Thursday, April 15, 2010

Panas...


Cuaca sekarang ni...kalau tak hujan pagi, maka bahangnya akan terasa sampai ke petang. Silap-silap terus ke malam apabila udara-udara panas meruap dan masuk ke dalam umah. Maka tidur pun boleh jadi bermandi peluh.

Pokcik sebenarnya bukan merungut akan cuaca yang panas ini tetapi perubahannya yang ketara kebelakangan ini membuatkan hati sedikit resah.

Di kampung pokcik sendiri, sekarang ni arinya sudah catu. Siang tak ada. Petang baru di buka. Maka jenuh jugalah hendak merancang aktiviti-aktiviti yang berkenaan dengan air. Pulak tu, bila dah berkeluarga ramai, ada anak-anak kecik maka bertambah-tambah susahlah hendak menjalani rutin seharian, seperti membasuh, memasak, mandi, sembahyang dsb. Ramai yang merungut. Nak buat macam mana, terpaksa buat begitu kerana air di sungai pun dah kering.

Harap-harap keadaan ini tidak berlanjutan. Dalam keadaan bumi yang kering dan gersang ni eloklah kita berdoa selalu supaya hujan turun kerap. Buatsembahyang minta hujan pun elok. Maklomlah, hanya DIA sajalah tempat kita mintak tolong kerana hakikatnya kita ini manusia lemah.

Pokcik pun hari tu semasa di kampung, berkipas juga siang malam pagi dan petang. Memang terasa sungguh panasnya di tambah pula dengan keadaan air yang bercatu-catu tu, lagilah haru.

Tapi tak mengapalah. Sekurang2nya air kopi warung simpang tu masih ada lagi. dan tetap sedap kalau diminum...


hik hik

Wednesday, April 14, 2010

Teman di dunia...

Salam sejahtera buat sekelian pengunjung semua. Maaflah pokcik dah lama tak mengemaskini pondok buruk yg ada ni. Kerana dalam hati pokcik ni ada sedikit sangkaan2 yg agak negatif iaitu bila mana pokcik merasakan oang semua dah berhijrah ke fesbuk-fesbuk, maka akan kurang yang melayari blog rakan2 apatah lagi blog oang tua ini. Maka dengan sebab fikiran ( yang agak sempit ini ) sayugialah pokcik sering bersepi-sepi gitu…Alahaiii..

Sekarang ni pokcik agak kelelahan sedikit. Baru saja kembali dari kg halaman beberapa hari lalu. Tidak lain tidak bukan adalah kerana menzirahi kematian teman-teman yang rapat satu ketika dulu.

Teman pokcik itu, kematiannya berbeza setengah jam saja dengan kematian sepupunya. Mereka dimasukkan di wad yang sama, sakit yang lebih kurang sama (sakit tua) dan pengakhirannya ditanam sebelah menyebelah pula. Ini semua Tuhan punya kuasa, walau pun pada zahirnya mereka berdua tinggal bukan di tempat yang sama dan barangkali juga sudah tidak lama tidak bersua. Dan kematian itu sendiri meninggalkan kesan yang mendalam pada yang hidup termasuk juga pokcik.

Entahlah, di usia emas seperti pokcik ni, sering kawan terdengar kawan sana dan kawan sini kembali ke rahmatullah. Hinggakan naik seram pula jiwa ini apabila terasa sekejap sungguh masa di dunia ni berlalu. Teringat pula apabila ketemu sorang teman yg sering sakit-sakit dan bolehlah di kategorikan sebagai “menanti masa” saja.

Wak Juki kini menderita penyakit kelenjarnya hinggakan hendak membuang air terasa susah dan amat menyiksakan. Belum lagi termasuk hal jantung yang semakin lemah dan sering batuk-batuk. Apabila mendengar akan teman-teman yang sudah kembali, hatinya semakin meronta-ronta.

“Kawan ni bila agaknya nak mati ya?” soalnya apabila diziarahi pokcik tidak lama dulu. Suaranya perlahan dan sayu. Pokcik sedikit terkejut lalu termenung seketika. Sekali sekala menoleh melihat keadaanya itu.

