bekalan santan itu tidak mengetahui.

Yang pokcik geram sangat tu, tentang kedai memproses santan tersebut yang telah mencampurkan santan yang dip roses dengan bahan kimia lain untuk membuatkan santan Nampak segar. Tidak cukup dengan itu di campur pula dengan susu dan gula supaya dapat menambah rasa serta berat pada santan yang di hasilkan. Tentunya hal ini sahih benar menipunya.

Alahaii.. bukankah santan itu datangnya sudah asli dari kelapa yang diparut untuk mendapatkan santannya. Kenapa pula harus di tambah itu ini?

Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mendapat untung berlebihan gitu. Di tambah dengan kenaikan harga kelapa masa ini, maka tentu tak berapa untung kalau hasil santannya pun tak banyak mana. Maka dengan sebab itulah mereka mengubahsuai kandungan santan yang ada supaya Nampak banyak.

Kasihan pengguna semua kerana tertipu hidup-hidup. Selain duit yang dibayar tidak berbaloi dengan apa yang diterima, santan yang dikira tercemar ini juga boleh mencemarkan kesihatan. Entah bahan kimia apa yang di masukkan, barangkali toksik, barangkali dadah yang mana ada kesan sampingannya yang bakal merosak tubuh.

Entahlah manusia zaman sekarang ini. Sudah tidak mahu fikir akan dosa dan pahala. Apa yang mereka mahukan hanyalah keuntungan dunia yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan balasan akhirat yang tak terhingga besarnya hasil dari kedikit keikhlasan di dunia.

Di akhir laporan tersebut, kedai yang menjual santan cemar itu telahpun diperiksa dan disita peralatannya. Mujur ada pihak yang ambil tindakan. Orang menipu ini memang tidak akan lama senangnya. Tak berkat kalau ramai orang yang marah-marah.

Barang kali kalau arwah Wak Kodi, si pemetik kelapa di Kampung pokcik dulu masih hidup, tentu dia pun akan marah-marah tak terkira. Memalukan industri hasil kelapa saja dengan menipu-menipu begini.

Dan, yang kedua yang akan marah sangat-sangat siapa lagi kalau bukan beruknya, si Awe tu. Memalukan profession pemetik kelapa profesional je.

Alahaii…

Wednesday, January 12, 2011

Kegilaan...

Tiap-tiap hari menatap akhbar, melihat berita atau mendengar radio, macam-macam jenis kegilaan manusia yang dilaporkan berlaku di akhir–akhir zaman ini. Baik pembunuhan, penderaan, rogol, liwat, dera, rompak, samun, ragut, letup dan sebagainya membuatkan perasaan pokcik jadi tidak keruan. Apalah nak jadi dengan dunia hari ini?

Agak-agaknyanya, dalam 100 orang yg bercita-cita untuk berjaya dalam hidup dengan jalan mulia, seorang darinya akan memilih untuk melakukan kejahatan sesama manusia.

Kalau begitulah contoh sifirnya, maka pada pendapat pokcik, dunia hari ini ada tempat paling ngeri sekali untuk diduduki.

Bayangkan kalau hidup dikelilingi ketakutan. Baik di dalam rumah atau di luar. Betapa tertekannya hidup manusia di kala itu. Saban hari ada saja kejahatan yang berlaku. Sampai kita naik takut dan sentiasa risau memikirkan kalau-kalau ianya menimpa diri, keluarga dan saudara mara.

Dalam masa kita ( kerajaan dan badan-badan yang bertanggungjawab ) dok memikir-mikir hendak menjadikan semua manusia baik-baik, musuh-musuh Islam pula galak merangka strategi untuk menakluki dunia, sedikit demi sedikit melalui cabang-cabang yang melalaikan seperti hiburan, judian, makanan dan ketagihan. Pendeknya, secara senyap kita di serang dari dalam dan juga luar.

Kalau kita tidak sedar dari sekarang maka peradaban manusia dan segala sifat-sifatnya akan terhakis sedikit demi sedikit. Jati diri akan musnah. Bangsa juga boleh hilang. Apatah lagi dengan negara dan kepimpinannya. Kalau dari sekarang asyik bergolak saban hari maka pihak lain pula yang akan memerhati dan sesekali bertepuk tangan.

Masa amat pantas berlari. Bila tiba masa mereka akan menyerang kita.

Dari itu fikir-fikirkanlah ya..

Monday, January 10, 2011

Tolong ingatkan pokcik...

Aik.. sudah habis ka Juara lagu ke 25? Ish ish..

