Monday, May 31, 2010

Hujan Bunga...

Maka, semalam... berakhirlah sudah majlis konvo yang berlangsung hampir 2 minggu di UiTM Shah Alam ni..

Fuh, bolehlah menarik nafas lega kerana jalan tidak lagi sesak sebagaimana nafas turut sesak melihat keadaan itu saban pagi dan petang.

Cerialah hati sang ibu bapa, atuk nenek, adik kakak - yg meraikan kejayaan anak-anak, adik beradik, suami isteri atau teman (tapi mesra) yang naik ke pentas mengambil sijil dan berjalan penuh gaya dalam jubah resmi konvo. Yippa..

Buat pokcik.. agak sedih sedikit. kerana hilang sudah seri-seri jalan sepanjang masuk ke UiTM tu.. sebab sejak dua minggu yang lalu pokcik terasa seperti...

Hujan bunga di Shah Alam , la la la la

Hik hik

Wednesday, May 19, 2010

Dunia yang pokcik kenal...

Pokcik pernah mengenal satu dunia.

Dunia yang pokcik kenal pada seketika dahulu, sangat aman rasanya. Waktu kecil-kecil pokcik bebas bergerak ke sana ke mari tanpa perlu rasa takut terhadap suasana sekeliling. Nak pergi beli oren kedai Ah Tong yang jauhnya dekat-dekat 1 kilometer boleh saja berbasikal sendirian. Bersama teman2 merambu di sekeliling kampung atau kampung-kampung lain, seronoknya bukan kepalang. Melastik burung di hutan, meranduk kebun buah-buahan hatta bermandi-manda di parit besar depan rumah Wak Jumit pun rasa bahagia sekali.

Tidak adalah mak nak membebel-bebel, risaukan keselamatan tiap-tiap hari. Takut kalau-kalau diculik orang, disamun, didera, diperkosa dan sebagainya. Pada mak pokcik juga, kurangnya rasa risau-risau dan susah hati mengenangkan pokcik yang entah ke mana-mana saban hari merupakan satu nikmat.

Dan kami waktu itu berasa amat bebas dan selamat.



Dunia yang pokcik kenal pada masa kini, sangat jauh bezanya. Walaupun usia pokcik sudah masuk ke hujung senja, namun apabila hendak melangkah keluar dari pondok ni, maka berbagai-bagailah rasa yang menjelma di fikiran. Tentunya mengenai keselamatan. Takutlah kalau-kalau oang yang tak dikenali mengapa-apakan pokcik, menyamun, menculik dan fikiran-fikiran buruk yang lain hingga langkah jadi terketar-ketar dan serba waspada.

Begitu juga pokcik merasakan, anak-anak yang sezaman atau selepas generasi pokcik akan lebih terasa kerisauannya dalam melayari kehidupan masa kini yang serba macam-macam ada. Anak-anak zaman ini tidak sebebas yang pokcik rasa. Mereka tidak dibenarkan keluar merata-rata tanpa pantauan ibubapa.

Berita-berita dari akhbar dan di kaca tiwi membuatkan sesetangah ibu bapa rasa susah hati apabila anak tidak nampak di depan mata. Di tambah pula dengan godaan-godaan dan pendedahan yang ditonjolkan di sekeliling kita dalam bentuk visual dan tekstual, lagilah anak-anak menjadi mudah leka dan terikut-ikut akan budaya baru yang tidak begitu menyihatkan ini.

Seperti kata Pak Leman sebelah pondok pokcik tu, membesarkan anak-anak dalam dunia sekarang lebih mencabar. Mereka lebih cepat pandai daripada kita. Kalau dulu, kita umur 20 tahun baru kenal telefon, mereka baru setahun setengah dah tahu handphone tu apa. Belum lagi apa yang mereka nampak di depan mata, tiwi, radio, computer dsb. Macam manalah mereka tidak mudah tergoda. Belum kira lagi hal-hal 'kedewasaan' seperti hisap rokok, berpasang-pasangan, merempit dll.


Yalah, ada betulnya cakap dia tu. Dunia yang pokcik kenal suatu ketika dulu sangat bersih persekitarannya. Sekarang sudah tercemar. Semakin negara maju ke hadapan semakin parah pemikiran dan sikap golongan muda mudi yang bakal menjadi pelapis negara suatu masa nanti.

Walaupun tidak dinafikan ada diantarnya yang bagus-bagus dan tahan dugaan, namun dibandingkan dengan yang semakin hancur, lalai dan leka, di mana pula nantinya nasib mereka? Sebabnya apabila sosial sesebuah negara itu sudah kucar-kacar, maka akan rosakkan segala sistem pentadbirannya. Dengan mudah, musuh akan masuk campur dan semakin memperkotak-katikkan lagi keadaan.