“Rasanya dah tak lama juga ni..” ujar pokcik dalam seloroh. Dia hanya tersengih lalu mengangguk. Dalam jenaka pokcik ( yang diketahui sejak zaman kanak2 dulu suka bergurau-senda ) kini ada juga kebenarannya.

Giliran Wak Juki pula termenung jauh.

“Abih dah pergi kursus belum?” Soal pokcik sebelum meledak tawanya. Maklomlah, nak kahwin pun ada kursus, inikan pula nak mati.

Kami bercerita lagi dalam selang seli tawa yang hanya golongan kami saya yang mengerti. Dalam hal ini pokcik tidak dapat membuat apa-apa melainkan memberi semangat dan sedikit ingatan-ingatan sebagai teman-teman terakhir yang menemani dunianya sebelum berhijrah ke alam sana.

Sesungguhnya mati adalah Pasti , hidup InsyaAllah.

Alahaii…

Friday, April 02, 2010

Tidak seperti dulu...

Selamat hari jumaat buat sekelian.

Semoga anda semua sentiasa dilindungi oleh Tuhan yang maha esa dan mengasihani.

Nampaknya banyak perkara yang telah berlalu sejak akhir2 ini meninggalkan pokcik termanggu dan jauh ketinggalan. Hakikatnya, pokcik tidak seperti dulu..

Entahlah, pokcik di tahun baru ini sangat tidak bermaya langsung untuk bercerita. Masih teraba-raba mencari diri yang hilang sejak beberapa bulan lalu. Cuma yang pastinya, tahun ini kesihatan pokcik tidak berapa baik. Badan sering lemah lesu dah malas-malas saja. Maka oleh kerana itu minda pun mudah terasa lesu dan kaku untuk bercerita.

Yang terbaru, Pesta Buku Antarabangsa PWTC sudah pun berakhir beberapa hari lalu membawa sama 1001 macam kenangan pahit manis, tawar hebeh, masam serta payau-payau jua. Setiap kali datangnya pesta buku tersebut pasti suasananya sedikit berubah. Namun kemeriahan dan kesesakan yang melanda di setiap ceruk dan ruang yang ada tampak sama malahan semakin menggila-gila gitu.

Alhamdulillah, warga tua ini sempat jugalah berkesot-kesot ke sana. Walau tubuh rasa terketar-ketar dan tergigil-gigil. Itu belum lagi memapah-mapah dan melangkah tergigil-gigil untuk sama-sama merasai bahang suasana pesta yang penuh dengan haruman kertas dan segala produk bertemakan buku.

Buku: Lakaran masa depan. Domkian lah yg t erpampang jelas di pintu2 masuk dewan PWTC yg gah itu. Sesungguhnya buku adalah satu di antara medium pembelajaran yang amat klasik dan masih relevan sehingga kini walaupun sering ditentangi dengan teknologi2 baru serta canggih dan tanpa wayar, namun proses membaca buku itu jatuh dalam kelas keasyikannya yg tersendiri. Macam pokcik jugalah. Sejak dari zaman buku tiga lima (555) hinggalah ke zaman buku bank, popkcik tetap setia gitu.

Pokcik berharap juga agar dapat sedikit keterujaan selepas menghadiri pesta buku itu. Kurang2nya boleh juga dtg rasa rajin untuk menulis, bercerita atau merapu2 seperti selalu. Bak kata oang, memulihkan semangat gitu.

Tapi entahlah.. rasanya sama je kut.


Alahaii..

Tuesday, March 23, 2010

Tukar lagi.

Nampaknya, pokcik sekarang ni ada hobi baru... Tukar desain umah je. hik hik

Apa2 pun, ianya sedang dalam pembinaan.

Akan dilengkapkan kemudian.

Monday, February 22, 2010

Pondok-pondok

Permainan masa kecik-kecik yang sampai sekarang pokcik masih main lagi ialah “pondok-pondok” .

Cuma kali ini, pokcik main sendiri jek..

Hik hik...

Wednesday, February 17, 2010

Nilai lama...

Pokcik dan Tok Lipat duduk-duduk di atas tangga, raya cina ke tiga. Bersama2 kami juga, sekotak buah limau yang sudah separuh.

“Raya tahun ni tak macam dulu.” Tok Lipat mengeluh. Pokcik garu kepala. Hairan. Macamlah dia pun beraya cina juga.