Sejak mula masuk tahun baru ini banyak benar yang pokcik ketinggalan. Cepat betul masa berlalu. Alkisah pokcik ada menonton juga akan AJL 25 malam semalam tu. Tapi setakat yang terdayalah, setakat mana telinga tua ini dapat menerima halwa muzik yang semakin banyak di pelopori oleh artis-artis yang datang dari program realiti tiwi dan group indie.

Tak sangka pula, artis wanita Ana Raffali itu boleh menang. Sudah memang rezeki dia agaknya. Satu yang boleh kita pelajari dari kemenangan dia adalah, untuk mencapai apa yang kita inginkan, hendaklah berusaha tanpa mengenal putus asa. Bermula dari bawah dan berdikit-dikit naik ke atas. Kalau muzik yang dipersembahkan bagus, unik dan tersendiri, maka ada peluanglah untuk di terima masyarakat.

Pokcik terlelap separuh jalan dalam keriuhan orang bersorak-sorak mengikuti AJL itu. Lagi pun semua artis baik yang menyertai pertandingan atau jemputan yang menghibur adalah artis-artis yang baru-baru. Muncul dalam era pokcik menjadi warga emas.

Kenapalah mereka tak jemput Ahmad Jais menyanyi. Kalau ada, harus juga pokcik melangut menunggu.

Dan kalau Ahmad Jais nyanyi lagi Berpisah jauh atau gelisah, harus jugak pokcik bergelek mesra..

hik hik

Tuesday, January 04, 2011

Eh, dah masuk tahun baru 2011 ka?

Eh, dah masuk tahun baru 2011 ka?

Bilanya masuk?

Tak perasanlah pulak pokcik ni.. Ish ish nampak benor ler oang tua ni tak de keperihatinan langsung. Tak bersemangat nak sama-sama memeriahkan tahun baru dengan azam dan resolusi baru yang berkobar-kobar.


Hakikatnya... Apabila sudah berpuluh-puluh tahun berubah tahun, dirai-rai saban tahun dengan perkara dan ayat-ayat yang sama, pokcik sudah jadi lali. Cuma kadang kala tersengihlah juga bila terdengar oang mengungkapkan kata-kata yang serupa.

Apa-apa pun, perubahan tidak semestinya dilakukan pada tahun baru saja. Azam dan semangat sentiasa membara tak kira bila dan di majlis apa. Ungkapan selamat tahun baru yang disorakkan disetiap dunia bolehlah dikira sebagai alat bantu untuk kita bangun semula, merangka perjalan hidup ini supaya lebih berjaya dan tercapai segala yang di cita.

Juga impian-impian yang sering berlegar di minda.

Seperti pokcik, lain tak ada. Pokcik mau jadi kayaaa.. Yippa!

Pokcik kayoo.. hu huu

Selamat tahun baru 2011 untuk semua.

Tuesday, December 28, 2010

Maha Mudah...

Semalam, sewaktu pokcik berjalan-jalan di kedai depan tu, melangutlah sekejap di kedai kopi Ah Seng. Kebetulan tidak ramai pengunjung petang itu. Sambil-sambil mengorder kopi O kaw, pokcik pun menataplah skrin tiwi yang dekat dengan tempat duduk pokcik tu.

Kebetulan, remote nye ada di meja tempat pokcik duduk. Maka tangan ni pun gatallah nek menggodek.

“Ah, Seng! Macam mana mau tuka channel ni?” Laung pokcik dari jauh. Maklomlah, pokcik bukan faham benor akan gajet-gajet letronik ni. Kang silap-silap tekan, meletup pulak kedai kopi Ah Seng ni kekekek

“Hiyaa..itu atas ada banyak button mah, tekan sajalah mana u suka.” Ah Seng malas nak melayan. Pokcik pun apa lagi, bila dah diberi izin, pokcik belek-belek la apa yang ada di atas remote control tu.

Dari satu butang ke satu butang pokcik tekan. ( Sebenarnya pokcik tekan anak panas atas dan bawah je – sebab tekan tu saja siaran boleh bertukar-tukar ).

Hinggalah tertancap pada satu rancangan melayu. Barangkali cerita reality, berbentuk hiburan. Ada ramai penontonnya dan rasanya banyak masa di penuhi oleh gelak ketawa dan lagu-lagu latar saja. Tidak sampai 5 min pokcik memerhati skrin tiwi tu, pokcik dah geleng kepala.

Alahaii.. apa nak jadi dengan dunia hari ini? Rasa kesal mula menebak dada.