Sayangnya kita tidak sedar. Ini suatu hal yang sangat besar kalau hendak kita fikirkan molek-molek. Hal mengenai masa depan dan generasi seterusnya.

Oh, sebuah dunia yang pokcik kenal.


Monday, May 10, 2010

Tanpa ibu...

Sejak semalam tak henti-henti orang meraikan hari ibu. Hakikatnya tanpa ibu (dan bapa) maka tiadalah kita dapat lahir ke dunia. Dan tanpa ibu juga tiadalah kita hidup dengan penuh makna di maya yang serba mencabar ini

Pada pendapat pokcik, selain merai-rai, menyayangi dan melayani sebaik mungkin (termasuk ajak gi makan-makan ka atau ngeteh-ngeteh ) hari ibu juga bermaksud memberikan sedekah dan fatihah ( lebih sedikit dari hari-hari yang lain ) kepada ibu-ibu yang sudah kembali ke Rahmatullah.

Termasuk juga... Arwah Mak Besah.

Selamat hari ibu, mak. Tetap akan menyayangi mak, sampai bila-bila. Selagi hayat dikandung badan.


Sob.. sob..

Monday, May 03, 2010

Sekadar keluhan...

Sejak beberapa menjak ni, pokcik selalu mengeluh. Entah kenapa mulut ini kerap sangat berkata, Haahh, alahaii, hmmm.. dan sebagainya. Apatah lagi dengan kehadiran dunia IT yang bersifat keterbukaan ini, menyebabkan keluhan menjadi satu budaya yang perlu di sua-sua kepada semua. Dan hakikatnya pokcik tidak berseorangan dalam hal ini.

Lihat sajalah bicara-bicara di alam maya masakini. Kadang-kadang dirasakan lebih banyak orang mengeluh dari bercerita tentang sesuatu yang positif.

Dari sekecil-kecil keluhan hinggalah sebesar-besar keluhan, semuanya hendak dicerita pada orang. Cuaca yg mendung atau hujan, tubuh badan yang sakit, masalah kekasih yang menyakitkan hati, boss yang menjengkelkan, perkhidmatan yang menegangkan kepala otak, kawan-kawan yang suka mengata, makanan yang tak sedap, belian-belian yang terasa mahal, hatta tak tahu nak buat apa pun perlu dicerita juga.

Hinggakan pokcik yang dah tua ni pun kadang-kadang terikut sama. Maka, apabila usia sudah berlebih meningkat, lagilah ada banyak yang hendak dikeluhkan, darihal hidup ini dan pengalaman-pengalaman yang dirasakan tidak berpihak kepada kehidupan yang sempurna.

Pokcik bukan nak mengata, tapi kalau terlalu banyak mengeluh takut kelak satu apa pun tak jadi. Satu kerja pun tidak terbuat. Dan masalah semakin bertambah-tambah pula.

Adalah sesekali kita baru tersedar, ah.. mudahnya bibir ini mengungkap sebuah keluhan. Seolah-olah apabila kita mengeluh masalah kita akan selesai. Tidak dinafikan juga, ada teman2 yg sudi membantu, sekurang-kurangnya bersetuju dan perihatin pada rungutan kita tu. Tapi takut lama kelamaan ianya akan jadi satu perkara mesti pula. Bangun pagi saja, dah mula nk komplen itu ini. Segala hal yg tak puas hati perlu di khabarkan pada semua.

Rasanya, kehidupan pada zaman ini, zaman2 maklumat di hujung jari ini menuntut kita untuk menjadi super “sabar”. Setiap dugaan yg melanda ada hikmah disebaliknya. Kalau ia pun hendak dikongsi eloklah disertakan sekali tindakan (positif) yg kita ambil supaya menjadi satu pelajaran lengkap. Keluhan – jalan penyelesaian. Apa juga maklumbalas yang diterima dicerna dan difikiri dengan mendalam supaya ramai dapat mengambil panduan darinya.

Maka, apa kata, dari sekarang kita ubah pemikiran kita. Jangan terlalu mudah mengeluh. Hidup tanpa dugaan akan jadi tawar dan tidak mematangkan diri. Sama-samalah kita berfikiran positif dan sentiasa ingat pada Tuhan. Kerana tujuan kita hidup di muka bumi ini pun adalah untuk mentaatiNYA.

Semoga kita menjadi orang-orang yang dirahmati.