“Apa yang lainnya?” Pokcik menyoal juga.

“Maksud aku, tauke2 cina sekitar kg kita ni. Dulu-dulu memang meriah kalau time raya2 cina ni. Tauke Ah Leck rajin bagi limau dan angpow. Bila beraya ke umah dia, penuh kocek dengan gula-gula.” Tok Lipat terkenangkan tauke getah yang sudah arwah itu dan dia waktu itu amatlah muda remaja.

Pokcik mengangguk laju. Selain tauke Ah Leck, ada dua tiga kali tauke yang tidak kurang murah hatinya pada penduduk kampung setiap kali menjelang raya. Kiranya, semangat "Satu Sangap" sudah lama terbentuk sejak dulu lagi.

“Kau tengok la sekarang. Bila sampai kat anak-anak, langsung oang2 tua tak dihiraunya. Nak menyapa pun berkira. Mujurlah ada oang2 tua yang masih hidup lagi di kalangan mereka, yang masih ingat lagi kat kita. Itu pun dah tak berdaya. Maklomlah, dah tua.

Pokcik mengangguk lagi. Memang tidak dinafikan, sejajar dengan perkembangan bisnis mereka, segala2nya sudah berubah. Sekarang dah ramai pekerja indon diambil. Getah pun dah tukar sawit. Lagi banyak untung. Apalah nak dikisah sangat fasal kemesraan2 lama ni. Buang masa je.

“Hah, tu anak tauke Ah Cong buat makan-makan. Mereka jemput pekerja2 indon dia je makan, meriah sungguh. Siap bakar2 sate lagi.“ Tok Lipat memang perasan majlis tu. Cuma dia malu nak pergi kalau oang tak jemput.

“Raya-raya begini, memang ler kena tunjuk baik pada pekerja-pekerja mereka. Kasi makan, kasi angpow, kasi limau. Barulah mereka sayang pada tauke.” Pokcik berkata secara skema.

“Yalah, berapa sangatlah pekerja2 dia tu? Makan pun tak habis. Kalau masa bapak dia, satu kg diajak makan sekali.“ Tok Lipat masih lagi terkenang hal lama. Hal yang amat mustahil terulang di zaman ini.

“Alah, jangan kata raya cina. Raya kita pun lebih kurang sama je.“ Pokcik malas nak melebihkan sesiapa. Suka hati dialah nak jemput siapa yang dia suka. Cuma Tok Lipat ini, kadang-kadang susah nak menerima pembaharuan zaman dan sifat manusia. Itulah, menjadi tua ni.. hati mudah terasa.

Pokcik kopek lagi limau, lalu menyuap ke mulut.“Banyak tul aku makan makan limau ni. Sampai naik masam tekak aku. Jangan esok jadi serak dan hilang suara dah ler dah ler.”

“Uii.. janganlah habiskan. Simpan-simpanlah sikit. Nanti bila lepak-lepak nak makan apa plak?” Tok Lipat saja mengusik.

Komdian, keningnya terangkat-angat. “Jom!”


“Ke mana?” soal pokcik.

“Apa lagi... ngeteh la." jawabnya sebelum turun mendapatkan motor honda buruknya.

Pokcik tersengih sambil mengikut.

Kadang-kadang, ada juga nilai-nilai lama yang masih tak berubah.

hik hik

Friday, February 05, 2010

Gugur...

Tahun ini pokcik berasa seperti sangat tidak berdaya. Tidak seperti dua tiga tahun yang lalu, yang mana waktu itu, pokcik sangat aktif menulis dan suka bercerita entah hapa-hapa tah di pondok buruk ini. Tenaga yang ada sangat mantap, mengalahkan tenaga orang muda. Ianya bagai dibius-bius dan ditonik-tonik untuk terus aktif. Tetapi, entah kenapa, tahun ini jadi begitu perlahan rentaknya. Merudum bagaikan batu-batu kecil yang jatuh bertaburan di lereng bukit yang curam.

Dalam hati, pokcik sering tertanya-tanya akan hal ini...