Zaman sekarang ini manusia lebih suka di perbodoh-bodohkan dan di ketawa-ketawakan secara terang-terangan kerana ingin mengejar imbuhan dunia yang sedikit ini. Sanggup berbuat apa saja yang menjatuhkan air muka dan maruah. Mudah suka pada hiburan yang disogok tanpa usul periksa. Malangnya, ramai yang menyokong dan menyorak-nyorai seolah-olah turut menyukai akan hal itu.

Entahlah, jauh benar fitrahnya dengan manusia-manusia zaman dahulu yang amat tertib menjaga perilaku, peri bicara dan peri fikir. Zaman sekarang terlalu menduga dan dunia menjanjikan sesuatu yang amar sukar ditolak oleh naluri. Oleh itu, ramai yang terlalu berhibur hingga melewati batas-batas agama dan susila ketamadunan manusia.

Aahh.. geleng kepala pokcik dibuatnya.

Kebetulan kopi yang di pesan sudah sampai. Dan, tanpa membuang masa, pokcik tutup je tiwi tu.

Alahaiii…

Saturday, December 18, 2010

Hari Jadi...

Hari ini hari jadi pokcik tau..

Yang ke.. err.. err.. err.. alah lupa la plak.. Maklomlah, dah tua gitu.

Yippa!

Wednesday, December 15, 2010

Panahan mata...

Hari ini adalah hari pokcik terkena panahan mata. Kalau ikut pepatah melayu ada simpulan bahasa yang khusus bunyinya iaitu , Dari mata turun ke hati. Ia menggambarkan panahan mata ekoran dari kerlingan si dara atau janda yang menggoda. Hingga jadi debar-debar tangkai jantung dibuatnya.


Namun panahan dari mata pokcik ini tidak turun-turun ke hati malah lebih kepada mengusarkan hati pula serta memening kan kepala otak.


Ini kerana hari ini pokcik telah terkena sakit mata.


Merah, berair, gatal dan sungguh tak selesa gitu. Alahaiii..


Hik hik.

Friday, November 26, 2010

Dol Leman : Misteri Hantu Bungkus


Sinopsis :
Projek ternakan ayam yang diusahakan oleh ketua kampung Parit Sangap, Pak Dolloh membuatkan tiga sahabat Dol, Suppa dan Ku Chai berasa seronok dan teruja. Mereka sering ke sana untuk membantu selain melihat perkembangan projek tersebut.

Sehinggalah pada suatu hari, mereka mendapati Pak Dolloh berasa sedih dan susah hati kerana banyak ayam-ayamnya yang hilang dan mati. Namun tidak dapat diketahui punca dan sebab musababnya. Barangkali ada sesuatu yang misteri di sebaliknya.

Keadaan menjadi semakin menakutkan apabila makhluk berbungkus mula dilihat merayap-rayap di pekarangan rumah ketua kampung itu. Ada yang berkata ia datang dari hutan berhampiran. Namun ia juga kelihatan di rumah Wak Ketot. Adakah kampung mereka kini berada dalam bahaya? Ramai penduduk kampung menjadi takut dan tidak berani keluar malam.

Bomoh Endot, bomoh handal yang dipanggil untuk membantu pun tidak berjaya malahan dia pula diserang demam hingga berhari-hari lamanya. Pak Dolloh semakin gelisah. Masalah ternakan ayamnya belum reda, kini masalah hantu bungkus pula melanda.

Kini, hanya Dol, Suppa dan Ku Chai saja yang masih bersemangat untuk menyiasat misteri hantu bungkus itu. Mereka terpaksa meredah semak samun dan mengintip kawasan reban ayam di waktu malam untuk mencari jawapan. Penyiasatan mereka menjadi semakin memeningkan kepala apabila muncul misteri lain iaitu ayam putih yang juga berkeliaran di kawasan kampung.

Mersik Romoyu
Harga Semenanjung: RM12.90
Harga Sabah/Serawak: RM15.90
ISBN: 978-967-5367-82-3

Monday, November 22, 2010

Daging korban...

Di Mekah sana, barangkali para jemaah sedang bersiap2 untuk terbang pulang ke tanah air. Sebelum tu, mereka hendak bershopping2 dulu membelikan buah tangan untuk keluarga di rumah. Setidak-tidaknya, kopiah atau tasbih sorang segelung. Musim haji sudah pun berakhir. Oh, sungguh tidak terasa gitu cepatnya masa berlalu.

Aidil Adha memang sudah lama berlalu. Rasa bagai semalam je ianya berlaku. Haiwan-haiwan korban pun telah selamat ditumbangkan dan dagingnya diagih-agihkan kepada yang berhak.