Dalam menung semalam yang sangat jauh, akal ini terfikir akan sesuatu benda yang selalu disebut orang sebagai "hayat masa". Hayat di mana setiap yang bermula pasti akan berakhir juga. Hayat bagi setiap sesuatu permulaan menemui titik noktah dan seterusnya hilang ditelan arus zaman, dilupakan dan sesekali dikenang-kenang gitu.

Entahlah, pokcik tidak dapat menafsirkan keadaan ini. Barangkali sudah sampai masanya pokcik meletakkan papan tanda “berhenti” pada garisan perjalanan maya ini. Berhenti dari bergebang-gebang dan melatah-latah di pondok yang ceria ini. Berhenti dari tersenyum manja dan menyapa mesra. Walau dalam hati tidak merelakan namun hakikat kehidupan tidaklah seperti yang kita harapkan.

Di tambah dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan pokcik untuk kekal berdiri di sini untuk selain berkongsi idea bersama-sama pengunjung semua, maka sewajarnya pokcik berundur dari "alam maya" ini.

Beberapa penyakit-penyakit manja yang dulunya hanya tertenggek dijendela sudahpun mula masuk tanpa direlakan, memenuhi ruang-ruang saraf dan jalinan organ di tubuh badan, melemahkan sistem imunisasi dan ghairah hati untuk terus mengharungi hidup yang canggih ini.

Pokcik pasrah. Pokcik harus bertahan.

Dalam dada ini, semangat masih terus membara, menyala-yala untuk terus menukilkan kata, walau pun tidak konsisten entrinya. Tidak tentu idea-ideanya dan kabur-kabur pula faktanya.

Namun, pokcik akan terus mencuba.. Yihaaa...

Zzzzzz....

Alahaiii…

Thursday, January 28, 2010

Menjadi tua...

Menjadi tua tanpa persediaan yg rapi, hanya berharap-harap segalanya bisa diatasi mengikut fitrahnya alam, adalah satu fikiran yang sangat ngeri.

Cuba bayangkan, sedang kamu enak-enak melayan roti canai dan kopi o kaw di sebuah warung mamak, tiba-tiba ada rasa sakit yang menjalar-jalar di dalam dada sebelah kiri, menyebabkan anda merintih-rintih sebelum tergolek kesakitan dan akhirnya terlantar di rumah sakit. Lebih tragik lagi, anda juga dikhabarkan mengidap sakit jantung.

Dalam waktu yang lain pula, sejak beberapa minggu tubuh berasa lemah-lemah dan tidak bermaya sentiasa. Selalu rasa nak tidur dan malas hendak beraktiviti namun hanya selera anda saja tetap seperti biasa malahan lebih bertenaga pula. Setelah menjalani pemeriksaan terkini, anda di sahkan mengidap kencing manis.

Pada hari yang lain, sewaktu anda bangun pagi, tiba-tiba kaki membengkak di bahagian ibu jari, membulat kemerah-merahan di celah sendi dengan rasa bisa-bisa yang tidak bisa di tahan-tahan lagi. Doktor Sammy di klinik berdekatan mengatakan anda diserang gout ( setelah di periksa kandungan kencing dan urik asid nya )

Jadi, Adakah kejutan-kejutan ini benar-benar mengejutkan? Atau anda sudah tahu sedari awal bahawa semua ini akan berlaku.

Seperti juga sang ibu yang memarahi anak-anak mereka sejak kecil kerana malas belajar, nakal, tidak mendengar kata, degil, jahat dan sebagainya, begitulah juga apabila menjadi tua, kita harus di marah-marah juga. Kerana kecilnya kita dengan sifat-sifat yang disebutkan tadi akan bertambah apabila menjadi tua. Cuma masalahnya tidak siapa yang akan memarahkan kita.

Itulah dia faktor-faktor kesihatan yang seringkali kita abaikan. Bila dah tua lagilah kita semakin lupa. Di tambah pula apabila anak-anak sudah berdikari dan sering kali merai-rai kita dengan makanan-makanan yang sedap-sedap dan serba segera. Mampukah kita menolaknya?

Itulah risikonya apabila menjadi tua. Kita mudah diserang sakit. Tubuh pun sudah semakin lemah, tulang temulang jadi rapuh dengan segala sistem sedikit terjejas prestasinya. Banyak yang sudah berubah.

Kebiasannya memang begitu. Namun itu bukanlah alasannya. Kita pernah tahu atau kenal mana-mana orang tua yang sentiasa sihat dan bertenaga walaupun usia sudah melebihi 60 atau 70 tahun. Tetap segar untuk ke kebun, ladang, sawah atau laut sekalipun. Jarang mendapat sakit-sakit dan organ dalaman masih dalam keadaan baik seumpama orang muda gitu. Beginilah yang kita mahu.

Menjadi tua juga perlu dinikmati bersama kesihatan yang baik. Kita tidak mahu menjadi tua dan tidak berupaya. Hanya mampu terlantar dikerusi roda atau katil dan tidak mempu mengurus diri sendiri.

Oleh itu, sebelum kamu menjadi tua.. bersegeralah menjaga serba serbinya terutama hal-hal kesihatan kerana jauh di sudut hati kamu, memang teringin untuk menjadi oang tua yang sihat sejahtera dan sedikit trendy.

Macam pokcik lah juga.. hik hik

Friday, January 22, 2010

Kontang...


Tahun baru dua ribu sepuluh ni tiba-tiba pokcik jadi orang tua yang kekontangan idea. Baragkali setelah berpuluh-puluh tahun ( 3 thn lebih je hik hik ) berblogga-bloggi di sini, idea semua sudah mencurah abis. Otak pokcik sudah jadi pegun dan statik.

Kadang-kadang pokcik rasa hendak saja mengulang balik cerita-cerita lama. Nanti apa pula dikata oang, sudahlah menggelarkan diri serba trendy, tapi ceritanya tak trendy pulak. Alahaii.. dilema sungguh hati ini.

Nak cerita politik, pokcik bukan reti sangat. Lagipun, cerita-cerita politik ni banyak sisi gelapnya dari yang cerah dan menceritakannya pula hanya akan membuatkan hati asyik tak puas serta nak marah saja.

Nak cerita cintan-cintun pula, nanti di katanya oang tua tak sedar diri, usia dan semakin lanjut syuruk, perangai tak senonoh pula. Sedarlah gigi tu cuma sebatang dua, ada hati dan mengatal. Domkianlah masyarakat suka mengata walau pun pokcik ni serba ikhlas hatinya.

Nak cerita yang berteknologi tinggi, seperti pasaran saham, harga minyak, komoditi getah atau kelapa sawit lagilah tak terfikir secalit pun dalam kepala. Maklomlah, bermain-main dengan angka ni salah satu dari kelemahan pokcik walau hakikatnya pokcik suka tengok angka ribu-ribu atau juta-juta. Sekurang2 nya impian pokcik masih lagi tak berubah iaitu menjadi kayoo..

Habis-habis pun, bila pokcik berdiam lama tu... anggaplah pokcik tengah mencari-cari idea.

Kekonon-kononnya la tu.. hik hik

Wednesday, January 20, 2010

Baru...

Hmm.. sekali lagi pokcik terpaksa mengubah rupa bentuk pondok pokcik ni kerana pada sesetengah keadaan, wajah yang lama tu kelihatan lari-lari gitu. Entahlah, mungkin pokcik yg tak berapa pandai nak adjust2.

Walaupun tak ada gambar kopi, namun pemilik blog ini tetap oang tua yg sama.

Hensem dan penuh bergaya.. kekekek

Nota cagu :

Perubahan atau tambahan2 ( utk mencantikkan wajah yg ini ) yg lain adalah mengikut kederat pokcik. Kalau larat buat lah,kalau tak buat juga.. slow and steady gitu. hik hik

Wednesday, January 06, 2010

cas baru...


Awal-awal tahun ni memang semua oang sibuk gitu. Maklomlah, nak buka buku baru. Segala-galanya serba baru. Mungkin dapat tempat kerja baru, boss baru, beli kereta baru, rumah baru, dapat teman hidup baru, teman ngeteh baru atau lain-lain jenis harta yang baru.

Budak-budak pun seronok juga. Mana-mana yang baru hendak menginjakkan kaki ke tadika atau sekolah, ini merupakan satu dunia baru yang mengundang rasa pelbagai dan juga karenah. Tentu sekali pertama kali dalam hidup, berenggang dengan keluarga dan belajar berkawan-kawan, berkenal-kenal selain mendengar kata guru, merupakan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidup.