Seperti tahun-tahun yang lalu, pokcik pun tumpang meraikannya di surau berdekatan. Saja menghadirkan diri memeriahkan suasana walaupun bantuan yang dihulur tidak sebanyak mana. Hendak tolong pegang lembu, tenaga dah tak kuat. Buatnya diterpa sang lembu yang sedang naik angin, abih patah tulang temulang pokcik karang. Nak tak nak duduk ler tepi padang melihat orang ramai bergasak-gasak dengan lembu selain melancarkan ibadah korban tersebut.

Sambil tu, pokcik jerit2 manjalah kat Pak Akop sang penyembelih tu ,” Steady Pak Akop… steady..” Maklomlah.. tukang sembelih pun kena kasi semangat juga. Hik hik.,

Semasa majlis melapah-lapah tu pun pokcik tak buat apa-apa sekadar menolong bungkuskan apa-apa yang patut. Kemudian pokcik duduk rehat-rehat, pekena kopi o, sambil menjeling-jeling khemah tukang masak. Asap harum sudah menari-nari ke udara. Alahaii, bilalah sup ekor ni nak masak. Maklomlah, sambil melapah-lapah, tiba-tiba kita jadi melapar-lapar lak plak kekekek

Dalam pada itu ramai juga yang bermurah hati menyua-nyua daging korban pada pokcik. Barangkali mereka fikir taraf hidup pokcik yang amat daif ini melayakkan pokcik untuk menerima pemberian daging korban. Namun, pokcik tidak mahu rencah-rencah. Lagi pun di pondok buruk ni, bukan selalu berasap pun. Bukan lengkap pun asam garamnya hatta rencah sop sekalipun. Nanti daging yg banyak-banyak tu jadi basi pula. Tak terusik. Baik di beri pada orang lain, yang sekurang-kurangnya ada dapur yang rajin berasap di rumahnya.

Segala pemberian mereka pokcik tolak dengan berhemah sekali dengan kata-kata , “ Maaflah ya, pondok pokcik ni tak berapa rajin berasap dapurnya. Tapi tak apalah, kalau ada sesiapa yg memasak sedap-sedap tu, kut rendang ka, kut daging masak kicap ka, kut kurma ka, kut sop gearbox ka, janganlah malu-malu untuk menjemput pokcik aaa.. “

Gitu rasanya pokcik rasa jawapan yang paling afdal sekali.

Hik hik

Wednesday, November 03, 2010

Chennamari


Barangkali di tika dan saat ini, Chennamari sudah mula bersiap-siap hendak menyambut raya. Barangkali sudah di khabarkan pada tauke nya bahawa dia hendak mengambil cuti barang beberapa hari untuk beraya. Dia hendak balik kampung di Ipoh.

Sebelum itu dia hendak shopping-shopping dulu. Maklomlah, saat-saat akhir, masa itulah hendak dicari segala kelengkapan untuk isteri dan anak-anaknya. Paling kuat pun baju raya seorang sehelai. Baju-baju untuk dibawa sembahyang ke kuil di pagi hari pun kena cari juga. Isterinya, Paro pun harus dibelikan pakaian baru. Kalau ada rezeki lebih gelang tangan dan kaki akan dibelikan juga. Isterinya yang baik hati tidak banyak cerita, hanya menurut saja, walau dibelikan saree yang biasa-biasa. Dia akan angguk-angguk kepala, sambil berkata, "saree, saree.."

Pendek kata raya Chennamari tetap disambut dengan meriah. Tidak kira bagaimana pun. Gaji sebagai pemandu lori awal-awal dulu amat menyakitkan. Sangat kecil, di tambah dengan keluarga yang sedang membesar. Dia jadi tidak mampu. Pernah juga dia terpaksa ke kedai pajak gadai untuk memajakkan barang demi mencari duit untuk beraya.

Masa itu terpaksalah Chennamari kerja bagai nak gila. Memutar stering lori 16 tayar siang dan malam. Kalau ada overtime pun dia tidak pernah tolak. Pendek kata sudah macam robot benar kehidupannya.

Lama-lama berkat kerajinannya, rezekinya menjadi lapang. Gaji pun sudah naik ke tahap selesa. Tambahan pula dia sudah jadi orang lama. Apa tu kata orang, "senia" (senior) gitu. Masa kerja pula tersusun kemas. Dia sudah tidak jadi robot lagi.