Domkianlah hakikatnya. Segala-galanya bermula, dari yang baru. Tiada yang baru, maka tiadalah yang lama.

Apa-apa pun, selamat menempuh pengalaman baru di tahun baru 2010 ini. Semoga semangat anda semua akan sentiasa menggebu-gebu seperti baru di cas-cas gitu.

Saturday, January 02, 2010

Selamat Tahun Baru Masihi 2010


Tahun baru muncul lagi. Sebaik saja genap 365 hari bumi berputar mengelilingi matahari, maka tahun pun berubah angka dari pada 2009 kepada 2010. Kedatangan masa yang dirasakan begitu cepat ini membuatkan kebanyakan kita jadi mangli dan hanya tersentak sikit-sikit saja. Teruja untuk meraikannya lewat malam dentam dentum, makan-makan dan sorak-sorai oang berpesta. Keesokannya, dan hari selebih-lebihnya... keadaan akan kembali seperti biasa-biasa juga.

Begitu jua dengan usia pokcik yang semakin membawak ke Maghrib ni. Merenung kembali apa yg telah dilakukan sepanjang tahun 2009 ibarat melihat diari yang tertanam di dalam minda. Malangnya tidak dapat yg boleh diingati. Kelupaan menjadi musuh tradisi warga emas seumpana pokcik.

Ya lah, sedar-sedar saja, masih di takuk lama. Tapi tak mengapalah, barangkali ada sesuatu yang berubah walaupun tidak ketara dan bersifat rohani dan spiritual.

Anda semua bagaimana? Tentunya seperti orang lain, semangat untuk berbuah ke serba baru semakin berkobar-kobar. Impian, matlamat, usaha, pemikiran, kesihatan, outlook dan lain-lain lagi yang ingin diubah.

Mudah-mudahan apa yang diinginkan menjadi kenyataan. Walau pun oang kata asyik berazam saja, melaksanakannya tidak juga. Tak mengapalah, daripada tak ada. Segala-galanya bermula di dalam minda. Kalau tak dapat ubah banyak sikit pun jadi la.

Berbanding dengan pokcik, lain tak ada. Dari dulu sampai sekarang memang satu je impian pokcik. Tak kurang tak lebih.

Pokcik nak jadi kaya.. hu huu

Pokcik kayooo! hik hik

Monday, December 28, 2009

Akan Datang : Dol Leman Misteri Kelibat Terbang

Perkhemahan Dol, Suppa dan Ku Chai pada suatu malam yang disertai hujan lebat telah diganggu oleh makhluk hutan yang tidak diketahui asal usulnya. Keesokan harinya, Kampung Parit Sangap gempar dengan kisah seekor anjing serigala yang terlepas dari jagaan pusat kurungan.

Tidak lama kemudian, segala-galanya menjadi reda apabila anjing serigala tersebut telah berjaya ditangkap semula dan dikurung dengan ketat. Penduduk kampung kembali lega dan aktiviti mereka diteruskan seperti biasa. Namun ketenangan mereka tidak bertahan lama. Ada misteri lain pula yang muncul!


Beberapa siri gangguan yang sungguh menakutkan menyebabkan Pak Dolloh jadi pening kepala. Saban hari, warung Marpunah dikemaskini dengan kisah-kisah seram yang dialami oleh setiap penduduk. Ada kisah binatang yang mencakar, kisah kucing jadian, kisah makhluk hutan yang terbang serta macam-macam lagi kisahnya. Dan, kebanyakan misterinya berlaku tatkala matahari terbenam.

Jadi, apakah sebenarnya yang menganggu para penduduk Kampung Parit Sangap?

Adakah kesemua kejadian-kejadian misteri itu berkaitan antara satu sama lain?

Dapatkan Dol dan kawan-kawannya menyelesaikan tiap-tiap satu dari misteri yang melanda kampung mereka?

Semangat...


Bila usia semakin meningkat tua dan semangat menjadi pudar, pokcik sangat2 merindukan bebelan arwah Mak Besah. Walau dulu masa kecik-kecik bebelan-bebelan itu terasa menyengat-nyengat dan membosankan, kini setelah Mak Besah tiada, kadang-kadang terngiang-ngiang juga ditelinga ini apa yang sering diucapkan dulu.