Maka tahun ini seperti tahun-tahun terdahulu, raya mesti meriah. Mesti ada cahaya. Mesti bergumbira , katanya dengan wajah penuh berseri laksana embun pagi.

Katanya lagi, selain benda pakai-pakai, benda makan-makan pun mesti ada. Segala manisan, iddli, muruku harus dibeli awal-awal. Belinya di Klang sana, ada tempat yang menjual segala makanan kudap-kudap yang rangup. Raya tahun ini mesti gembira dengan makan-makan juga.

Demikianlah Chennamari bercerita saban tahun apabila singgah melewati pondok pokcik hari itu. Kami memang sudah kenal lama, ibarat intan dan manikam. Ibarat tosei dan dhal gitu.

Pokcik tumpang gembira. Kehidupannya kini beransur senang hasil kerja kuat dan fikiran yang panjang untuk mengecapi hidup bahagia, senang dan lenang. Buat keluarga terutamanya. Chennamari percaya, kalau kita kerja kuat, maka Tuhan akan tolong kasi senang. Dan dia telah membuktikannya.

Sambil berborak-borak, dia tidak lupa juga menyuakan barang 2,3 tiga bungkus kuih-kuih muruku dan berbagai jenis dan rasa.

Pokcik terima dengan hati terbuka serta senyum terima kasih. Tidak lupa selalu mengharap agar Chennamari akan terus senang dan bahagia. Terutamanya apabila raya Deepavali menjelang tiba.

Namun dalam hati ada tersentil juga rasa, “ Ish.. dia ni macam tak tahu pulak aku mana ada gigi, nak makan benda keras-keras ni.”

Hik hik..

Selamat bercuti sempena hari Deepavali buat semua.

Wednesday, October 27, 2010

Fiesta Buku Alaf21 ( 29 - 31 Oct )



Kepada sesiapa yang berkesempatan dan mempunyai masa lapang pada hujung minggu ini, silalah berkunjung ke Premis Alaf21 bersempena dengan Fiesta Buku yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini, Sabtu dan Ahad.

Banyak buku-buku boleh boli aa..Macam-macam ada. Pilih saja mana berkenan di hati. Diskaun 30% lagi.
Kalau tak pun pergi sana lepak-lepak je lah. Duduk-duduk sambil menikmati aroma buku-buku yang ada.

Kalau terserempak dengan pokcik di sana. Jangan lupa tegur-tegur aa. Boleh kita berborak-borak. Yippa!

Friday, October 22, 2010

Layar Lara...

Pokcik sebenarnya baru saja baik dari demam. Empat hari pokcik terlepek saja kat pondok. Badan dedor-dedor, kepala pusing dan bisa-bisa seluruh badan. Sewaku ke klinik kesihatan yang terdekat hari tu, memang ramai yang mengalami deman-deman begini. Baik kanak-kanak , orang muda atau orang tua. Ada yang batuk-batuk dan juga selsema. Terutamanya kanak-kanaklah. Kesian pokcik menengokkannya, asyik merengek dan menangis saja. Biasalah, kalau budak-budak dah demam, mak ayah boleh jadi tidak keruan melayan. Kadang sampai tidak tidur malam dibuatnya.

Kata doktor, ini disebabkan oleh virus. Bermakna bukan sebab pokcik terkena hujanlah ek? Di tambah dengan cuaca yang panas dan lembap, agak mudah virus-virus berterbangan dan disedut oleh orang lain. Mana-mana antibodi yang lemah, mudah terkena jangkitan. Ini membuatkan pokcik berasa amat takut sekali. Apa tidaknya, kalau sering saja demam, kita pun susah hati. Lebih-lebih lagi oang tua macam pokcik ni, kalau dah demam, siapalah yang nak melayan. Alahaii..

Bila dah terbaring, terlepek tak berdaya tu. Terkebil-kebillah biji mata melihat ke atas. Mujur otak masih boleh lagi berfungsi. Melayari kenangan-kenangan silam mana yang teringat tu. Zaman-zaman kecik, zaman remaja hingga ke tua. Komdian, bayangan teman-teman tapi mesra dan kawan-kawan yang kita suka silih berganti. Ianya ibarat layar perak yang berputar di pawagam.

Cuma.. dalam hati tua ini, takut juga kalau-kalau putarannya tiba-tiba terhenti. Masa tu, kemungkin otak pun terhenti dan mata terpejam selamanya. Waaaaaa…

Mudah-mudah tidak gitu. Andai tiba saat itu, biarlah pokcik berada di dalam keadaan bersedia.
Mudah-mudahan ya.

Alahaiii…