Dalam pada hidup meredah masa dan menemukan halangan can cobaan, kadang-kadang kita jadi hanyut dan alpa. Sedar-sedar saja, ianya sudah lama berlalu... meninggalkan kita yang sengsara di komdian hari.

Ibarat makan pagi, tengah hari dan malam. Kata-kata berupa nasihat dan semangat yang sangat-sangat diperlukan dalam hidup. Melainkan kita sebagai manusia yg benar-benar berfikiran teguh dan berprinsip mulia, maka tiada masalah untuk mencorak kehidupan kita.

Jikalau sebaliknya, maka haruslah kita mencari semangat yang hilang itu. Tidak kiralah apa yang kita panggil sebagai petua, kata-kata semangat, mutiara minda, motivasi, nasihat berguna, ingat-ingatan dll, ia sangat membantu dalam melorongkan hidup kita ke jalan yang benar. Bijak membuat keputusan dan bersedia menghadapi hari depan. Tidak lupa, kita akan sentiasa dalam keredaan Tuhan.

Sekurang-kurangnya supaya kita boleh berbahagia di dunia dan akhirat.

Selamat menyambut Tahun Baharu 2010.

Semoga anda semua lebih bersemangat dan maju di tahun hadapan.

Friday, December 25, 2009

Disember.

Bulan Disember ni, banyak betul cuti-cuti amnya. Hampir setiap jumaat gitu ( ceh, ceh, dah mcm tajuk novel Norhayati Berahim pulak hik hik ).

Dan, dalam bulan ini lah juga, banyak duit yang terbang melayang-layang. Ya lah, bawa anak jln2 cuti sekolah, balik kampung, oang kahwin, berkhatan, kenduri balik haji, Sales hujung tahun (YES) dan juga persiapan anak-anak nak naik sekolah semula. Alahaii…

Pandai2 lah anda semua nak menguruskannya. Masa, duit dan juga tenaga. hik hik

Selamat bercuti panjang sempena Krismas. Ceria-ceria selalu.

Wednesday, December 23, 2009

Seiring dan sejalan...

Seiring masa berganjak, pokcik hampir-hampir terlupa usia turut beralih sama. Sedar-sedar saja sudah berpuluh-puluh tahun nafas ini diberi lagi. Berdegup sentiasa hingga ke titik entah bila.

Terima kasih daun keladi pokcik ucapkan pada insan-insan yg sudi mengucapkan Selamat hari jadi, di fesbuk, blog, email atau esemes. Kalau tidak menjadi fitnah dan gossip sensasi, ingin saja pokcik berkata yang pokcik amat sayangkan kalian semua.


Sedikit sebanyak hati tua ini menjadi ceria apabila dikenang sentiasa. Walaupun sebaris ayat kata-katanya. Tidak dapat pokcik bayangkan kalau di usia emas yang sebegini, pokcik jadi bersendirian dan dilupakan orang.

Ah, masa. Sering kali ia menjadi garisan penentu sesatu kejadian. Hadirnya tanpa di suruh dan perginya begitu-begitu saja. Maka berbahagialah mereka yang sentiasa menghargai masa, menguruskannya sebaik mungkin dengan hal-hal yang berfaedah dan menambah nilai hidup di muka bumi ini. Syukur banyak-banyak pada Tuhan.

Segala-galanya bersandar kepada masa. Waktu suka, duka, sedih dan murung ia sentiasa bersama-sama kita. Termasuk juga apa pekerjaan yang dilakukan, masa sentiasa mengekori.

Pepatah Arab ada mengatakan, masa itu ibarat pedang yang tajam. Jika kita tidak menggunakannya dengan baik maka ia akan melibas dan membunuh kita.

Apa-apa pun, selamat menghargai masa.

Pokcik nak gii ngeteh aa. Jom!


Hik hik

Thursday, December 17, 2009

Maal Hijrah 1431


Selamat menyambut Maal Hijrah pokcik ucapkan buat sekalian pengunjung setia pondok buruk ini. Memang masa sangat cepat berlalu, tidak perlu di sangsi lagi. Namun apa yang dikutip sepanjang melalui tempoh setahun ini haruskan diambil kira, direnung kembali, difikiri dan dinilai hasilnya.Adakah lebih banyak kebaikan yang dilakukan ataupun sebaliknya.

Hidup ini sangat singkat rupanya. Mujurlah ada angka dan tahun yang boleh dikira dan dijadikan rujukan perjalanan hidup ini.

Semoga anda semua akan menjadi insan yang kembali suci. Di tahun hijrah 1431 ini, marilah kita sama-sama menjadi insan yang lebih bersemangat untuk memperbaiki diri dan berwawasan penuh jaya.

Dan yang terpenting sekali, semoga kita menjadi manusia yang bertakwa dalam menjalani kehidupan di muka bumi nan sementara ini.

Juga, Selamat bercuti.

Monday, December 14, 2009

kendara..


Lama sungguh pokcik tidak menulis di sini. Pada yang setia menyinggah tu, terima kasihlah daun keladi pokcik ucapkan. Semoga anda semua akan terus mengingati pokcik.

Sejak beberapa hari ini, kurang sikit hujan turun. Cuaca bertukar terik dan kering. Alam memang sentiasa berubah. Dan setiap apa yang turun dan bersinar dari langit , pasti ada hikmah yang terselindung di sebaliknya.

Musim cuti sekolah ini bercampur dengan musim oang kahwin. Kalau tak berjalan-jalan makan angin, oang akan balik kampung jumpa mak ayoh selain menghadiri majlis kahwin abg, adik dan kakak jugan saudara mara terdekat. Pendek kata aktiviti-aktiviti yang menyeronokkanlah juga.

Ada juga pokcik dijemput sama menghadiri kenduri di sini mahupun di kampung. Maklomlah.. oang-oang tua cam pokcik ni memang payah nak dilupa. Hik hik

Jenuh la nak makan apabila di perlawa. Murah rezeki di musim-musim cuti ini. Hidangannya pula pelbagai rupa, warna dan rasa hingga tak terlayan dek selera. Tuan umah asyik menyuruh tambah saja. Pokcik pula.. bukannya banyak sangat makan.

Kadang-kadang, bila dah tambah empat lima kali.. pokcik terus berhenti.

Bila tuan umah tanya, kenapa?

Pokcik katalah.. maluuu gitu.


Hik hik

Tuesday, December 08, 2009

mud...

Masa tu pokcik seroang budak yang sangat rajin ke sekolah. Pantang ada masa terluang, pantang cikgu tak ada di kelas, pokcik tak akan buang masa. Sentiasa membuat kerja. Kalau tak menghafal abc, pokcik menulis dan melukis-lukis.

Hinggalah datang seorang budak bernama Mahmud mengajak pokcik berbual-bual. Dia bercerita fasal bola, lastik, longkang parit, basikal, pokok pisang, mempelam dan entah apa-apa lagi. Dia juga bercerita tentang ayam dan kambing. Itu belum lagi ditunjukkan gelang getah dah gundu-gundunya.

Oh, terganggu betul pokcik saat itu. Hati menjadi tersangat jengkel dan rasa menyampah pada si Mahmud mula meluap-luap.


Hendak menulis pun tidak dapat tumpuan. Rasanya, masa tu pokciklah yang mula develop kata-kata , “Nak menulis pun kena tengok mood juga." Ya lah tu, tengokkan Si Mahmud yang suka mengacau itu.

Akhirnya... kerajinan pokcik goyah saat Mahmud mengeluarkan beberapa keping biskut kering dari saku bajunya. Sebotol termos cap rama-rama pun disua tinggi-tinggi. Rasanya termos itu berisi air kopi. Pokcik jadi teruja tiba-tiba.

Akhirnya, segala kerajinan dan sikap pelajar contoh pokcik hilang begitu saja.

Oh tidak! Pokcik telah terpedaya pada hari pertama masuk sekolah.

Hik hik

Thursday, December 03, 2009

Pesta Buku Alaf21 Kembali lagi...

Marilah kita sama-sama memeriahkan Pesta Buku Alaf21 yang bermula esok. Boli sebanyak mana buku yang anda suka, diskaun hebat 30%. Nak pergi hari Jumaat, Sabtu, Ahad atau ketiga-tiga hari pun boleh.

Jumpa di sana...